Salurkan Sumbangan Dana Pilihanraya Anda ke Parti Islam Se-Malaysia Kawasan Kota Tinggi

Salurkan Sumbangan Dana Pilihanraya Anda ke Parti Islam Se-Malaysia  Kawasan  Kota Tinggi
No Akaun : 01-069-01-003759-0

Pilihan Anda di PRU 13?

Ruang Aduan

E-mail Address: *
Nama Pengadu *
Nombor Telefon *
E-mail Address
Alamat Pengadu *
Aduan *
Adakah anda bersetuju untuk mendedahkan identiti anda sekiranya diperlukan? *YA
TIDAK

* RequiredBuild Contact Forms

February 28, 2009

Kemelut di Perak - Ilham Pilihanraya

Dr. Mahathir dan Pak Lah saya kira ada persamaan yang menarik . Apabila ditanya kepada keduanya semasa menjadi PM tentang tarikh pilihanraya umum, mereka menjawab 'belum dapat ilham'.

Nampaknya, ia turut berlaku di Perak. Sehingga hari ini sultan belum lagi 'dapat ilham' untuk bubar DUN Perak.

Namun, perkembangan di Perak yang semakin merumitkan mungkin akan memaksa DYMM Sultan Perak untuk membubarkan DUN walaupun belum dapat ilham.

Kemelut dan krisis di Perak akan berpanjangan dan menjadi tontonan dunia selagi DUN tidak dibubarkan.

Keputusan pilihanraya kecil di Bukit Gantang nanti bakal memberi gambaran tentang sikap dan suara rakyat tentang apa yang berlaku dalam tragedi rampasan kuasa di Perak. Tetapi perlu disedari biarpun mana-mana parti yang bertanding sama ada Pas atau BN akan menang dengan majoriti yang besar tetapi ia tidak akan menamatkan krisis yang berlaku.

Majoriti rakyat Perak seperti kajian badan bebas Merdeka Centre dan poll yang dijalankan di kebanyakan blog dan media mahukan pilihanraya semula. Tidak wujud cara penyelesaian lain yang lebih munasabah.

Selagi pilihanraya kecil di seluruh Perak tidak dijalankan akan wujud lagi pelbagai cerita pelik, lucu dan mungkin tidak masuk akal akan berlaku. Tetapi rakyat hari ini bukannya seperti 'lembu dicucuk' hidung seperti pihak tertentu di negara ini.

Saya perhatikan rakyat Malaysia semakin matang dalam berpolitik khususnya dalam memilih pemimpin.Istilah rasuah kain batik, kain pelikat, beras sekampit,gula sekilo dan gula-gula racun berlogo BN untuk meraih undi sudah lama berlalu. Malah orang asli yang tinggal di pedalaman pun sudah semakin cerdik dalam memilih pemimpin. Inilah sebenarnya yang dibimbangi oleh pihak yang merasa tergugat khususnya pihak BN jika pilihanraya diadakan. Justeru itu, BN akan seberapa daya dan pelbagai usaha akan memastikan agar tidak berlaku pembubaran DUN Perak. Pelbagai alasan dan helah akan diberikan untuk menghalang pilihanraya diadakan.

Ini kerana BN khususnya Umno menyedari, perkembangan yang berlaku menyukarkan mereka untuk memenangi mana-mana pilihanraya di negara ini. Pilihanraya kecil yang bakal di adakan di dua bukit serta satu batang iaitu Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai sebenarnya memberi igauan ngeri kepada Umno dan BN

Kemelut di Perak - Demakrasi Dicincang

Oleh V.Sivakumar
Speaker, Dewan Negeri Perak.


Bukankah seorang Speaker berhak memanggil dewan bersidang? Kalau hak untuk memanggil dewan bersidang juga dirampas daripada seorang speaker, apakah nilai-nilai demokrasi yang akan kita warisi pada masa akan datang.

Kita tidak mahu anak-anak kita hidup dalam kelambu ‘demokrasi setengah masak’.

Saya telah memanggil untuk mengadakan persidangan tergempar pada 3 Mac 2009.

Tetapi saya dihalang oleh pihak-pihak tertentu dengan pelbagai alasan. Mengikut Perintah-perintah Tetap 8, seseorang speaker boleh memanggil persidangan tergempar dalam keadaan-keadaan yang amat memerlukan.

Dalam keadaan biasa, notis 14 hari diperlukan untuk memanggil dewan untuk bersidang.

Tetapi dalam keadaan tergempar, notis itu tidak diperlukan. Begitu juga, Perintah-perintah Tetap 11 memberi kuasa penuh kepada speaker untuk menetapkan tarikh dan masa mesyuarat yang akan diadakan.

Apakah lagi peruntukan undang-undang lain yang diperlukan bagi membolehkan seseorang speaker untuk memanggil Dewan bersidang?

Undang-undang ini jelas menunjukkan speaker mempunyai budibicara dan hak untuk memanggil dewan bermesyuarat.

Tetapi, sekali lagi kuasa speaker dicabar dan dicabuli oleh pihak eksekutif.

Penasihat Undang-undang Negeri Perak campurtangan dalam kuasa legislatif dengan cuba menghalang daripada mengadakan sidang dewan tergempar ini.

Beliau memberi pelbagai alasan dan tafsiran undang-undang yang tidak munasabah untuk menghalang Setiausaha Dewan menghantar notis kepada Ahli-ahli Dewan Negeri bekenaan dengan sidang dewan tersebut.

Apakah kuasa yang ada pada Penasihat Undang-undang dalam menghalang persidangan dewan tergempar?

Siapakan memberikan kuasa sedemikian untuk bertindak diluar bidangkuasanya?

Tindakan beliau boleh disahihkan sebagai satu lagi penghinaan terhadap dewan undangan negeri Perak yang mulia.

Beliau tidak ada kuasa untuk menasihat atau memaksa Speaker untuk tidak mengadakan persidangan Dewan Negeri.

Penasihat Undang-undang cuba mentafsir undang-undang bagaikan ‘ada udang disebalik batu’.

Saya ingin mengingatkan beliau supaya jangan meniadakan doktrin pengasingan kuasa yang menjadi tunggak demokrasi sesebuah negara. Gangguan-gangguan seperti ini akan mencemarkan nama baik institusi perundanagan yang disanjungi tinggi di Negeri Perak Darul Ridzuan.

Saya telah meneliti peruntukan Undang-undang Tubuh dan Perintah-perintah Tetap bersama-sama dengan beberapa pakar Undang-undang Perlembagaan sebelum memanggil persidangan dewan tergempar.

Saya dimaklumkan dengan jelas oleh pakar-pakar perlembagaan bahawa memanggil persidangan dewan secara tergempar adalah terletak dalam ruang lingkup bidangkuasa speaker.

