Salurkan Sumbangan Dana Pilihanraya Anda ke Parti Islam Se-Malaysia Kawasan Kota Tinggi

Salurkan Sumbangan Dana Pilihanraya Anda ke Parti Islam Se-Malaysia  Kawasan  Kota Tinggi
No Akaun : 01-069-01-003759-0

Pilihan Anda di PRU 13?


Ruang Aduan

E-mail Address: *
Nama Pengadu *
Nombor Telefon *
E-mail Address
Alamat Pengadu *
Aduan *
Adakah anda bersetuju untuk mendedahkan identiti anda sekiranya diperlukan? *YA
TIDAK

* RequiredBuild Contact Forms

March 24, 2012



Salam alaik. Jangan ketinggalan mengikuti siri ceramah umum PAS Kawasan Kota Tinggi. Sebarkan pada rakan-rakan anda. Terima kasih.

March 20, 2012

Kenyataan Media Mursyidul Am PAS- Akidah Yahudi Lebih Bahaya



Susulan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pensyarah Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM seperti yang disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian hari ini Isnin 19 Mac 2012 di halaman N4 yang bertajuk Presiden PAS Kelirukan Umat Islam, saya ingin membuat sedikit penjelasan lanjut. Selain itu sukalah saya turut merujuk kepada kenyataan beberapa orang pimpinan UMNO yang menyatakan bahawa Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima dana daripada Yahudi.

Yahudi tidak meminta untuk menjadi Yahudi, sebagaimana Melayu tidak meminta untuk dilahirkan sebagai Melayu. Jutseru, sedari dulu lagi saya sentiasa konsisten untuk menyatakan bahawa bangsa tidak ada apa-apa kelebihan dan kekurangan di sisi Allah SWT. Nilai yang melebihkan manusia ke atas manusia yang lain ialah imannya kepada Allah SWT. Menjulang keris ke langit menjerit ketuanan bangsa tidak akan membantu apa-apa ke arah keharmonian hidup antara kaum.

Bolehkah berurusniaga dengan Yahudi? Perlulah diingat bahawa ada beza antara Yahudi dengan Zionis. Yahudi sebagai seorang individu dan manusia tidak mempunyai apa-apa beban kesalahan yang dipikul di atas bahunya hanya semata-mata dirinya seorang Yahudi. Bahkan Rasulullah SAW sendiri berurusan dengan Yahudi. Di dalam hadis sahih Bukhari dinukilkan kata-kata daripada Ummul Mukminin Aisyah Radhiallahuanha :

تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَدِرْعُهُ مَرْهُونَةٌ عِنْدَ يَهُودِيٍّ بِثَلَاثِينَ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ

yang bermaksud : "Telah wafat Rasulullah SAW dalam keadaan baju besinya tergadai kepada seorang Yahudi dengan (nilaian) 30 sho' gandum..."

Di dalam hadis ini, jelas sekali dinyatakan bahawa Rasulullah SAW sendiri pernah menggadaikan baju besinya kepada seorang Yahudi untuk mendapatkan 30 sho' (ukuran berat di zaman tersebut) gandum untuk keperluan harian baginda dan keluarga. Jika berurusniaga dengan bangsa Yahudi itu salah, sudah tentu ia tidak dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW. Contoh yang lebih untuk difahami ialah jika datangnya seorang Yahudi untuk membeli atau menjual sesuatu, adakah urusniaga tidak boleh dilakukan semata-mata kerana beliau seorang Yahudi? Jika ada yang menyatakan haram, tidak ada sebab lain melainkan hanyalah kerana kejahilan tentang Islam. 

