Salurkan Sumbangan Dana Pilihanraya Anda ke Parti Islam Se-Malaysia Kawasan Kota Tinggi

Salurkan Sumbangan Dana Pilihanraya Anda ke Parti Islam Se-Malaysia  Kawasan  Kota Tinggi
No Akaun : 01-069-01-003759-0

Pilihan Anda di PRU 13?

Ruang Aduan

E-mail Address: *
Nama Pengadu *
Nombor Telefon *
E-mail Address
Alamat Pengadu *
Aduan *
Adakah anda bersetuju untuk mendedahkan identiti anda sekiranya diperlukan? *YA
TIDAK

* RequiredBuild Contact Forms

December 29, 2010

Perlantikan Isa Samad, NKRA Najib Memerangi Rasuah


Parti Islam Se-Malaysia PAS menyifatkan perlantikan Tan Sri Isa Samad sebagai pengerusi Felda, berkuat kuasa 1 Januari 2011, sebagai satu lagi pencapaian Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diwar-warkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilancarkan pada 20 Januari 2010. Antara NKRA telah diputuskan oleh Kabinet ialah membanteras rasuah melalui Bahagian Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.


PAS berasa hairan Perdana Menteri yang terkenal dengan berbagai-bagai slogan retorik, untuk membuat pembaharuan (transformasi), tiba-tiba boleh melantik Tan Sri Isa Samad yang pernah disabitkan dengan rasuah pada 24 Jun 2005 oleh Panel Lembaga Disiplin UMNO yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail. Beliau telah dijatuhkan hukuman penggantungan keahlian selama 6 tahun. Mohd Isa telah disabitkan bersalah atas 5 pertuduhan daripada 9 pertuduhan. Antara pertuduhan yang dikemukakan adalah berhubung amalan rasuah termasuk membabitkan penganjuran pertemuan, mengadakan majlis makan dan memberi wang untuk membeli undi. Perbuatan rasuah ini telah dilakukan oleh Mohd. Isa melalui agennya merangkap Setiausaha Politik beliau, Salim Shariff ketika bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan September tahun 2004.

Pemilihan ini menggambarkan Datuk Seri Najib seolah-olah tidak nampak di kalangan ahli umno seramai 3.5 juta orang, melainkan beliau hanya nampak insan yang bernama Tan Sri Isa Samad sahaja. Apa rahsianya beliau dipilih hanya Allah dan Datuk Seri Najib sahaja yang tahu.

Perlantikan ini menggambarkan inilah watak sebenar Datuk Najib dalam hal memerangi rasuah. Memang kita jarang kedengaran Presiden Umno sekarang ini bercakap tentang memerangi rasuah secara agresif, berbanding dengan zaman Tun Abdullah, walaupun nampak lembut, sekurang-kurangnya zaman Tun Abdullah ada juga daya usaha menubuh Institut Integriti Malaysia, Badan Pencegah Rasuah (BPR) ditukar kepada SPRM Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Patutlah usaha untuk memerangi rasuah tidak berjaya, malahan semakin parah. Malaysia masih kekal di tangga ke-56 pada Indeks Persepsi Rasuah yang dijalankan oleh Transparency International (TI) tetapi mata yang dikutipnya terus merosot daripada 4.5 kepada 4.4.

Markah itu membuktikan bahawa negara telah gagal mencapai sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang meletakkan sasaran mereka daripada 4.5 kepada 4.9 daripada markah maksimum -10 mata.

RM500 Untuk Guru-Guru, Muhyiddin Jangan Melatah

Parti Islam Se-Malaysia mengharapkan Timbalan Perdana Menteri jangan melatah tidak tentu fasal berkenaan dengan janji RM500 sebulan kepada guru-guru jika Pakatan Rakyat memerintah di peringkat pusat. PAS berasa pelik seorang Timbalan Perdana Menteri mencabar Datuk Seri Anuar Ibrahim menaikkan gaji guru-guru di negeri Pakatan Rakyat.

Iltizam Pakatan Rakyat kepada guru-guru jika Pakatan Rakyat memerintah di peringkat pusat, bukannya sekarang. PAS mengharapkan Tan Seri Muhyiddin tolong perhatikan ayat-ayat yang terkandung dalam buku jingga yang telah diedar di Konvensyen Pakatan Rakyat 19/12/2010. Jangan terlalu gelabah sehingga terlalu emosi dalam membuat kenyataan. Selaku Timbalan Perdana Menteri beliau tentu lebih arif dalam hal kewangan negara dan bidang kuasa kuasa pendapatan negeri yang terlalu kecil, jangan beliau bercakap macam ketua cawangan Umno sahaja.


Kenapa perlu takut dengan janji Pakatan Rakyat? Janganlah buat tuduhan yang tidak menentu. Pakatan Rakyat hanya berjanji untuk menaikkan taraf hidup rakyat dan meletakkan rakyat di tempat yang sepatutnya setelah 53 tahun rakyat dipinggirkan. Sekarang ini pun dengan kekangan kewangan negeri, Pakatan Rakyat telah membuat yang terbaik untuk rakyat, seperti skim kifalah, air percuma, bantuan pendidikan. Pakatan berjanji pada guru-guru untuk peringkat awal, insyaAllah selepas ini semua kakitangan awam akan diambil perhatian juga. Pakatan Rakyat mengambil tindakan awal untuk guru-guru sebagai satu penghargaan dan pengorbanan mereka mendidik rakyat di negara ini.


PAS menasihatkan Tan Sri Muhyiddin dapat turun ke bawah, memerhatikan bagaimana beban guru-guru yang berat , jangan hanya mendesak guru-guru melakukan macam-macam tugas. Guru bukan sahaja mengajar, malahan mereka juga sebagai kerani, bendahari, ambulan untuk hantar murid- sakit dan sebagainya. Sebab itulah Pakatan Rakyat beriltizam untuk membela guru-guru dahulu.

December 23, 2010

Beri Pakatan Rakyat Perintah, Baru Buat Tuduhan


PAS menasihatkan pemimpin Umno BN supaya bertenang dan rasional sebelum membuat tuduhan mengatakan janji 100 hari adalah pembohong besar. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Program 100 Hari yang dikemukakan Pakatan Rakyat jika berjaya mengambil alih pemerintahan negara sebagai satu pembohongan besar yang bertujuan menipu rakyat.

Pakatan Rakyat belum lagi memerintah negara ini, sedangkan BN sudah 53 tahun memerintah Malaysia. Beri kami perintah dulu, kemudian baru nilai prestasi dan banding dengan pemerintahan BN. Macam mana seorang Timbalan Perdana Menteri bercakap dengan penuh emosi seolah-olah takut dengan bayang-bayang kekalahan yang akan dihakim oleh rakyat dalam PRU akan datang. Sebenarnya yang banyak berbohong ialah pemimpin Umno yang memberi rakyat dengan berbagai slogan pelali, berbagai-bagai jenama untuk melekakan rakyat. Antaranya rakyat didahulukan apa yang berlaku ialah rakyat yang kena dulu, tradisi membela rakyat apa yang berlaku ialah tradisi menindas rakyat, pencapaian yang diutamakan apa yang berlaku ialah pemimpin diutamakan. Bergegar dengan slogan transformasi apa yang berlaku ialah negara dilanda inflasi sehingga rendahnya kuasa membeli.

Tan Sri Muhyidin juga mengatakan janji 100 hari menyebabkan negara akan bankrap. PAS hendak mengingatkan kepada Tan Sri Muhyidin Yasin anak Pak Kiai Muar jangan membayangkan cara pemerintahan PR sama seperti cara BN menguruskan negara ini. Telahan bankrap datang daripada Datuk Seri Idris Jala Menteri Jabatan Perdana Menteri, yang mengatakan negara akan bankrap pada 2019, yakni bankrap dulu, baru negara maju pada tahun 2020.

December 22, 2010

Janji 100 Hari, BN Resah


Pemimpin Umno BN gelisah mengenai janji 100 hari PR yang diisytihar di Konvensyen Pakatan Rakyat ke 2 pada 19/12/2010. Ini jelas kelihatan daripada kenyataan pemimpin BN termasuk daripada NGO Umno menuduh ini janji yang tidak realistik. Mereka mengeluarkan kenyataan bahawa program ini membazir dan memberi kesan buruk kepada struktur ekonomi negara.

PAS berasa pelik dengan sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin Umno BN yang menuduh ini suatu usaha yang membazir. Semua program yang menguntungkan rakyat dianggap membazir, seperti kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor yang memberikan air 20 meter padu kepada rakyat di negeri tersebut.

Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak hendak membina Menara Warisan 100 tingkat tidak dianggap membazir. Untuk kroni dan anak beranak tidak membazir. Sebenarnya pemimpin BN resah dengan janji 100 hari yang akan dijanjikan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat jika diberikan mandat untuk mentadbir negara ini. Rakyat yang berada di bawah pemerintah BN mula membuat perbandingan dengan negeri Pakatan, mereka melihat rakan mereka di negeri Pakatan hidup selesa kerana pemimpinnya siang malam memikir bagaimana untuk memberi kepada rakyatnya, manakala pemimpin BN memikir apa yang boleh diambil daripada rakyat.


Kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, berkata janji pembangkang itu tidak lebih daripada ‘wayang politik’ bagi menutup kegagalan mereka.

PAS hendak mencabar pemimpin BN, siapa yang temberang rakyat? Bukankah pemimpin BN memberitahu rakyat pada 3 Nov 2010 minyak tidak akan naik hingga hujung tahun. Tiba-tiba 4 Disember 2010 minyak RON 95 naik 5 sen.