Saya telah menerima 2 usul daripada YB Khalil Idham (Titi Serong) dan YB Chang Li Kang (Teja) yang memerlukan perhatian dewan dengan serta merta. Oleh yang demikian, saya terikat kepada undang-undang untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab saya untuk memanggil sidang dewan tergempar untuk membincangkan isu yang dibangkitkan.

Ini juga merupakan amalan demokrasi yang perlu diberi pengiktirafan oleh semua pihak yang berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang.

Memelihara Ketulenan Perjuangan

Perjuangan tidak hanya berasaskan semangat malah penglibatan kita bersama PAS sebagai sebuah parti politik juga bukan kerana memenuhi tuntutan demokrasi .

Sebaliknya penglibatan [ intima' ] kita adalah berpaksi kepada Iman dan Islam .

Apa yang kita mahu tegakkan ialah Iman dan apa yang kita mahu daulatkan ialah Islam .

Inilah cita - cita murni yang sekali - kali tidak boleh kita benarkan ianya dipengaruhi oleh nafsu dan dikuasai oleh aqal yang terpisah dari wahyu . Justeru cita - cita ini terlalu suci untuk dipengaruhi selain Iman yang tidak berbelah bahagi dan Islam sebagai risalah as samawi .

Malang sungguh apabila perjuangan ini dicampur aduk dengan desahan nafsu yang memburu ruang untuk menyerlah populariti dan publisiti malah membina indentiti diri tanpa memperduli ketulenan manhaj rabbani .

Barangkali kita akan ketemui apa yang diburu biarpun hanya mengatas namakan perjuangan Islam ini . Persoalannya , berbaloikah perjudian itu ?

Siang malam bergelut menghadapi ancaman . Saban waktu pula meredah rintangan . Bersama perjuangan ini dengan mengambil pelbagai risiko yang mungkin membinasakan diri , hanya semata - mata untuk menggapai cita - cita peribadi yang berpaksi kepuasan naluri .

Ketulenan Perjuangan

Perjuangan yang disertai ini adalah untuk sebuah kembara mencari kedaulatan buat Islam . Laksana pengembaraan Nabi saw bersama para sahabatnya membelah alam jahiliyyah memacu hijrah membina sebuah daulah . Segala rintangan dan halangan dihadapi dengan tabah . Sengsara dan deritanya didepani dengan sabar . Perit jerih atas segalanya menjadi ibadah yang ditekuni tanpa mengalah .

Malang 1001 kali malang andai perjuangan ini tidak ubah seperti batu loncatan untuk memenuhi cita - cita politik . Mencari pengaruh , jawatan dan gelaran . Sukar kita memelihara ketulenan perjuangan yang didokong ini jika kita gagal membebaskan diri sepenuhnya dari pengaruh nafsu dan kepentingan duniawi .

Ketulenan manhaj perjuangan mesti dipelihara dari anasir yang merosakkannya . Semua anggota jamaah mesti peka dalam menilai antara manhaj perjuangan yang tulen berasaskan sirah perjalanan nabi kita Muhammad saw atau manhaj perjuangan palsu yang meniti di atas jalur kepentingan politik dan peribadi .

Ketulenan manhaj perjuangan dapat dikenal pasti melalui pengambilan skima amal tarbawi yang mantap melalui silibus am tinggalan baginda Rasul saw. dan diperkemas kini oleh ulama' al a'milin al mujahidin yang memimpin ummah .

Satu pencabulan terhadap manhaj perjuangan andai ia dipimpin atau digerakkan oleh individu atau mereka yang bukan sahaja jahil terhadap manhaj perjuangan an nabawi tetapi juga bersikap negatif terhadap amal tarbawi . Lebih malang apabila perjuangan ini dipacu berlandaskan teori politik untuk mencapai matlamat tanpa berteraskan akhlak Islami .

Demi memburu kemenangan dalam pilihanraya sebagai contoh , walaupun tiada siapa menafikan kemenangan itu penting namun sekali - kali kita tidak boleh meminggirkan akhlak Islami dalam percaturan politik .

Tentu sahaja perjuangan Islam tidak sama dengan gerakan nasionalis atau lainya yang tidak memiliki kamus dosa dan pahala dalam teori politik mahupun perjuangan mereka . Justeru itu kita jangan terjebak atau terpedaya dengan cara dan gaya mereka berpolitik .

Politik Islam kaya dengan akhlak , moral dan prinsip yang tidak memungkin ianya di beli apalagi dirasuah lantaran paksinya ialah Iman dan Islam .

Ketulenan manhaj perjuangan jua tidaklah dinilai semata - mata dipentas politik pilihanraya tetapi juga melihat bagaimana kita membuat keputusan jamaah , bagaimana kita memimpin jamaah dan menangani ahli , bagaimana kita beraksi di medan dakwah , bagaimana kita mendepani musuh , bagaimana kita bertahaaluf dan sebagainya .

Pasti sahaja adab dan akhlak berjamaah seperti syura , dengar dan taat , thiqah , istiqamah , wala' , ukhuwwah , ikhlas dan lainnya mewarnai diri , sikap dan aksi kita sebagai seorang pejuang .

Kita adalah Sebuah Gerakan Islam . Ini satu realiti yang mesti direalisasikan terutama kepada mereka yang diamanahkan sebagai pemimpin jamaah walau dimana posisinya . Bahkan apa pun kepentingan yang kita mahu capai dalam strategi berpolitik dan bergerak memimpin perjuangan ini , kita tidak boleh mencairkan nilai atau standard value bagi sebuah gerakan Islam .

Strategi itu benar dan wajar sebagaimana berpolitik itu adalah hak dan amanah perjuangan . Tetapi saya tegaskan sekali lagi , ketulenan manhaj perjuangan mesti dipelihara . Jangan kita abaikan ketulenannya semata - mata mahu melihat strategi kita berjaya dan politik kita menang .

Ingat ! menang tidak bererti benar dan kalah tidak bermakna salah . Justeru itu awas jangan palsukan manhaj perjuangan suci ini .Pemalsuan manhaj perjuangan adalah satu jenayah !

Oleh Ust Nasrudin bin Hassan at Tantawi

February 23, 2009

Timah Bukan Perak

By Dr. Mahathir Mohamad
1. Kita sedang melihat banyak peristiwa yang pelik berlaku di Perak yang dahulu terkenal dengan timahnya. Tetapi tidak ada yang lebih lucu daripada nasihat Perdana Menteri kepada Dato' Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Barisan Nasional supaya beliau membuat laporan polis berkenaan dengan penggantungannya oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak.

2. Jika keputusan yang dibuat oleh Speaker boleh dianggap sebagai satu jenayah, apa akan jadi jika Speaker Dewan Rakyat menggantung ahli pembangkang kerana apa-apa sebab? Dan ini kerap berlaku. Apakah ahli pembangkang akan lapor kepada polis? Jika boleh maka bolehlah kita anggap bahawa polis berkuasa keatas Speaker Dewan.

