Terpanggil untuk turut serta dalam demo pemansuhan akta zalim dan ketinggalan zaman, ISA begitu kuat. Dalam kekuatan meninggalkan rumah untuk menuju ke bandaraya yang bukan menjanjikan keindahan pada hari tersebut. Seperti yang dirancang, penulis bersama-sama dengan ahli PAS dari Kota Tinggi dan pemuda Tenggara yang cintakan keadilan terus melangkah ke bandaraya Kuala Lumpur seawal jam 8 pagi. Perjalanan yang begitu lancar cuma beberapa sekatan jalanraya seperti di Kluang dan lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Tangkak tidak mematahkan semangat kami untuk turut merasai ketidakpuasan hati membantah akta yang zalim ini. Sahabat-sahabat yang terlebih dahulu sampai di Kuala Lumpur turut memberikan info berguna kepada kami bagi mengelak kesesakan lalulintas yang sememangnya di rancang oleh pihak keselamatan bagi memberikan gambaran awal akan berlaku rusuhan di sana.
Setibanya di Plaza tol Sg. Besi menuju ke Sg. Besi, kami sudah dapat mengesan akan berlaku kesesakan jalanraya disebabkan sekatan yang di buat oleh pihak polis. Dalam keadaan hati yang gundah gulana melihat beberapa 'notis board' yang memaparkan info penutupan jalanraya di sekitar Jalan Istana mengesahkan ramalan awal kami. Melihat akan kesesakan yang begitu teruk, kami memutuskan untuk meletakkan kenderaan kami di Mid Valley dan seterusnya menaiki komuter untuk ke destinasi yang di tuju ketika jam menunjukkan pukul 12:15 tengahari. Tanpa melengahkan masa, kami terus mendapatkan tiket untuk ke Stesyen KTM Kuala Lumpur. Suasana di sekitar Mid Valley begitu bersahaja, orang ramai seperti tidak mengambil kesah, masing-masing dengan aktiviti harian mereka. Sehinggalah jam 12:30, bila sahaja menaiki komuter tersebut, penulis sudah dapat melihat akan kepadatan penumpang yang entah dari mana datangnya..suasana bersesak-sesak serta berhimpitan. Penulis cuba meninjau di sekitar penumpang komuter tersebut, sudah terlihat mereka yang memakai baju yang tertera Mansuhkan ISA dan baju-baju berwarna merah serta hitam. Rasanya mereka turut sama ke destinasi yang sama dengan penulis.
Memang tepat jangkaan penulis, kebanyakan mereka yang ada di dalam komuter tersebut turun di Stesyen yang sama. Keluar daripada laluan penumpang, sudah dilihat anggota polis bertugas di situ dengan mengarahkan orang ramai agar tidak menunggu di stesyen tersebut. Penulis bersama kawan-kawan memutuskan untuk terus ke Centre Market. Penangkapan pertama ketika sampai di situ sudah mula kelihatan dengan beberapa peserta demo yang memakai pakaian yang tertulis Mansuhkan ISA dibawa ke dalam Black Maria. Kelihatan pelbagai pemberita sudah mula berkumpul di situ untuk mendapatkan bahan berita. Kawasan sekitar CM sudah di penuhi oleh anggota polis yang berpakaian lengkap dan juga preman yang membawa 'cable tie'. Turut berada di sekitar kawasan tersebut, unit anjing yang bersedia menerkam sesiapa sahaja menurut arahan tuannya. Samalah juga anjing-anjing yang turut berada di situ yang sedia menurut arahan pihak atasannya.
Penulis meneruskan langkah untuk terus ke Mesjid Negara kerana pada waktu tersebut sudah kedengaran laungan azan. Mencari laluan untuk ke Mesjid Negara, penulis dapat berjumpa dengan beberapa sahabat-sahabat dari kawasan lain. Langkah terus di susun rapi menuju ke Mesjid Negara. Terkejut dengan panorama yang di lihat di sekitar Mesjid Negara yang di penuhi dengan kebanyakan anggota polis yang di kerah menjaga laluan masuk ke Mesjid Negara dengan hanya satu laluan sahaja di buka. Melihat akan kebanjiran anggota polis yang ada di kawasan itu, mengingatkan penulis seolah-olah berada di Masjidil Aqsa yang dipenuhi dengan askar Israel yang sedang mengawal umat Islam beribadah di situ. Satu fenomena yang begitu asing bagi penulis.
