Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke 59 telah bermula. Semalam sayap-sayap UMNO bersidang dan perayu-perayu undi sudah habis berkempen untuk kemenangan bos mereka. Mungkin hari ini ada di antara mereka berada disekitar shopping complex bagi meraikan kemenangan bos mereka.
Pertembungan dua menteri pencen, Rafidah dan Shahrizat tidak kurang sengitnya. Pewaris keris panca warisan yang menjolok mata rakan-rakan kongsi dalam BN telahpun diketahui malam tadi. KJ ternyata unggul mengatasi Khir Toyo atau Mukhriz bagi mengisi slot drama samarinda yang penuh suspen. Tengok berita NTV7 tadi kata Hishamudin nak jadikan keris panca warisan sebagai hak milik kekalnya.
Nampaknya ketua sayap muda terpaksa cari keris baru dan berikan nama baru untuk kerisnya. Nama Panca Delima dan Panca Sitara tak boleh pakai lagi pasal dah pattern. Kalau pakai nama Pancasila bakal mengudang kemarahan negara jiran. Biarlah polemik ini menjadi perdebatan mereka asalkan Pakatan Rakyat menang di Bukit Gantang,Bukit Selambau dan Batang Ai.
Nak ulas sikit tentang kempen PRK......calon memang ada kredibiliti cuma kempen kita terencat sikit dengan pengharaman akhbar Harakah dan Suara Keadilan dan kekangan FRU apabila melibatkan perhimpunan atau ceramah tanpa permit.
Jentera pilihanraya Pakatan Rakyat perlu bersedia menghadapi segala macam kemungkinan yang berlaku. Selain laman sesawang yang pro Pakatan Rakyat,kita boleh berkempen menggunakan sms atau paling tradisional sembang di kedai kopi. Risalah-risalah atau ceramah kelompok boleh diadakan dari masa ke semasa.
Tentangan pasti sengit kerana UMNO dalam proses merawat kecederaannya sedang sayap mudanya bertindak menjadi gembala kambing dan mula mengkambinghitamkan Anwar sebagai petaka kepada bangsa Melayu. Setahu akulah umur UMNO yang dah cecah 62 tahun, dah tua tu dan cubalah bersikap intelek sikit setaraf dengan umur yang dah pencen. Asal kalah je salahkan pembangkang. Asal pembangkang menang je mula tak keruan.
Matanglah sikit bro, sayap muda UMNO. Patutlah orang muda tak nak join UMNO kerana setiap tindakan yang dilakukan pemimpinnya menampakkan wajah hodoh UMNO sehingga rakyat marhain jadi muak dan benci kepadanya.
Pengharaman akhbar Harakah dan Suara Keadilan tetap dianggap bermotifkan politik walaupun kerajaan BN berulangkali menafikannya. Dah sah dua-dua suratkhabar tu suratkhabar siasah politik. Lainlah kalau URTV atau Mangga yang diharamkan,barulah khalayak ramai menganggapnya bermotifkan hiburan.
Mantan Memanda Menteri, Dr Mahathir juga dijemput menghadiri PAU sebagai status pemerhati. Tak pasti pulak, dalam PAU ada jemput Berahim Ali atau tidak?
Kekalahan Mukhriz dijangka akan membantutkan semula kemasukan mantan memanda menteri ini ke dalam UMNO. Puak-puak dan juak-juak Ali, Mat Taib, Shahrizat, Rafidah, Khaled Nordin, KJ, Norza,Razali dan Azalina pula telah bercadang mengajar keangkuhan memanda menteri yang dah pencen ni dengan tidak mengundi Mukhriz, Hisham, Muhyiddin dan Zahid. Nama Ismail Sabri dan Saifuddin pun masuk senarai calon reject.
Motifnya tentulah politik bro! Jika hulubalang kanan Najib tumbang, jentera kerajaannya tentulah lemah dan Najib ketika ini dahlah tak popular dan tidak disukai dalam dan luar UMNO. Hayat politiknya tidak lama dan jika jadi PM,diramalkan tak menjangkaui tempoh Pak lah jadi PM. Senang cerita, PM paling sekejap di Malaysia. Itupun kalau Pak Lah serah kuasa. Aku tengok banyak idea Pak Lah tak sempat dilaksanakan. Pak Lah pernah kata setelah perlaksanaan SPRM, Surahanjaya Perlantikan Hakim dan SIAP,barulah dia bercadang letak jawatan. Sekarang SIAP pun belum siap lagi. Konvensyen BN pun ditangguhkan. Semalam cara Pak Lah jawab pertanyaan wartawan macam dia tak nak letak jawatan lagi.
Sepupu Najib, Hisham jadi sasaran kebencian ahli-ahli mereka. Ada yang cakap peluangnya jadi Naib Presiden berkubur. Kira nasi dah jadi bubur.bubur pulak dah basi. Isu bahasa Melayu jadi senjata makan tuan. Sayap wanita UMNO hari ni pulak luluskan usul tolak PPSMI tanpa bahas. Tak tahulah mana nak letak muka Hisham ni.
macam mulut serigala laa Wanita UMNO nie..takutnye
Terkini, Shahrizat yang menang besar kalahkan opah Pidah untuk merebut jawatan wanita UMNO apabila mengutip 507 undi berbanding penyandangnya Rafidah Aziz yang meraih 280 undi. Biarlah mereka, apa yang penting kita kena fokus dan aku yakin geng-geng kalah tentu dah patah semangat turun berkempen dan kita anggap semua yang berlaku sebagai bonus untuk kita.
Ketika ini penyokong Pakatan Rakyat kena menyusun gerakan dan bersatu agar kita menang dalam PRK di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.
Aku hampir lupa, ada ura-ura PDRM nak tubuhkan lagi dua jawatan Timbalan KPN. Tak tahulah jawatan ini untuk Sabah dan Sarawak atau untuk bos FRU dan yang jaga DNA. Tugas dan bidangkuasa MP Pakatan Rakyat untuk bahaskannya di parlimen. Pada rakyat, tak perlu dan membazir. Kena pulak ekonomi sedang meleset dan merudum ni.
~matahijauku~