3. Memang ada jenayah yang boleh dilakukan oleh Tuan Speaker tetapi menggantung seseorang ahli Dewan bukanlah diantara jenayah yang boleh diambil tindakan oleh Polis.

4. Sekarang dilaporkan yang Dr Zambry akan hadir sidang Dewan Undangan Negeri Perak. Mengikut aturan peraturan Dewan, Speaker boleh arah pegawai Dewan untuk keluarkan Yang Amat Berhormat Dr Zambry dari Dewan. Dapatkah pegawai berkenaan yang bukan terdiri daripada parti Pakatan Rakyat berbuat demikian?

5. Dimana pula tempat duduk YAB Zambry? Apakata kalau YB Dato Seri Mohamed Nizar Jamaluddin duduk di tempat Menteri Besar? Apakah pegawai Dewan akan disuruh oleh Speaker untuk paksa Nizar kosongkan kerusinya? Apakah YAB Zambry akan berada di Dewan atau di luar Dewan setelah Speaker mengarah pegawai sekat YAB Zambry daripada berada dalam Dewan.

6. Bersama-samalah kita rakyat lihat akan peristiwa yang akan berlaku.

February 21, 2009

Tukang Intai dan Maklumat Darinya

Tertarik dengan tulisan ini..

Sekiranya datang seorang kepada kita, mengajak kita naik ke bumbung rumah seorang jirannya

untuk mengintai kelakuan ‘jelek’ jirannya itu, semata-mata untuk mengaibkannya, adakah kita akan mengikutnya? Semestinya tidak.

Tidak bukan kerana takut jatuh tergelincir dari bumbung tersebut atau disedari jiran dan seterusnya diberkas oleh pihak polis atau orang kampung yang lain. Tidak kerana kita sedar bahawa tindakan mengintai jiran adalah satu tindakan tidak bermoral! Oleh itu, kita akan menempelak orang tersebut dan mengatakan kepadanya bahawa sikapnya amat buruk dan tidak amanah. Bukan jirannya yang akan kita kutuk dan kecam kerana keaibannya, sebaliknya pengintai itulah yang akan kita nasihati dan diberi amaran.

Sekiranya kita turut mengikut untuk mengintai jirannya, maka kita pula yang tidak bermoral. Malahan lebih tidak bermoral dari jirannya itu kerana kita pun tidak tahu apa yang diintaikan. Mungkin tak nampak apa sangat, kerana gelap dan sebagainya tetapi kedengaran bunyi-bunyi dan ternampak gerak-geri dan seterusnya dijadikan buah mulut dikalangan kita.

Peristiwa seperti di atas mungkin berlaku pada zaman dahulu, pada zaman "peeping tom" ini mula dikenali, sebelum adanya kamera, samada digital atau telefon bimbit. Pada zaman sekarang, orang yang tidak bermoral seperti itu tidak perlu lagi mengajak kita memanjat bumbung rumah jirannya. Dia hanya perlu memanjat seorang diri, mengambil gambar dan menyiarkannya di dalam akhbar atau majalah atau internet. Malangnya ada akhbar dan majalah yang sanggup menyiarkannya. Lebih malang lagi ada ramai dari kita yang sanggup melihatnya.

Mungkin akhbar dan majalah tidak menyiarkan gambar-gambar tersebut tetapi disiarkan ceritanya dan disebut juga gambar-gambar berkenaan. Lebih teruk apabila berita yang terhasil dari tindakan tidak bermaruah pengintai itu tetap diberi tempat dan kredibiliti di dalam masyarakat.

Sebenarnya, sekiranya kita bermoral, gambar-gambar yang sedemikian tidak akan kita melihatnya. Berita mengenainya akan dipertikaikan haknya untuk diberi tempat di dalam akhbar dan majalah dan dengan itu diberi kredibiliti. Akhbar dan majalah yang menyiarkannya akan kita pulau kerana kita memahami bahawa tiada bezanya di antara kita melihat atau membacanya dalam akhbar, majalah atau internet dengan kita memanjat bumbung dan mengintai jiran tersebut. Dalam keadaan sebegini, kita seolah-olah diheret oleh akhbar dan majalah ke atas bumbung tersebut dan ‘digoda’ untuk melihat dan mendengarnya.

Oleh itu, peristiwa sebegini menguji bukan moraliti orang yang diambil gambarnya, tetapi moraliti masyarakat umum itu sendiri!

Sikap bermoral yang tegas sebegini adalah penyelesaian muktamad kepada masalah tindakan tidak bermoral penyebaran gambar-gambar yang mengaibkan seseorang. Ianya akan menyebabkan hilangnya keinginan akhbar dan majalah mensensasikan gambar-gambar sebegini kerana mereka akan dikutuk dan dipulau. Ianya akan menempelak tindakan orang yang tidak bermoral yang ingin mengaibkan seseorang kerana tiada yang ingin membeli gambar-gambar berkenaan, tiada yang ingin melihatnya dan tindakannya akan menyebabkan dia dicampak ke dalam penjara.

Gambar-gambar yang mengaibkan seseorang secara peribadi perlulah dibezakan juga dengan amalan penyelewengan pentadbir seperti kes video Lingam. Penyelewengan seperti ini membabitkan kepentingan umum dan salah guna kuasa serta pecah amanah. Ianya bukan isu peribadi. Dalam kes peribadi, cuba lihat semangat yang ditunjukkan oleh mereka-mereka yang memahami Islam.

Adapun dalam Kitab Al-Adab Al-Mufrad karangan Imam Al-Bukhari, beliau mendatangkan hadis daripada Abi Haisam berkata;

جاء قوم إلى عقبة بن عامر فقالوا : إن لنا جيرانا يشربون ويفعلون ، أفنرفعهم إلى الإمام ؟ قال : لا ، سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : « من رأى من مسلم عورة فسترها ، كان كمن أحيا موءودة من قبرها

Maksudnya;

“Telah datang satu kaum kepada ‘Uqbah bin ‘Amir lalu mereka berkata; “sesungguhnya kita mempunyai jiran yang minum (arak), apakah kamu boleh hantar mereka kepada imam (penguasa)? Berkata (‘Uqbah), jangan, kerana aku pernah dengar Rasulullah SAW bersabda : barangsiapa yang melihat akan aib seseorang muslim, lalu dia sembunyikan aib itu, maka ia seperti menghidupkan bayi yang mati dari kuburnya”
(Al-Adab Al-Mufrad : 3/105 : hadis no : 780)

Ada juga kes yang masyur melibatkan Umar Al-Khattab yang pada satu malam berjalan-jalan untuk melihat keadaan rakyatnya. Beliau terjumpa dengan sebuah rumah yang dalamnya ada yang meminum arak. Umar ceroboh masuk setelah mengintai apa yang berlaku di dalamnya. Apabila Umar masuk, ingin menangkap mereka, mereka menegur Umar pula dengan mengatakan Umar mengintai mereka sedangkan mengintai itu amalan yang terkutuk. Umar masuk juga tanpa memberi salaam sedangkan itu juga tidak berakhlak kata mereka. Akhirnya Umar beristighfar dan hanya menasihat mereka dan mereka tidak dirujukkan ke mahkamah untuk dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.