Selesai menunaikan solat, sudah kedengaran di bawah sana laungan takbir bergema serta laungan hidup rakyat mula memecah kesunyian di Mesjid Negara. Dari satu sudut pula, penulis dapat melihat seperti berlaku pergelutan di antara penyokong GMI dengan anggota polis. Kemudian bermulalah perarakan para demontrasi menuju ke Sogo. Di situlah penulis melihat lautan manusia memenuhi jalan yang memang menakjubkan. Masing-masing dengan peralatan penutup muka, sapu tangan yang siap di basahkan serta air mineral sebagai langkah berjaga-jaga. Perarakan diteruskan sehingga sampai di persimpangan 'fly over/Bank Rakyat' menuju ke Sogo bilamana pihak polis mula menutup laluan tersebut. Maka di sinilah bermulanya episod polis melepaskan gas pemedih mata dan pancuran air berasid yang mula memecahkan sekumpulan peserta demo tersebut. Apa yang dapat dilihat di sini, pihak polis menggunakan kuasa yang ada padanya terus mengarahkan bersurai dan dalam masa yang sama mula memancutkan air berasid serta lepasan gas pemedih mata. Rasanya kali ini peritnya merasai kepedihan, kesesakan nafas, kepanahan muka menahan sakit akibat daripada gas tersebut. Apa yang dapat di katakan pada kali ini, ada peningkatan atau gas tersebut seperti di up-grade dengan kesan yang lebih besar. Mungkinlah ada benarnya seperti yang di katakan kesan daripada perjumpaan Zahid Hamidi bertemu dengan Menteri Pertahanan Israel, maka gas pemedih mata dapat di up-grade kesannya.
Dalam pada itu, para peserta demo sudah mula berpecah. Penulis dapat melihat bagaimana segelintir orang tua, makcik serta wanita yang terkena air berasid membersihkan badan dengan menyiram air di tepi longkang sementara peserta demo mula bergerak balik ke arah Mesjid Negara. Ada juga peserta demo yang membawa garam memberikan kepada mangsa-mangsa yang terkena gas pemedih mata. Penulis turut juga merasai bagaimana pedihnya, sakitnya tekak, serta sukar untuk bernafas apabila terhidu sahaja gas tersebut. Turut kelihatan ketika, Dr Yusof Rawa sedang membasuh muka kesan daripada gas tersebut. Beliau mula membangkitkan semangat peserta demo dengan bertakbir serta mengutuk kekerasan pihak polis dalam usaha untuk menghuraikan peserta demo. Ketika penulis berada di bawah kaki Bukit Aman, penulis melihat anggota polis yang berada di pejabat Bkt Aman menjerit dan memprovoke peserta demo dengan kata-kata menghina. Kami hanya memandang sinis sikap mereka. Malas untuk melayan, penulis mengambil ruang yang ada untuk berehat sebentar sementara menantikan episod berikutnya. Sebaliknya, penulis melihat orang ramai mula bertempiaran lari apabila pihak polis mula menembak gas pemedih mata dari arah Mesjid Negara dan bermakna kami peserta demo sudah terkepung. Di sinilah sekali lagi pengalaman yang menyedihkan melihat akan makcik-makcik yang tercungap-cungap, mengesat mata dan terbatuk-batuk menahan keperitan gas tersebut. Penulis cuba mencari tempat yang selamat dengan menuruni anak bukit untuk menghala ke Kelab DiRaja Selangor tapi malangnya sudah terdapat anggota polis yang berpakaian preman yang mengarahkan kami kembali ke tempat asal yang sudah di penuhi dengan kepulan gas.
Mengambil sikap berdiam diri dengan menyembunyikan diri di dalam belukar dan mengharapkan tiada tindakan susulan daripada pihak polis, penulis mancari ruang untuk menghirup udara segar. Malangnya tempat persembunyian itu di hidu pihak polis dan sekali lagi polis terus menembak gas pemedih mata ke arah kami yang bersembunyi di situ. Sekali lagi kami bertempiaran lagi mencari tempat yang selamat dan ketika ini tidak lagi kelihatan anggota polis yang mengawal di situ, mungkin mereka turut merasai kenikmatan menghidu gas tersebut. Penulis mengambil ruang ini untuk menjauhkan diri daripada tempat tersebut dan bergerak menuju ke Stesyen KTM dengan selamat. Menelefon rakan-rakan yang terpisah untuk bertemu di check point yang di tentukan. Apabila bertemu maka masing-masing manceritakan pengalaman sendiri. Tergelak ada, menyumpah seranah pun ada. Tapi yang banyaknya memang menyumpah akan kebaculan pemimpin UMNO yang berselindung di sebalik anggota keselamatan. Tapi penulis terfikir, ini adalah sedikit daripada penyiksaan yang penulis alami berbanding dengan penyiksaan mangsa-mangsa ISA yang di alami sendiri bertahun-tahun di kurung dan di seksa tanpa di buktikan kesalahan mereka. Ini adalah sedikit rintitan keperitan yang perlu di rasai. ISA memang zalim, MANSUHKAN ISA bukan di pinda.
~matahijauku~