Salurkan Sumbangan Dana Pilihanraya Anda ke Parti Islam Se-Malaysia Kawasan Kota Tinggi

Salurkan Sumbangan Dana Pilihanraya Anda ke Parti Islam Se-Malaysia  Kawasan  Kota Tinggi
No Akaun : 01-069-01-003759-0

Pilihan Anda di PRU 13?

Ruang Aduan

E-mail Address: *
Nama Pengadu *
Nombor Telefon *
E-mail Address
Alamat Pengadu *
Aduan *
Adakah anda bersetuju untuk mendedahkan identiti anda sekiranya diperlukan? *YA
TIDAK

* RequiredBuild Contact Forms

February 05, 2009

BERITA TERKINI SITUASI DI PERAK

Untuk mendapatkan berita yang sahih tentang kemelut yang melanda politik di Perak, aku cuba melayari di laman-laman web terkemuka namun mungkin kehangatannya maka semua laman web tersebut terpaksa di ganti oleh kerana laluan traffic yang terlalu padat. Jadi sedikit sebanyak maklumat di masukkan di sini bagi tatapan pembaca..

FRU menggganas, masjid dibedil gas pemedih mata!
KUALA KANGSAR, 6 Feb (Hrkh) - 3.20 petang:FRU sedang melepaskan gas pemedih mata kepada orang ramai yang sedang berhimpun di luar Masjid Ubudiyyah.

Dalam pada itu, didapati beberapa das gas pemedih mata turut dilepaskan ke dalam masjid dan ini telah menyebabkan gangguan kepada jemaah yang masih berada dalam masjid yang sedang membaca Yassin.

Sementara itu, seorang bekas anggota FRU yang turut berada di lokasi kejadian menyifatkan tindakan FRU adalah melampau dan melanggar prosedur kerana melepaskan gas pemedih mata ke dalam masjid.

Selain itu, dalam tinjauan wartawan Harakah mendapati orang ramai sedang cuba untuk menutup pintu masjid bagi mengelak serangan FRU yang makin membabi buta. - Harakahdaily



Polis tembak gas pemedih mata ke arah orang ramai
Sumber: Malaysiakini & Forumer TKO

- 3.48pm Tiada penunjuk perasaan di depan Istana Iskandariah, tempat majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak, tetapi masih ada lebih kurang 1,000 penyokong Pakatan Rakyat di Masjid Ubudiah.

Dilaporkan 10 orang berjaya ditangkap polis. Tiada kenyataan rasmi polis dikeluarkan, setakat ini.

- 3.36pm Majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak, Datuk Dr Zambry Abd Kadir akan berlangsung tidak lama lagi.

Semua 28 wakil rakyat Pakatan Rakyat termasuk Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin telah memutuskan untuk memulaukan majlis tersebut di balai istiadat Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

- 3.33pm Pemimpin PAS mengarahkan para penunjuk perasaan bersurai, dan menyeru polis agar bertenang dan berundur.

- 3.25pm Keadaan mulai kembali tenang di Masjid Ubudiah di bandar diraja Perak.

Kelihatan beberapa orang menangis, sambil mengeluh "kenapa masjid diperlakukan sebegitu."

Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan sidang media khas di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya jam 4.30 petang ini.

- 3.20pm Polis berjaya memecahkan halangan para penyokong Pakatan Rakyat.

Sebuah kenderaan yang bernombor pendaftaran kuning (diraja) dibaling batu oleh penunjuk perasaan.

- 3.18pm Sebahagian penyokong Pakatan Rakyat berhimpun di kawasan masjid.

Polis melepaskan lebih banyak gas pemedih mata, termasuk ke arah kawasan masjid dan beberapa kediaman berhampiran tempat ibadat itu.

Kenderaan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelihatan masuk ke istana.

- 3.11pm Kelihatan sejumlah orang baring di atas jalan menuju istana untuk menghalang sesiapa ke arah istana.

Sekejap tadi polis berjaya menyuraikan kumpulan 300 orang tadi.