Malangnya moraliti masyarakat kita belum sampai ke tahap sebegitu. Ramai yang masih lagi sanggup memanjat bumbung dan menjadi pengintai. Akhirnya mangsa intaian dan kempen pengaiban menjadi sasaran dan tumpuan kita. Pengintai dan pengaib mencapai kehendaknya dan jiran yang sebenarnya tidak menyakiti sesiapa terus menjadi mangsa.

WaLlahu 'Alam

Oleh Khalid Samad



February 19, 2009

Usrah Minggu Ini

Daripada Abdullah bin Mas'ud ra katanya, Rasulullah saw bersabda "tidak boleh iri hati selainkan dalam dua perkara iaitu seseorang yang telah dikurniakan Allah harta lalu dihabiskan hartanya itu kejalan yang benar dan orang yang dikurniakan oleh Allah ilmu pengetahuan, lalu ia mengeluarkan sesuatu hukum berpandukan dengan ilmunya (AlQuran dan Hadis) serta diajarkannya kepada orang lain. ( AlBukhori dan Muslim)

Alhamdulillah, di kesempatan ini dapat kiranya dengan keizinan Allah s.w.t mendokumenkan pengajaran yang di ambil dari usrah yang telah di adakan pada minggu ini. Merafaqkan rasa syukur kehadrat Allah s.w.t kerana diberi kesempatan untuk hadir di dalam usrah. Memang tidak dapat dinafikan kenikmatan menghadiri usrah, selain dapat mempertingkatkan ukhuwah sesama jamaah PAS Kota Tinggi, ianya sebagai satu platform untuk mengasah minda dan duduk di dalam satu majlis ilmu yang Allah muliakan.

Minggu ini, topik perbincangan usrah telah pun melangkah ke perbincangan baru. Sebelum ini, tafsir Surah Yassin telah berjaya disempurnakan dan melalui perbincangan bersama ustaz yang menerajui Lajnah Tarbiah, maka Surah Al-Fatihah dipilih untuk mengisi slot-slot usrah selepas ini.

Surah ini dinamakan dengan berbagai-bagai nama seperti al-Fatihah, Um al-Kitab, as-Sab’ai al-Masthani dan lain-lain. Imam al-Qurtubi menghitung 12 nama Fatihah, sedangkan al-Alusi menyebut sebahagian ulama mengira sampai dua puluh dua nama, sama ada secara tauqif daripada nabi atau ijtihad para sahabat.

Mempunyai tujuh ayat dengan ijmak yang bersalahan ulama pada cara bilangannya, sama ada basmalah termasuk dalam ayat atau tidak.

Surah al-Fatihah termasuk surah-surah Makkiah seperti yang dinyatakan oleh al-Wahidi dalam Asbab an-Nuzul dan ath-Tha’labi oleh Ibn Abi Syaibah, Abu Naim dan al-Baihaqi.
Ada pendapat yang menganggap surah ini termasuk surah Madaniah berdasarkan kepada apa yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah, Abu Said bin al-A’rabi, at-Tabarani daripada Mujahid daripada Abi Hurairah : menangislah iblis ketika diturunkan al-Fatihah di Madinah.

INTI PATI DAN KANDUNGAN

Al-Fatihah mempunyai makna-makna al-Quran yang diasaskan dengan maksud-maksud secara ijmal, terdiri daripada usul ad-din dan cabang-cabangnya seperti akidah, ibadah, tasyri’, iktikad dengan Hari Akhirat, beriman dengan sifat-sifat Allah yang mulia, mengesahkannya dalam beribadat, meminta pertolongan dan doa. Selain itu memohon hidayah ke jalan yang benar di samping menetapkan iman dan jalan orang-orang solehin, menjauhkan daripada golongan yang dimurka Allah dan yang sesat. Justeru dinamakan Um al-Kitab kerana menghimpun segala maksud-maksud asas.

As-Shahid Hasan al-Banna dalam risalahnya - Mukadimah fi at-Tafsir - berkata : Tiada syak siapa yang tadabbur al-Fatihah yang mulia ini pasti dapat melihat kayanya makna dan keindahannya serta keserasiannya, antara lain dapat dilimpahi cahaya pada hatinya.

As-Shahid Syed Qutb dalam tafsirnya - Fi Zilal al-Quran antara lain berkata : Sesungguhnya surah ini mengandungi inti pati akidah Islamiyah tasawwur Islami, perasaan dan harapan doa kepada Ilahi yang diisyaratkan daripada hikmah pemilihan surah ini pada setiap rakaat solat.

As-Syeikh Abdul Rahman Habannakah al-Midani di dalam kitabnya Ma`arij at-Tafakkur membahagikan inti pati al-Fatihah kepada empat :
1. Asas iman yang wajib diimani hamba-hamba Allah yang diujinya ketika berkelana di dunia secara mesti.
2. Tuntutan Allah terhadap hamba-Nya beribadat dan bergantung kepada-Nya tanpa sekatan dengan yang lain.
3. Agama pilihan Allah bagi hamba-hamba-Nya yang diuji, hanya sirat al-mustaqim yang dapat kemenangan yang disuruh pohon hidayah kepada-Nya.
4. Dua masa ujian, ujian di dunia dalam kehidupan semenjak lahir dan hingga kiamat terhadap tuntutan Allah.

Justeru dinamakan surah ini Um al-Quran kerana rangkuman segala inti pati al-Quran

TAFSIR AYAT PERTAMA

Basmalah maksudnya : Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Makna ayat ini ialah, akan memulakan menyebut nama Allah sebelum setiap sesuatu dengan memohon pertolongan kepada Allah dalam segala urusan, kerana Allah bersifat Maha Perkasa di atas setiap sesuatu.

Ibn Jarir berkata : Sesungguhnya Allah mendidik nabi-Nya Muhammad s.a.w. dalam melakukan segala pekerjaan hendaklah dimulakan dengan nama-nama-Nya yang mulia dan dijadikan sunah bagi sekalian makhluk-Nya sama ada percakapan, surat, kitab dan hajat-hajat.

Gesaan ini jelas dengan arahan Allah dalam ayat pertama yang diturunkan dalam surah al-`Alaq. Justeru Allah mukadimahkan ayat ini pada semua surah kecuali surah at-Taubah. Ini kerana mengikut sebahagian ulama, ayat ini untuk memohon rahmat sedangkan surah at-Taubah mengkisahkan tentang perang atau hukuman Allah.

Dinaskan dalam hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah daripada Abi Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya : Setiap sesuatu yang tidak dimulakan dengan basmalah, ia akan terputus. Hadis ini dihasankan oleh an-Nawawi, maksud `terputus’ di sini adalah dicabut daripada kebaikan dan berkat.

