Salurkan Sumbangan Dana Pilihanraya Anda ke Parti Islam Se-Malaysia Kawasan Kota Tinggi

Salurkan Sumbangan Dana Pilihanraya Anda ke Parti Islam Se-Malaysia  Kawasan  Kota Tinggi
No Akaun : 01-069-01-003759-0

Pilihan Anda di PRU 13?


Ruang Aduan

E-mail Address: *
Nama Pengadu *
Nombor Telefon *
E-mail Address
Alamat Pengadu *
Aduan *
Adakah anda bersetuju untuk mendedahkan identiti anda sekiranya diperlukan? *YA
TIDAK

* RequiredBuild Contact Forms

September 21, 2010

Hapuskan Semua Kumpulan Gangster, Bukan India Sahaja

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahu pihak Polis menumpukan usaha membanteras gangterisma secara menyeluruh dan bukannya tertumpu pada kaum India sahaja seperti yang dipinta oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah.

Jika pihak Polis mengikut kehendak emosi Murugiah, masalah gangterisma tidak akan selesai kerana ia bukan wujud kalangan kaum India sahaja. Kenyataan Murugiah dengan sendiri memberikan gambaran buruk tentang masyarakat India dan ini tidak sewajarnya dilakukan oleh beliau sebagai seorang Menteri.

Gejala gangterisma ini harus dihapuskan hingga ke akar umbi termasuk kalangan VIP dan ahli Politik yang melindungi mereka. Kumpulan gangster ini ada di mana-mana dalam negara kita. Dalam pilihanraya pun mereka boleh muncul seperti serangan yang berlaku ke atas Markas Pemuda PAS ketika Pilihanraya Kecil Bagan Pinang.

Beberapa kawasan di Lembah Klang dikenali oleh masyarakat umum sebagai kawasan gangster seperti di kawasan Chow Kit, Jalan Pasar dan Jalan San Peng, Jalan Petaling dan Brickfield di Kuala Lumpur manakala di Selangor, kawasan Puchong dan Klang cukup ditakuti kerana menjadi sarang gangster dan Ah Long.

Pemantauan dan siasatan terperinci untuk menghapuskan kumpulan-kumpulan ini yang sebahagiannya terlibat dengan jenayah berat termasuk membunuh, menculik, menyiksa dan menyerang mangsa mereka.

PAS berharap agar pihak Polis dapat menjalankan tugas mereka dengan jujur dan tidak terbabit sama dalam memberikan perlindungan atau bersubahat dengan kumpulan gangster ini. PAS mahu satu jaminan daripada pihak Polis tentang keselamatan rakyat keseluruhannya.

Negara ini sudah cukup terkenal sebagai negara transit dadah, pemerdagangan orang dan juga penyeludupan barang serta penjenayah. Dan amat merisaukan jika dalam negara sendiri gangterisma dibiarkan berleluasa. Hapuskan mereka tanpa mengira gangster India, Cina atau Melayu kerana tiada bangsa dan agama yang membenarkan kewujudan kumpulan samseng dalam komuniti mereka.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Pelabur Percaya PR, BN Perlu Serah Mandat

Parti Islam Se-Malaysia PAS mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzah dan Datuk Mukhriz Mahathir kerana mendakwa bahawa pelabur tidak datang ke negara ini kerana percaya dakyah pembangkang. Kalau inilah kenyataan daripada anggota kabinet kerajaan BN yang bertanggungjawab mengenai kewangan dan pelaburan ke negara ini, maka BN eloklah ,menyerahkan madat kepada Pakatan Rakyat supaya lebih banyak pelabur datang ke negara ini.

PAS mempersoalkan keseriusan pengurusan ekonomi Kerajaan pimpinan Najib yang menyebabkan FDI Malaysia jatuh Menurut Laporan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Negara-Negara ASEAN, Malaysia hanya mampu meraih pelaburan bernilai USD 1, 381 juta sahaja pada 2009 berbanding USD 7, 318 juta pada 2008. Kejatuhan nilai pelaburan ini adalah yang tertinggi berbanding negara ASEAN lain.Malaysia yang tersenarai dalam kumpulan ASEAN 5 ketinggalan dengan negara Indonesia, Filifina, Thailand dan Singapura.