- 3.08pm Kira-kira 300 orang menghalang jalan menuju istana. Polis pencegah rusuhan melepaskan gas pemedih mata bagi kali ketiga ke arah mereka.

Sementara itu, polis menangkap para penyokong menteri besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Tiada angka rasmi jumlah tangkapan diketahui, setakat ini.

- 3.01pm Polis pencegah rusuhan mengejar orang ramai di jalan depan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar. Mereka berlari tidak tentu arah dalam keadaan asap tebal gas pemedih mata.

Beberapa orang penyokong kelihatan membaling objek seperti kayu ke arah polis.

Jalan depan masjid dari kedua-dua arah ditutup oleh polis.

- 2.58pm Perkumpulan orang ramai mula berundur ke dalam kawasan perkarangan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar sekali lagi selepas polis melepaskan gas pemedih mata bagi kali kedua.

Jumlah mereka dianggarkan 3,000 orang. Lebih banyak gas pemedih mata dilepaskan, termasuk ke arah tempat letak kereta masjid.

Mereka masih mendesak ingin bergerak ke Istana Iskandariah, tempat berlangsung majlis angkat sumpah menteri besar baru Datuk Dr Zambry Abd Kadir jam 3.30 petang ini.

- 2.50pm Polis mengarahkan orang ramai bersurai. Penyokong Pakatan Rakyat kini berada di tepi jalan. Gas pemedih mata dilepaskan sekali lagi.

Lima trak polis kelihatan, tiada kenderaan pemancut air kelihatan. Tiada tangkapan dilaporkan, setakat ini.

Jalan depan masjid dari kedua-dua arah ditutup oleh polis.

- 2.40pm Perkumpulan orang ramai yang bertempiaran bergabung semula di atas jalan depan Masjid Ubudiah selepas polis melepaskan gas pemedih mata.

Polis pencegah rusuhan dari arah Istana Iskandariah sedang menuju ke arah ratusan penyokong Pakatan Rakyat itu. Kedengaran siren polis.

- 2.26pm Mereka merempuh sekatan polis di luar pintu masuk Masjid Ubudiah untuk berarak ke Istana Iskandariah.

Kira-kira 50 anggota polis termasuk unit pencegah rusuhan FRU terpaksa mengelak dan berdiri di tepi jalan.

Polis melepaskan gas pemedih mata, kedengaran sekurang-kurangnya tiga das ke arah kumpulan orang ramai.

Sebahagian kumpulan itu berundur semula ke dalam kawasan pagar masjid, sementara sebahagian lagi lari bertempiaran di tepi jalan menuju istana.

- 2.21pm Beberapa ratus orang, termasuk wanita, penyokong Pakatan Rakyat berkumpul di Masjid Ubudiah selepas solat Jumaat sebentar tadi.

Mereka dijangkakan berarak ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar yang terletak beberapa ratus meter dari masjid.
Berita BERNAMA

Pakatan Rakyat Fail Saman Isytihar Tiga Kerusi Kosong

IPOH, 5 Feb 5 (Bernama) -- Kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan Rakyat hari ini memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini memohon bagi mengisytiharkan kekosongan di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu kawasan Behrang, Changkat Jering dan Jelapang.

Saman itu difailkan oleh Peguam Bela dan Peguam Cara Leong & Tan di Mahkamah Tinggi Ipoh pada pukul 11.40 pagi. Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V. Sivakumar dan Exco Kanan negeri Datuk Ngeh Koo Ham hadir di mahkamah.

Ketiga-tiga penyandang -- Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering), dan Hee Yit Fong (Jelapang) -- mendakwa surat peletakan jawatan mereka ditandatangani selepas mereka dipilih menjadi wakil rakyat pada Mac tahun lepas.

Sivakumar dan Ngeh dalam satu kenyataan bersama hari ini mengulangi bahawa Sivakumar telah menerima peletakan jawatan ketiga-tiga wakil rakyat dan kerajaan negeri tidak lagi mengiktiraf mereka sebagai wakil rakyat bagi kawasan berkenaan.

