Salurkan Sumbangan Dana Pilihanraya Anda ke Parti Islam Se-Malaysia Kawasan Kota Tinggi

Salurkan Sumbangan Dana Pilihanraya Anda ke Parti Islam Se-Malaysia  Kawasan  Kota Tinggi
No Akaun : 01-069-01-003759-0

Pilihan Anda di PRU 13?

Ruang Aduan

E-mail Address: *
Nama Pengadu *
Nombor Telefon *
E-mail Address
Alamat Pengadu *
Aduan *
Adakah anda bersetuju untuk mendedahkan identiti anda sekiranya diperlukan? *YA
TIDAK

* RequiredBuild Contact Forms

November 27, 2008

Assalamu'alaikum.. tazkirah hari ini

APABILA MANUSIA BEROTAK KELKATU

Allah tidak menjadikan sesuatu dengan sia-sia meskipun dalam kejadian nyamuk, lalat atau kelkatu. Ia mengandungi hikmah dan pengajaran kepada manusia yang mahu memikirkannya. Jika mengikut logik manusia, kenapalah Allah menjadikan nyamuk sedangkan ia bahaya kepada kesihatan. Sebenarnya dalam kejadian nyamuk banyak rahsia yang manusia sendiri tidak mengetahuinya. Allah MAHA BIJAKSANA dan MAHA MENGETAHUI.


Pada suatu malam yang sunyi lagi gelap, keluarlah satu kumpulan kelkatu entah dari mana menuju ke satu tempat yang terang dan bercahaya. Berpusu-pusu berterbangan ke arah beberapa buah pelita yang dipasang di halaman rumah. Aku lihat kesemua kelkatu itu menerkam ke tempat itu. Setiap kali terkam setiap kali kelkatu itu jatuh dan binasa satu persatu. Binasa disebabkan oleh api yang panas itu. Ada seekor yang tak mati sekaligus dan mampu terbang lagi. Tetapi ia tidak serik kerana kepanasan, malah ia sendiri lihat dengan mata kepalanya ramai kawannya yang tersungkur ke bumi. Namun itu tidak memberi pengajaran kepada kelkatu itu, mungkin kerana kedegilan dan keseronokan melulu.Tanpa berfikir panjang, kelkatu itu menerkam sekali lagi. Kali ini ia tidak bernasib baik dan menemui maut.


Termenung aku sejenak. Apa hikmah Allah jadikan kelkatu? Di hati kecilku berkata sebodoh-bodoh kelkatu pun masih bernasib baik kerana selepas kematiannya ia tidak dibangkitkan lagi di akhirat. Sebaliknya aku terfikir ramai manusia ketika ini berotakkan kelkatu. Mereka tahu dadah itu bahaya, namun masih mengambilnya. mereka tahu tidak bersembahyang boleh menjerumuskan diri ke dalam neraka, namun masih tak hendak bersolat. Mereka tahu merokok membahayakan kesihatan, namun tetap merokok. Mereka tahu berjudi itu haram, namun tetap berdegil tikam ekor. Mereka tahu berzina itu dosa, namun tetap melakukannya. Mereka tahu syurga penuh kenikmatan tapi menjauhinya. Mereka tahu neraka penuh dengan azab tapi ramai yang hendak ke sana. Mereka tahu syaitan itu musuh utama tapi mengambil mereka sebagai kawan. Banyak lagi aksi manusia sekarang yang bertubuhkan manusia namun hakikatnya berotakkan kelkatu.


MORAL & IKTIBAR

  • Allah memberikan otak kepada manusia untuk berfikir. Jika tidak digunakan atau disalahgunakan manusia akan rugi malah nasibnya lebih dahsyat daripada kelkatu .
  • Kebanyakan manusia tertipu dengan kemanisan dunia tanpa memikirkan kemanisan akhirat .
  • Berbondong-bondong manusia mengejar kebahagiaan, hiburan dan kelazatan dunia sahaja pada hakikatnya mereka mengejar api neraka.

