Salurkan Sumbangan Dana Pilihanraya Anda ke Parti Islam Se-Malaysia Kawasan Kota Tinggi

Salurkan Sumbangan Dana Pilihanraya Anda ke Parti Islam Se-Malaysia  Kawasan  Kota Tinggi
No Akaun : 01-069-01-003759-0

Pilihan Anda di PRU 13?

Ruang Aduan

E-mail Address: *
Nama Pengadu *
Nombor Telefon *
E-mail Address
Alamat Pengadu *
Aduan *
Adakah anda bersetuju untuk mendedahkan identiti anda sekiranya diperlukan? *YA
TIDAK

* RequiredBuild Contact Forms

February 16, 2009

MEMORANDUM RAKYAT



Pada hari Rabu 11 Januari 2009 yang lalu, satu memorandum berhubung dengan Draf Rancangan Tempatan Daerah Kota Tinggi telah diserahkan kepada Pejabat Daerah Kota Tinggi. Memorandum ini telah dikemukakan oleh parti-parti Pakatan Rakyat Daerah Kota Tinggi, Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Yayasan Amal Malaysia Cawangan Johor dan Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) Cawangan Johor.

Di antara yang hadir bagi menyerahkan memorandum itu kepada Pegawai Daerah Kota Tinggi, Tn. Hj. Norizan Kulob ialah YDP Pas Kawasan Kota Tinggi, Tn. Hj. Kamaldin Tahir, Ketua Penerangan Pas Johor merangkap Presiden ANAK, Sdr Mazlan Aliman serta beberapa orang pimpinan Pas dan PKR Johor.

Walaubagaimanapun, disebabkan Pegawai Daerah sedang menghadiri mesyuarat ketika itu, memorandum hanya dapat diserahkan kepada Penolong Pegawai Daerah, En. Zainur. Menurut Tn. Hj. Kamaldin, penyerahan memorandum ini adalah sangat penting sebagai suatu bentuk bantahan dan cadangan terhadap kandungan draf pembangunan daerah tersebut kerana ia membabitkan kepentingan rakyat dalam daerah Kota Tinggi yang merangkumi 3 kawasan Parlimen, iaitu Kota Tinggi, Tenggara dan Pengerang. Sekiranya draf itu sudah diluluskan, bantahan tidak diterima lagi dan rakyat terpaksa menanggung kesannya andai Majlis Daerah Kota Tinggi dinaik taraf menjadi Majlis Perbandaran seperti kenaikan cukai tanah dan cukai harta.

Adalah diharapkan pertemuan penuh mesra yang mengambil masa kira-kira 20 minit itu membuahkan hasil di mana pihak Majlis Daerah Kota Tinggi dengan Pegawai Daerah selaku Yang Dipertuanya sudi meneliti dan mengkaji bantahan serta cadangan yang dimuatkan dalam memorandum tersebut demi kepentingan rakyat Kota Tinggi keseluruhannya.

Di antara isi kandungan memorandum tersebut adalah seperti berikut:


MEMORANDUM RAKYAT
11 Februari 2009

PENGENALAN
Daerah Kota Tinggi meliputi kawasan seluas 348,095 hektar dengan penduduk seramai 199,024 orang. Aktiviti pertanian meliputi kawasan seluas 212,692.77 hektar (61.1%) adalah asas utama ekonomi di kawasan yang majoritinya orang Melayu. Tanah Rancangan Felda dan kampung tradisi adalah kelompok terbesar selain taman perumahan yang berada di sekitar Bandar Kota Tinggi, Bandar Penawar dan Bandar Tenggara.

CABARAN SEMASA

1. Bentuk muka bumi Bandar Kota Tinggi yang rendah menjadikannya lembah dan laluan air. Semakin banyak pembangunan dilakukan, semakin risiko banjir tidak dapat dielakkan walaupun hujan hanya beberapa hari. Bandar Kota Tinggi dan kawasan sekitar khususnya kampung yang berdekatan seperti Kampung Tembioh, Kampung Kelantan, Kampung Makam, Bt 25 dan lain-lain sering kali menerima musibah daripada banjir kilat apatah lagi pada musim tengkujuh. Laluan air yang tersekat dan ketidakseimbangan muka bumi kerana kerja-kerja tanah bagi projek pembangunan telah memangsakan ribuan penduduknya setiap kali banjir berlaku.

2. Tanah rancangan Felda sangat bergantung kepada kekuatan komoditi sama ada kelapa sawit mahu pun getah. Kestabilan harga sangat diperlukan untuk menganjak taraf hidup peneroka Felda dan ianya tidak mudah untuk dicapai. Generasi baru Felda terpaksa berhijrah atau bekerja kilang yang jaraknya melebihi 15 km setiap hari untuk menampung kehidupan. Hanya segelintir yang beroleh kehidupan yang selesa dalam erti kata sebenarnya.

