Penulis ingin berkongsi sebuah kisah yang patut dijadikan pedoman dan contoh bagi setiap manusia mengenai Khalifah Umar Bin Abdul Aziz dalam mengepalai sebuah Kerajaan Islam. Kisah ini dipetik daripada buku "Belajar Dari Dua Umar" yang telah ditulis oleh Hepi Andi Bastoni dan diterbitkan oleh Anbakri publika Sdn Bhd.
Begini kisahnya......
Umar bin Abdul Aziz membersihkan kedua-dua tangannya. Dia berdiri di depan makam Sulaiman bin Abdul Malik, khalifah Bani Umaiyyah sebelumnya. Berdasarkan wasiat almarhum, Umar bin Abdul Aziz memegang takhta khalifah. Baru sahaja Umar bangkit berdiri, tiba-tiba dia mendengar suara riuh.
"Ini adalah kenderaan tuan, wahai Amirul Mukminin," ujar salah seorang sambil menunjukkan sebuah kenderaan mewah yang khusus disediakan untuk khalifah.
Dengan suara gementar dan tersekat-sekat kerana keletihan dan kurang tidur, Umar berkata, "Apa hubungannya denganku? Jauhkan kenderaan ini. Semoga Allah memberkati kalian." Lalu dia berjalan ke arah seekor keldai yang menjadi tunggangannya selama ini.
Baru sahaja dia duduk di belakang haiwan itu, serombongan pengawal datang di belakangnya. Di tangan masing-masing tergenggam tombak tajam. Mereka sedia menjaga khalifah daripada bahaya. Melihat kehadiran pasukan itu, Umar menoleh hairan dan berkata, "Aku tidak memerlukan kalian. Aku hanyalah orang biasa daripada kalangan kaum muslimin. Aku berjalan pagi dan petang sama seperti rakyat biasa."
Begitulah kehebatan sikap seorang pemimpin Islam yang telah ditunjukkan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang sepatutnya dicontohi oleh setiap pemimpin zaman kini terutamanya pimpinan jemaah Islam. Terdapat banyak lagi kisah-kisah menarik yang menonjolkan keperibadian mulia Khalifah Umar bin Abdul Aziz seperti kisah beliau memadamkan lampu di pejabatnya tatkala anak beliau sendiri mengadapnya untuk berbincang hal keluarga.
Maka adalah tidak menjadi kehairanan bagi kita jika mana-mana pihak menjadikan Khalifah Umar bin Abdul Aziz sebagai contoh tauladan dalam kehidupan mereka termasuklah bagi Lim Guan Eng, Menteri Besar Pulau Pinang. Semoga Allah memberikan taufik dan hidayah kepada beliau.
Bahkan sepatutnya pemimpin-pemimpin Islam berlumba-lumba terkehadapan dalam mencontohi sikap dan peribadi Khalifah Umar bin Abdul Aziz.