~ melukut.com ~

Tahu diri hamba belum memadai; hati merasa hamba itulah yang dicari

November 26, 2008

Assalamu'alaikum.. tazkirah hari ini

PERBANDINGAN DUA NEGARA

Ada 2 negara yang diperintah oleh dua kerajaan. Negara pertama diperintah oleh seorang raja yang warak, alim dan adil. Baginda mempunyai sistem pemerintahan yang benar-benar berlandaskan ajaran Allah yang suci - Islam. Visi dan misi ialah ketaatan kepada Allah dan Rasul demi kesejahteraan umat dunia dan akhirat. Berpaksikan hukum Allah dan sunnah Rasul, baginda membina empayarnya dengan saksama; dibantu oleh barisan menteri yang celik agama dan politik kenegaraan serta mempunyai prinsip yang teguh 'menegakkan makruf dan mencegah yang mungkar'. Dari segi pelaksanaan undang-undang, mereka berpegang pada 'kami dengar dan kami patuh'. Ini bermakna apa jua arahan dari pihak raja akan mereka laksanakan sebaik mungkin asalkan semua arahan itu tidak menyempang dari agama Islam.

Saban siang, kesemua mereka menjalankan urusan pemerintahan dengan bersungguh-sungguh kerana menyedari bahawa mereka dipikulkan dengan satu tanggungjawab yang amat berat iaitu sebagai khalifah Allah di muka bumi. Mereka bertanggungjawab di atas apa jua tindakan yang dilakukan. Kepentingan sendiri mereka ketepi kerana mengutamakan hak dan kepentingan rakyat jelata. Oleh sebab Sang Raja mempunyai stail pentadbiran yang benar-benar telus dan lurus, maka kesemua barisan menteri, kakitangan awam dan juga swasta serta rakyat amnya memberikan sokongan padu menjayakan segala projek kerajaan sehingga negaranya sangat dihormati kerana kejayaan yang amat cemerlang dalam semua aspek kehidupan sama ada berbentuk ukhrawi atau duniawi. Kesemua tenaga kerja menyumbang ke arah menjayakan negara Islam sehinggakan doktor, peguam, peniaga, guru, arkitek, engineer, pegawai kerajaan dan lain-lain pekerja bersatu dalam menyempurnakan aspirasi Islam.

Pada malamnya pula, raja dan para menteri bangun mengerjakan solat tahajjud, meminta istighfar dan petunjuk dari Allah dalam menjalankan tugas yang dipikulkan ke atas mereka. Siang mereka bersama manusia, malamnya bersama Allah Pencipta sekalian alam.
Kejayaan dan kecemerlangan negara amat terserlah. Yang kaya menjadi bank kepada yang miskin, yang kuat menjadi pelindung yang lemah, yang mulia menjadi naungan kepada yang hina dan yang alim menjadi pemimpin yang jahil. Etika sosial begini menjadi asas kepada kejayaan negara keseluruhan. Pembangunan berjalan dengan pesat meskipun tiada projek mega yang membeban rakyat. Taraf pendidikan begitu maju dengan menekankan aspek fardhu 'ain terlebih dulu sebelum fardhu kifayah. Dalam bidang sosial pula, tidak terdapat golongan manusia yang bertuhankan kebendaan. Masalah jenayah, maksiat dan budaya lepak hampir tiada. Kecurian, penzinaan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa hampir tidak wujud di dalam kamus mereka. Pasukan polis dan askar amat mudah menjalankan tugas. Begitu juga dalam bidang ekonomi, negara menjadi kaya walaupun tidak mengamalkan sistem riba'.


Pendek kata, berkat ketaqwaan dan kepatuhan kepada Allah, negara ini menjadi contoh teladan kepada negara lain seantero dunia. Allah meredhai pemerintahan raja yang menjadikan dirinya sebagai role model pemimpin yang adil. Sebagai balasan, negaranya berkat dan mendapat pengampunan dan keredhaan Allah 'Baldatun Thaiibatun Wa Rabbun Ghafur' - negara yang baik dan berkat serta mendapat pengampunan Allah. Raja negara ini berjaya membawa rakyat ke mercu kejayaan dunia dan akhirat.

