Beliau berkata, masalah tersebut timbul semasa Abdullah menjadi Presiden UMNO apabila sebahagian ahli dan juga pemimpin UMN0 tetap diberi sokongan walaupun mereka didapati secara jelas melakukan kerosakan atau terlibat dengan rasuah.
Beliau berkata, perkara itu berlaku mungkin kerana pemimpin terlibat menerima sogokan dalam bentuk wang, kontrak atau kerana takut kepada pemimpin mereka.
“Kalau kita bertindak dalam politik berasaskan kepentingan diri bukan kerana kepentingan bangsa, agama dan tanah air, maka sudah tentulah kepentingan bangsa dan tanah air akan rosak dan matlamat tidak tercapai,” katanya pada satu sidang media selepas menyampaikan ucaptama bertajuk Ketuanan Melayu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar setiap ahli dan pemimpin UMNO bersungguh-sungguh menangani gejala rasuah dalam parti sekiranya mereka ingin melihat parti itu terus relevan dan diterima rakyat.
Dr Mahathir menegaskan, jika ada pemimpin UMNO yang melakukan sesuatu bertentangan dengan peraturan dan etika, maka ahlinya mesti berani membuat teguran.
Sementara itu, Dr Mahathir menegaskan beliau tetap dengan pendiriannya tidak akan berkempen untuk membantu calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Tan Sri Mohd Isa Samad.
Beliau yang sebelum ini mahu supaya Mohd Isa yang juga Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang itu tidak dicalonkan pada pilihan raya kecil di kawasan terbabit mendakwa, beliau amat tegas dengan pendiriannya kerana tidak ingin berkempen bagi calon yang sudah terbukti terlibat dengan rasuah seperti mana pendiriannya sebelum ini.
Dr Mahathir berkata beliau enggan berkempen kerana tidak ingin orang berpandangan negatif terhadap calon yang dikatakan pernah terlibat dengan gejala politik wang.
“Saya tidak boleh berkempen dan berkata benda yang saya kata berlainan dahulu, jadi orang akan kata apa orang ini, sekejap kata macam ini, sekejap kata macam tu, bagilah orang lain kempen,” kata nya.
Bagi mereka yang bersetuju dengan pandangan bekas Presiden Umno, Mahathir Mohamad tentu teruja dengan pemilihan Isa. Umno Negeri Sembilan sungguh berani kerana meletakkan Isa sebagai calon.
Dari sudut lain pemilihan Isa itu menjelaskan Umno sudah tidak mempedulikan lagi pandangan Dr Mahathir.
Apakah ketidakpedulian Umno itu bakal memberi risiko kepadanya? Sekiranya pandangan Mahathir itu benar bahawa dengan mencalonkan Isa ia menjejaskan Umno, nampaknya Umno tidak mempedulikan nasihat bekas presiden mereka itu.
Pemilihan Mohd Isa yang pernah digantung kerana penglibatan dalam rasuah politik itu menurut Muhyiddin adalah atas kehendak akar umbi Umno bahagian Teluk Kemang. Umno bahagian berkenaan terus mahukan Isa walaupun bekas MB itu seeloknya bersara dalam politik dan sepatutnya bersedia menyokong calon lain.
Kelebihan Mohd Isa beliau mendapat sokongan akar umbi yang turut mendesak Umno bahagian Telok Kemang agar mempertahankan Isa. Situasi itulah menyebabkan Umno serba salah dan tidak ada pilihan lain melainkan mencalonkan Isa kandatipun Isa bermasalah.
Apa yang jelasnya pencalonan itu menunjukkan pengaruh peribadi Isa masih kuat di Negeri Sembilan khasnya di Teluk Kemang. Pemilihan Isa sebagai calon Umno menjelaskan Isa bukan calon parti tetapi calon dari orang kampungnya sendiri!
Dari sudut lain pencalonan Isa dilihat sebagai satu perjudian besar oleh Umno. Umno seakan memberi ruang kepada pembangkang untuk menjadikan masalah peribadi Isa sebagai modal kempen Pas.
Sudah pasti penggantungan Isa sebagai ahli selama tiga tahun akan menjadi bahan kempen utama. Pembangkang akan menjaja kepada pengundi yang calon UBN tidak mempunyai intergriti dan seorang yang korup.
Dengan pemilihan Isa itu ertinya Umno lebih mementingkan kepada kemenangan parti daripada mengutamakan intergriti parti berkenaan. Umno cukup yakin hanya Isa yang mampu membawa kemenangan kepada parti itu.
Dan kerana demi kemenangan Umno yang dikenali sebagai sebuah parti yang tidak mengutamakan soal syaksiah, soal ketelusan dan kebersihan pemimpin rela mengambil sesiapa saja menjadi calon mereka termasuk 'banduan politik wang' seperti Isa asalnya ia bakal memberi kemenangan!