Sekurang-kurangnya dengan kekangan kewangan yang dialami oleh kerajaan Pakatan Rakyat, tetap dapat melaksanakan iltizam untuk rakyat seperti yang dijanjikan dalam menifesto. Dalam usia yang muda sudah banyak habuan rakyat dapat, walaupun dalam nilai yang kecil. Jelaslah bahawa Pakatan Rakyat teruji dan terbukti.

Umno Biadab Dengan Raja-Raja Melayu


Sah, pemimpin Umno layak untuk menerima anugerah terbaik dalam festival filem drama politik Malaysia. Contohnya Umno yang sesak nafas dan tidak cukup oksigen untuk bernafas, maka cuba memanjangkan talian sampai ke pagar istana. Mereka cuba memainkan sentimen bahawa sekarang ada pihak yang hendak menggugat Raja-Raja Melayu. Tindakan Umno sama seperti pepatah Arab yang mengatakan “dia pukul aku, dia menangis, dia maki aku maka dia mengadu orang yang maki dia”. Sebenarnya pemimpin Umno silap, bahawa sejarah tidak boleh menipu, walaupun pemimpin Umno kaki penipu dan putar alam dalam isu Raja-Raja Melayu. Di bawah ini sebagai bukti yang menghina Raja-Raja Melayu ialah pemimpin Umno.

1. Pengasas Umno Dato’ Onn Jaafar dibuang daripada istana Johor pada tahun 1920 dan membawa diri ke Singapura kerana kritik Sultan atas isu harta.

2. Tahun 1974 Tan Sri Ghazali Jawi (bapa Dato’ Seri Tajul Rosli) yang tidak mahu meletak jawatan Menteri besar Perak, walaupun perjanjian asal dia hanya hendak pegang dua tahun sahaja. Apabila sampai masanya dia tidak mahu lepas jawatan. Sultan Idris murka dan bernazar tidak mahu cukur jambang, selagi Ghazali Jawi tidak mahu letak jawatan. Bukankah ini derhaka namanya. Tiba-tiba Datuk Seri Tajul Rosli kata Umno tidak pernah derhaka tidak pernah ucap macam Nizar.( UM 12/2/09). Tindakan bapanya kepada Sultan Perak apa pula maknanya.

3.Begitu juga pada tahun 1979 kes Dato’ Rahim Bakar bekas Menteri besar Pahang yang berselisih dengan Sultan pahang. Media pro Umno mengkritik sultan secara terbuka.

4.1983 Umno hendak meminda supaya kuasa YDP Agong mengenai pengistiharan darurat dikurangkan maka Umno membelasah Raja-Raja Melayu kerana menolak cadangan tersebut.

5.Pada tahun 1991 dalam Persidangan Agung Umno, Sultan Kelantan dihentam secara terbuka kerana menyebabkan Umno kalah di Kelantan.

6. Dalam Persidangan Agung Umno juga, perwakilan Umno meminta harta raja disiasat. Berita ini dilaporkan oleh Utusan Malaysia muka surat depan. Apakah ini bukan derhaka?

7.Satu demontrasi dan hantar memorandum kepada Sultan Kelantan telah dibuat oleh pemimpin Umno Kelantan. Kenapa FRU tidak tembak gas? Apakah ini bukan derhaka namanya.?

8.Pada 18hb Jan 1993 Pindaan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan raja di bawa ke mahkamah.Apabila Raja-Raja Melayu minta tangguh pindaan ini, maka media mengkritik secara terbuka salah laku raja. (BH 19/1/1993)

9.Beberapa siri rapat umum haram Umno di Alor Setar, Bagan Datoh, Seremban, Batu Pahat dan Melaka untuk menunjuk sokongan pada Tun Mahathir dan mengecam raja-raja Melayu.

10.Sebab itu Ku Li dengan sinis menyatakan “Mana satukah yang lebih merbahaya Pindaaan 1993 atau tindakan rakyat tidak menunjukkan hormat pada sultan Perak pada 6/2/09. Ku Li tidak bersetuju dengan tindakan Karpal saman Sultan Perak, tetapi beliau menyatakan Karpal membuat suatu perkara yang dibenarkan oleh perlembagaan yang pemimpin Umno yang beri laluan pada tahun 1993. (Star On Line 17/2/09). Tiba-tiba sekarang Umno pula menjerit marah kepada Karpal. Sepatutnya orang Umno kena buat demo depan pejabat Umno. Saya yakin hak yang pergi demo itu memang zero IQ, yang tidak sedar bahawa pemimpin merekalah yang menjatuhkan martabat raja sehingga boleh dibawa ke mahkamah.

11.Peristiwa pertabalan Tengku Ibrahim Inderaputera untuk mengganti Sutan Ismail Putera 29hb April 1993 di Ketereh Kelantan oleh Dato’ Anwar Musa . Ini lagi memalukan, apakah ini bukan derhaka atau kurang ajar namanya? Budaya mana pemimpin umno ambil

12.Kenyataan biadab Shahidan Kasim bekas MB Perlis mengatakan “ Sultan Kelantan sekarang tidak layak menduduki tahta dia ada bukti” (BH 11hb Jun 1993.)

13.Dato’ Mohd Taib kata Nizar derhaka, Dia lupakah yang dia bawa lari Ku Yah (puteri Sultan Selangor kahwin lari sampai Sultan murka). Apakah ini bukan derhaka?.

14. 23 daripada 24 ADUN Terengganu ugut boikot angkat sumpah Dato’ Mohd Said selepas pilihanraya 2008. Mereka buat kenyataan terbuka menyanggah pihak istana dan mahu Idris Jusuh juga jadi MB Terengganu. Manakala penyokong Umno pula mengatakan sultan binatang. Kenapa polis tidak tangkap mereka yang demo dan hina sultan. Apakah pihak polis buta sampai tidak tahu siapa yang pegang kain rentang yang menghina sultan sebagai binatang. Kenapa polis boleh tangkap mereka yang demo di depan istana Kuala Kangsar 6hb Feb 2009.

15. Shahidan Kasim boikot perlantikan Dr Isa Sabu sebagai MB Perlis , bukankah ini derhaka namanya.

16. Tan Sri Rahim Tamby Chik sewaktu menjadi Ketua Menteri Melaka meminta supaya amalan panggilan ‘patik’ yang digunakan sewaktu berkomunikasi dengan sultan dihentikan , memadai dengan hanya menyatakan ‘saya tuanku’. BH 3/2/1993. Ini ungkapan yang biadab dan derhaka kepada Raja Melayu.

17. Dato’ Zahid Hamidi ketika menjadi ketua pemuda Umno mencabar supaya sultan Kelantan Ismail Petra turun takhta kerana beliau bukan waris yang sah (BH 11/2/1993). Ini sikap biadab yang ditunjukkan oleh Zahid Hamidi terhadap sultan yang cuba campurtangan soal pelantikan raja-raja melayu.

Banyak kenyataan yang berupa penghinaan kepada Raja-Raja Melayu ketika pemimpin Umno bergaduh dnegan Raja-Raja melayu. Dr Mahathir mengatakan Raja tidak henti meminta daripada kerajaan BH 30/1/1993

Berita harian 23/1/1993 mengaibkan mendedahkan pesta arak di majllis sultan dan membawa perempuan cantik kadang-kadang lapan orang.

Sekarang jelas siapa derhaka dan tidak hormat Raja. Siapakah penderhaka sebenarnya di negara ini. Jawabnya tentulah pemimpin Umno . Pemimpin Umno hanya menggunakan istana untuk talian hayat mereka sahaja. Mereka bukan jujur, merekalah yang menjatuhkan martabat raja-raja Melayu.


INTIPATI UCAPAN PRESIDEN PAS SEMPENA KONVENSYEN PAKATAN RAKYAT KE-2


Mukaddimah

1. Yang Dihormati Saudara Pengerusi, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), YAB Saudara Lim Guan Eng - Setiausaha Agung DAP – Ketua Menteri Pulau Pinang, Yang Dihormati Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail – Presiden PKR, Seluruh Anggota Kepimpinan PAS – PKR – DAP, YAB Menteri Besar Kelantan – Kedah – Selangor, NGO, para tetamu dalam dan luar negara, Wakil-wakil Kedutaan Asing, Ahli-ahli Yang Berhormat serta seluruh perwakilan dan pemerhati sekalian.


2. Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kita sekali lagi berada dalam kesempatan yang sangat bermakna di penghujung tahun 2010, setelah setahun lalu kita sama-sama melakarkan sejarah dengan mengadakan Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama di Shah Alam pada bulan Disember 2009.

3. Tentunya Konvensyen Pakatan Rakyat kali kedua ini pula akan menjadi medan kita bermuhasabah, menilai keperluan, menanda aras pencapaian dan menambahbaik tindakan, setelah kita diberikan amanah menguruskan kerajaan di empat buah negeri dan seterusnya memimpin rakyat untuk membuat perubahan di negeri-negeri yang lain, insyaAllah.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,


Ketetapan Konvensyen Pertama


4. Setahun yang lalu, kita telah sama-sama menerokai dasar bersama yang dipersetujui, dengan rangka matlamat melaksanakan muafakat yang sangat bermakna dalam negara kita ini bagi membebaskan negara dari kemelut yang sangat menekan rakyat dan penuh dengan penyakit di segenap sudut, seterusnya membentuk gagasan alternatif terbaik untuk negara.

5. Maka kita telah mencorakkan dasar bersama yang penting di bawah Muafakat Rakyat iaitu untuk (1) Mengembalikan demokrasi telus dan tulen, (2) Memacu Ekonomi Berprestasi Tinggi, Mapan dan Adil, (3) Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan dan (4) Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara.

6. Semua dasar bersama ini akan terus dilaksanakan selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, yang merupakan suatu penzahiran cita-cita dan harapan rakyat Malaysia yang merdeka. Di dalamnya hak asasi setiap rakyat termasuk hak agama, bahasa, kerakyatan dan budaya dijamin sepenuhnya.