Alhamdulillah negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat mampu untuk menarik pelabur luar contohnya di Kedah pada tahun 2009 sebanyak RM1.837 bilion dan Selangor RM7.755 bilion. Ini menunjukkan bahawa pelabur masih percaya kepada negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat, dalam masa yang sama kerajaan pusat merungut,pelabur tidak datang kerana terpengaruh dengan dakyah pembangkang. Alasan yang paling lucu yang keluar daripada Tun Dr Mahathir ialah kerana pelabur luar tidak ada wang untuk melabur.

PAS mengingatkan kepada pemimpin BN seperti Datuk Husni dan Datuk Mukhriz, pelabur tidak datang ke negara ini ada sebab-sebab lain, yang perlu dimuhasabah oleh semua pemimpin di negara ini. Pelabur yang hendak datang ke negara ini, bukan pelabur dalam skim “Pak Man Telo”. Mereka mempunyai pakar-pakar pelaburan dan mengkaji tentang keberangkalian serta prospek pelaburan yang lebih kondisif. Macam mana pelabur hendak datang, kalau perjanjian yang jelas menyebut royalti kepada negeri yang ditemui minyak dicabul. Mereka pun risau apa pula jaminan pelaburan mereka, kalau dengan rakyat sendiri pun dilanggar perjanjian. Mereka gerun melihat video klip peguam V.K, Linggam drama dalam sistem perundangan. Pencabulan terhadap mandat rakyat di Perak semuanya menggerunkan pelabur. Indeks rasuah pula sampai sekarang tidak dapat diatasi, malahan semakin teruk, walaupun BPR sudah ditukar nama SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah). Yang ditangkap ialah ikan bilis, ikan jerung masih terlepas. Mereka yang ditangkap ialah Pegawai kerajaan jerung politik terlepas.

Kesemuanya ini adalah faktor-faktor yang menjauhkan pelabur untuk ke negara kita yang tercinta ini. Jika keadan ini berterusan berlaku, kenyataan Datuk Idris Jala yang mengatakan negara akan bangkrap pada tahun 2019 bukan satu perkara yang mustahil. Oleh kerana masa masih belum terlambat, BN pun sudah tidak mampu untuk menguruskan ekonomi maka eloklah serah, sebelum parah kepada Pakatan Rakyat untuk membuktikan kemampuan bagi kesejahateraan rakyat dan negara.


Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Rasai Keperitan Rakyat : Najib Cakap, Pemimpin PR Buat

Parti Islam Se-Malaysia PAS menganggap ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan, supaya pemimpin perlu merasai derita rakyat hanya retorik sahaja, kerana ia menyimpang daripada tindakan. Realiti yang berlaku pada hari ini pemimpin negara yang memerintah 57 tahun setelah merdeka bukan memikirkan supaya rakyat miskin terbela dan kualiti hidup ditingkatkan. Bahkan kemiskinan dan penderitaan rakyat ini telah menjadi umpan untuk memancing undi setiap kali pilihanraya.



Nampaknya apabila selepas rakyat Malaysia mengajar pemimpin Barisan Nasional dalam pilihanraya 2008 baru mereka tahu tanggungjawab pemimpin mesti menyelami penderitaan rakyat. Sebelum ini mereka tidak pernah menyebut hal ini kerana mereka anggap apa sahaja mereka buat rakyat tetap undi mereka. Semalam Datuk Seri Khir Toyo bekas Menteri Besar Selangor juga bercakap lebih kurang bahasa yang sama. Beliau mengingatkan kepada kerajaan supaya mengambil tahu penderitaan rakyat. Bimbang rakyat sudah merungut kos hidup semakin tinggi, beliau pun terasa dengan kenaikan harga beras RM18 ke RM25 sekampit.