Sebuah negara lagi adalah sebaliknya. Mempunyai pemerintah yang zalim. Menteri-menterinya juga ikut zalim dan rakus kuasa. Sesiapa saja yang cuba mendirikan keadilan akan dihukum dan tidak sesuai berada di dalam barisan menterinya. Harta negara dibahagi sesama mereka tanpa mempeduli hak rakyat jelata. Hak dan harta rakyat menjadi hak mereka diambil dengan sewenang. Kebajikan rakyat dan orang bawahan tidak dijaga baik, sebaliknya pendokong kerajaan dan juga para korporatnya begitu ditatang seperti menatang minyak penuh. Nama baik negara dijaga dari pandangan antarabangsa meskipun tidak diperkenan oleh rakyat jelata. Projek mewah yang langsung tiada kaitan dengan kepentingan orang bawahan begitu serius dijaga; sehingga mengorbankan kepentingan jelata.

Oleh sebab prioriti adalah untuk menegakkan ekonomi negara, maka soal lain menjadi perkara kedua yang tidak begitu penting dan tidak diberikan keutamaan. Sikap pemimpin ini menjadi ikutan orang bawah. Akhirnya matlamat hidup sebagai hamba Allah kian pupus. Manusia hidup untuk benda. Para korporat dibela. Rakyat jelata yang menaikkan mereka dibiarkan saja. Agama katanya masalah peribadi. Lahirlah satu generasi rakyat yang kosong jiwa walaupun kaya harta. Kerana mengejar benda, manusia lari dari Allah, tidak lagi melakukan solat 5 waktu. Amar makruf dan nahi mungkar tidak lagi jadi pegangan. Surau dan masjid semakin terpinggir walaupun tersergam dibina macam istana. Masjid dihias dan diceria tapi ke mana pergi jemaahnya? Yang dewasa mula longgar agama. Anak-anak mereka tidak dijaga. Larilah mereka dari rumah menurut rakan sebaya. Budaya mereka berpoya-poya. Amal ibadat jadi persenda. Ulama dan nabi dikatakan tipu daya.


Orang kaya semakin mengada, orang miskin pula kian melata. Kepada siapa ingin mengadu? Sang Menteri tidak ambil tahu. Orang ramai semakin menderita. Dunia mereka tidak dijaga. Akhirat pula dipandang hina. Akhirnya rugilah mereka kedua-dua. Sang Menteri tidak peduli apa berlaku pada remaja. Ramai melepak tak tentu hala. Pegangan agama tidak diambil kira. Sang Ulama dan Nabi dipandang hina. Tindakan mereka menjemput bala. Negara menuju saat kehancuran. Tapi menteri masih mendabik dada kononnya mereka membawa negara ke mercu jaya.


Benar sekali kata hukama, barangsiapa mengejar dunia, dunia akan terus lari. tetapi barangsiapa yang mengejar akhirat, mereka akan perolehi keduanya.

