Saidah Hairan Foto Wan Zahari Wan Sall
SHAH ALAM, 8 Mei (Hrkh) - Kesungguhan Kerajaan Negeri Selangor membela nasib rakyat bukan saja diterjemahkan kepada rakyat Selangor tetapi turut dihulurkan kepada mangsa Taufan Nargis di Delta Irrawaddy, Myanmar.
Keprihatinan kerajaan Selangor itu dibuktikan dengan penyaluran sumbangan kewangan sebanyak RM1 juta di atas nama Yayasan Amal Malaysia.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menyerahkan cek bernilai RM1 juta itu kepada Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Jamaluddin Elias di tingkat lima, bangunan SUK, Shah Alam, petang tadi.
Turut serta dalam penyerahan cek tersebut ialah Exco Kebajikan Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail; Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali; Speaker DUN, Teng Chang Khim; Adun Meru, Dr Rani Othman; Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus dan wakil Yayasan Amal Pusat dan Selangor.
Yayasan Amal Malaysia akan menghantar kumpulan pertama atas nama Misi Kemanusiaan Taufan Tropika Nargis Mynmar pada hari Sabtu, 10 Mei ini.
Kumpulan pertama diketuai Presiden Yayasan Amal, Haji Hussein Ismail bersama Jamaluddin dan tiga orang doktor perubatan iaitu, Dr Rani sebagai Naib Presiden Yayasan Amal; Pengerusi Cawangan Selangor, Dr Ahmad Yunus dan Ketua Biro Perubahan, Dr Hamdan.
Kerajaan Selangor turut menyediakan ruang di Dataran Usahawan Bangunan SUK sebagai pusat operasi atau bilik gerakan sementara Yayasan Amal Malaysia.
Menurut Jamaluddin, sukarelawan Yayasan Amal yang telah melaporkan diri untuk menyertai misi itu kini mencecah 85 orang.
"Mereka yang berlatarbelakangkan pelbagai bidang kemahiran bersedia ke Mynmar untuk memberi bantuan bagi meringankan bebanan dan tekanan rakyat yang ditimpa bencana alam," ujar Jamaluddin.
Katanya, kumpulan Yayasan Amal pertama yang akan berlepas Sabtu ini cuba mengesan kawasan yang paling kritikal dan selamat untuk tenaga sukarelawan Yayasan Amal menjalankan tugasan.- tajdid