Adapun yang ditentang oleh PAS ialah melakukan urusniaga dengan kerajaan zionis yang tertegak pada hari ini di atas tanah yang dirampas daripada bangsa Palestin. Berurusniaga dengan kerajaan zionis Israel ertinya mengiktiraf kewujudan mereka dan mengiktiraf kewujudan Israel merupakan satu jenayah yang tidak boleh dimaafkan. Mejadi rakan dagang negara Israel juga termasuk dalam berurusniaga dengan entiti haram Israel. Hairannya, ada sesetengah pihak nampaknya cuba menjadi juara menentang Israel tetapi dalam masa yang sama menjalinkan hubungan dagang dengan negara Israel. Saya ingin merujuk kepada soalan yang dikemukakan oleh ahli Parlimen Kuala Krai, YB Dr. Mohd Hatta bin Mohd Ramli di Dewan Rakyat pada 13 Mac 2012 yang meminta Menteri Kewangan menyatakan bagaimana barangan dari Israel dikatakan boleh berada di dalam pasaran Malaysia. Agar mengejutkan apabila jawapan diberikan bahawa".... larangan mutlak ke atas pengimportan barangan dari Israel yang diletakkan di Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) telah dipinda ke Larangan Bersyarat di bawah Jadual Kedua Perintah yang sama pada 26 Mei 1994. Selaras dengan ini barangan yang diimport dari Israel kini dibenarkan tertakluk kepada Lesen Import dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri..."

Tidakkah ini merupakan bukti cerah seterang matahari di siang hari tentang hubungan dagang dengan Israel? Hairan saya, tidak malukah akhbar milik UMNO memainkan isu ini sedangkan jawapan rasmi di dalam Dewan Rakyat menjelaskan keterlibatan hubungan dagang Malaysia - Israel?

Hakikatnya, menerima akidah Yahudi lebih bahaya daripada menerima wang dari Yahudi. Apakah yang dimaksudkan dengan akidah Yahudi? Ia adalah menolak sebahagian ayat-ayat Allah SWT dan hanya menerima apa yang selari dengan hawa nafsu mereka.  Demikian juga dengan mereka yang mengaku muslim tetapi menolak Islam sebagai cara hidup dan menerima ideologi kebangsaan sekular untuk menjadi pegangan. Bukankah ikrar seringkali dilafazkan di dalam solat bahawa kita memohon dijauhkan terjebak dengan jalan orang-orang yang dimurkai Allah SWT, dan golongan itu ialah Yahudi. Firman Allah SWT :

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ (6) صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ (7)

yang bermaksud : "Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat..." - Surah al-Fatihah, ayat 6-7

Muslim yang menolak sebahagian ayat-ayat Allah dan menerima ideologi kebangsaan sekular hakikatnya sedang menerima akidah Yahudi sekalipun nama mereka bukan Yahudi. Ini lebih merbahaya. Akidah inilah yang paling penting. Rasulullah SAW tidak diutuskan hanya untuk mengajar tentang solat dan puasa. Bahkan di dalam sejarah, solat lima waktu hanya difardhukan pada tahun ke-10 kenabian manakala puasa pula pada tahun ke-15 kenabian (tahun kedua hijrah). Apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sebelum pensyariatan solat dan puasa jika tidak menegakkan akidah?

Hari ini dalam keadaan kemelut jenayah yang semakin meningkat sekalipun negara semakin 'selamat', tidak ada jalan lain untuk menjadi penyelesaian kecuali kembali kepada undang-undang Allah SWT. Inilah yang PAS lakukan sepanjang 22 tahun mentadbir negeri Kelantan. Pertanyaan saya yang dari dulu hingga sekarang, apakah yang dilakukan oleh PAS di Kelantan yang bertentangan dengan Islam?

Adakah mengharamkan premis judi bertentangan dengan Islam? Adakah menghadkan penjualan arak bertentangan dengan Islam? Adakah mengalihkan wang kerajaan dari perbankan riba kepada perbankan Islam bertentangan dengan Islam? Adakah mentadbir negeri dengan bebas daripada rasuah bertentangan dengan Islam? Ini hanyalah beberapa persoalan daripada ribuan persoalan yang wujud apabila UMNO bersungguh-sungguh untuk merampas Kelantan.

Nasihat saya, tinggalkanlah akidah Yahudi. Baliklah kepada akidah Islam yang sebenar, Islam yang syumul dan lengkap yang diturunkan oleh ALlah SWT. Jika andainya dijemput oleh Allah SWT, adakah dengan penerimaan terhadap Islam pada hari ini boleh menjadi bekal mengadap Allah SWT?