Sedangkan PAS bersama dengan Pakatan Rakyat daripada awal lagi sudah memikirkan bagaimana untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Kerana menyedari bahawa menjadi pemimpin bukan untuk bermegah, tetapi satu tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Buktinya PAS dan Pakatan Rakyat di Kelantan begitu prihatin dengan penderitaan rakyat telah melaksanakan program kifalah untuk warga emas yang meninggal dunia. Program ladang rakyat untuk diberikan deviden kepada mereka yang susah. Begitu juga di Kedah dan Pulau Pinang melaksanakan program yang mengambil kira penderitaan rakyat. Selangor negeri yang kaya dengan hasil ekonominya yang melimpah ruah telah memberi air percuma kepada semua rakyat dan merakyatkan limpahan ekonomi kepada mereka yang susah. Program yang tidak pernah terfikir oleh pemimpin BN walaupun selepas negara mencapai kemerdekaan selama 53 tahun. Pada hal kerajaan PAS dan Pakatan Rakyat yang mempunyai sumber kewangan yang terhad, tetapi mampu menyelami derita rakyat.

Sepatutnya pemimpin BN sudah boleh menyelami dan menyelasaikan masalah rakyat kalau mereka mahu. Sedangkan banyak program yang boleh mengangkat taraf hidup rakyat, telah dikhianati. Saham untuk kaum bumiputera sebanyak RM52 bilion lesap, sepatutnya Perkasa tidak perlu menjerit lagi mengenai pencapaian 30% ekuiti bumiputera, kalau pemimpin BN tidak khianat.

Agensi untuk bela penderitaan rakyat susah juga dikhianati seperti Felda. Wang Felda telah susut sebanyak RM2.75 bilion dalam masa 5 tahun. Pada tahun 2004 wang Felda ada RM4.08 bilion telah mengucup kepada RM1.35 bilion pada tahun 2009. Kita pun tidak tahu macam mana kos tanam semula di Felda lebih tinggi berbanding dengan ladang lain di negara ini. Sebagai contoh kos penanaman semula di Felda RM10,503 sehektar berbanding dengan ladang IOI hanya RM1,988 sehektar dan ladang Sime Darby pula Rm3,120 sehektar. Wang Felda yang sepatutnya di manfaatkan dengan lebih baik untuk peneroka dan anak-anak peneroka telah digunakan antaranya mendirikan bangunan di tengah-tengah badaraya Kuala Lumpur RM662 juta. Menggunakan wang Felda untuk projek basmi kemiskinan di Sabah sebanyak RM253 juta. Sedangkan Felda banyak di Pahang, Johor, Perak dan Terengganu, kenapa pula Sabah sahaja yang dapat manfaat. Kemana pula hasil minyak dan balak di Sabah, sehingga terpaksa mengemis dengan Felda. Tepuk dada, kocak pokok kelapa sawit.

Sebelumnya wang PPRT lesap RM32 juta, kalau wang untuk orang susah pun dikebas begitu sahaja, apa hendak diharap untuk menjaga kepentingan rakyat marhain di negara ini.Kalau pemimpin memahami derita rakyat maka tidak akan mencari jalan mudah untuk dapatkan wang dengan menaikkan harga minyak, tepung, gula, menghapuskan subsidi, mengenakan saman ekor dan GST. Sebenarnya apabila kapal hendak karam baru pemimpin sedar siapakah diri mereka.


Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Siasat Dakwaan Pegawai Polis Cuai

Parti Islam Se-Malaysia PAS menyokong jaminan yang diberikan oleh Ketua Polis Negara Datuk Ismail Omar untuk mengambil tindakan terhadap pegawai polis yang cuai apabila laporan kehilangan yang tidak siasat dengan serius. Ini adalah merupakan ujian awal ke atas Ketua Polis Negara yang baru.


PAS memandang berat dengan kenyataan yang mengatakan ada laporan kehilangan tidak disiasat dengan serius. Jika ini berlaku ia adalah amat malang kepada rakyat Malaysia, kerana institusi yang menjaga keamanan rakyat dan negara telah mengabaikan tanggungjawabnya. Kehebatan polis Malaysia menangkap penjenayah di negara ini jangan dimalukan. Sehingga orang mendakwa kecekapan polis Malaysia, boleh menangkap penjenayah dalam masa yang singkat sahaja, kalau penjenayah tersebut masih berada di dalam negara ini.