"Pengisytiharan ini dipohon bagi memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya mengiktiraf kekosongan ketiga-tiga kerusi dan pilihan raya kecil mesti diadakan," menurut mereka.

Berita dari Malaysiakini

PM tiba di istana, Pakatan berkubu di rumah MB

Feb 5, 09 10:19am

kemaskini 5.52pm: Perdana menteri tiba di Istana Kinta, Ipoh jam 5.50 petang, dipercayai untuk majlis angkat sumpah menteri besar baru dan pembentukan kerajaan baru BN.

kemaskini 5.01pm: Perdana menteri dijangka tiba di Istana Kinta, Ipoh tidak lama lagi, dipercayai untuk majlis angkat sumpah menteri besar baru.

Timbalan perdana menteri, yang juga ketua perhubungan Umno negeri, dan barisan wakil rakyat BN dilaporkan sudah berada di istana berkenaan.

kemaskini 4.55pm : Polis telah mengepung bangunan pentadbiran kerajaan Perak, dan mengarahkan semua exco Pakatan Rakyat serta para pembantu mereka meninggalkan bangunan tersebut.

kemaskini 4.50pm: Kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat menyokong penuh Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar .

Mereka juga meminta supaya pilihanraya baru diadakan untuk mengesahkan mandat baru daripada rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mereka akan memohon untuk menghadap Sultan Perak berhubung isu tersebut.

Setakat ini, semua pimpinan tertinggi Pakatan berkubu di kediaman menteri besar, dengan harapan semakin ramai penyokong hadir menyatakan sokongan padu kepada Mohamad Nizar.

Pakatan juga akan menganjurkan satu perhimpunan besar di stadium Ipoh malam ini.

kemaskini 4.40pm : Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memberitahu satu sidang akhbar bahawa beliau tidak akan meletak jawatan sebagai menteri besar.

Beliau menggesa rakyat supaya menyokong kerajaan Pakatan.

Beliau juga berkata, Speaker DUN telah memfailkan kes di mahkamah berhubung kesahihan surat peletakan jawatan bekas Adun-adun Pakatan yang keluar parti.

Menurutnya, adalah wajar untuk menunggu mahkamah memutuskan kes tersebut.

Oleh itu, katanya, majoriti BN (sekarang) mungkin tidak sah.

kemaskini 4.05pm : Setiausaha kerajaan negeri Perak, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim telah mengarahkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan semua anggota exconya supaya mengosongkan pejabat masing-masing dengan segera.

Mereka juga diarahkan supaya memulangkan semua aset kerajaan negeri, termasuk kunci pejabat dan menyerahkan kenderaan rasmi dengan segera.

Mereka juga dilarang memindahkan sebarang dokumen dari bilik masing-masing.

kemaskini 3.28pm : Speaker DUN V Sivakumar mendakwa dipujuk menyertai BN dengan sejumlah wang dan jawatan penting peringkat negeri dalam MIC.

Lobi agar mereka meninggalkan Pakatan Rakyat bermula sejak selepas pilihanraya umum Mac tahun lepas.

kemaskini 3.20pm: Pemimpin-pemimpin atasan ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat berada di dalam kediaman rasmi menteri besar Perak.

Datuk Seri Nizar Jamaluddin - yang diarahkan meletakkan jawatan serta-merta bersama barisan exconya - dijangka mengadakan sidang media tidak lama lagi.

Difahamkan beliau akan mengumumkan enggan melepaskan jawatannya itu.

Suasana di luar kediaman itu kelihatan tenang dengan sekumpulan kecil penyokong dan wartawan.

Kira-kira 30 anggota Unit Amal PAS mengawal kediaman tersebut. Tiada anggota polis berpakaian seragam kelihatan.

kemaskini 2.33pm : Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak perkenan dewan undangan negeri dibubarkan, demikian menurut kenyataan Pejabat Sultan Perak hari ini.

