Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah swt, segala puji-pujian hanyalah kepada-Mu, Ya Allah, Tuhan pentadbir sekelian alam. Berkat keizinan-Mu, kami mampu dan sentiasa berusaha meneruskan kehidupan yang penuh ujian, cabaran, mehnah dan tribulasi ini.
Selawat dan salam untukmu, Ya Rasulullah. Penghulu umat juga utusan terakhir untuk sekalian alam. Sesungguhnya kami amat terhutang budi kepadamu. Berkat usaha gigihmu, kami menikmati Islam sebagai agama dan cara hidup. Tatkala ini, kami berhempas pulas menegak dan mempertahankan keagongannya. Tidak lupa juga kami berselawat dan berkirim salam kepada ahli keluargamu dan sekalian sahabatmu. Jejak perjuangan mereka kami susuli dengan penuh ketabahan dan kecekalan.
Kita hadir dalam muktamar tahunan bagi membincangkan agenda siasah politik Islam. Kita meneruskan perjuangan kesinambungan daripada perjuangan para Nabi serta sahabatnya. Perjuangan ini tidak akan terhenti tanpa kita, namun kita wajib menjadi satu mata rantai kepada perjuangan ini. Islam tidak memerlukan kita, malah kitalah yang memerlukan Islam. Kalau kita tidak berjuang di muka bumi Malaysia ini bagi menjadi salah satu daripada mata rantai tersebut, Allah swt tidak rugi sesen pun.
Alhamdulillah, pada muktamar kali ini PAS Kota Tinggi dengan keazaman yang tinggi berjaya menghantar wakil bagi muktamar Dewan Pemuda, Dewan Ulamak serta lima orang ke muktamar tahunan PAS. Perwakilan Kota Tinggi serta Pengerang menginap di salah satu Pasti yang terletak di Seksyen 18 Shah Alam (kurang pasti nama Pasti tersebut). Ternyata pihak urusetia Muktamar begitu bersedia dengan masalah penginapan perwakilan.
Apa yang menarik di sini ketika hari pertama muktamar tahunan dan dalam perjalanan ke Stadium secara berkonvoi dengan di iringi seorang tunjuk arah yang memang di tugaskan untuk perwakilan dari Kota Tinggi serta Pengerang, kami berhenti di tepi jalan semantara menunggu kenderaan perwakilan sampai kesemuanya. Mata kami terlihat seorang penjual surat khabar berbangsa India di tepi jalan yang turut menjual suratkhabar Harakah. Lantas kami memberhentikan kenderaan untuk mendapatkan senaskah suratkhabar Harakah yang terbaru.
Apa yang menariknya, penjual tersebut tanpa rasa takut untuk menayangkan naskah Harakah untuk di jual walaupun berniaga di tepi jalan sahaja. Situasi ini cukup berbeza dengan sikap peniaga di Johor terutama di Kota Tinggi. Rasanya di Kota Tinggi ini peniaga berbangsa Melayu sendiri rasa takut-takut untuk menjual akhbar Harakah. Tapi berbeza dengan peniaga berbangsa India tersebut, beliau lebih yakin untuk menjual akhbar Harakah secara terbuka kerana ianya lebih cepat habis berbandiang akhbar arus perdana yang lain.
Inilah perbezaan bilamana PAS dan Pakatan Rakyat memerintah sesuatu negeri. Rakyatnya lebih bersikap terbuka tanpa takut dengan kekangan. Demokrasi lebih indah dengan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat. Jadi, kepada rakyat Johor adakah anda selesa hidup di bawah kekangan yang memihak kepada UMNO sahaja? Jadilah agen perubahan dengan membawa keadilan Islam kepada Johor dan Malaysia amnya.
~matahijauku~