PAS mengharapkan supaya pegawai yang cuai terhadap laporan yang dibuat terhadap beberapa kes pembunuhan dan menghilangkan mangsa oleh kumpulan mafia ini mesti disiasat sama. Apa makna laporan dibuat jika siasatan tidak dibuat dengan cara yang serius.

PAS tidak mahu lagi melihat akan ada lagi pembunuhan bersiri seperti yang berlaku kepada Allahyarhamah Susilawati dan tiga yang lain. Sekarang rakyat tertanya-tanya kenapa tindakan pantas tidak dibuat sebelum ini seperti mana tindakan pantas terhadap kematian Allahyarhamah Sosilawati Lawiya.


Sebelum ini sudah ada laporan kehilangan seorang jutawan India, Allal Kathan Muthuraja, 34, yang dilaporkan hilang di Malaysia, 18 Januari 2010 selepas menemui suspek di Banting atas urusan perniagaan. Sumber berkata, suspek itu juga dikatakan terbabit dalam pembunuhan seorang wanita bernama T Selvi, 44, yang juga isteri kepada pemilik bengkel di hadapan rumahnya, tahun lalu. Mangsa dikatakan dibunuh selepas berselisih faham berhubung pinjaman sejumlah wang dengan suspek utama, seorang peguam bergelar Datuk.

PAS tidak mahu negara ini dikuasai oleh “mafia” yang menganggu ketenteraman negara dan keharmonian rakyat di negara ini. PAS mengharapkan segala laporan yang pernah dibuat kepada polis mengenai kehilangan misteri perlu diselongkar kembali, pegawai yang terlibat perlu disiasat untuk menjaga maruah institusi polis. Jaminan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar amat-amat dialu-alukan supaya negara selamat daripada mala petaka buruk. InsyaAllah selepas ini kita tidak mahu lagi mendengar ada aduan kehilangan orang awam yang tidak diambil perhatian dengan serius.


Ustaz Idris Hj Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat


September 16, 2010

SKMM KENA JAGA KETENTRAMAN RAKYAT BUKAN KETENTERAMAN BN


Parti Islam Se-Malaysia PAS bersetuju kenyataan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKM) untuk bertindak terhadap mana-mana pihak yang bertindak untuk menggugat keharmonian dan kententeraman kaum di negara ini samaada berunsur fitnah dan penghinaan terhadap mana-mana agama atau bangsa melalui ruangan langit terbuka.


Parti Islam Se-Malaysia menyeru semua pihak supaya apa-apa laporan biarlah beretika dan bermoral samada melalui media cetak atau elektronik. Unsur fitnah adalah suatu perkara yang perlu dijauhi dalam setiap laporan. Kerajaan juga perlu bertindak dengan segera tanpa memilih, siapa yang melakukan kesalahan. PAS tidak mahu SKMM hanya dilihat untuk menjaga ketenteraman BN bukan ketenteraman rakyat di negara ini. Apabila laporan pemberitaan fitnah yang dilemparkan kepada Pakatan Rakyat, maka pihak berkuasa di negara ini hanya buat tidak kisah. Contoh yang terbaru ialah bagaimana akhbar Utusan Malaysia dan media elektronik yang melaporakan berita fitnah mengenai YB Teo Nei Ahli Parlimen Serdang memberi tazkirah dan memberi bantuan kepada ahli PAS di Surau Al-Huda Kajang Sentral pada 22 Ogos 2010. Hakikat yang berlaku ialah YB Teo hanya memberi taklimat skim pendidikan kerajaan negeri Selangor dan memberi RM1000 ringgit kepada surau tersebut. Begitu juga dengan pemberitaan yang berunsur fitnah dengan mengatakan bahawa 'Lim Guan Eng mengganti Yang Di Pertua Agong dalam khutbah.' Kesemuanya ini bertujuan untuk menimbulkan kemarahan orang Islam terhadap orang bukan Islam dan pimpinan Pakatan Rakyat.