Salam hormat.

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 26 Rabiul Akhir bersamaan 19 Mac 2012

March 16, 2012

Program PAS Kawasan Kota Tinggi






Jemput hadir ke program ceramah di atas. Mohon sampaikan kepada sahabat-sahabat yang lain.

March 12, 2012

Program Dialog

Makluman. Program tersebut akan berlangsung dalam dua kaedah iaitu ceramah dan dialog. Bagi mereka yang ingin bertanyakan soalan kepada ahli-ahli panel, tuan/puan bolehlah mengajukan soalan secara lisan ataupun bertulis.

Permohonan Maaf Perdana Menteri – Nilailah Keikhlasannya

Meminta maaf adalah tanda sifat mahmudah, samada terhadap manusia apatah lagi dengan Allah. Sikap suka memohon maaf dan kesungguhan memohon maaf lumrahnya lahir dari rasa bersalah.

Lagi banyak rasa bersalah seseorang itu, maka lagi keraplah seseorang itu akan memohon maaf. Memohon maaf dengan manusia atau rakyat teramai jarang dilakukan oleh mana-mana kerajaan atau pimpinan kerajaan. Kerana itu, apabila ada yang lakukan tentulah ianya menjadi bahan perbincangan awam.

Memohon maaf tanpa sebarang niat dan tindakan untuk memperbetulkan kesilapan-kesilapan di atas membuka ruang kepada rakyat untuk menilai tahap keikhlasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam permohonan maafnya kepada rakyat baru-baru ini.

Memohon maaf kepada rakyat bermakna bersalah dengan rakyat. Apakah kesalahannya mungkin besar kerana ia melibatkan rakyat teramai. Lantaran itu soal rakyat ingin memaafkannya atau tidak terpulang kepada rakyat, cuma Islam mengajar kita agar memaafkan kesalahan orang lain, agar Allah memaafkan kita.

Meminta maaf dan memaafkan suatu kesalahan adalah sifat terpuji, tetapi bukan bermakna kerajaan harus diberi terus mandat untuk melakukan semula kesalahan, penyelewengan, rasuah dan salahguna kuasa.

PAS yakin persoalan-persoalan mengenai penyelewengan dana negara, ketirisan sehingga berbillion ringgit serta kegagalan kerajaan membina sebuah negara yang berdaya saing, samada dalam pendidikan, ekonomi, sukan, keselamatan sosial dan pelbagai isu lain tetap akan kekal di minda rakyat Malaysia.

Ini kerana mereka sedar bahawa Perdana Menteri (PM) mereka hanya memohon maaf tatkala kerana pilihanraya umum ke 13 bakal menjelang tiba demi memohon rakyat terus memberi mandat kepada BN.

March 07, 2012

Tahniah PAS Kedah, JK Khas dan khususnya Salahuddin Ayub


Saya merakamkan rasa tahniah kepada seluruh ahli PAS yang menerima berita gembira penyelesaian kepada ribut kecil di PAS Kedah. Tindakan kedua-dua exco Timbalan Pesuruhajaya PAS Kedah, Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh dan Menteri Besar Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak mencerminkan satu akhlak jamaah yang tinggi, bilamana akur dengan pandangan parti.

Tahniah diucapkan kepada Jawatan Khas yang terdiri daripada Timbalan Presiden PAS Tuan Hj Mohamad Sabu dan dua Naib Presiden PAS YB Salahuddin Ayub dan YB Dato' Mahfuz Omar yang bertungkus lumus menjadi orang tengah menyelesaikan kemelut ini. Khususnya bagi YB Salahuddin, sememangnya anda dilayak digelar Kofi Anan dalam PAS.  

Ahli dan para pemimpin juga sangat gembira dan terharu dengan kepenatan YB Dato' Seri  Presiden PAS yang bergegas balik dari Bosnia transit di Austria, Qaherah, Bangkok dan sesampai KL bergegas ke Kedah tak sempat menjamah makanan, terus menghadiri mesyuarat dalam keadaan demam hingga jam 3 pagi.