7. Dalam hal ini, PAS akan terus menjadi penjaga amanah bagi memperkasakan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, di mana perubahan kita adalah dalam ruang lingkup undang-undang negara dengan mengambilkira Islam sebagai agama rasmi negara, dengan meletakkan Islam berdasarkan kepada maknanya yang sebenar. Dalam masa yang sama agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana sahaja di negara kita ini.

8. PAS percaya bahawa kekeliruan terhadap Islam yang adil yang ingin dibawa oleh PAS berlaku kerana contoh dan tafsiran salah terhadap Islam yang ditunjukkan oleh UMNO selama ini, sehingga melahirkan pemimpin yang tidak amanah, dan berkuasa melalui rasuah serta penipuan.

9. PAS percaya bahawa keadilan sejagat Islam yang sememangnya bersesuaian dengan fitrah manusia boleh menjadi tiang seri yang mampu untuk menyatukan hati manusia. Kita mesti menyedari bahawa di sana ada perkara yang sama dan berbeza dalam kalangan manusia yang perlu diraikan. Islam mengiktiraf kewujudan pelbagai kaum, dan perpaduan itu mestilah berteraskan rasa saling hormat menghormati dan kenal mengenal di atas sifat kemanusiaan serta dilayan dengan adil, walaupun berbeza agama dan kaum.


Firman Allah SWT :

Maksudnya :
Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. [49:13]

10. Kita juga telah bersetuju untuk terus melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153, mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan, memartabatkan pengunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, dan dalam masa yang sama melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.

11. Seluruh ketetapan yang sama-sama kita lakarkan dalam konvensyen yang lalu, sebenarnya telah menjawab segala tohmahan jahat dari pihak musuh politik kita bahawa kononnya Pakatan Rakyat adalah golongan yang tidak memahami perlembagaan dan akan menjual rakyat dengan harga yang murah.

12. Hakikatnya, merekalah yang sebenarnya tidak menghormati tonggak demokrasi berparlimen, apabila dengan penuh keangkuhan telah menggunakan kuasa bagi menyingkirkan Ahli Parlimen kita dari Parlimen Malaysia. Apa yang berlaku hingga kini ialah, mereka takut untuk berhujah dan gagal memberikan apa-apa jawapan yang meyakinkan mengenai isu yang diperkatakan. Merekalah sebenarnya yang telah memberikan nama buruk negara ke persada dunia.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,


Persidangan Shah Alam 2010

13. Selain dari itu, kita juga menjadikan persidangan yang dihadiri oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Agensi Kerajaan Negeri, semuanya dari Negeri Pakatan Rakyat pada 29 November lalu sebagai komitmen kita untuk menambahbaik aspek ekonomi, sosial, politik dan pentadbiran kerajaan yang kita pimpin.

14. Saya amat berharap agar segala buah fikiran dan perancangan yang begitu baik itu tidak menjadi bahan yang tinggal di atas kertas sahaja, tetapi di berikan kefahaman kepada pegawai pentadbiran kerajaan agar mereka memahami aspirasi kita dan seterusnya melaksanakannya.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,
Masa Bergerak Ke Depan

15. Hari ini juga kita berhimpun, dengan penegasan yang lebih bermakna, bahawa kita ingin terus melakukan perubahan, di atas prinsip Tahalluf Siyasi, yang menggariskan prinsip kebersamaan kita dengan menekankan persamaan untuk memerangi kezaliman, ketidakadilan serta rasuah tanpa menafikan asas pembentukan negara Malaysia dan struktur masyarakatnya.

16. Pada hari ini juga kita menghasilkan satu dokumen kerja dan sasaran yang ingin kita capai dalam berbagai sudut. Cabaran terbesar kita nanti ialah bagaimana kita menterjemahkan perancangan ini ke dalam bentuk tindakan yang bukan sahaja difahami oleh pelaksana yang terdiri dari pegawai-pegawai kerajaan di bawah negeri Pakatan Rakyat, tetapi juga difahami oleh rakyat yang berada di bawah kerajaan Pakatan Rakyat khususnya, dan rakyat dalam negara kita ini umumnya. Rakyat lah nanti yang akan menjadi hakim di atas kesungguhan dan komitmen kita untuk melaksanakan perubahan. Jangan kita sekali-kali membiarkan rakyat menghukum kita dalam pilihanraya umum yang akan datang nanti.

17. Kita juga sedar dan insaf, bahawa perubahan menyeluruh yang diimpikan oleh gagasan Pakatan Rakyat tidaklah mudah dicapai, kerana kita berdepan dengan konsep federalisme sonsang yang dipegang oleh Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional, yang tidak lagi menghormati pilihan yang dibuat oleh rakyat dalam negeri yang telah memilih Pakatan Rakyat.

18. Selain dari itu, kita juga berdepan dengan kekangan pentadbiran yang sudah membarah selama puluhan tahun di bawah Kerajaan BN. Dalam masa yang sama, kita juga dibelenggu dengan kelemahan diri sendiri apabila ada di antara kita yang mula hilang tumpuan, setelah kita mula diserang dari segenap penjuru oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional ini. Kadangkala kita berhadapan dengan perbezaan pandangan dan pendekatan untuk menyelesaikan masalah, dan di sinilah cabaran terbesar kita yang perlu dirungkaikan supaya kita menjadi gagasan terbaik untuk negara ini.

19. Saya menyeru kepada semua para hadirin yang menjadi petugas kepada perubahan dalam negara kita ini, supaya kita tidak sekali-kali tersasar dari tujuan kita untuk melakukan perubahan menyeluruh yang bermakna kepada generasi yang akan datang.

20. Dengan perasaan penuh keikhlasan kita menyedari akan kelemahan-kelemahan ini, tetapi kita bukanlah seperti komponen musuh yang saling bercakaran sesama sendiri, lalu bertindak menyembunyikan masalah mereka sehingga ianya menjadi seperti ‘api dalam sekam’ yang menunggu masa untuk menjahanamkan negara kita yang tercinta ini. Inilah beza nya pakatan kita dengan mereka, di mana kita berani untuk berdepan, berbincang, berbahas, semuanya dalam semangat yang tulin bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dalam gagasan kita ini. Inilah yang ingin kita sampaikan kepada rakyat.

21. Perlu kita ingat, bahawa Pakatan kita ini bukan sahaja bergerak untuk menafikan kekebalan pemerintahan Barisan Nasional semata-mata, tetapi adalah untuk melaksanakan perubahan yang adil di mana keharmonian dan keupayaan masyarakat memahaminya di jadikan teras dalam perubahan dalam negara kita ini.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,


Perlu muhasabah

22. Marilah sama-sama kita bermuhasabah akan pencapaian kita, setelah diberi tanggungjawab melaksanakan amanah pemerintahan di negeri-negeri Pakatan Rakyat, menilai dengan penuh kejujuran akan kelemahan dasar dan pelaksanaan, kita mencelikkan mata-telinga kita seluas-luasnya dan berlapang dada dengan kritikan rakyat, seterusnya melakukan rombakan pentadbiran dan perubahan menyeluruh apabila difikirkan perlu. Berdasarkan maklumat kelemahan kita ini, maka kita perlu bangkit kembali dengan terus melaksanakan penambahbaikan dalam pemerintahan kita dan memperkemaskan jentera parti di negeri-negeri yang belum bersama kita.

Asas perubahan

23. PAS ingin menyatakan bahawa dasar yang ingin kita laksanakan dalam negeri di bawah Pakatan Rakyat perlulah bertitik tolak dari pemahaman bahawa (1) kita membaiki kerosakan yang ada dalam negara kita, (2) kita ingin meletakkan negara dan negeri di atas dasar yang sepatutnya, (3) semuanya dilaksanakan dengan semangat dalam perkara yang menjadi Dasar Bersama kita.

24. Tetapi kita tiada masa yang panjang untuk melakukan semua ini kerana musuh akan sentiasa mencari jalan untuk meruntuhkan negeri di bawah Pakatan Rakyat yang telah kita sama-sama bina. Negeri yang sama-sama kita bina ini pula tidak akan memberikan sebarang makna dalam politik baru negara kita, sekiranya kita gagal menunjukkan kaedah pemerintahan yang jauh lebih baik dari negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional.

25. Pemerintahan yang lebih baik yang ingin kita capai ialah bukan hanya berkaitan dengan pencapaian ekonomi semata-mata, dan juga bukan hanya mengenai dasar perindustrian serta pelaburan sahaja, kerana kita juga tidak mahu melahirkan masyarakat yang hanya melihat pembangunan material yang berselerakan di kiri kanan persekitaran mereka dan dalam masa yang sama jiwa mereka kosong sehingga melahirkan berbagai penyakit kemanusiaan dalam masyarakat kita ini.

26. Apa yang kita mahu, bahawa kita perlulah juga menumpukan kepada kesejahteraan spiritual dan akhlak serta pembangunan rohani, yang dihubungkan dengan pegangan agama yang mampu untuk memandu kehidupan rakyat di bawah jagaan kita. Indeks kesejahteraan yang ingin kita capai juga perlu mengambil kira persekitaran masyarakat beragama berbagai kaum dan fahaman yang wujud dalam negara kita ini, apatah lagi ianya mungkin berbeza dengan pentafsiran kesejahteraan di negara-negara lain. Kita inginkan kerukunan sebuah keluarga, yang mampu untuk berdepan dengan krisis moral dan akhlak yang semakin berleluasa di zaman yang serba moden ini.

27. Dalam melaksanakan dasar dalam negeri yang diperintah Pakatan Rakyat secara bersama, maka penting juga untuk kita berhati-hati dengan cuba lebih memahami betapa pentingnya bagi setiap parti untuk menguruskan sensitiviti masyarakat – tanpa perlu untuk kita menongkah kepercayaan agama dan budaya setiap kaum di negara ini. Jangan pula kita untung secupak tetapi rugi segantang dalam pertimbangan kita.