PAS mengharapkan pihak SKMM menyiasat dengan segera mengenai gambar YAB Lim Guan Eng sedang menyembelih lembu, sedangkan itu adalah gambar YB Datuk Seri Haji Nizar Jamaludin. Mereka yang membuat kerja fitnah ini perlu disiasat dan dihadapkan ke pengadilan. Semua ini adalah percubaan untuk SKMM untuk menunjukkan kepada rakyat bahwa mereka adalah badan professional yang menjaga ketenteraman rakyat bukan ketenteraman BN. Inilah rakyat mahu lihat SKMM bertindak, jangan biarkan rakyat ketawakan SKMM pula.


Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Umno Perkudakan Islam Untuk Kepentingan Politik


Parti Islam SeMalaysia PAS mengecam Tun Dr Mahathir yang menuduh Pas menjual agama untuk kepentingan politik. Hakikat yang berlaku Umno yang perkudakan Islam untuk mencapai cita-cita politik Umno.

Tun melahirkan kemarahan kepada Pas kerana Insyaallah Pas akan mengganti Umno sedikit masa lagi. Beliau sedar generasi baru hari ini mual dengan Umno, dan telah menjadikan Pas pilihan mereka dalam perjuangan walaupun bapa mereka berkarat biru macam Tun Dr Mahathir. Kenapa Pas menjadi pilihan mereka, tidak lain dan tidak bukan kerana dasar Islam yang menjadi teras perjuangan Pas yang sentiasa segar, berbanding dengan dasar Umno yang sudah lapok dan berkulat. Mereka yang sokong Umno termasuk anak-anak Tun adalah mereka yang hanya berkepentingan untuk memenuhi tembolok dan perut sahaja. Perjuangan untuk bela agama dan bangsa memang jauh kebelakang.


Pas menyangkal tuduhan Tun Dr Mahathir yang menyamakan Pas bekerjasama dengan bukan Islam sama seperti Umno dalam Barisan Nasional. Untuk maklumat Tun, Pas bekerjasama dengan Pakatan Rakyat dalam bentuk "Tahalluf" yang tidak menggadaikan prinsip Islam yang Pas bawa sejak daripada Pas ditubuhkan. Umno berkawan dengan orang bukan Islam sehingga menggadaikan prinsip Islam. Selama 53 tahun Umno dalam kerajaan BN gagal mempertahankan Islam, malah imej Islam semakin buruk pada pandangan orang bukan Islam. Rakan-rakan dalam parti komponen BN makin keliru pemahaman Islam mereka. Walaupun mereka lihat setiap tahun musabaqah al-Quran diadakan di negara ini, isteri pemimpin Umno daripada muda sampai tua masih gagal untuk menutup aurat. Kalau perkara yang kecil macam ini pun Umno gagal memahamkan rakan-rakan BN, apakah lagi perkara yang lebih besar.

Pas ingin menegaskan dalam kerjasama politik yang pernah dilalui oleh Pas sejak kerajaan campuran, Barisan Nasional, Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat, semuanya mengangkat martabat Islam. Kerjasama Pas dalam Pakatan Rakyat telah berlaku proses Islamisasi yang lebih baik walaupun usia tidak sampai 3 tahun berbanding dengan umno yang berkuasa lebih 53 tahun.