Kegembiraan kerana seluruh ahli parti ingin melihat Kedah terus mantap, dan menjadi pangkalan kedua terkuat pemerintahan PAS selepas Kelantan. InsyaAllah apa yang dibincang dan dirumus akan dapat dilaksanakan, demi kebaikan dan masa depan PAS Kedah khususnya dan negara amnya.

PAS Pusat mengharapkan satu majlis munajat perdana dapat diadakan dalam masa terdekat. Mari kita himpunkan ribuan rakyat Kedah di Stadium untuk kita bemunajat, dekatkan diri dengan Allah, meluahkan kasih sayang dan mahabbah antara kita. Semoga Allah memperteguhkan jamaah ini. Allahu Akbar.


Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

PAS Dan Masyarakat Majmuk

Masih ramai dikalangan anggota masyarakat yang terbelenggu dengan kongkongan kejahilan terhadap Islam khususnya Fiqh Siyasah, apabila mereka merasa pelik melihat PAS boleh mengadakan persefahaman kerjasama politik bersama parti bukan Islam seperti DAP,  yang dituduh setengah pihak sebagai  fanatik atau chauvinis. Seterusnya mereka ini bertanya : Mengapa PAS tidak boleh mengadakan persefahaman dengan UMNO yang sebangsa dengan PAS ? . Tidakkah pendekatan mengadakan persefahaman dengan UMNO akan menjadi lebih mudah berbanding DAP atau PKR ?. Lalu penentang PAS yang tidak faham ini menyimpulkan bahawa PAS telah menggadaikan prinsip perjuangannya sebaik sahaja mengamalkan pendekatan Tahaluf Siyasi bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat !.

Persoalan di atas boleh difahami jawapannya dengan mempunyai fikiran yang tenang dan terbuka dalam menekuni tulisan ringkas ini.

 Syarat pertamanya ialah kita mestilah memahami kaedah ajaran Islam dalam menangani masyarakat majmuk bersama pendekatannya. Perlu difahami juga bahawa Islam pula bukannya agama yang terikat dan terbelenggu dengan semangat kebangsaan,  walau pun peranan bangsa tidak boleh dinafikan wujudnya. Dalam amalan politik Islam pula terdapat ajaran dan hukum yang berkait dengan pendekatan yang adil terhadap masyarakat majmuk termasuklah layanan Islam dalam aspek kepelbagaian agama. Risalah atau mesej Islam adalah bersifat sejagat, kerana kedatangan Nabi Muhammad SAW membawa rahmat kepada seluruh alam, manusia dan makhluk yang lain. Kerasulannya adalah kepada seluruh rumpun manusia, tidak terikat dengan bangsanya sendiri, tanahair dan zaman. Maka yang dikira termasuk dalam kerasulannya juga adalah dalam aspek politik menegakkan dan mentadbir sesebuah negara.

Islam tetap didahulukan, manakala fahaman kebangsaan pula hanyalah satu perasaan yang tidak boleh menjadi akidah. Peranan kebangsaan menjadi baik apabila Islam menjadi akidah dan petunjuknya. Hanya Islam menjadi petunjuk kepada bangsa, hanya bangsa yang berpegang dengan Islam sahaja boleh menunaikan amanahnya.

Adalah menjadi  hikmah terbesar, bahawa musuh pertama Islam di kalangan Nabi Muhammad SAW di Semananjung Tanah Arab ialah dari kalangan bangsa Arab Makkah dan yang awal menerima Islam dan memperjuangkannya pula adalah mereka juga. Rasulullah SAW memulakan kemerdekaan bangsanya dengan menentang kongkongan jahiliyah daripada bangsanya  sendiri, walaupun di masa itu ramai kabilah Arab dan wilayahnya dijajah oleh kuasa besar Rom dan Parsi.