Al-Alusi dalam kitabnya - Ruh al-Ma’ani berkata : Ulama khilaf adakah ayat ini khusus untuk umat ini atau tidak? Abu Bakar at-Tunisi menaqalkan ijma’ ulama bahawa Allah mukadimahkan setiap kitab-Nya dengan basmalah.

Dalam basmalah terdapat tiga nama Allah, iaitu Allah, ar-Rahman dan ar-Rahim. Allah adalah nama bagi zat yang wajib ada yang bergantung segala alam dengan-Nya seperti firman Allah s.w.t : Hai manusia, kamu semua fakir (berhajat) kepada Allah, dan Allah bersifat Maha Kaya lagi Terpuji.

Satu-satunya nama yang dikaramahkan Allah ialah nama-Nya sendiri `Allah’ yang tidak disekutukan oleh mana-mana makhluk termasuk manusia yang Islam atau bukan, yang bertamadun atau tidak. Semuanya tidak menamakan anak-anak mereka dengan nama Allah. Inilah ajaib nama ini.

Perbezaan antara Allah dan ilah, iaitu Allah menunjukkan kepada nama khas bagi zat yang Maha Suci tidak disekutukan dengan yang lain, yang bermaksud Tuhan yang diabdikan dengan sebenarnya. Sebaliknya ilah menunjukkan umum, sama-ada kepada Allah, Tuhan yang sebenar atau tuhan-tuhan lain yang bathil.

Ar-Rahman dan ar-Rahim menunjukkan rahmat Allah yang meliputi sekalian makhluk. Ar-Rahman dan ar-Rahim apabila disekalikan sebutannya memberi makna yang berbeza. Ar-Rahman lebih umum dan di dunia ini, sedangkan ar-Rahim khusus untuk ahli taat di Hari Akhirat. Sebaliknya apabila disebut ar-Rahman atau ar-Rahim sahaja, ia mewakili antara satu sama lain seperti pendapat Syeikh Abdullah Sirajuddin di dalam tafsir surah al-Fatihah.

Hikmah dikhususkan sebutan ar-Rahman dan ar-Rahim dalam basmalah kerana beberapa perkara:
1. Supaya hamba-Nya tahu bahawa Allah Tuhan mereka bersifat Rahman dan Rahim untuk menjadikan mereka taat dan beribadah memohon kepada-Nya.
2. Nama ar-Rahman meliputi segala alam yang kesannya dapat dilihat dan dibuktikan. Dan semua makhluk seperti manusia, jin dan lain-lain dicipta dengan rahmat Allah, justeru dengan menghayati kalimat ini menambahkan lagi ketaatan kita kepada Allah.

KESIMPULAN

Tdak ada keberkatan pada perkara atau perbuatan yang tidak dimulai dengan Basmalah. Hasil daripada usrah ini diharapkan kepada ahli agar dapat menjadikannya sebagai satu amalan zikir yang wajib dipraktikkan sebagai langkah mengimarahkan ilmu dan mengamalkannya. Atas kontek berjemaah, ahli-ahli usrah perlu mengambil berat antara perkara yang telah diajar oleh para ulamak dengan beriltizam dengan bacaan basmalah tersebut semuga mendapat keberkatan Allah s.w.t. Menjadi kebimbangan kebelakangan ini bagi golongan berfikiran sekular yang mengambil mudah memulakan sesuatu majlis dengan tidak dimulai dengan membaca basmalah seperti yang diceritakan oleh Ust. Dollah yang mulai menjalar pada segelintir masyarakat Felda. Ini amat membimbangi kerana keberkatan sesuatu majlis yang dimulakan dengan basmalah adalah yang baik.

Ahli-ahli usrah perlu ada anjakan dalam mempertingkatkan ilmu. Perlu tanamkan pemikiran bahawa datang ke usrah dengan persedian yang cukup agar dapat menyampaikan sesuatu yang bermanfaat kepada ahli-ahli yang lain dan saling bertukar-tukar pendapat dalam kerangka perbincangan yang dipersetujui. Usrah adalah program yang sangat penting, bukan sekadar pengisian hadir sahaja tanpa ada apa-apa pembaharuan. Mengambil kira atas kepentingan ilmu yang perlu di sediakan oleh setiap ahli usrah.

Diakhir pengisian usrah, ahli-ahli usrah dikehendaki berzikir dengan membaca Basmalah 30x sebagai permulaan untuk di amalkan seterusnya.

Wallahualam.

Rujukan : Tulisan DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

~matahijauku~

February 16, 2009

MEMORANDUM RAKYAT



Pada hari Rabu 11 Januari 2009 yang lalu, satu memorandum berhubung dengan Draf Rancangan Tempatan Daerah Kota Tinggi telah diserahkan kepada Pejabat Daerah Kota Tinggi. Memorandum ini telah dikemukakan oleh parti-parti Pakatan Rakyat Daerah Kota Tinggi, Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Yayasan Amal Malaysia Cawangan Johor dan Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) Cawangan Johor.

Di antara yang hadir bagi menyerahkan memorandum itu kepada Pegawai Daerah Kota Tinggi, Tn. Hj. Norizan Kulob ialah YDP Pas Kawasan Kota Tinggi, Tn. Hj. Kamaldin Tahir, Ketua Penerangan Pas Johor merangkap Presiden ANAK, Sdr Mazlan Aliman serta beberapa orang pimpinan Pas dan PKR Johor.

Walaubagaimanapun, disebabkan Pegawai Daerah sedang menghadiri mesyuarat ketika itu, memorandum hanya dapat diserahkan kepada Penolong Pegawai Daerah, En. Zainur. Menurut Tn. Hj. Kamaldin, penyerahan memorandum ini adalah sangat penting sebagai suatu bentuk bantahan dan cadangan terhadap kandungan draf pembangunan daerah tersebut kerana ia membabitkan kepentingan rakyat dalam daerah Kota Tinggi yang merangkumi 3 kawasan Parlimen, iaitu Kota Tinggi, Tenggara dan Pengerang. Sekiranya draf itu sudah diluluskan, bantahan tidak diterima lagi dan rakyat terpaksa menanggung kesannya andai Majlis Daerah Kota Tinggi dinaik taraf menjadi Majlis Perbandaran seperti kenaikan cukai tanah dan cukai harta.

Adalah diharapkan pertemuan penuh mesra yang mengambil masa kira-kira 20 minit itu membuahkan hasil di mana pihak Majlis Daerah Kota Tinggi dengan Pegawai Daerah selaku Yang Dipertuanya sudi meneliti dan mengkaji bantahan serta cadangan yang dimuatkan dalam memorandum tersebut demi kepentingan rakyat Kota Tinggi keseluruhannya.