Pas mengharapkan Tun masih normal dalam membuat penilaian dan perbandingan kejayaan Pas berbanding dengan Umno. Apakah Tun Mahathir sakit hati apabila masjid di bawah kerajaan Pakatan Rakyat penuh dengan majlis ilmu sedangkan masjid di bawah kerajaan Umno sudah menjadi kubur. Bukankah masjid zaman Tun berkuasa dahulu masjid dibelenggu. Ahli Jawatankuasa yang aktif dipecat dan diganti dengan AJK yang bukan ahli masjid yang rendah moral dan akhlak. Tun bertindak kerana masjid telah menjadi medan penyebaran ilmu yang merugikan Umno terutama selepas keputusan pilihanraya 1999. Tun Mahathir juga pertikai kenapa Pas sokong orang bukan Islam masuk ke masjid dan surau. Pas berpendirian demikian bukan kerana Pas membelakangkan hukum agama. Sebelum satu keputusan hendak dibuat Pas merujuk pada hukum dahulu, bukan menyatakan secara membuta tuli sahaja. Pendirian ini selari dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 1/3/2010. Tun perlu jujur, apakah tidak ada wakil rakyat BN yang masuk ke masjid?. Apakah hukum menjadi halal kalau wakil rakyat bukan Islam daripada BN masuk ke masjid dan berubah menjadi haram kalau daripada DAP, feqah mana yang Tun rujuk. Memanglah Feqah Umno bukan sahaja orang bukan Islam daripad DAP tidak boleh masuk, malahan ustaz Pas seperti Datuk Dr Harun Din, Datuk Ishak Baharom, Datuk Ismail Kamus pun tidak boleh masuk masjid atau surau untuk memberi ilmu, kerana ini ulamak politik. Kalau ustaz Umno bercakap supaya sokong Umno itu tidak politik, kalau cakap sokong Islam maka ini politik.

Tun membangkitkan Pas sudah tidak mahu kepada hudud sejak berkawan dengan DAP. Sekarang Pas hendak tanya adakah Tun Mahathir pula sokong hudud. Mungkin Tun sudah lupa surat amaran yang pernah beliau hantar kepada kerajaan Kelantan jangan laksanakan kanun jenayah syariah di Kelantan. Malahan menuduh ini hudud Pas, bila dicabar pula mana hudud Umno sampai hari ini tidak timbul-timbul. Bukankah sebagai seorang Islam semacam Tun yang sudah meningkat umur tidak sepatut berfikiran begitu. Agak-agaknya memang Allah panjangkan hayat Tun agar dapat melihat dan menjilat balik apa yang telah dilakukannya sebelum ini. Ini cuma balasan di dunia sahaja.

Camputangan Politik Dalam Kerajaan, Musa Hassan Perkuatkan Dakwaan Shafee


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melihat bahawa tindakan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan mendedahkan kepada rakyat bahawa terdapatnya pihak ketiga yang memberikan arahan kepada anggota Polis DiRaja Malaysia hingga menganggu struktur 'command and control' dalam organisasinya sebagai tindakan yang wajar.

PAS menyifatkannya sebagai tindakan yang belum terlewat, walaupun beliau kini telah dibersarakan melalui kenyataan akhbar Menteri Dalam Negeri. Memang agak mengejutkan kerana persaraannya disampaikan melalui media bukannya melalui arahan dalaman. Ini tidak sepatutnya berlaku ke atas seorang yang amat setia kepada Kerajaan, kerana pengumuman persaraan beliau dengan terus menamakan penganti itu ibarat tindakan "habis madu sepah dibuang".

Nama beliau begitu popular dalam PDRM selepas berjaya mengheret Datuk Mokhtar Hashim, mantan Menteri Belia dan Sukan Malaysia yang telah membunuh Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan, Mohamad Taha Talib pada 1982 kerana berebut jawatan dalam pemilihan UMNO Bahagian Tampin.

Selepas itu beliau juga turut terlibat dalam kes tuduhan liwat ke atas Datuk seri Anwar Ibrahim pada 1998 dan 2009. Beliau juga berjaya melepasi tuduhan rasuah ke atasnya bernilai RM 3juta yang didakwa diterima kerana membebaskan 3 orang anggota sindiket judi haram. Peguam Negara dan SPRM menutup kes ini pada 2007 dengan penuh kontraversi.

PAS melihat beliau telah melalui kemuncaknya perkhidmatan dengan begitu akrab membantu Barisan Nasional atas nama Kerajaan. Namun, cetusan rasa tidak puashati yang disebutkannya baru-baru ini menceritakan hakikat tekanan yang dialami sepanjang menjadi anggota Polis dibawah pentadbiran BN.