Walaupun mesej Islam itu kepada seluruh manusia, tetapi konsep berdakwah menekankan bahawa kita sekali-kali tidak boleh memaksa pihak lain supaya menganut Islam. Dalam masa yang sama Islam menerima konsep masyarakat majmuk yang menjadi naluri manusia yang menjadikan mereka wajib bermasyarakat madani, walau pun berbeza bangsa dan agama. Di sinilah betapa hebatnya firman Allah SWT :

Maksudnya :

Wahai manusia, Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki (Adam) dan seorang perempuan (hawwaa) dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-kaum, supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Meliputi Ilmunya.



Manusia itu wajib bermasyarakat di peringkat setempat dan antara bangsa, kerana mereka tidak mampu menghasilkan keperluan hidupnya secara bersendirian atau individu, satu keluarga dan satu bangsa sahaja tanpa berhubung di antara satu sama lain. Sehelai kain untuk pakaian memerlukan penanam kapas, pelombong besi dan tukang besi untuk alat tanaman, penenun kain dan seterusnya. Begitulah juga keperluan makanan, tempat tinggal dan sebagainya.

Ibnu Khaldun (1332M – 1406M) menyebut manusia itu bersifat  dengan sifat Madani, iaitu kemestian untuk berkumpul dan berhubung secara berpusat dengan adanya penempatan yang memerlukan pertukaran kemahiran dan hasil kerja yang berbeza. Tempat berhimpun itu dinamakan Bandar (Madinah)  dan pekerjaan mereka mestilah dimajukan secara ilmu, menerusi kajian dan pengalaman dengan menggunakan akal yang berkembang sehingga berlakunya kemajuan dan pencapaian yang dinamakan sebagai “Tamaddun”. Walau pun mereka berbeza agama dan bangsa, namun keperluan berhubung tetap wujud secara fitrah. Dalam masyarakat yang bersifat madani mereka perlu kepada cara hidup berkonsepkan politik dan berekonomi disemua peringkat, negeri dan antarabangsa.

Kedua, bagi merealisasikan aspek ini maka Rasulullah SAW melaksanakan konsep madani dengan mengadakan “tahaluf” atau kerjasama di kalangan yang boleh bekerjasama dari  aspek kemanusiaan  dengan kalangan manusia yang menyedari hakikat ini, dan negara pertama itu dinamakan Madinah. Rasulullah SAW melaksanakan tugas serampang dua mata yang ditunjuk oleh Allah menjadi tujuan kerasulannya untuk seluruh manusia dengan menyatukan umat manusia yang dibahagikan kepada dua kumpulan. Pertama - dinamakan ‘umat Ijabah’, mereka ialah penganut Islam yang menyahut seruan menganut agama. Kedua - umat dakwah, mereka termasuk kalangan bukan Islam berbagai bangsa dan agama, namun diajak bersama melihat sifat kemanusiaan sejagat yang ada dalam Islam secara amali (praktikal) bagi menghasilkan keperluan hidup secara nalurinya.

Pelaksanaan secara amali terhadap manusia majmuk itu ditemukan dengan menegakkan keadilan mutlak yang diwajibkan oleh Allah mengikut firman Allah SWT :

Maksudnya :

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu melaksana dan mentadbir dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha Melihat.



Diriwayatkan dalam  Hadith Qudsi bahawa Allah SWT berfirman :

يا عبادي إني حرمت الظلم على نفسي وجعلته بينكم محرماً فلا تظالموا

(رواية مسلم ).

Maksudnya : (Wahai hamba-hamba ku , sesungguhnya aku telah mengharamkan zalim itu berlaku ke atasku dan aku jadikan ia diharamkan di kalangan kamu, maka jangan sekali-kali kamu berlaku zalim).