Di antara isi kandungan memorandum tersebut adalah seperti berikut:


MEMORANDUM RAKYAT
11 Februari 2009

PENGENALAN
Daerah Kota Tinggi meliputi kawasan seluas 348,095 hektar dengan penduduk seramai 199,024 orang. Aktiviti pertanian meliputi kawasan seluas 212,692.77 hektar (61.1%) adalah asas utama ekonomi di kawasan yang majoritinya orang Melayu. Tanah Rancangan Felda dan kampung tradisi adalah kelompok terbesar selain taman perumahan yang berada di sekitar Bandar Kota Tinggi, Bandar Penawar dan Bandar Tenggara.

CABARAN SEMASA

1. Bentuk muka bumi Bandar Kota Tinggi yang rendah menjadikannya lembah dan laluan air. Semakin banyak pembangunan dilakukan, semakin risiko banjir tidak dapat dielakkan walaupun hujan hanya beberapa hari. Bandar Kota Tinggi dan kawasan sekitar khususnya kampung yang berdekatan seperti Kampung Tembioh, Kampung Kelantan, Kampung Makam, Bt 25 dan lain-lain sering kali menerima musibah daripada banjir kilat apatah lagi pada musim tengkujuh. Laluan air yang tersekat dan ketidakseimbangan muka bumi kerana kerja-kerja tanah bagi projek pembangunan telah memangsakan ribuan penduduknya setiap kali banjir berlaku.

2. Tanah rancangan Felda sangat bergantung kepada kekuatan komoditi sama ada kelapa sawit mahu pun getah. Kestabilan harga sangat diperlukan untuk menganjak taraf hidup peneroka Felda dan ianya tidak mudah untuk dicapai. Generasi baru Felda terpaksa berhijrah atau bekerja kilang yang jaraknya melebihi 15 km setiap hari untuk menampung kehidupan. Hanya segelintir yang beroleh kehidupan yang selesa dalam erti kata sebenarnya.

3. Penempatan nelayan di Pengerang, Sedili dan Telok Sengat tidak banyak berubah meskipun telah wujud begitu lama. Kehidupan yang serba daif masih melingkari sebahagian besar penduduknya. Usaha pertanian jika ada sekadar menampung keperluan seharian semata-mata.

4. Peranan Bandar Tenggara dan Bandar Penawar sebagai Pusat Separa Wilayah Negeri sangat perlahan. Bahkan kemudahan asas seperti Balai Polis, hospital, Balai Bomba dan lain-lain belum ada atau tidak sepadan dengan gah pada namanya. Kegiatan ekonomi begitu malap manakala kuasa beli penduduk adalah rendah. Ia tidak dibangunkan ke tahap maksimum meskipun usia penubuhannya melebihi 20 tahun.

5. Harus diakui bahawa Daerah Kota Tinggi adalah antara daerah termundur jika dibandingkan dengan daerah lain di negeri Johor dan taraf hidup penduduknya masih rendah.

6. Walaupun terkenal kerana memiliki produk pelancongan dan warisan sejarah, ia tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Bahkan meskipun berhampiran dengan Lapangan Terbang Senai, tidak banyak yang dilakukan. Political Will (kesungguhan politik) pemimpin selaku pemacu pembangunan dan good governance (urustadbir yang baik) daripada Pihak Berkuasa Tempatan tidak begitu menyerlah. Sebagai contoh, lihatlah apa yang sedang berlaku kepada Pusat Peranginan Desaru yang sangat terkenal suatu masa dahulu!

TUNTUTAN
1. Menghentikan sebarang niat untuk menaiktaraf Daerah Kota Tinggi menjadi Majlis Perbandaran kerana ini akan membebankan penduduk. Cukai tanah akan dinaikkan dan liputan cukai pintu akan sampai ke kawasan Felda dan Kampung pedalaman. Ini belum termasuk bebanan lain yang memberi kesan langsung kepada penduduk. Dengan taraf hidup yang ada, belum sampai masanya Kota Tinggi menjadi Majlis Perbandaran.

2. Kebajikan rakyat mesti menjadi keutamaan. Kemudahan asas seperti:
a. Sistem jalanraya yang cantik dan efisien untuk Bandar Kota Tinggi.
b. Menaik taraf Pusat Kesihatan Kecil Bandar Tenggara, Felda Bukit Besar dan Pengerang serta Klinik di setiap penempatan penduduk.
c. Mewujudkan sebuah Hospital untuk Bandar Penawar.
d. Mempercepat penggunaan Balai Polis Bandar Tenggara dan menaik taraf Pondok Polis sedia ada.
e. Mewujudkan Balai Bomba di Bandar Tenggara dan Sedili.
f. Mewujudkan Pusat Pelupusan Sampah (incinerator) untuk Bandar Kota Tinggi dan kawasan berhampiran.
g. Menambah Bank Perdagangan di Bandar Penawar dan Gugusan Adela.

Peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Tinggi mesti lebih terarah dan fokus. Ia tidak boleh bersifat stereotype dan menunggu aduan orang ramai sahaja. Bagi daerah yang kerap dilanda banjir dan golongan miskin yang agak ramai kedudukannya teramat penting.

3. Mendirikan sebuah universiti berkonsepkan perladangan, pelancongan dan sejarah untuk melahirkan graduan yang memenuhi kehendak pasaran domestik. Pusat-pusat penyelidikan berasaskan komoditi, biotek, pelancongan dan sejarah sangat perlu diwujudkan untuk daerah yang mempunyai keluasan ladang sawit dan getah serta warisan sejarah yang banyak seperti Kota Tinggi. Sosio ekonomi setempat, peluang pekerjaan, limpahan rezeki peniaga dan nilai hartanah akan berkembang.

4. Mewujudkan Daerah Sejahtera sebagai antara 4 teras utama perancangan pembangunan mesti mengambil kira persekitaran yang selamat dari jenayah dan gejala sosial. Antaranya:-
a. Pemantauan dan penguatkuasaan yang tegas terhadap kegiatan tidak bermoral seperti pelacuran dan rumah urut yang disalah guna.
b. Mengkaji semula lambakan kedai arak termasuk di kedai runcit dan 7 Eleven. Mengharamkan sama sekali orang Islam memasuki dan minum arak di restoran bukan Islam.
c. Pemantauan aktiviti pusat hiburan bagi mengelakkan berlakunya aktiviti melampau, bunyi bising yang mengganggu ketenteraman awam dan mesti ditutup tidak melebihi pukul 12 tengah malam.
d. Penguatkuasaan larangan orang Islam membeli nombor ekor. Ketika ini pemantauan sangat lemah.
e. Peningkatan aktiviti kerohanian seperti kuliah agama, kelas KAFA dan ceramah agama. Kerenah birokrasi dalam soal tauliah menyebabkan banyak masjid dan surau ‘mati’ daripada aktiviti keagamaan.
f. Mewujudkan sukarelawan yang boleh membantu menangani gejala sosial. Ia boleh mengikut format Rela dan Rukun Tetangga sebagai pasukan sokongan bagi membantu Polis dan Jabatan Agama.
g. Mengambil langkah segera mengatasi masalah Sekolah Agama yang masih menumpang dan keperluan asas yang tidak mencukupi.