3. Penempatan nelayan di Pengerang, Sedili dan Telok Sengat tidak banyak berubah meskipun telah wujud begitu lama. Kehidupan yang serba daif masih melingkari sebahagian besar penduduknya. Usaha pertanian jika ada sekadar menampung keperluan seharian semata-mata.

4. Peranan Bandar Tenggara dan Bandar Penawar sebagai Pusat Separa Wilayah Negeri sangat perlahan. Bahkan kemudahan asas seperti Balai Polis, hospital, Balai Bomba dan lain-lain belum ada atau tidak sepadan dengan gah pada namanya. Kegiatan ekonomi begitu malap manakala kuasa beli penduduk adalah rendah. Ia tidak dibangunkan ke tahap maksimum meskipun usia penubuhannya melebihi 20 tahun.

5. Harus diakui bahawa Daerah Kota Tinggi adalah antara daerah termundur jika dibandingkan dengan daerah lain di negeri Johor dan taraf hidup penduduknya masih rendah.

6. Walaupun terkenal kerana memiliki produk pelancongan dan warisan sejarah, ia tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Bahkan meskipun berhampiran dengan Lapangan Terbang Senai, tidak banyak yang dilakukan. Political Will (kesungguhan politik) pemimpin selaku pemacu pembangunan dan good governance (urustadbir yang baik) daripada Pihak Berkuasa Tempatan tidak begitu menyerlah. Sebagai contoh, lihatlah apa yang sedang berlaku kepada Pusat Peranginan Desaru yang sangat terkenal suatu masa dahulu!

TUNTUTAN
1. Menghentikan sebarang niat untuk menaiktaraf Daerah Kota Tinggi menjadi Majlis Perbandaran kerana ini akan membebankan penduduk. Cukai tanah akan dinaikkan dan liputan cukai pintu akan sampai ke kawasan Felda dan Kampung pedalaman. Ini belum termasuk bebanan lain yang memberi kesan langsung kepada penduduk. Dengan taraf hidup yang ada, belum sampai masanya Kota Tinggi menjadi Majlis Perbandaran.

2. Kebajikan rakyat mesti menjadi keutamaan. Kemudahan asas seperti:
a. Sistem jalanraya yang cantik dan efisien untuk Bandar Kota Tinggi.
b. Menaik taraf Pusat Kesihatan Kecil Bandar Tenggara, Felda Bukit Besar dan Pengerang serta Klinik di setiap penempatan penduduk.
c. Mewujudkan sebuah Hospital untuk Bandar Penawar.
d. Mempercepat penggunaan Balai Polis Bandar Tenggara dan menaik taraf Pondok Polis sedia ada.
e. Mewujudkan Balai Bomba di Bandar Tenggara dan Sedili.
f. Mewujudkan Pusat Pelupusan Sampah (incinerator) untuk Bandar Kota Tinggi dan kawasan berhampiran.
g. Menambah Bank Perdagangan di Bandar Penawar dan Gugusan Adela.

Peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Tinggi mesti lebih terarah dan fokus. Ia tidak boleh bersifat stereotype dan menunggu aduan orang ramai sahaja. Bagi daerah yang kerap dilanda banjir dan golongan miskin yang agak ramai kedudukannya teramat penting.

3. Mendirikan sebuah universiti berkonsepkan perladangan, pelancongan dan sejarah untuk melahirkan graduan yang memenuhi kehendak pasaran domestik. Pusat-pusat penyelidikan berasaskan komoditi, biotek, pelancongan dan sejarah sangat perlu diwujudkan untuk daerah yang mempunyai keluasan ladang sawit dan getah serta warisan sejarah yang banyak seperti Kota Tinggi. Sosio ekonomi setempat, peluang pekerjaan, limpahan rezeki peniaga dan nilai hartanah akan berkembang.

4. Mewujudkan Daerah Sejahtera sebagai antara 4 teras utama perancangan pembangunan mesti mengambil kira persekitaran yang selamat dari jenayah dan gejala sosial. Antaranya:-
a. Pemantauan dan penguatkuasaan yang tegas terhadap kegiatan tidak bermoral seperti pelacuran dan rumah urut yang disalah guna.
b. Mengkaji semula lambakan kedai arak termasuk di kedai runcit dan 7 Eleven. Mengharamkan sama sekali orang Islam memasuki dan minum arak di restoran bukan Islam.
c. Pemantauan aktiviti pusat hiburan bagi mengelakkan berlakunya aktiviti melampau, bunyi bising yang mengganggu ketenteraman awam dan mesti ditutup tidak melebihi pukul 12 tengah malam.
d. Penguatkuasaan larangan orang Islam membeli nombor ekor. Ketika ini pemantauan sangat lemah.
e. Peningkatan aktiviti kerohanian seperti kuliah agama, kelas KAFA dan ceramah agama. Kerenah birokrasi dalam soal tauliah menyebabkan banyak masjid dan surau ‘mati’ daripada aktiviti keagamaan.
f. Mewujudkan sukarelawan yang boleh membantu menangani gejala sosial. Ia boleh mengikut format Rela dan Rukun Tetangga sebagai pasukan sokongan bagi membantu Polis dan Jabatan Agama.
g. Mengambil langkah segera mengatasi masalah Sekolah Agama yang masih menumpang dan keperluan asas yang tidak mencukupi.