Dalam pendekatan yang kedua Rasulullah SAW berhubung dengan kalangan bukan Islam yang ada sifat kemanusiaan, dalam keadaan orang Islam pula kosisten dan iltizam berpegang kepada prinsip dan konsep Islam. Pelaksanaanya dilakukan ketika tanpa negara dan bernegara. Ketika di Makkah, Rasulullah SAW menerima perlindungan bapa saudaranya Abu Tholib yang tidak menganut Islam, dengan konsep yang dinamakan “Himayah” (perlindungan ). Ianya juga dilakukan dengan Mut’im bin Adi iaitu seorang bukan Islam, ketika Rasulullah SAW masuk ke Makkah daripada Thaif.  Ciri persamaan adalah kebencian terhadap kezaliman. Rasulullah SAW juga menggunakan khidmat Abdullah bin Uraiqit, juga seorang bukan Islam bagi memandu unta ketika berhijrah dengan penuh kerahsiaan  dan memerintah menantunya Saidina Ali KWJH supaya memulangkan simpanan amanah kalangan penduduk Makkah daripada kalangan bukan Islam yang mempercayainya.

Ketika di Madinah pula Rasulullah SAW mengadakan Tahaluf (persefahaman politik) dengan pihak kalangan bukan Islam dan melakukan muamalah berhutang dan bergadai dengan mereka, seterusnya menerima beberapa kabilah musyrikin bernaung di bawahnya dalam perjanjian Hudaibiyyah. Dalam kedua-kedua keadaan tersebut Rasulullah SAW teguh dengan dasar dan menunjukkan akhlak mulia Islam terhadap bukan Islam yang ada persamaan dari segi kemanusiaan. Dasar dan konsep ini dilaksanakan oleh sepanjang generasi di zaman keemasan dan kejayaan, ditinggalkan di zaman kelemahan dan kejatuhan sehinggalah Negara umat Islam dijajah.

Pendekatan  PAS yang berdasarkan Islam, dalam hubungan dengan bukan Islam sangat berbeza dengan UMNO yang berfahaman kebangsaan mengatasi Islam secara sekularisme. Di bawah pemerintahan BN, Islam tidak berkuasa mentadbir tetapi berada di bawah tadbir, dalam keadaan menerima hakikat yang sama wujudnya masyarakat majmuk di Malaysia yang tidak ditangani secara Islam yang sebenarnya.

Lihat sahajalah contoh kejadian terkini yang berlaku terhadap Encik Frusis Lebi, seorang OKU yang juga merupakan seorang pekebun dan petani dari Kampung Entulang Entawa dari Bahagian Sri Aman  yang dinafikan bantuan Kerajaan di atas alasan menyokong pembangkang di Sarawak (rujuk Surat Menteri Muda Pertanian Sarawak, KPP/MM/31 bertarikh 8 Disember 2011 yang disiarkan melalui portal berita Malaysiakini). Inilah antara siri ketidakadilan layanan kerajaan yang diamanahkan oleh rakyat, sedangkan mereka juga adalah rakyat yang turut sama menyumbang kepada pendapatan Negara. Inikah rupa bentuk kerajaan bertanggungjawab yang mahu ditegakkan ?

PAS berpegang dengan konsep yang ditunjuk oleh al Quran, bahawa bumi adalah kepunyaan Allah, bukan kepunyaan mana-mana bangsa.   Seluruh manusia adalah pemegang amanah di mana bumi mereka berpijak, adalah wajib  melaksanakan keadilan Ilahi tanpa mengira bangsa. Apatah lagi, bagi umat Islam tuntukan melaksanakan keadilan adalah tersangat penting untuk dilaksankan kepada semua.

Maka PAS berbeza pendekatan dengan UMNO bagi mengolah politik masyarakat majmuk yang diwujudkan oleh penjajah. Kita mestilah memahami bahawa penjajah telah melonggokkan berbagai kaum untuk diperhamba bagi kepentingan mereka dan di adu domba untuk menjadi lemah supaya terus bernaung di bawah mereka selama-lamanya.

Pendekatan PAS ialah pemimpin Islam teguh berpegang dengan prinsip dan akhlak contoh dan menegakkan keadilan untuk semua tanpa memaksa dalam perkara yang berbeza, serta memanfaatkan kebolehan berbagai kaum secara bersama dan saksama bagi membina negara. Bangsa Melayu ada keistimewaannya dari segi kebolehan, begitu juga bangsa Cina, India dan lain-lain. Kalau diselaras secara saksama nescaya dapat dimanafaatkan untuk membina negara dengan baik.