MORAL & IKTIBAR

  • Kejayaan sesebuah negara banyak bergantung kepada corak kepimpinannya.
  • Pemimpin yang berjiwa Islam membawa rakyatnya ke mercu kejayaan. Sebaliknya pemimpin sekular terlalu mementingkan kekayaan dunia hingga melupakan bahagian akhirat yang kekal. Mereka sesat lagi menyesatkan.
  • Pemimpin Islam sentiasa bergantung kepada Allah tetapi pemimpin sekular kuat pergantungannya dengan kemajuan ekonomi. Mereka percaya jika ekonomi kukuh, segala yang lain akan turut maju. Sikap begini boleh menjerumus atau membawa rakyat ke lembah syirik. Menganggap selain Allah memberi manfaat atau mendatangkan mudharat boleh membawa pada syirik.
  • Ideologi yang tidak memberikan penekanan kepada Islam adalah sesat.
    Mana-mana raja atau pemimpin yang adil akan mendapat keredhaan Allah pada hari kiamat. Manakala pemimpin yang zalim akan dihumban ke neraka untuk menerima balasan yang setimpal dengan kezalimannya.
  • Sebagai rakyat, kita wajib memberi sokongan padu kepada raja yang adil. Menyokong pemimpin yang zalim adalah haram. Memberikan sokongan kepada mereka bererti bersekongkol atau bersekutu dalam melakukan kezaliman.
  • Di akhirat kita akan bersama dengan orang yang kita sayangi atau sokongi. Jika pemimpin zalim yang kita sokong masuk neraka, kita juga akan turut dimasukkan ke neraka, wal'auzubillah. Oleh itu sokonglah dan sayangilah pemimpin Islam yang berjuang menegak atau mendaulatkan agama Islam. Jika mereka masuk syurga, insyallah kita juga akan dimasukkan ke syurga. Kita bersama dengan orang yang kita sayangi.
  • Amar makruf dan nahi mungkar merupakan asas kebahagiaan dan keselamatan sesebuah negara.
  • Ulama adalah pewaris Nabi. Menyayangi ulama bererti menyayangi nabi. Membenci ulama jelas menunjukkan kebencian kepada nabi.
  • Seseorang yang arif dan alim (tahu) dalam satu bidang keagamaan boleh dianggap ulama dalam bidang tersebut dan perlu dihormati. Tidak semestinya alim dalam kesemua bidang agama diiktiraf ulama. Mereka yang alim dalam satu perkara pun dimuliakan Allah betapa pula yang alim dalam banyak urusan agama. Siapalah kita untuk mempertikai kewibawaan ulama terutama ulama' muktabar seperti Imam Shafei atau Imam Ghazali.
  • Raja adil perlu disanjung, raja zalim mesti disanggah.
  • Berbahagialah sesebuah negara di mana umara' (pemimpin)nya menjadikan ulama sebagai penasihat. Tetapi amat malang sekali jika ulamanya pula mengikut telunjuk umara'nya. Ulama' begini dikategorikan sebagai ulama' suu' (ulama' jahat yang menjual agama untuk mendapat habuan dunia).
  • Hidup adalah perjuangan untuk menegakkan syariat Islam. Inilah wawasan umat Islam.
    Pemimpin yang sombong dan ujub tidak layak menjadi pemimpin orang-orang Islam. Sesebuah negara ibarat sebuah kapal yang sarat dengan penumpang manakala rajanya adalah jurumudi. Jurumudi yang mahir akan berjaya mengemudikan kapal ke tanah darat dengan selamat. Manakala jurumudi yang mabuk dan gila akan menyebabkan kapal terbalik dan membahayakan keselamatan penumpangnya.

~ melukut.com ~

Tahu diri hamba belum memadai; hati merasa hamba itulah yang dicari

November 20, 2008

SEMBANG WARONG LILIN – UMNO OH UMNO

Gendang sudah di palu, gelanggang sudah di persiapkan menandakan pertarungan akan bermula. Masing-masing akan memperlihatkan kemahiran bermain senjata dan seni membela diri setelah bertahun-tahun berguru dengan sifu masing-masing. Paling menarik di kala sibuk saling cabar mencabar, timbul pula orang ketiga yang di kira-kira ingin turut serta menghayunkan senjata melengkapkan peperangan tiga penjuru..

UMNO, ketika rakyat merintih kesusahan dek kerana kegawatan ekonomi, kerenah pemimpin UMNO masih sibuk memperhitung jejak politik masing-masing. Semua berkira-kira hendak berebutkan jawatan di dalam parti. Kalau adapun dasar-dasar baru bagi menangani masalah ekonomi, ia hanyalah sekadar bermain wayang dengan mengaburi mata rakyat yang sememangnya sudah kabur dengan kegawatan ekonomi. Mengharapkan penurunan harga tol yang hanya boleh dinikmati selepas jam 12 malam sehingga menjelang pagi sahaja. Niat macam nak tolong rakyat tapi kaedahnya menyusahkan rakyat. Kaki ’clubing’ suka lah mendengar alternatif menolong rakyat ini. Kerajaan di lihat masih nak berkira-kira untuk menolong rakyat jelata...tapi kalau menolong syarikat-syarikat kroni tiada pula kaedah yang menyusahkan tapi menyakitkan hati rakyat yang mendengarnya. Susah sangatkah kepimpinan UMNO dan BN ini hendak memahami dan menghayati kepayahan rakyat bawahan ini. Walaupun minyak sudah di turunkan ke paras yang menghampiri lantai tapi ianya di lihat masih mahal jika di bandingkan dengan harga setong ketika ini. Kalau bab nak turunkan minyak, keluarlah istilah harga lantai, lepas ini keluarlah pulak harga dinding, lepas itu harga tembok. Semuanya istilah yang sengaja di reka bagi menutupi kegagalan kerajaan BN dalam menangani masalah ekonomi, pendek kata UMNO, BN gagal dalam mengesan atau ’predict’ ekonomi dunia pada peringkat awalnya.

Rasanya pemimpin UMNO ketika itu sudah mula mencongak strategi ampuh bukan untuk menangani masalah rakyat tetapi sibuk memikirkan kedudukan strategik bagi menempatkan diri dalam kelompok elit UMNO. Begitulah UMNO, parti tua yang masih tidak sedar diri. Pada peringkat umur begini, kubur panggil mari bagi UMNO yang masih berebut untuk duduk di singgah sana. Kita lihat kesudahan kisahnya..

Buah salak dalam piring,
Ambil galah dalam perahu
Seekor jalak seekor biring
Alah menang belum tahu...

~matahijauku~

November 08, 2008

BUDAYA DALAM UMNO IBARAT SERIGALA BEREBUTKAN MANGSA

Bagaikan serigala berebut melahap mangsa! Itulah perumpamaan yang tepat bagi menggambarkan sikap sebahagian ahli dan pimpinan UMNO yang berebut jawatan dan seterusnya merebut peluang-peluang bagi mendapatkan pelbagai projek.

Pimpinan yang terlibat tidak kira dari peringkat cawangan, bahagian dan seterusnya di peringkat pusat semuanya saling cuba menjatuhkan lawan dengan cara yang tidak beretika dan bercakaran sesama sendiri demi kepentingan peribadi.

Lihat sajalah serigala, mereka memburu mangsa secara berkumpulan namun hakikatnya kalau boleh mangsa buruan dibaham sendirian. Biasanya serigala hanya rela berkongsi mangsa buruan dengan anak-pinaknya sahaja! Begitulah halnya dengan UMNO, yang jadi kroni saja yang tumpang kenyang... yang tak kena mengena atau tak sehaluan kirim salam!

Antara senario yang dapat kita lihat ialah bagaimana kecohnya UMNO bahagian Kota Tinggi di bawah pimpinan Datuk Seri Syed Hamid Albar yang mana DS Syed Hamid telah diisytiharkan menang tanpa bertanding jawatan Ketua UMNO bahagian setelah pencabarnya, Daing Malik digantung keahlian oleh Jawatankuasa Disiplin UMNO kerana mengamalkan rasuah politik. Sedangkan pada hakikatnya, menurut sumber daripada orang-orang UMNO sendiri, DS Syed Hamid sendiri pun mengamalkan perkara yang sama!