5. Perancangan strategik menangani masalah banjir merangkumi masa depan penempatan terbabit, perpindahan tersusun mangsa banjir, sistem tebatan banjir, pengurusan sungai dan perparitan serta mengoptimumkan pergerakan Jawatankuasa Banjir Peringkat Daerah dengan dokongan pelbagai pihak termasuk parti politik BN/PR serta NGO. Jawatankuasa ini tidak boleh berperanan secara ad hoc.

6. Mendirikan One Stop Centre di kawasan laluan masuk ke Bandar Kota Tinggi. Pusat perhentian yang mempunyai Pusat Panduan Pelancong, ruang pameran, gerai kraftangan/cenderahati, gerai makan, gerai buah-buahan, laluan bas/teksi, kawasan riadah/permainan, surau dan lain-lain sangat diperlukan sebagai tarikan persinggahan pelancong atau pengunjung luar Kota Tinggi.

7. Membangunkan semula Pusat Peranginan Desaru, Telok Sengat dan menurunkan bayaran masuk ke Air Terjun Kota Tinggi. Membatalkan pembangunan pelancongan yang dianggap kurang perlu atau membazir.

8. Mengurniakan kawasan tertentu antaranya tanah seluas 400 ekar berdekatan tanah Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) di batu 15 Jalan Kulai – Kota Tinggi dan Pasak kepada generasi baru Felda untuk dibangunkan di bawah Koperasi Belia Felda umpamanya bagi menambah aset Bumiputera dengan projek komersil atau yang bersesuaian dengannya.

9. Mempertingkatkan keupayaan agensi membantu bumiputera seperti UDA, MARA, KEJORA, FELDA dan FELCRA agar lebih banyak hartanah dalam bentuk bangunan komersil, gerai dan pusat kemahiran dapat dibangunkan. Kegagalan mengurus pembangunan yang hanya menguntungkan kroni semata-mata dan meminggirkan Bumiputera sebagai kelompok majoriti adalah sangat berbahaya.

10. Menilai semula penempatan dan kemudahan asas masyarakat Cina , India dan Orang Asli yang mendiami kawasan estet dan pedalaman. Nasib peniaga Cina yang merupakan kelompok utama yang berdepan dengan masalah banjir yang kerap, gerai Melayu yang bersaing dengan lambakan pasaraya serta penduduk India yang terpinggir turun temurun di estet harus ada formula penyelesaiannya.

11. Peranan Pihak Berkuasa Tempatan dalam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah, telus dan adil mesti menjadi agenda utama ke arah urustadbir yang baik. Tiada kewajaran untuk menjadi ‘pak turut’ kepada kehendak orang politik yang memerintah sehingga menafikan hak orang lain. Bekerja secara profesional tanpa meminggirkan mana-mana kaum dan ahli parti politik. PBT bukan badan perniagaan untuk suku sakat atau kroni tertentu. Amalan rasuah yang sering kali dikaitkan dengan PBT mesti diperangi habis-habisan!

PENUTUP
Pengalaman masa lalu dan perancangan atas kertas bukan sedikit yang menemui kegagalan. Pertanggungjawaban (accountability) yang bertitik tolak daripada kesedaran memenuhi amanah rakyat yang sentiasa terikat dengan dosa pahala seharusnya menjadi garis panduan dalam hidup untuk melakukan yang terbaik. Jiwa merdeka yang hanya takut kepada Allah akan mendorong tindakan yang adil utnuk semua. Pembangunan fizikal akan bergerak pantas manakala pembangunan spiritual menjadi pengimbang.

Firman Allah SWT:
Sesungguhnya orang yang tidak menaruh harapan akan berjumpa Kami (pada hari akhirat) dan mereka yang telah berpuas hati dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya dan orang-orang yang tidak mengendahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasaan) Kami. Orang yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah neraka hasil daripada apa yang mereka lakukan (keengkaran dan kederhakaan)”
Surah Yunus: 7 – 8

Dikemukakan oleh,

PAKATAN RAKYAT DAERAH KOTA TINGGI

PERSATUAN ANAK PENEROKA FELDA KEBANGSAAN (ANAK)

YAYASAN AMAL MALAYSIA CAWANGAN JOHOR

TERAS PENGUPAYAAN MELAYU (TERAS) CAWANGAN JOHOR