PAS tidak berganjak dalam perkara halal dan haram, serta perkara wajib, dalam semua urusan peribadi dan cara hidup tanpa memaksa penganut agama lain. PAS mewajibkan sifat Islam itu bermula dengan peribadi pemimpin. Dalam hal ini sesiapa sahaja ahli PAS yang mengerjakan perkara haram dipecat daripada parti. PAS pernah memecat ahli Parlimen yang menari dan sebagainya. Ada pun pihak lain terpulang kepada anutan yang tidak boleh diganggu gugat dengan kawalan yang tidak merosakkan hubungan masyarakat majmuk . Apabila memerintah kerajaan negeri dan PAS memimpinnya, maka pendekatan Islam mengikut bidang kuasa negeri dilaksanakan dengan batas hukum Syarak. Penganut agama lain wajib diberi hak yang adil tanpa fanatik perkauman.

UMNO pula tidak konsisten dan iltizam apabila menunjukkan Islam secara terpilih dan tidak ada peraturan boleh memecat ahli UMNO yang mengerjakan maksiat, kerana sifat kebangsaannya sahaja mengatasi sifat Islamnya. Pelaksanaan Islamnya juga tidak istiqamah, contohnya dalam  kawalan terhadap arak dan judi pula secara berlesen yang tidak ada sempadan kukuh bagi penganut Islam, bukannya  kawalan secara hukum Islam yang sebenar sehingga penganut Islam dalam UMNO tidak mampu menjadi model Islam dan UMNO gagal mendidik melayu Islam menjadi contoh yang baik. PAS pernah bersama kerajaan campuran dengan UMNO diawal tahun tujuh puluhan dan bersama menubuh BN dipertenghannya, dengan syarat PAS tetap dengan dasarnya, kemudiannya berlaku pertembungan kefahaman.

Presiden MCA secara terbuka dalam debatnya menyatakan kejayaannya menundukkan UMNO dalam isu pelaksanaan hukum hudud, sebaliknya Sdr. Lim Guan Eng menegaskan itu adalah hak PAS yang berbeza dengan DAP.

UMNO tidak konsisten dalam mempertahankan kawasan melayu dan Islam apabila sanggup menyerahkan kawasan majoriti melayu Islam kepada MCA, Gerakan dan MIC bagi menyelamatkan rakannya  yang kalah di kawasan majoriti bukan Islam.

PAS telah berjaya mengubah sentimen perkauman apabila berjaya memenangi hati penganut bukan Islam ketika menentang calon bukan Islam daripada BN. Contohnya YB Dr Mariah Mahmud mengalahkan calon MIC dengan mendapat sokongan dan kegembiraan kaum India bukan Islam dan kesedihan penyokong UMNO melayu yang dikatakan kuat semangat kebangsaannya tetapi bermatian mempertahankan MIC. Begitulah juga juga kemenangan Datuk Kamarul Bahrain di Teluk Kemang. DAP pula tetap bertahan di kawasan majoriti kaum bukan Islam tanpa berpindah.

PAS juga berjaya menunjukkan kerajaan bersih secara bersendirian dan bersama Pakatan Rakyat walau pun berdepan dengan layanan tidak menghormati sistem federalisme dan akhlak amalan Demokrasi.

Dua pendekatan yang berbeza cara dalam menangani masyarakat majmuk telah diberi selama lebih 50 tahun kepada UMNO memimpin negara dengan gagasan Barisan Nasional yang banyak kelemahan dan penyelewengan, serta mencetuskan masalah rakyat berbagai kaum yang masih belum selesai dalam tempoh yang bagitu panjang, dan penganut Islam menjadi larut pegangan agamanya.

Sudah tiba masanya khususnya melayu Islam memberi kepercayaan kepada PAS menggantikan UMNO dengan konsep Islam menyelesaikan masalah masyarakat majmuk, menerusi gagasan Pakatan Rakyat.