5. Perancangan strategik menangani masalah banjir merangkumi masa depan penempatan terbabit, perpindahan tersusun mangsa banjir, sistem tebatan banjir, pengurusan sungai dan perparitan serta mengoptimumkan pergerakan Jawatankuasa Banjir Peringkat Daerah dengan dokongan pelbagai pihak termasuk parti politik BN/PR serta NGO. Jawatankuasa ini tidak boleh berperanan secara ad hoc.

6. Mendirikan One Stop Centre di kawasan laluan masuk ke Bandar Kota Tinggi. Pusat perhentian yang mempunyai Pusat Panduan Pelancong, ruang pameran, gerai kraftangan/cenderahati, gerai makan, gerai buah-buahan, laluan bas/teksi, kawasan riadah/permainan, surau dan lain-lain sangat diperlukan sebagai tarikan persinggahan pelancong atau pengunjung luar Kota Tinggi.

7. Membangunkan semula Pusat Peranginan Desaru, Telok Sengat dan menurunkan bayaran masuk ke Air Terjun Kota Tinggi. Membatalkan pembangunan pelancongan yang dianggap kurang perlu atau membazir.

8. Mengurniakan kawasan tertentu antaranya tanah seluas 400 ekar berdekatan tanah Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) di batu 15 Jalan Kulai – Kota Tinggi dan Pasak kepada generasi baru Felda untuk dibangunkan di bawah Koperasi Belia Felda umpamanya bagi menambah aset Bumiputera dengan projek komersil atau yang bersesuaian dengannya.

9. Mempertingkatkan keupayaan agensi membantu bumiputera seperti UDA, MARA, KEJORA, FELDA dan FELCRA agar lebih banyak hartanah dalam bentuk bangunan komersil, gerai dan pusat kemahiran dapat dibangunkan. Kegagalan mengurus pembangunan yang hanya menguntungkan kroni semata-mata dan meminggirkan Bumiputera sebagai kelompok majoriti adalah sangat berbahaya.

10. Menilai semula penempatan dan kemudahan asas masyarakat Cina , India dan Orang Asli yang mendiami kawasan estet dan pedalaman. Nasib peniaga Cina yang merupakan kelompok utama yang berdepan dengan masalah banjir yang kerap, gerai Melayu yang bersaing dengan lambakan pasaraya serta penduduk India yang terpinggir turun temurun di estet harus ada formula penyelesaiannya.

11. Peranan Pihak Berkuasa Tempatan dalam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah, telus dan adil mesti menjadi agenda utama ke arah urustadbir yang baik. Tiada kewajaran untuk menjadi ‘pak turut’ kepada kehendak orang politik yang memerintah sehingga menafikan hak orang lain. Bekerja secara profesional tanpa meminggirkan mana-mana kaum dan ahli parti politik. PBT bukan badan perniagaan untuk suku sakat atau kroni tertentu. Amalan rasuah yang sering kali dikaitkan dengan PBT mesti diperangi habis-habisan!

PENUTUP
Pengalaman masa lalu dan perancangan atas kertas bukan sedikit yang menemui kegagalan. Pertanggungjawaban (accountability) yang bertitik tolak daripada kesedaran memenuhi amanah rakyat yang sentiasa terikat dengan dosa pahala seharusnya menjadi garis panduan dalam hidup untuk melakukan yang terbaik. Jiwa merdeka yang hanya takut kepada Allah akan mendorong tindakan yang adil utnuk semua. Pembangunan fizikal akan bergerak pantas manakala pembangunan spiritual menjadi pengimbang.

Firman Allah SWT:
Sesungguhnya orang yang tidak menaruh harapan akan berjumpa Kami (pada hari akhirat) dan mereka yang telah berpuas hati dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya dan orang-orang yang tidak mengendahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasaan) Kami. Orang yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah neraka hasil daripada apa yang mereka lakukan (keengkaran dan kederhakaan)”
Surah Yunus: 7 – 8

Dikemukakan oleh,

PAKATAN RAKYAT DAERAH KOTA TINGGI

PERSATUAN ANAK PENEROKA FELDA KEBANGSAAN (ANAK)

YAYASAN AMAL MALAYSIA CAWANGAN JOHOR

TERAS PENGUPAYAAN MELAYU (TERAS) CAWANGAN JOHOR

Sembang Warung Lilin - Tuntutan Politik

Jika sebelum ini jarang orang berminat bercakap mengenai politik, melainkan golongan yang terbabit secara langsung dengannya, keadaan kini adalah sebaliknya, malah remaja juga berminat mengetahui senarionya. Ini adalah perkembangan baik yang ditunjukkan golongan muda kerana mereka adalah pewaris pemerintahan negara ini. Dengan senario yang mutakhir ini dapat mencelikkan pengetahuan mereka tentang perjalanan politik ditanahair ini.

Di mana-mana tempat bersembang atau ‘ngeteh’, topik perbualan mengenai politik tidak ditinggalkan, khususnya PRK Bukit Gantang dan Bukit Selambau serta kronologi disebalik kejadiannya.

Sering juga diperkatakan bahawa politik itu kotor. Tetapi, hakikatnya orang yang terbabit dengan politik yang tidak ditunjangi dan didasarkan dengan politik Islam yang melakukan onak sehingga dikatakan kotor.

Penyalahgunaan kuasa, politik wang, skandal seks, culik menculik, hingga sanggup berbunuhan demi survival dan agenda tersendiri mereka menyebabkan politik dipalit kekotoran.

Tetapi, bagaimana Islam melihat politik dan pilihan raya itu sendiri. Nabi Muhammad s.a.w ketika mengembangkan Islam turut menggunakan politik.

Kamus Dewan Edisi Tiga, “politik” bermaksud ilmu cara pemerintahan, ilmu siasah dan ilmu kenegaraan; kedua, segala sesuatu berkenaan pemerintahan sesebuah negara atau hubungannnya dengan negara lain dan ketiga, kelicikan, muslihat atau tipu muslihat. Politik juga membawa erti keupayaan manusia mengurus sesuatu, mengikut disiplin ditetapkan.

Takrifan ini membuktikan makna politik amat luas, bukan saja merujuk kepada pengetahuan dan kebijaksanaan mentadbir negara, malah membawa maksud tipu muslihat.

Jadi, tidak hairan ada pihak menggunakan muslihat tersendiri untuk mendapatkan pengaruh dan gelaran yang diidamkan, kerana politik itu sendiri dari satu sudut dikatakan muslihat.

Contoh terbaik adalah Rasulullah s.a.w berpolitik yang bijak menguruskan hal pemerintahan dan dakwah. Rasulullah mengajar manusia berpolitik dalam Islam, dimana urusan membabitkan perlantikan pemimpin bukan perkara sampingan atau main-main, malah ia menjadi topik khusus dalam pewarisan Nabi Muhammad s.a.w bagi memastikan agama Islam dan politik dunia terpelihara.