28. Kegagalan untuk memahami perkara asas ini akan membuka ruang kepada UMNO dan BN untuk menyebarkan dakyah mereka menerusi media massa yang dikawal oleh mereka. Kita akan berada dalam keadaan yang sangat ‘defensive’ untuk melawan kuasa media mereka yang akhirnya membuatkan rakyat terbanyak akan menjadi keliru. Akhirnya kita semua akan rugi.

29. Pendekatan bertahan ini perlulah diubah, dengan kita sendiri menentukan agenda kita bersama rakyat, dan bukan hanya responsif terhadap serangan musuh. Oleh yang demikian, sudah tiba masanya untuk kita memasuki fasa seterusnya dalam gerakerja kita, dengan kita menggunakan media kita sendiri yang boleh sampai kepada rakyat. Gerakerja ini perlulah disusun secara bersama di kalangan negeri Pakatan Rakyat, petugas parti dan semua kalangan pengamal media yang bersama dengan kita.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Persediaan Pilihan Raya

30. Belum pun kita sempat melaksanakan amanah dengan sempurna, angin yang bertiup kencang di waktu ini telah memberi gambaran bahawa saat dan ketika untuk kita berdepan dengan Pilihanraya Umum ke 13 detiknya semakin hampir. Suasana sebegini dizahirkan oleh pimpinan utama BN bahawa mereka merasakan semakin selesa dan kononnya rakyat akan kembali bersama mereka.

31. Kepada mereka, marilah kita pertegaskan pada hari ini bahawa kita bukan sahaja komited untuk mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat di empat buah negeri ini, tetapi kita akan bangkit untuk merubah kedudukan percaturan politik yang menjadi dominasi Barisan Nasional selama ini, insyaAllah.

32. Kita juga mencabar pimpinan Barisan Nasional untuk berani turun ke gelanggang secara amanah dan jujur, tanpa bergantung kepada agensi dan institusi kerajaan, tidak memperkudakan media massa serta menaburkan janji kosong pilihanraya yang saban tahun menjadi rasuah mereka kepada rakyat. Marilah kita turun ke gelanggang secara penuh demokrasi, bukannya berpaut kepada demokrasi yang rosak.

33. Kepada saudara saudari yang hadir dalam konvensyen ini, ingatlah bahawa sekiranya kita ingin mencapai kejayaan yang lebih baik dari pilihan raya umum yang lalu, maka pada ketika dan saat ini kita perlu memperkemaskan jentera pilihan raya, mempersiapkan petugas, merangka strategi berkesan, membaiki kelemahan, dan seterusnya menampilkan calon yang amanah dan jujur kepada rakyat.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

34. Akhirnya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh jawatankuasa konvensyen, pimpinan Pakatan Rakyat, para perwakilan dan pemerhati, dan rakyat yang bersama kita di merata tempat, serta sekalung terimakasih kepada tuan rumah konvensyen yang menjayakan perhimpunan yang bersejarah ini.

35. Mudah-mudahan konvensyen kali kedua ini mampu untuk mencapai objektif yang dicita-citakan.


DATO' SERI TUAN GURU HJ ABD HADI AWANG

PRESIDEN PAS

Rakyat Berubah BN Rebah

Parti Islam Se-Malaysia PAS mengucapkan tahniah kepada pimpinan Pakatan Rakyat, urusetia dan peserta Konvensyen Pakatan Rakyat 2010 yang telah berjaya dengan jayanya. Konvensyen yang telah berjaya mencapai matlamatnya. Harapan pemimpin umno BN dan media BN cuba untuk mengadu domba supaya konvensyen ini gagal seperti Konvensyen BN 5 Dis 2010 yang bergaduh fasal Ketuanan Melayu antara Umno, MCA dan Gerakan. Alhamdulillah perkara ini tidak berlaku.



Pemimpin Umno BN takut perubahan kerana mereka manusia yang tidak mahu berubah. Mereka takut rakyat berubah kerana mereka akan rebah. Mereka tidak mahu kepada urus tadbir dengan baik dan telus kerana takut perut mereka kurus.

Konvensyen Pakatan Rakyat berakhir dengan baik, pandangan yang bernas daripada wakil yang mewakili parti daripada pimpinan tertinggi hinggalah kepada sayap parti.

Cadangan yang dicadangkan di dalam konvensyen begitu praktikal untuk dimanfaatkan oleh rakyat. Selepas ini kita akan dengar jawapan daripada pemimpin BN yang resah dengan cadangan yang dibuat di konvensyen dengan tuduhan ini hanya angan-angan PR.

PAS mencabar pemimpin BN beri peluang kepada PR dahulu. Beri masa 100 hari kepada kami untuk membuktikan janji PR palsu atau angan-angan.

Mereka akan berhujah di mana wang akan diambil untuk diberi kepada rakyat. Inilah otak pemimpin BN yang lemah dan tidak kreatif untuk manfaat rakyat. Mereka begitu kreatif macam mana untuk perut mereka dan keluarga mereka. PAS ingin mengingatkan kepada Umno BN bahawa Pakatan Rakyat mampu untuk mentadbir negara. PAS sudah buktikan di Kelantan selama 20 tahun mentadbir. Negeri Kedah di bawah Umno mengalami masalah kewangan, tetapi mampu ditadbir dengan baik selepas 8 Mac 2008.

Tawaran yang PR berikan kepada rakyat, kami ada asas untuk melakukanya. Apabila rasuah kita buang dalam amalan, ketelusan dalam mengurus, insyaAllah PR mampu menunaikan semua pada rakyat Malaysia.

December 19, 2010

Datuk Seri Najib Mesti Beramal, Bukan Bercakap Sahaja


Parti Islam Se-Malaysia PAS mengharapkan Datuk Seri Najib Tun Razak juga mesti bercakap serupa dengan bikin. Allah SWT murka dengan orang yang bercakap tetapi tidak buat. Sebagaimana firman Allah SWT ‘Wahai orang-orang yang beriman kenapa kamu bercakap perkara yang kamu tidak lakukan”.( Assof 61:2) Ketika beliau berucap merasmikan masjid Saiyyidina Ali di Bukit Katil Melaka, dengan sinis mengatakan usaha untuk meninggikan syiar Islam dan membangunkan ummah tidak boleh berdasarkan kepada slogan "Membangun Bersama Islam" semata-mata, kerana tidak akan membawa kepada pembangunan ummah hari ini.

PAS ingin memperingatkan kepada Datuk Seri Najib yang juga Presiden Umno dengan slogan inilah PAS boleh memerintah sampai 20 tahun di Kelantan walaupun dengan sekatan dan diskriminasi politik kuno Umno kepada kerajaan rakyat yang sah. PAS boleh buktikan banyak perkara yang PAS lakukan melalui slogan Membangun Bersama Islam, kemudian ditiru pula oleh kerajaan pusat. Contohnya pinjaman tanpa faedah kepada kaki tangan, bantuan kifalah untuk warga emas, rumah tiga bilik, cuti dua hari dalam seminggu, kempen menutup aurat, kaunter berasingan, mengharamkan judi, menghadkan arak kepada orang bukan Islam sahaja, pajak gadai Islam, menunjukkan slogan yang PAS gunakan seiring dengan amalan.

PAS pun mengharapkan Datuk Seri Najib boleh memulakan kehidupan dan amalan yang serasi dengan kehendak Islam sesuai dengan ucapan beliau yang mengatakan tidak cukup dengan slogan sahaja. Tinggalkan sikap pragmatis yang mengikut suasana dan tidak mengikut prinsip agama. Jangan sewaktu merasmi masjid bicara hal agama dan mengajak pendengar ikut suruhan agama, dalam masa meraikan festival fesyen Islam di Monticalo Islam yang diucapkan entah ke mana. Pendekatan seperti ini mengelirukan orang bukan Islam di negara ini untuk berjinak dengan Islam.



Wikileaks- Jangan Lupa Isu Kenaikan Harga Barang


Walaupun isu Wikileaks menjadi panas dalam politik Malaysia, namun PAS mengingatkan jangan pula lupa bahawa ini juga sebahagian daripada agenda media Barisan Nasional untuk mengalihkan isu kenaikan harga petrol, diesel, gas dan tepung pada 4 Disember 2010. Isu ini telah menimbulkan kemarahan rakyat, kerana mereka sudah mula terasa dengan kenaikan harga barang-barang keperluan harian.

Kerajaan BN semakin takut dengan kemarahan rakyat terhadap isu kenaikan harga barang. Malahan perkara ini telah menjadi bualan di kalangan rakyat peringkat bawah termasuk di kalangan penyokong tegar Umno. Apabila minyak naik ia memang akan melibatkan keperluan rakyat terus meningkat kerana kebanyakan barang dibawa menggunakan minyak.

Isu Wikileaks telah memberi peluang kepada media untuk mengalihkan isu kenaikan harga barang pada ketika ini. Sebelumnya banyak jawapan Pak Pandir oleh pemimpin BN yang bertaraf menteri untuk dijadikan halwa telinga, supaya rakyat jangan marah, antaranya harga petrol lebih murah daripada Singapura, bukan kenaikan tetapi penyelarasan, bukan kenaikan tetapi subsidi dikurangkan, kerajaan kena naik harga minyak kerana mengelak daripada diseludup ke negara jiran. Media pula diarahkan jangan meletakkan tajuk petrol naik, sebaliknya guna istilah penyelarasan.

PAS mengingatkan kepada jentera penerangan di peringat akar umbi mesti menaikkan kain rentang dan gunakan media baru seperti face book, twitter, blog untuk menaikkan amarah rakyat kepada BN yang tidak bijak menguruskan negara. Mesti garapkan isu ini supaya rakyat bangkit menolak kerajaan BN dalam PRU akan datang.