Baginda juga menitahkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai menteri besar Perak berkuatkuasa serta-merta dan jika tidak, jawatan itu dianggap dikosongkan.

kemaskini 2.14pm: Tempat perhimpunan 100,000 orang untuk menyokong kerajaan Pakatan Rakyat telah dipindahkan dari kediaman menteri besar ke Stadium Ipoh.

kemaskini 2pm: Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di kediaman Menteri Besar, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Beliau dijadual mengadakan sidang akhbar bersama menteri besar dan Lim Kit Siang pada 3 petang.

Naib presiden PKR, Azmin Ali turut hadir.

kemaskini 1:33pm : Difahamkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin enggan melepaskan jawatannya selepas menghadap Sultan Perak kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Malaysiakini difahamkan DUN Perak tidak akan dibubarkan.

Keputusan lanjut kedudukan beliau dan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak belum jelas.

kemaskini 1:30pm: Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin meninggalkan istana Kinta jam 1.05 tengah hari tadi selepas menghadap Sultan Perak 15 minit kemudiannya.

Menteri besar itu bersama Setiausaha Agung DAP Lim Kit Siang dan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan sidang media jam 3 petang.

kemaskini 1:26pm : Datuk Seri Najib Razak tidak mengadakan sidang media selepas bermesyuarat dengan badan perhubungan Umno negeri di pejabatnya di Ipoh.

Beliau kelihatan masuk sejurus selepas tengah hari ini.

kemaskini 11:54pm Semua 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak serta tiga Adun Bebas hari ini menghadap Sultan Perak untuk membuat pengakuan yang mereka menyokong Barisan Nasional, kata Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan perdana menteri berkata kesemua mereka turut memberi pengakuan menyokong calon menteri besar baru yang akan dikemukakan oleh BN.

"Tuanku dijangka akan membuat keputusan sama ada bubar Dewan Undangan Negeri Perak atau meminta Menteri Besar Datuk Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan dengan secepat mungkin," katanya pada sidang akhbar selepas menghadap Sultan Perak kali kedua di Istana Kinta.

kemaskini 11:48pm Menteri Besar Perak dipanggil menghadap Sultan menjelang tengah hari ini, dipercayai berkaitan penyerahan kuasa kepada BN untuk pembentukan kerajaan baru.

Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin meninggalkan satu majlis bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Bagan Serai pada kira-kira 11.40 pagi tadi.

kemaskini 11:00pm Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memasuki Istana Kinta pada jam 9.50 pagi tadi untuk mengadap dan mendapat perkenan Sultan Azlan Shah untuk Barisan Nasional (BN) menubuhkan kerajaan baru di Perak.

Beliau yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak diiringi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Hamidi Hamid.

Ahmad Zahid merupakan timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Perak.

Najib meninggalkan istana pada jam 10.35 pagi, dan sambil tersenyum, melambaikan tangan kepada wartawan tanpa berhenti di pintu masuk istana.

Bagaimanapun, beliau kembali semula ke Istana Kinta dengan empat wakil rakyat yang keluar Pakatan Rakyat semalam - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, Mohd Osman Jailu (Changkat Jering), Hee Yit Foong (Jelapang) dan Datuk Nasaruddin Hashim (Bota) - untuk mengadap baginda pada jam 10.55 pagi ini.

Semalam, Najib mengumumkan bahawa BN negeri cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baru selepas empat Adun berkenaan menyokong BN secara terbuka.

Berikutan perkembangan tersebut, BN kini mempunyai 28 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Pakatan juga 28 dengan tiga bekas Adun PKR dan DAP yang kini wakil rakyat bebas yang telah menyatakan sokongan kepada BN.

'Situasi tidak menentu'

Manakala Adun Bota, Nasarudin - yang mengumumkan melompat kepada PKR selama 10 hari - kembali semula kepada Umno dan memberi sokongan kepada kerajaan BN negeri.

Selepas mengadap Sultan Perak, Najib akan mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan Umno negeri.

Agenda utama mesyuarat tersebut dijangka adalah mengenai pemilihan calon untuk jawatan menteri besar yang baru.

Sebelum ini, Najib telah membatalkan satu majlisnya di Putrajaya pagi ini untuk berlepas ke Perak untuk mengadap Sultan Azlan Shah.