Justeru itu, menjadi kewajipan bagi umat Islam melantik pemimpin bagi memastikan Islam dan umatnya terbela dan apabila dilantik mesti ditaati selagi mana ianya tidak melanggar hak-hak dan tuntutan sebagai muslim.

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan rasul serta kepada ulil-amri (pemimpin) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (an-Nisa : 59)

Apabila pemerintah baik, Nabi kata kamu kena dengar dan apabila pemerintah yang buruk, disuruh kita menghindarinya. Itulah juga dinamakan politik. Kewajipan umat Islam ke atas perlantikan pemerintah adalah fardhu kifayah seperti jihad dan menuntut ilmu.

Dalam konteks Malaysia yang dinilai pengundi ialah calon atau ideologi politik. Mengundi asalnya adalah harus, tetapi jika calon yang baik dengan dasar perjuangan untuk menegakkan keadilan, amar maaruf nahi mungkar, meletakkan Islam dimartabat tertinggi perundangan negara adalah menjadi sunat malah wajib pula, sebaliknya calon jahat, zalim, menghina hukum Islam, memperlekehkan sunah Nabi, tidak menjaga maruah keluarga maka hukumnya haram disokong.

“Dan barangsiapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang. Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil jadi pemimpinmu, orang-orang yang membuat agamamu jadi buah ejekan dan permainan, (iaitu) diantara orang-orang yang telah diberi kitab sebelummu, dan orang-orang yang kafir (orang-orang musyrik). Dan bertakwalah kepada Allah jika kamu betul-betul orang-orang yang beriman”. (al-Maidah : 56&57)

~matahijauku~

February 12, 2009

Antara Sedar dan Nyata

Petikan laman web pemuda UMNO, Kota Bharu -- Pemuda UMNO Kelantan menyifatkan ketegasan yang ditunjukkan oleh Mufti Perak, Datuk Seri Harusani Zakaria berhubung kemelut politik di Perak sebagai satu tindakan berani dan bertanggungjawab.

Ketua Penerangannnya, Ustaz Hj Mohd Afandi Yusoff berkata itulah sebenarnya sikap yang perlu ada pada seorang mufti, iaitu berkata benar walau pun pahit kerana itu terkandung dalam ajaran al Quran dan hadis.

Ulasan : Inilah sikap UMNO, perkara-perkara yang menguntungkannya sahaja akan di war-warkan mereka sebagai yang baik tapi apabila orang yang sama juga menegur akan pemerintahan mereka terutama rancangan Jon Heboh maka habis pandangan Mufti di kira sampah.

Tegasnya Raja atau Sultan dianggap sebagai ulil amri yang wajib ditaati oleh seluruh rakyat khususnya umat Islam dan seseorang yang tidak taat kepada Raja, selagi raja itu tidak melakukan perkara yang dilarang, adalah dikira derhaka.

"Baginda sebagai lambang penyatuan, keamanan dan payung kepada rakyat.

Ulasan : Bila bab ini sultanlah segalanya tapi bila dulu UMNO jugalah yang meminda perlembangaan tentang hak kekebalan Raja dan Sultan.

"Di samping Sultan merupakan Ketua Agama Islam bagi Negeri, seperti disebut dalam perkara 3(2) Perlembagaan Malaysia kedudukan Raja sebagai Ketua Agama Islam dalam Negerinya secara dan setakat mana yang diakui dan diisytiharkan oleh Perlembagaan Negeri itu..", katanya kepada laman webPemuda di sini, hari ini.

Tambahnya lagi belum ada dalam sejarah negara ini, mana-mana pemimpin politik bertindak ganas dengan menyaman institusi raja kerana tidak berpuas hati, bahkan secara terbuka memohon untuk derhaka kepada paduka sultan.
Ujarnya, "Ini suatu tindakan kurang ajar dan biadap terhadap ulil amri.

Ulasan : Bertambah geli bila membaca kenyataan di atas, lupakah UMNO siapakah yang menjadi onar pertembungan UMNO dan Raja? Lupakah akan kejadian tahun lepas? Mana perginya hulubalang UMNO ketika itu? Mana perginya PEKIDA yang tegas ingin mempertahankan Raja?


"Rasullah berkali-kali menyebut dan melarang keras umat Islam daripada menderhakai ulil amri (Raja Islam) antaranya sabda baginda dalam riwayat Bukhari "Hendaklah kamu dengar dan taat, sekalipun yang menjadi pemerintah kamu (Raja/Sultan) ialah seorang hamba keturunan Habsyi yang rambut dikepalanya kelihatan seperti buah anggur (bergumpal)”..

Kemelut politik yang melanda Perak terus diperkatakan umum apabila Datuk Seri Mohamad Nizar masih mengaku dirinya Menteri Besar sedangkan beliau telah dititahkan oleh Sultan Perak agar meletakkan jawatan setelah kerajaan negeri itu hari ini diterajui Bariasn Nasional (BN).

Bahkan keengganan tersebut disusuli oleh tindakan Karpal Singh yang ingin mengemukakan saman terhadap Sultan dan pihak istana.

Rentetan itu, Mufti Perak, Datuk Seri Harusani Zakaria mengeluarkan kenyataan bahawa seseorang yang tidak taat kepada Raja, selagi raja itu tidak melakukan perkara yang dilarang, adalah dikira derhaka menimbulkan pelbagai kenyataan balas daripada pelbagai pihak.

Afandi yang juga Ketua Pemuda UMNO Rantau Panjang seterusnya berkata apa yang berlaku di Perak hari ini merupakan ulangan kepada sejarah masa lampau.

"Derhaka" atau "ingkar" adalah ajaran Iblis, yang dirakamkan oleh al Quran dalam surah al Baqarah dengan jelas sekali, iaitu kisah bagaimana keenganan Iblis untuk sujud sebagai tanda hormat kepada Nabi Adam, perintah Allah disanggah, kerana merasakan dirinya lebih baik, lebih mulia berbanding Nabi Adam.

Ulasan : Derhaka atau ingkar di atas tindakan yang menzalimi kehendak rakyat, apakah juga termasuk dalam perumpamaan di atas? UMNO yang ingkar untuk mendaulahkan Islam sepenuhnya setelah mempunyai kekuasaan di muka bumi Malaysia ini apa ceritanya? UMNO yang menghina Nabi atas kenyataan yang melukakan hati orang Islam tidakkah di kira derhaka? Ketahuilah, menderhaka sesama manusia yang menzalimi bangsanya tidak membawa apa-apa makna sebaliknya menderhaka kepada Nabi sendiri, apakah pemimpin UMNO mampu memberi syafaat di hari kiamat nanti? Apakah tiada perasaan takut apabila Nabi tidak mengaku umatnya? Adakah sekadar berbangga bahawa pemimpin UMNO yang mengaku ahli-ahlinya di hadapan Allah kelak?

~matahijauku~