December 14, 2010

Najib Gelabah Menghadapi Kebangkitan Rakyat


Parti Islam Se-Malaysia PAS melihat Datuk Seri Najib Tun Razak gelabah dan resah menghadapi gelombang kebangkitan rakyat. Serangan demi serangan kepada Pakatan Rakyat melalui media perdana dan meminta rakyat terus memberi sokongan kepada Barisan Nasional dalam PRU 13. Beliau cuba hendak mengajak rakyat supaya membutakan mata supaya jangan melihat kebaikan yang ditunjukkan oleh Pakatan Rakyat yang memerintah selama dua tahun lapan bulan cukup teruji dan terbukti kamampuannya berbanding dengan BN yang memerintah selama 53 tahun. Ditambah pula kenyataan Tun Dr Mahathir yang mengatakan bahawa BN di bawah kepimpinan Najib memerlukan masa untuk mendapat sokongan majoriti kerana masih ada lagi rakyat yang belum berpuas hati terhadap BN.

Rakyat mula membuat perbandingan negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat yang tidak mempunyai hasil yang banyak tetapi mampu membuat kebajikan kepada rakyat seperti air percuma di Selangor, skim kifalah dan sebagainya. Rakyat sudah membayangkan jika Pakatan Rakyat memerintah di peringkat pusat dengan hasil yang begitu melimpah ruah maka banyak lagi kesenangan rakyat akan diperolehi. Rakyat mula memikirkan apa yang mereka dapat di negeri BN yang memerintah. Sebaliknya rakyat hanya dapat kenaikan harga barang, petrol, gas dan akan datang pula kenaikan tarif eletrik.


Taktik serangan terhadap Pakatan Rakyat untuk melindungi masalah dalaman BN yang begitu parah. Konvensyen BN pada 5 Disember 2010 gagal mencapai hajat penyatuan di kalangan mereka sebaliknya berakhir dengan perang mulut antara Umno dan MCA mengenai isu ketuanan Melayu. Slogan 1 Malaysia nampaknya tidak berapa menjadi untuk menjadi umpan kepada pengundi bukan Melayu untuk bersama dengan BN, maka jalan keluarnya ialah dengan menyerang Pakatan Rakyat.

Hari ini Datuk Seri Najib mendakwa siapa yang mengatakan Felda bankrap pengkhianat bangsa. Apabila peneroka sudah mempunyai kekuatan dan celik maklumat hasil daripada perjuangan PAS yang menubuhkan ANAK untuk generasi kedua, maka banyak tembelang Umno BN sudah terbongkar. Barisan Nasional tidak boleh menipu generasi kedua peneroka kerana mereka adalah generasi yang bermaklumat dan terpelajar. Sekarang mereka bangkit menuntut hak mereka, selama ini bapa mereka diperah seperti kilang sawit memerah buah sawit, yang peneroka dapat hanya hampas. Ini yang menjadi kemarahan Datuk Seri Najib.

Pendedahan Wikileaks

PENDEDAHAN laman bebas Wikileaks mengenai isu politik Malaysia khasnya pembabitan bakal Perdana Menteri ke 7, Anwar Ibrahim dalam isu liwat jangan mudah ghairah untuk mempercayainya. Pendedahan laman itu yang memetik beberapa pegawai Singapura mempercayai apa yang didedahkan itu boleh jadi satu perangkap kepada politik negara ini sendiri.

Tidak mustahil juga pendedahan itu satu konpirasi melibatkan pembayaran wang beratus juta ringgit. Ingat, manusia sanggup melakukan apa saja bila sudah terdesak dan demi mempertahankan kekuasaan.

Mungkin pihak UBN merasa senang dengan pendedahan laman berkenaan. Blog blog tajaan UBN akan memperdagangkan hal itu segila-gilanya. Mereka boleh menguatkan lagi hujah untuk memburukkan Anwar yang kini dijalan dengan pelbagai cara. Media UBN telah memungguh semua sampah sarap dan pemuda sepak kertas untuk menimbus dan membusukkan Anwar.

Kalaulah semut ataupun burung dapat bercakap memburukkan Anwar, pasti media masa akan menyedut dan menggunakan pakai cakap mereka. Semua manusia telah digunakan media pro UBN untuk memburukkan Anwar. Namun hasilnya nampak masih belum sampai kemuncak.

Mungkin ada rancangan media Malaysia untuk menterjemahkan kicauan burung ataupun kokok ayam, atau katak bagi mengukuhkan tuduhan ke atas Anwar. Tidak mustahil akan keluar dalam akhbar atau tv, ayam atau burung atau katak akan dipetik kenyataannya yang memburukkan Anwar.

Kenapa saya melarang agar jangan ghairah dengan pendedahan Wikileaks itu? Apakah Wikileaks selamanya akan memburukkan peribadi Anwar? Belum tentu! Iya sebuah laman bebas yang menyaring 250,000 kebel diplomatik Amerika Syarikat. Gambaran diberikan bahawa laman berkenaan profesional dan mengetahui segalanya. Dan kenapa pula kita mudah akur dan tunduk kepada badan-badan bebas yang penuh propaganda seperti Wikileaks itu?

Ingat juga pada mulanya ia dijalankan secara percuma. Tetapi bila ia sudah menjadi perhatian dunia, laman itu akan berharga berbillion ringgit. Sesiapa yang ingin mendedahkan sesuatu untuk kepentingan politik akan sedia membayar laman berkenaan. Dalam politik hari ini hanya mereka mempunyai wang saja mampu berada di atas dan memegang kuasa.

Pada saya kemunculan Wikileaks adalah strategi musuh Islam. Ia bukan saja musuh negara ini tetapi Islam seluruhnya. Kalau dari sisi lain dengan pendedahan laman bebas itu ia memberi gambaran Amerika itu sendiri mengetahui luar dan dalam sesebuah negara dan juga individu di mana-mana saja. Dalam erti kata lain Wikileaks dan Amerika terus menjalani propaganda dan perang saraf mereka bagi melemahkan negara dan kuasa lain. Mereka nampak bergaduh tetapi hakikatnya mereka bersekongkol untuk mengugut dunia.

Bagi mereka yang ghairah menerima pendedahan laman berkenaan harus berhati-hati dan waspada. Jangan ghairah sangat. Saya bimbang ia akan terbalik kod (istidraj) nanti. Apa kata kalau selepas ini Wikileaks atau laman-laman blog dunia yang lain mendedahakan pula apa yang berlaku ke atas jisu-isu lain termasuk pembunuhan wanita Mongolia yang dibunuh kejam di hutan simpan di negara ini dua tahun lepas itu? Apakah kita boleh menolaknya begitu saja?

Dengan mempercayai Amerika mengetahui setiap apa yang berlaku dalam seluar kita, termasuk juga dalam seluar dalam isteri kita, kita percaya kes pembunuh Altantuya juga berada dalam kabel diplomatiknya. Bila-bila masa ia akan terbongkar. Apakah selepas Wikileaks mendedahkan jenayah itu nanti kita akan memperacayanya? Amerika hanya menanti masa saja untuk mendedah apa-apa rahsia kita kalau kita tidak sedia mengikut telunjuknya.

Kalau misalnya dalam pendedahan itu (pembubunah Altantuya) ia membabitkan pemimpin negara yang berkuasa sekarang ini, apakah kita akan mempercayainya. Atau kita akan menganggap pendedahan itu satu fitnah pula? Hendaknya jangan ada sikap double standard dalam menerima pendedahan Wikileaks ataupun maklumat yang dimiliki oleh Amerika ini. Kalau hari ini kita percaya maka esok juga kita kena percaya apa yang akan didedahkan. Jangan... kalau ia dedah mengenai keburukan oposisi kita mudah menerimanya dan kalau ia mendedah kelakuan pemimpin pemerintah kita buat-buat buta untuk melihatnya.

Dalam tilikan saya pendedahan penglibatan Anwar dalam isu liwat semacam ada urusan jual beli dan strategi lebih lanjut. Ia melibatkan kewangan yang besar. Tunggulah..

Jadi semua pihak hendaklah tidak mudah mempercayai pendedahan Wikileaks itu dan anggaplah ia hanya permainan kuasa dunia yang ingin mencaturkan politik dunia saja. Kita boleh akui dunia luar itu lebih maju dan moden daripada kita, tetapi kita tidak dapat merasakan apakah nawaitu mereka ke atas kita benar atau tidak. Saya yakin selamanya Amerika akan memperkudakan kita. Maka semua pihak perlu berhati-hati jangan sampai menggit jari tertelan air liur. Kita jangan kehilangan banyak orang yang berpotensi untuk jadi pemimpin.

December 12, 2010

Putrajaya Jatuh, Umno Akan Kelaparan


Gesaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Barisan Nasional bersungguh-sungguh mahu mempertahankan Putrajaya demi kepentingan rakyat dan negara di dalam taklimat strategi BN Selangor di Shah Alam hari ini.


Parti Islam Se-Malaysia berpandangan gesaan yang dibuat oleh Timbalan Presiden Umno sebagai bayangan kerisauan yang wujud di wajah pemimpin Umno di semua peringkat. Mimpi ngeri 8 Mac 2008 masih menghantui pemimpin Umno. Mereka hendak mempertahankan Putrajaya bukan untuk rakyat, tetapi untuk suku sakat mereka yang sedang kehausan dan kelaparan. Pemimpin Umno bimbang dengan peningkatan celik maklumat di kalangan rakyat, melalui kuasa media baru, terutama di kalangan genarasi muda. Mungkin pemimpin Umno boleh menipu emak bapa mereka, tetapi kerja pencerahan maklumat akan dibuat oleh anak-anak mereka yang terpelajar .


Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya rasa malu, kalau alasan untuk mempertahankan Putrajaya kerana kepentingan rakyat. Seantario dunia sudah tahu BN yang memerintah negara ini gagal menjalankan amanah dan mengkhianat kepada rakyat selama 53 tahun. Sekarang kualiti hidup rakyat semakin menurun, kuasa membeli rakyat semakin rendah, semuanya gara-gara kegalan umno mentadbir negara. Sepatutnya Timbalan Presiden Umno kena beri motivasi kepada pemimpin Umno, kita kena pertahankan Putrajaya kerana perut kita semakin kempes, kerana lubuk emas dijaga oleh manusia bukan oleh puaka.


Tuduhan Muhyidin Yasin mengatakan “kalau Pakatan Rakyat memerintah, negara tidak aman, maju dan kukuh. Jangan percaya kepada janji-janji pembangkang, mereka cakap tidak serupa bikin”. PAS hendak sedarkan Tan Sri Muhyiddin beliau sedar atau tidak ucapan itu terkena kepada batang hidung Umno yang dipimpin oleh beliau bersama dengan Datuk Seri Najib. Bukankah pemimpin Umno yang berkata pada 1 Nov 2010, minyak RON 95 tidak akan naik sehingga hujung tahun ini, tiba-tiba 5 hb Disember 2010 RON 95 telah dinaikkan. Siapa yang lidah bercabang?


PAS mengingatkan kepada rakyat Selangor terutamanya jangan berikan mandat kepada BN dalam pilihanraya akan datang. Jika BN menang segala bentuk kebajikan akan bertukar kepada penindasan. Air percuma 20 meter padu setiap bulan, skim warga emas yang meninggal dunia, warisnya akan mendapat RM2500 akan hilang. Buktinya rakyat Terengganu sudah mengalami hari ini apabila BN memerintah Terengganu, cukai pintu di zaman PAS memerintah dikecualikan telah dikenakan kembali pada tahun 2004 apabila mereka kembali berkuasa.

Barang Naik Kerajaan Cuba Menyalahkan Peniaga


Parti Islam Se-Malaysia PAS menganggap kenyataan amaran Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada para peniaga agar tidak menaikkan harga barangan sesuka hati sebagai usaha untuk mengalih isu kemarahan rakyat terhadap kerajaan kerana menaikkan petrol, diesel, gas dan gula pada 4 Disember 2010.

Beliau cuba hendak menyalahkan peniaga kerana menaikkan harga barang, dan hendak menjadi hero rakyat dan pembela rakyat, kononnya barang naik bukan salah kerajaan, tetapi peniaga. Perlu diingatkan bahawa semua barang niaga dibawa dengan kenderaan memakai minyak bukan dengan air liur.

Nampaknya kerajaan resah pada hari ini akibat tidak bijak urus khazanah negara yang melimpah ruah sehingga rakyat derita dengan kenaikan harga barang yang melambung. Alangkah baiknya jika kerajaan Malaysia ini orang yang bijak dan telus. Sepatutnya pemimpin BN perlu belajar daripada kerajaan Pakatan Rakyat yang bijak urus dan cuba untuk mengagihkan harta negeri kepada rakyat. Kebijaksanaan pimpinan PAS di Kelantan yang mampu bertahan sampai 20 tahun walau pun dengan kekangan dan tekanan dariapda pusat. Kelantan tidaklah banyak hasil, tetapi mampu mengurus dengan baik dan teratur. Ketika negeri yang di bawah pentadbiran BN menghadapi masalah kewangan, Alhamdulillah Kelantan selamat daripada malapetaka buruk ini.

Pihak kerajaan perlu mengambil ingatan daripada pemimpin Pakatan Rakyat, apabila minyak naik maka semua perkara akan naik. Selepas ini tarif elektrik akan naik pula. Senang sungguh menjadi pemimpin BN yang mentadbir negara. Jikalau wang tidak ada jalan keluarnya dengan membebankan rakyat dengan menaikkan tol, letrik, minyak, saman ekor dan apa sahaja yang boleh menjadi wang untuk kambus gaung yang begitu dalam kerana boros dan tidak bijak mengurus.

December 09, 2010

Kenalilah Ketuanan Melayu Umno


Apabila pemimpin Umno bercakap soal ketuanan Melayu, sama seperti kalau isteri pemimpin Umno menyeru wanita semua kena menutup aurat, kerana ini adalah arahan Allah. Inilah analogi yang layak dipakai, dalam erti kata yang lain cakap tidak serupa bikin. Selepas PRU 2008 pemimpin Umno macam orang kena sawan. Berbagai formula yang dicari untuk menyembuhkan penyakit. Sudah banyak doktor pakar datang merawat, sudah banyak tok bomoh membaca jampi, namun penyakit ini tidak juga sembuh malahan makin parah.

Cuma ada satu lagi ubat untuk dicuba iaitu Ketuanan Melayu. Dengan muka tidak malu pemimpin Umno mula menunjukkan Umno juara Melayu dan Pakatan Rakyat tidak bela Melayu. Dakwaan mereka, yang boleh tegak ketuanan Melayu ialah melalui Umno. Sebenarnya Umno cuba menutup bangkai gajah dengan tudung saji, kerana cuba untuk menutup kegagalan mereka selama ini.

Orang Melayu jangan tertipu lagi dengan slogan ketuanan Melayu ala Umno. Pemimpin Umno cuba meniupkan sentimen ini melalui media televisyen terutamanya. Media ini akan pusing isu ini seolah-olah Umno sahaja yang mempertahankan ketuanan Melayu sehingga setengah rakyat yang menganggap Umno begitu suci dan tidak boleh diganggu.

Sebenarnya ketuanan Melayu Umno hanya untuk menjadi tiket pemimpin mereka menggadai hak Melayu dan memberi kesenangan kepada keluarga dan suku sakatnya sahaja. Dalilnya sudah lebih separuh abad Umno diberi peluang untuk menjaga hak Melayu akhirnya satu persatu tergadai. Bukankah ini semua angkara Umno? Faktanya ketuanan Melayu Umno telah merugikan orang Melayu, bukan mengangkat martabat Melayu di negara ini.


  • Ketuanan Melayu Umno menjadikan taraf hidup orang Melayu semakin menurun, malahan lebih teruk daripada kaum India. Dalam parlimen pada tahun 2007 , disebutkan bahawa lebih 600,000 rakyat di negara ini hidup di bawah paras kemiskinan iaitu berpendapatan kurang dari RM800. Statistik kaji selidik pendapatan isi rumah yang dilakukan menunjukkan hampir 90 peratus daripada mereka yang berada di bawah paras kemiskinan adalah orang Melayu. Memanglah kemiskinan adalah satu senjata untuk Umno guna bagi mengekalkan kuasa, dalilnya Sabah dan Terengganu yang berada di bawah ketuanan Melayu Umno merupakan negeri termiskin di Malaysia walaupun keduanya kaya dengan minyak.
  • Ketuanan Melayu Umno yang menindas negeri Kelantan, walaupun majoriti rakyatnya Melayu. Sebanyak 118 projek pusat disekat sejak RMK 6 tahun 1991. Apakah Tuan Guru Nik Aziz yang memimpin Kelantan seorang Bangladesh?
  • Ketuanan Melayu Umno, menyebabkan peneroka bandar telah dihalau macam anjing. Yang menjadi broker ialah pemimpin Umno dengan pemaju. Contoh yang terdekat seperti yang berlaku kepada penduduk setinggan di Kampung Plentong Tengah Pasir Gudang. Mereka sudah tinggal 30 tahun dan menjadi penyokong tegar Umno. Sewaktu mereka dihalau, batang hidung pemimpin Umno langsung tidak nampak. Begitu juga apa yang terjadi di Kampung Berembang Ampang di zaman Umno berkuasa. Ini semua kawasan tegar menyokong Umno. Sewaktu berhadap dengan pemaju ialah daripada PAS, PKR, DAP dan NGO sehingga ada yang merengkok dalam lokap. Mana pergi pemimpin Umno yang hendak menegakkan ketuanan Melayu ketika penyokong mereka dihalau.
  • Ketuanan Melayu Umno menyebabkan orang Melayu ketinggalan kebelakang. Diskriminasi sesama bangsa hanya kerana berlainan ideologi, akhirnya telah menempatkan bangsa merempat di bumi sendiri. Kita tidak pernah dengar bagaimana pemimpin kaum lain yang menindas kaum sesama bangsa kerana berlainan ideologi. Tetapi ini berlaku kepada pemimpin Umno akhirnya peratus kemiskinan di kalangan bumiputera meningkat. Seperti yang pernah dinyatakan oleh bekas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Dan Wilayah Dato’ Zainal Osman Cina 0.6%, India 2.9%, Melayu 8.3%.
  • Ketuanan Melayu Umno mengorbankan kepentingan agama dan bangsa sendiri. Persempadanan semula 2003, menunjukkan Umno telah mengkhianat orang Melayu-Islam semata-mata untuk melawan PAS. Akibat persempadanan ini selepas pilihan raya umum ke 11 pada 21 Mac 2004 lalu, kerusi Melayu tinggal hanya 54.33 peratus sahaja. SPR dengan arahan BN enggan menambah kerusi majoriti Melayu, khuatir kedudukan politik mereka terancam. Walaupun pertambahan pengundi di Kelantan 24 %, Terengganu 21.76% dan Kedah 17.4%. Malangnya kerusi Parlimen di negeri tersebut tidak bertambah.
  • Ketuanan Melayu Umno, menyebabkan lesap RM52 bilion saham yang diperuntukkan kepada para pelabur bumiputera dari 1984 hingga 2005. Hanya nilai RM2 bilion sahaja yang masih ada di tangan bumiputera.
  • Ketuanan Melayu Umno punya angkara, sehingga pernah menjual saham BERNAS (Syarikat Beras Negara) kepada syarikat Wan Tak Co. Ltd yang berpengkalan di Hong Kong sebanyak 31.36%. Umno tidak sedarkah majoriti yang mengusahakan sawah ialah orang Melayu. Apakah jaminan petani-petani ini tidak dizalimi. Amat merbahaya apabila syarikat asing menguasai lesen beras negara di negara yang tercinta. Cuba bayangkan kalau yang menjual itu ialah kerajaan Pakatan Rakyat, nescaya akan dituduh agen asing di negara ini.
  • Ketuanan Melayu Umno sanggup mengkhianati hak orang miskin contohnya lesap wang PPRT sebanyak 32 juta ditipu oleh lelaki Cina Ooi Kee Siang. Yang menjadi menterinya pada waktu itu ialah Datuk Anuar Musa daripada Umno.
  • Ketuanan Melayu Umno yang sanggup membunuh bahasa sendiri dengan menyokong mata pelajaran Metematik dan Sains diajar dalam Bahasa Inggeris, walaupun berpuluh orang profesor dan pakar pendidikan tidak bersetuju. Demi untuk memberi projek kepada kroni, biarlah bahasa hancur dan RM6 bilion wang negara hangus. Sedangkan berapa lama usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan bahasa ilmu telah hancur berkecai. Malahan pemimpin Umno melemparkan tuduhan kepada pejuang bahasa sebagai pelampau. Jika bahasa sendiri pun Umno tidak boleh pertahankan, apa yang hendak diharapkan untuk menegakkan satu bangsa yang lebih gagah.