Tangan dan kaki beliau terikat dalam banyak kes termasuklah kes pembunuhan Altantuya yang melibatkan anggotanya dan beberapa orang politik.

Pengakuanya kepada media bahawa terdapatnya camputangan politik ketika beliau jalankan tugas menyokong penuh kenyataan mantan Pengarah Badan Pencegah Rasuah, Datuk Shafee Yahaya yang turut menyatakan terdapatnya campurtangan dan penglibatan orang politik dalam Kerajaan yang menganggu penjawat awam melaksanakan tugas hingga mendorong penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Rakyat akan terus membuka mata dan telinga bagi mengetahui kebenaran ini. Kenyataan Musa dan Shafee adalah kebenaran yang sukar disangkal kerana merekalah antara orang-orang yang banyak dipergunakan oleh pihak-pihak berkepentingan khususnya melalui Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Perdana Menteri yang begitu kebal dari undang-undang.

Pegawai-pegawai tinggi Kerajaan ini hanya mampu membuka mulut bila tarikh persaraan mereka diumumkan. Tetapi itu sudah cukup memberitahu kita apa yang berlaku dibalik pemerintahan BN di Putrajaya. Rakyat kini jelas bahawa banyak perkara dan salahguna kuasa yang berlaku dalam pentadbiran negara dan pegawai-pegawai tinggi Kerajaan ini terdesak untuk bersubahat melindungi mereka demi untuk memastikan pegawai ini boleh pencen dengan selamat tanpa tekanan.

PAS berharap agar pegawai-pegawai kerajaan tidak membiarkan diri mereka terus dijadikan alat untuk kepentingan pemimpin BN. Jika tidak, mereka akan mengakhiri perkhidmatan mereka dengan perasaan bersalah kepada rakyat dan negara ini sama seperti yang Musa dan Shafee lalui.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

September 01, 2010

Lepas Petronas Disaman, Peguam Negara Pula Diheret BN Dalam Isu Royalti


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dapat merasai ketakutan pemimpin BN selepas Kerajaan Kelantan nekad menyaman Petronas berhubung isu royalti minyak yang tidak dibayar kepada negeri itu. Ketakutan itu terserlah dalam kenyataan Pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mengatakan keputusan menukar wang royalti kepada wang ehsan itu adalah atas khidmat nasihat peguam negara.

Nampak sangat BN tidak mahu bertanggungjawab, sedangkan yang membuat keputusan adalah Kabinet BN. Nasihat Peguam Negara itu kini sedang dicabar di Mahkamah, dan atas dasar apakah Peguam Negara tidak memberikan nasihat yang sama bagi pemberian royalti untuk negeri Sabah dan Sarawak.

Apa pula indikator nasihat yang diberikan oleh Peguam Negara untuk Kerajaan BN memulangkan wang royalti Terengganu selepas Hari Raya nanti. Kenapa ada nasihat yang 'double standard' dalam agenda pentadbiran Peguam Negara.

Apakah perundangan yang ditafsir oleh Peguam Negara sekarang dan dulu tidak sama. Adakah mereka membaca dokumen perjanjian Petroleum Kelantan dengan Petronas dan Akta berkenaan dengan cara yang berbeza.

Yang pasti, peraturan perjanjian dan akta itu tidak pernah berubah. Yang berubah adalah Kerajaan yang memerintah. Asalkan PAS memerintah sahaja, wang Royalti bertukar jadi wang ehsan. Itulah yang ada dalam kamus Umno-BN.

Bila Kerajaan BN tumbang di DUN negeri, muncul pula Kerajaan HARAM bernama Jabatan Pembangunan Persekutuan. Mana pula Akta dan peraturan yang mereka guna untuk wujudkan Jabatan ini.

PAS kini yakin yang isu saman royalti ini akan dimenangi oleh Kerajaan Kelantan yang diperintah PAS. Saman ini juga membuka mata rakyat dan menyampaikan kepada masyarakat dunia bahawa di Malaysia terdapat Kerajaan Persekutuan yang menzalimi rakyatnya lantaran dendam dan tidak tahan malu selepas tewas dalam Pilihanraya.


Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Politik Pelampau, Negara Hancur

Parti Islam Se-Malaysia PAS bersetuju dengan kenyataan Datuk Seri Najib Razak sempena kemerdekaan negara ke 53, menyatakan bahawa masyarakat tidak boleh membenarkan cara hidup rakyat Malaysia yang berpaksikan kepelbagaian dan kesederhanaan dirosakkan oleh budaya kejumudan serta sikap melampau menerusi isu perkauman dan agama. Kenyataan ini perlu ditujukan kepada pemimpin Umno dan BN yang sering mengeluarkan kenyataan yang memanaskan suasana politik seperti panasnya cuaca di negara pada hari ini.

Sebenarnya suasana politik negara ini menjadi panas selepas keputusan PRU 12, apabila BN tidak mendapat sokongan 2/3 di Parlimen dan lima negeri jatuh ke tangan pembangkang. Beberapa siri demo dan provokasi seperti demo di Pulau Pinang pada 14 Mac 2008 kononnya YAB Lim Guan Eng hendak hapus Dasar Ekonomi Baru, Demo di Perak 16 mac 2008 kononnya kerajaan Pakatan Rakyat menindas orang Melayu, demo pijak kepala lembu, sehinggalah yang terakhir ucapan yang diucap oleh seorang Pengetua Sekolah di Kulai Jaya Johor dan Guru Sekolah di Bukit Selambau Kedah. Sebenarnya berlaku ini adalah kerana Umno/BN tidak boleh belajar menjadi orang kalah. Ditambah pula kenyataan dan tindakan PERKASA yang memanaskan suasana politik di negara ini.

Tindakan yang melampau dalam agama seperti pembakaran gereja ketika isu penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam. Peristiwa kepala babi dilemparkan di dalam Masjid Jumhuriah Taman Datuk Harun Petaling Jaya Selatan. Mutakhir ini isu doa untuk memberi hidayah kepada YAB Lim Guan Eng telah digambarkan, kononnya Lim Guan Eng mengganti Yang Dipertuan Agong, semuanya ini bertujuan untuk menanamkan prejudis dikalangan rakyat di negara ini. Sekali lagi Umno bersikap memperalatkan agama untuk kepentingan politik dalam isu lawatan YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang ke Surau Al-Huda Kajang pada 22 Ogos 2010. Membuat fitnah bahawa YB Teo memberi tazkirah dan memberi bantuan kepada ahli PAS. Sedangkan apa yang berlaku ialah beliau memberi derma RM1000 kepada surau dan memberi taklimat berkenaan skim pendidikan kerajaan Selangor. Kenapa Umno tidak pernah marah selama ini, kerana ada di kalangan wakil rakyat bukan Islam dari kalangan BN yang datang ke surau/masjid.

PAS menganggap bahawa negara menyambut kemerdekaan negara kali ke 53 dalam suasana yang agak suram dengan sentimen perkauman dan tindakan melampau dalam agama yang dilakukan oleh pimpinan Umno. Sepatutnya negara yang sudah mencapai umur kematangan setelah negara merdeka. Tetapi apa yang berlaku ialah keadaan seolah-olah negara baru sahaja mencapai lima tahun merdeka. Ini adalah gambaran bahawa BN gagal memupuk perpaduan nasional di kalangan rakyat di negara ini. Sepatutnya perkara ini tidak berlaku, kerana ia akan memberi gambaran buruk kepada generasi selepas merdeka. PAS sebagai sebuah parti yang berpegang dengan prinsip Islam, akan sentiasa bergerak di atas landasan agama. Walaupun kadang-kadang umno melihat PAS pelik, kerana tidak menyokong tindakan Umno seperti isu penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam dan isu orang bukan Islam masuk masjid atau surau. Perlu diingat pemimpin PAS ada kemampuan untuk merujuk satu hukum berdasarkan ilmu yang Allah kurniakan. PAS tidak mahu tindakan yang dilakukan oleh pemimpin Umno menjauhkan orang bukan Islam dengan Islam.

Ustaz Idris Hj Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat