Meminta maaf adalah tanda sifat mahmudah, samada terhadap manusia
apatah lagi dengan Allah. Sikap suka memohon maaf dan kesungguhan memohon maaf lumrahnya
lahir dari rasa bersalah.
Lagi banyak rasa bersalah seseorang itu, maka lagi keraplah
seseorang itu akan memohon maaf. Memohon maaf dengan manusia atau rakyat
teramai jarang dilakukan oleh mana-mana kerajaan atau pimpinan kerajaan. Kerana
itu, apabila ada yang lakukan tentulah ianya menjadi bahan perbincangan awam.
Memohon maaf tanpa sebarang niat dan tindakan untuk
memperbetulkan kesilapan-kesilapan di atas membuka ruang kepada rakyat untuk
menilai tahap keikhlasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam
permohonan maafnya kepada rakyat baru-baru ini.
Memohon maaf kepada rakyat bermakna bersalah dengan rakyat.
Apakah kesalahannya mungkin besar kerana ia melibatkan rakyat teramai. Lantaran
itu soal rakyat ingin memaafkannya atau tidak terpulang kepada rakyat, cuma
Islam mengajar kita agar memaafkan kesalahan orang lain, agar Allah memaafkan
kita.
Meminta maaf dan memaafkan suatu kesalahan adalah sifat
terpuji, tetapi bukan bermakna kerajaan harus diberi terus mandat untuk
melakukan semula kesalahan, penyelewengan, rasuah dan salahguna kuasa.
PAS yakin persoalan-persoalan mengenai penyelewengan dana
negara, ketirisan sehingga berbillion ringgit serta kegagalan kerajaan membina
sebuah negara yang berdaya saing, samada dalam pendidikan, ekonomi, sukan,
keselamatan sosial dan pelbagai isu lain tetap akan kekal di minda rakyat Malaysia.
Ini kerana mereka sedar bahawa Perdana Menteri (PM) mereka
hanya memohon maaf tatkala kerana pilihanraya umum ke 13 bakal menjelang tiba
demi memohon rakyat terus memberi mandat kepada BN.