Hj Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

March 05, 2012

Program Terkini


PM Tidak Perlu Tunggu BN-Umno Dapat 2/3 Majoriti


Dalam kenyataan semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan bahawa Sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Anti Rasuah, seperti yang dicadangkan oleh lembaga penasihat SPRM, akan ditubuhkan untuk membolehkan badan pemantau anti-rasuah itu mempunyai kawalan penuh ke atas pegawai-pegawainya, termasuk kuasa untuk melantik dan memecat mereka.

Namun begitu, beliau menyatakan bahawa isu ini perlu pindaan perlembagaan.

Sepatutnya, bukan sahaja kuasa pemantauan diberikan kepada kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bahkan kuasa pendakwaan juga sepatutnya diberikan kepada SPRM, dan bukan lagi tertakluk kepada budi bicara Peguam Negara sebagaimana kini.

Apa yang penting bagi SPRM bukan semata-mata siasatan, tetapi turut mempunyai kuasa pendakwaan. Rakyat masih bertanya kemana pendakwaan kes berprofile tinggi yang pernah dinyatakan oleh Datuk Seri Rais Yatim, demikian juga isu besar NFC dan sebagainya.

Sehubungan itu, PAS melalui Jawatankuasa Khas Parlimen akan meneliti dan mengemukakan usul penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Anti-Rasuah yang dicadangkan PM dengan beberapa perkara yang disebut di atas.

PAS akan mengemukakan usul tersebut di dalam sidang parlimen akan datang.

PM tidak perlu menunggu untuk mendapatkan 2/3 majoriti dalam pilihanraya akan datang, kerana rakyat akan menilai sejauhmana kerajaan mendokong usaha membanteras rasuah dengan menilai sokongan BN terhadap usul yang akan dibawa PAS.

Rakyat sudah tentu masih ingat wayang ‘anti-rasuah’ yang dimainkan ketika zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi yang melibatkan Tan Sri Kasitah Gaddam dan Tan Sri Eric Chia.

Jika PM ikhlas dalam membanteras rasuah, beliau tidak perlu mengambil usul ini sebagai satu lagi janji berbentuk ‘you help me, I help you’ untuk mendapatkan undi rakyat, kerana pihak PAS dan Pakatan Rakyat sudah tentunya akan menyokong usul tersebut asalkan ia memberi manfaat kepada negara dan rakyat.

PAS Yakin Isu Kedah Selesai Dengan Aman

PAS yakin isu Kedah dapat diatasi secara harmoni melalui ukuhwah Islamiah dan musyawarah.

Melalui beberapa pertemuan dan perbincangan pimpinan, PAS mendapati isu yang dibangkitkan oleh beberapa pihak yang terlibat lebih menjurus kepada maklumat yang kurang jelas dan ada  jalan penyelesaian kepada kemelut yang berlaku.

Sehubungan itu, ahli dan pimpinan di semua peringkat diseru mendapatkan maklumat dari saluran rasmi parti bagi mengetahui perkembangan yang berlaku.

Pelbagai usaha sedang giat dijalankan bagi mencari jalan penyelesaian yang menguntungkan parti secara keseluruhannya.



PAS yakin perkara ini dapat ditangani dengan baik, demi kepentingan parti, dan tambahan pula di saat seluruh jentera parti bertungkus lumus membuat persiapan bagi menghadapi pilihanraya umum ke 13.

Sehubungan itu, semua pihak mestilah bertindak dengan tepat, jangan kerana nila setitik rosak susu sebelangga. Ketepikan emosi, dan fikirlah dari sudut parti dan bukan sudut peribadi.

Dalam cabaran media baru tanpa kawalan ini, penyebaran maklumat yang tidak sahih serta andaian peribadi tanpa asas jamaah yang kukuh, tidak membantu mengeratkan hubungan dan memperkasakan parti. 
 
Perbezaan pandangan tidak seharusnya merosakkan asas ikatan jamaah. Sebarang tindakan mestilah berada dalam ruang lingkup pemikiran jamaah.