Anda hairan polis tidak bertindak bila samseng Kampong Dusun buat hal di bangunan Parlimen dan di hadapan pintu masuk Dewan Undangan Negeri Perak? Baca ucapan Pengarah Strategik PKR yang juga Ahli Parlimen Machang di http://www.parlimen.gov.my/hindex/pdf/DR.%204.12.2008.pdf 4 Disember lalu. Buatlah penilaian sendiri (kawan-kawan dari Umno bolehlah jawab "tak logik ni!!!" tanpa memberikan sebab anda berkata begitu. Atau boleh juga jawab "adik sedara kepada bapak sedara kakak ipar abang ipar kawan abang aku kata tak de pun berlaku macam tu"):
Setengah orang melihat itu sebagai retorik, dia kata mana mungkin dalam realiti sebenar keadaan itu boleh wujud. Ini sebenarnya ujian terhadap kita, akhir sekali Tuan Pengerusi, pengalaman peribadi saya, saya pernah berada dalam dua parti pun, dalam Barisan Nasional, dalam kelambu sebagai Setiausaha Pemuda Barisan Nasional.
Satu ketika saya pernah dipanggil oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Almarhum, saya tak nak sebut nama, sebab ada satu kumpulan NGO nak buat satu perhimpunan yang Jemaah Menteri telah buat keputusan untuk tak membenarkan ianya dibuat, saya dipanggil kemudian diberi taklimat bahawa OCPD Polis sekian, sekian akan mengawal semuanya, saudara cuma perlu himpunkan sejumlah anggota pemuda, Ketua Pemuda saya waktu itu mengikut Perdana Menteri ke ‘Atragana’, Timbalan Ketua Pemuda waktu itu berada di Singapura kerana ada persidangan dengan Young PAP, PAP Young Leaders, yang ketiga dalam ranking Pemuda Umno, Tuan Pengerusi ialah saya.
Saya dipanggil Timbalan Menteri, saya tak banyak pilihan, saya kena pergi, arahannya ialah Go and Stop the Conference, kemudian Pasukan Polis akan pergi, saudara akan ditangkap tetapi jangan bimbang, semuanya telah diatur, dan itu betul-betul berlaku. Ini betul-betul berlaku, bukan cubaan.
Saya pun dibawa pergi bersama Pasir Salak, tetapi Pasir Salak tidak kena, saya yang kena bersama kawan-kawan yang lain, kemudian akhirnya betullah dihidangkan nasi kandar, diawasi, berbual mesra dengan anggota polis, dengan pegawai polis pangkat tinggi juga dan kemudian ini betul-betul saya dibebaskan dan masih boleh pegang jawatan, saya didenda RM1,500, maka saya boleh pegang jawatan dalam organisasi, hari ini boleh bertanding lagi.
Nak tunjuk kata kalau ia orchestrated kemudian Perdana Menteri balik daripada ‘Atragana’ kita sambut dia di bilik Bunga Mawar, bilik VIP Bunga Mawar di Subang Airport.
Timbalan Menteri kemudian bawa saya di tangga kapal terbang sambil memberitahu kepada Menteri, inilah orang yang baru ini ditahan, but don’t worry sir, it was well orchestrated, he did a good job, sangat jelas.
Pengalaman itu memberikan saya satu gambaran bahawa bila ada kuasa dan kuasa itu disalahgunakan, ini dalam soal hendak hentikan satu persidangan antarabangsa yang Jemaah Menteri tidak bersetuju, dan saya diminta untuk membuatkan tindakan itu.
Waktu itu berkata “tidak” kepada pemimpin negara adalah satu dosa besar. Itu satu detik hitam dalam sejarah politik saya Tuan Pengerusi dan saya tak mahu melihat itu berlaku lagi. Saya percaya Pasukan Polis juga punya integriti, tidak selamanya boleh diarah dan dicucuk hidung. Inilah pasukan yang kita impikan bagi menjaga keselamatan rakyat sepenuhnya. Terima kasih. (Gambar keratan akhbar fasal raja hanya hiasan saja)