December 08, 2010

Semarakkan Kemarahan Rakyat Di Atas Kain Rentang



Parti Islam Se-Malaysia PAS mengharapkan rakyat dapat “sekolahkan” pemimpin BN melalui kuasa politik. Pemimpin yang tidak memperdulikan rakyat ini hanya takut dengan azab dunia iaitu apabila kuasa mereka ditumbangkan oleh rakyat. Setelah mereka merasakan rakyat bertambah yakin melalui peti undi pilihanraya kecil Galas dan Batu Sapi maka mereka sudah lupa kepada rakyat dan tidak mahu mengambil tahu tentang derita rakyat.

Kenaikan barang 4 dalam 1 pada 4 Disember 2010, memang tidak boleh diterima oleh akal. RON 95 naik 5 sen menjadi RM1.90, diesel naik 5 sen menjadi RM1.80 sen, Gas naik 5 sen menjadi RM1.90 sen sekilogram dan gula naik 20 sen menjadi RM2.10 sen.

Biasalah hujah yang membodohkan rakyat dengan ungkapan penyelarasan dan subsidi dikurangkan. Negara Singapura masih mahal berbanding dengan Malaysia. Kenapa tidak ambil contoh Brunei dan negeri yang ada minyak. Singapura walaupun mahal tetapi kuasa membeli rakyatnya tetap tinggi dan Singapura bukan negeri pengeluar minyak.

PAS mengharapkan seluruh jentera penerangan PAS dan Pakatan Rakyat mesti bangkit untuk menimbulkan kesedaran politik di kalangan rakyat terutama mereka yang tidak banyak menggunakan media baru. Justeru itu semua cawangan PAS mesti menaikkan kain rentang di setiap kampung terutamanya, untuk membangkitkan kesedaran bahawa negara di dalam bahaya apabila diperintah oleh pemimpin yang tidak bertanggungjawab. Tanamkan kesedaran kerajaan mesti ditukar kepada Pakatan Rakyat.

Di antara perkataan yang boleh ditulis di kain rentang dan diletakkan di tempat yang strategi dengan huruf yang besar dan ditukar dua minggu sekali untuk memaklumkan kepada rakyat supaya wajib tolak BN dalam pilihanraya akan datang. " Terima Kasih BN Kerana Naik Harga Petrol, Diesel, Gas dan Gula” “Barang Naik, Rakyat Kena Dulu””Beri Kuasa Pada PR Kalau Tidak Boleh Jaga Rakyat” “Kerajaan PR Teruji Dan Terbukti Membela Rakyat” ”Pemimpin Kaya Rakyat Terseksa” ”Pemimpin Joli Rakyat Tidak Dipeduli” ”Jangan Biarkan Anak Cucu Kita Melarat””Tolak BN Anda Mampu Mengubahnya””Kami Rakyat Bermaruah Akan Tolak BN” “Barang Naik, BN Tidak Pandai Memerintah” “Tugas Kerajaan Jaga kebajikan, Bukan Tekan Rakyat” “Selamatkan Negara Daripada Muflis””Mana Wang Petronas Dihabiskan””Negara Malaysia Bukan Padang Pasir Yang Tidak Ada Hasil””Kemana hasil Balak,Kelapa Sawit,Getah, Mutiara, Pasir Dihabiskan?””Pemimpin BN Bela Kroni Dan Anak Bini””Anda Sayang Keluarga,Bangkit Tolak BN”.





Perutusan Maal Hijrah dari Presiden PAS

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Bagi pihak Parti Islam SeMalaysia(PAS), saya ingin mengucapkan selamat melalui Maal Hijrah 1432 dengan bermulanya 1 Muharam yang bersamaan dengan 7 Disember 2010 Masehi. Permulaan tahun hijriah ini adalah merupakan suatu titik tolak yang sangat penting dengan berlakunya peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah yang diingati setiap tahun oleh umat Islam. Pentingnya peristiwa hijrah ini adalah kerana ianya berkaitan dengan kewajipan besar dalam Islam yang menjadi sebahagian tugas manusia, iaitu tugas khilafah atau dengan makna politik, iaitu mendirikan sebuah negara yang mendaulatkan syariat Allah SWT.


Natijah daripada peristiwa hijrah ini ialah bagaimana Rasulullah SAW telah berjaya membina sebuah negara masyarakat majmuk yang terdiri daripada berbilang bangsa, agama dan budaya yang bernaung di bawah keadilan Islam yang mutlak. Ia juga menjadi asas kepada amalan politik yang wajib dihayati oleh seluruh umat Islam.

Hijrah juga merupakan satu konsep yang telah membawa umat Islam kepada kepimpinan dunia yang bertujuan untuk menyelamatkan seluruh alam dari kezaliman selama tempoh berabad-abad lamanya ini. Umat Islam berjaya menjadi kuasa besar tunggal yang dihormati kawan dan lawan di zaman yang tidak mempunyai kemudahan seperti yang kita nikmati pada hari ini. Islam juga telah berjaya memerintah dengan penuh sifat keadilan yang menaungi wilayah kekuasaan yang luas. Sehingga hari ini belum ada kuasa besar yang dapat memenuhi apa yang dilaksanakan oleh Islam. Islam yang sebenar inilah yang perlu difahami dan dilaksanakan oleh seluruh umat Islam untuk mencapai keredhaan Allah SWT.

Oleh yang demikian, bersempena dengan tahun baru hijrah 1432, umat Islam berkewajipan besar untuk melaksanakan tugas siyasah ini. Perlu sama-sama kita ingat bahawa sambutan maal hijrah ini tidak disuruh oleh Nabi SAW, tetapi apa yang lebih penting ialah meneruskan amalan-amalan Nabi SAW dan berpegang teguh kepada ajaran Allah SWT dengan penuh keimanan dan ketakwaan.



Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

1 Muharam 1432 H bersamaan 7 Disember 2010

December 06, 2010

Demo Air Rakyat, Tahniah Kepada Anak Muda

Parti Islam Se-Malaysia PAS mengucapkan tahniah dan syabas di atas keberanian rakyat Malaysia khususnya rakyat Selangor kerana berjaya mengadakan himpunan aman di perkarangan Masjid Negara pada 5 Disember 2010. Walaupun himpunan ini berakhir dengan tembakan dan tangkapan yang dibuat oleh polis secara melulu menyebabkan ada yang tercedera.


Tahniah khusus kepada 70 peratus anak-anak muda yang berumur 30 tahun kebawah datang untuk menyatakan bantahan. Kedatangan mereka memberi isyarat kepada Umno BN, bukan jalan mudah mereka untuk menang selesa dalam PRU akan datang. Generasi muda tidak rela hak mereka diperkosakan oleh kerajaan BN. Pada mereka sudah cukup setengah abad pertama ibu bapa mereka ditipu, mereka tidak akan biarkan sejarah setengah abad kedua menimpa mereka. Mereka akan mencipta sejarah baru dan membentuk pemetaan politik baru di negara ini.


Kenapakah pihak polis tidak menggunakan akal yang waras untuk menghadapi himpunan aman ini. Jika tidak ada porovokasi daripada polis himpunan akan berjalan dengan aman, contohnya ketika himpunan BERSIH 10 November 2007 tidak ada satu pasu bunga pun yang dipecahkan walaupun kehadiran hampir 100 ribu orang. Air dan gas yang mereka gunakan adalah wang rakyat. Bukankah polis tidak tahu, kantong negara semakin kurus, kenapa perlu dibazirkan wang, sehingga polis hanya dapat bonus RM500 sahaja tahun ini. Sedangkan ini adalah perjuangan untuk polis, sama-sama dapat menikmati air percuma daripada kerajaan yang berjiwa rakyat.


Lagi berita, klik DI SINI

December 03, 2010

Muhyidin Takut Kejahatan Terbongkar

Parti Islam Se-Malaysia PAS mendakwaTimbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bimbang penyelewingan kerajaan BN akan terbongkar sehingga beliau mengingatkan pemimpin pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara supaya tidak terjebak dengan fitnah yang ditabur oleh media yang menyokong pembangkang.