Oleh itu, apabila PAS Johor melaporkan kepada BPR tentang salah lakunya, DS Syed Hamid telah melenting, melatah tak tentu pasal menuduh PAS mencampuri urusan rumah tangga UMNO dan menabur fitnah kepadanya. Fitnah apa? Bila masa PAS Johor buat tuduhan ke atas beliau? Yang buat tuduhan ialah beberapa orang ahli UMNO sendiri, PAS hanya menjalankan tanggungjawab melaporkan perkara itu kepada BPR berdasarkan bukti yang diperolehi agar BPR menjalankan SIASATAN! Bukankah BPR sendiri menyatakan adalah menjadi satu kesalahan sekiranya kita menyembunyikan maklumat tentang rasuah yang dilakukan oleh satu-satu pihak? Terpulanglah kepada BPR hendak menyiasat atau tidak; PAS telah pun menjalankan tanggungjawab berdasarkan perlembagaannya – Amar Ma’ruf dan Nahi Munkar.

Hmmm... serigala – sejenis haiwan buas dan liar. Di mana tempat yang sesuai untuknya? Mana lagi kalau bukan di zoo. Tak pun, latih jadi jinak letak kat sarkis. Alif Mim Nun Wau = SARKIS.

Fikir-fikirkan!

Serigala jadian -
sekadar gambar hiasan

~ melukut.com ~
Tahu diri hamba belum memadai; hati merasa hamba itulah yang dicari

RUMAH TERBUKA PAS KOTA TINGGI BUKTI PAS SEMAKIN DITERIMA MASYARAKAT

PADA 25 Oktober lalu, PAS Kawasan Kota Tinggi bersama-sama dengan PASTI Kawasan Kota Tinggi serta keluarga penduduk Taman Hijrah telah mengadakan majlis Rumah Terbuka bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di hadapan PASTI Al-Hijrah.

Majlis yang bermula pada pukul 3 petang terasa begitu meriah sekali dengan kehadiran orang ramai yang tidak putus-putus. Majlis kesyukuran serta doa selamat bersempena kelahiran cahaya mata Encik Zainuddin, seorang ahli PAS Kota Tinggi dan meraikan Mak Miah, kekanda Tuan Haji Kamaldin (YDP PAS Kota Tinggi) yang akan menunaikan fardhu haji turut diadakan.

Pada sebelah malamnya, di samping makan-makan, para hadirin juga disajikan dengan ceramah isu-isu semasa yang disampaikan oleh Saudara Onn Jaafar (bekas calon PAS Parlimen Kota Tinggi) dan Saudara Mazlan Aliman (AJK PAS Pusat).

Ternyata kehadiran orang ramai tanpa mengira agama, keturunan dan fahaman politik ke majlis Rumah Terbuka ini membuktikan bahawa PAS kini kian diterima oleh masyarakat. Masyarakat sudah mula hendak mendekati perjuangan PAS kerana sudah bosan dengan politik perkauman yang dipelopori oleh UMNO / BN.

Sebenarnya Majlis Rumah Terbuka ini merupakan kemuncak kepada program ziarah raya yang bermula pada pertengahan syawal yang lalu. Program ini dijalankan dengan berkunjung dari rumah ke rumah ahli-ahli dan penyokong PAS Kota Tinggi bermula selepas isyak. Sebanyak 3 atau 4 rumah dikunjungi pada setiap malam, bertujuan mengeratkan tali silatul-rahim antara ahli-ahli jamaah dan penyokong PAS.

Program yang julung-julung kali diadakan ini ternyata berjaya mempertautkan hati ahli-ahli jamaah dan adalah diharapkan pada tahun-tahun mendatang ia akan dapat diteruskan dan diserikan lagi dengan marhaban serta membabitkan lebih ramai ahli dan penyokong PAS. Kalau boleh, babitkan sekali golongan atas pagar dan ahli / penyokong UMNO agar mereka sedar bahawa perjuangan PAS tidaklah sesempit yang digembar-gemburkan oleh media arus perdana. Semoga usaha yang murni ini mendapat restu dan keredhaan Allah SWT hendaknya. Amin!

~ melukut.com ~
Tahu diri hamba belum memadai; hati merasa hamba itulah yang dicari