Tan Sri Muhyidin bercakap seolah-olah kerajaan pada hari ini tidak ada kuasa untuk mengambil tindakan terhadap media pembangkang jika ada unsur fitnah. Berapa banyak Akta yang ada di Malaysia, seperti Akta Rahsia Rasmi Kerajaan (OSA), Akta Pertubuhan, Akta Mesin Cetak, Akta Universiti Kolej, Akta Keselamatan Dalam Negeri yang boleh bertindak. Nampak sangat kerajaan BN pada hari ini takut dengan bayang-bayang. Tan Sri Muhyidin hendak menutup bangkai gajah dengan tudung saji, sedangkan penyelewengan Umno tidak dapat dibendung lagi, kerana seluruh dunia sudah mengetahui. Siapa tidak tahu Malaysia negara rasuah. Siapa tidak tahu Malaysia mempunyai khazanah negara yang banyak tetapi dibolot oleh pemimpin sehingga rakyat derita. Rakyat akan dapat tahu lebih banyak setelah kerajaan BN tumbang nanti, sebagai mana yang telah diselongkarkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat pada hari ini.


Timbalan Presiden Umno buat-buat lupa, pada hal media Umno yang melemparkan fitnah kepada pemimpin Pakatan Rakyat seperti memfitnah Dato’ Seri Haji Nizar Jamaludin derhaka kepada Sultan Perak, memutarkan berita bacaan doa kepada YAB Lim Guan Eng dalam khutbah, wang untuk warga emas yang beragama Islam difitnah daripada wang judi. Tan Sri Muhyidin hanya membuang masa bercakap kepada orang yang cerdik di kalangan pelajar. Mereka ini dengar, masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Pelajar bukan orang yang bodoh, mereka golongan terpelajar. Segala tuduhan, pelajar tidak telan bulat-bulat, dan mereka tidak rela untuk diperbodohkan oleh pemimpin Umno. Mereka pergi dengar kerana dipaksa rela, bukan suka rela. Timbalan Presiden Umno boleh berleter apa sahaja yang beliau mahu, apabila pelajar balik membuka internet untuk menyaring apa yang didengar tadi. Inilah untungnya zaman multimedia, dunia tanpa sempadan. Tetapi zaman langit terbuka ini menjadi mimpi ngeri pada pemimpin Umno, kerana dalam sekelip mata segala fitnah yang mereka lemparkan kepada pembangkang akan mendapat jawapan sebenarnya.

Tanah Melayu Terhakis Angkara Umno


Umno sebagai tonggak BN akan buat apa sahaja untuk meraih sokongan rakyat dalam pilihanraya. Semua diktator di dunia, perkara yang paling mereka gerun ialah seksa di di dunia, iaitu hilang kuasa. Pemimpin umno semakin gelisah untuk menghadapi hari-hari tua yang berada dihujung senja. Puas mereka memutar isu untuk meyakinkan rakyat walaupun kena di batang hidung mereka. Pedekatan matlamat menghalalkan cara. Isu yang rancak dimainkan di dalam media ialah isu Melayu semakin terhakis kerana Pakatan Rakyat semakin kuat, dan umno pula tidak larat. Mereka menggunakan media televisyen terutamanya untuk menggambarkan bahawa yang boleh menjaga kepentingan Melayu dan Islam ialah umno. Pemimpin umno silap, dunia sudah berubah dan rakyat sudah celik sejarah terutama mereka yang terpelajar. Mereka yang buta maklumat semakin pupus di atas dunia ini, InsyaAllah generasi yang celik maklumat akan membuat perhitungan dengan pemimpin umno. Generasi ini tidak akan biarkan setengah abad kedua negara ini diperintah oleh perakus harta negara yang merompak secara terhormat.

Apabila Harakah mendedahkan pengakuan yang dibuat oleh ADUN Umno Pulau Pinang ketika forum 'Isu Penghakisan Tanah Melayu Pulau Pinang: Apakah Jalan Penyelesaian' anjuran Yayasan Bina Ilmu Pulau Pinang pada 10 November lalu berpunca daripada pemimpin umno. Maka 22 November 2010 Utusan Malaysia yang menjadi proksi umno terus membuat satu laporan khas mengenai tanah Pulau Pinang untuk mengatakan putih walaupun satu dunia mengatakan hitam. Begitullah juga tektik Utusan Malaysia yang cuba hendak menyalahkan DAP yang tidak sampai tiga tahun memerintah menyebabkan tanah melayu Pulau Pinang papa kedana? Laporan tu juga membela Umno tidak boleh disalahkan sehingga tanah orang melayu tinggal 1.16%. Laporan yang layak dilaporkan di zaman batu, bukan zaman maklumat yang boleh diketahui berbatu-batu.

Ini fakta menunjukkan Umno penjahanam tanah orang Melayu;

  • Pengkhianatan Umno kepada orang Melayu telah berjaya menghilangkan tanah rezab Melayu dari 3 juta hektar pada tahun 1957 kepada 1.7 juta hektar (1995). Bermakna 44% tanah rezab Melayu yang ditinggal oleh penjajah dengan susut kadar 1.2% setahun. Nampaknya penjajah lebih berhati perut daripada pemimpin Umno dalam menjaga orang melayu. Kalau tidak disekat maka tahun 2020 tanah rezab Melayu hanya tinggal 30% sahaja.
  • 22,000 ekar tanah kerajaan di gadai kepada gergasi KLK (KL Kepong) di Lekir, Manjung.
  • 200 ekar tapak kilang simen Perak Hanjoong (sekarang YTL kerana di gadai oleh pemimpin umno kepada YTL ) Ini tanah rizab melayu di Padang Rengas, Kuala Kangsar dekat Highway.
  • 9 ribu hektar tanah Rezab Melayu di Selangor telah ditukar status kepada bukan rezab Melayu. Hanya 1/3 sahaja (lebih kurang 3 ribu hektar sahaja yang diganti. Selebihnya jin tanah makan.
  • Pada tahun 1990, seramai 80 orang penduduk di Pantai Chenang Langkawi yang duduk di atas tanah rezab Melayu dihalau untuk membina Pelangi Beach Resort.
  • Pada tahun 1990, sebanyak 930 hektar tanah Rezab Melayu Kampung Mambau Negeri Sembilan telah diambil untuk projek Seremban 2. Sebelumnya terdapat 600 orang yang tinggal disitu.
  • 26,000 hektar tanah rezab Melayu di Tanjung Langsat-Tanjung Pia Johor diambil untuk New Town Ship. Projek yang diusahakan oleh Kuok Brother Collabratioan UEM.
  • 300 ekar tanah Rezab Melayu di Pulau Redang Teregganu kepada Vicent Tan untuk projek perlancungan.
  • Pada tahun 1993, 1000 ekar tanah Rezab Melayu di Kerpan Kedah (tapak sawah yang subur) untuk projek kolam udang.
  • 13 Jun 2008 (Utusan Malaysia) melaporkan penduduk sekitar daerah Kota Tinggi, kecewa dengan tindakan pejabat tanah menolak permohonan mereka mendapatkan tanah seluas 182.11 hektar di Batu 15 Jalan Kulai, Mukim Ulu Sungai Johor di sini. Tanah yang sudah dipohon sejak 20 tahun dahulu telah diberi kepada syarikat bukan bumiputera. Ini siapa punya angkara? Pakatan Rakyat atau Umno.
  • Akibat kejahilan pemimpin Umno menyebabkan Pulau Batu Putih pun terlepas yang dapat hanya pulau tenggelam timbul (Batuan Tengah dan Tubir Selatan). Kalau air pasang batu tenggelam, kalau air surut maka Pulau Batu itu timbul. Inilah yang disebut oleh Datuk Rais Yatim Menteri Luar menang-menang. Menang pada Umno ialah Singapura dapat pulau yang tidak tenggelam, manakala Malaysia dapat pulau tenggelam timbul. Ini lah lawaknya pemimpin Umno yang jaga kedaulatan negara.

· Kampung Chu Badak Sentul Kuala Lumpur, sebanyak 273 ekar tanah kampung Melayu tradisi telah menyebabkan kira-kira 160 keluarga telah dihalau keluar kerana pembangunan mega akan dibuat disitu.

  • Tanah rezab Melayu seluas 94 ekar yang diteroka sejak 72 tahun telah terkorban untuk projek Pencala Link dekat Damansara Kuala Lumpur.

· Sebanyak 840 hektar tanah rezab melayu di Pahang bakal hilang apabila projek ECER (Koridor ekonomi pantai timur)

  • Tanah seluas 2500 ekar ladang kelapa sawit di Jalong Tinggi Sungai Siput Perak telah dijual kepada China Singapura.

  • Siapa pula yang menghalau penduduk di Kampung Berembang Ampang. Pada hal mereka ini adalah penyokong umno tegar. Apabila penduduk dihalau yang membela mereka ialah daripada Pas, Pkr, Dap dan NGO. Tidak nampak muka pemimpin umno pada hari penduduk yang dihalau macam anjing

  • 217 hektar tanah Keretaapi Tanah Melayu di Singapura kepada Singapura. Tanah yang berharga emas terlepas secara terhormat.

· Menghalau 290 buah rumah penduduk Kampung Plentong Tengah Pasir Gudang Johor.. Mereka sudah tinggal di situ hampir 30 tahun. Yang menjadi pendinding dan perunding ialah pemimpin Pas, PKR dan DAP. Seramai 28 orang ditangkap kerana mempertahankan rumah mereka daripada diroboh pada 16/10/2009. Kesemua mereka ialah penyokong umno tegar, apabila mereka dihalau batang hidung pemimpin umno tidak nampak.

Daripada fakta di atas bolehlah dirumuskan Umnolah pengkhianat dan menggadai tanah orang melayu, Bukan PAS, bukan PKR dan bukan DAP. Sebenarnya slogan Umno “Hidup Melayu” perlu ditukar kepada slogan sebaliknya, iaitu “di mana Umno kuat di situ Melayu merempat”.