Program menyemarakkan kefahaman Islam lebih rancak di bawah pemerintahan PR walaupun baru berusia tidak sampai 3 tahun. Pencapaian ini boleh dilihat di masjid-masjid dan surau yang diimarahkan berbanding 51 tahun di bawah Umno memerintah, ini adalah fakta yang boleh diukur dengan mata kasar.
PAS menasihati mereka yang cuba untuk berusaha untuk menyatukan PAS dengan Umno, tolong satukan sesama Umno dulu sebelum menyatukan orang lain.Parti Umno yang berada di dalam keadaan yang bercelaru dan perpecahan sesama sendiri, kerana berebut “kek projek “ yang semakin kecil. Umno sekarang berada di akhir hayat, kerana sudah kehilangan identitit dan krisis nilai di kalangan ahlinya. Perjuangan yang hanya berteraskan kepada benda, bukan ideologi. Mereka yang memimpin Umno semuanya kerana perjuangan perut bukan menegakkan idealisma perjuangan seperti mereka yang terdahulu. Masuk Umno kerana projek dan “mengalibabakan” khazanah negara sehingga perjuangan bangsa tergadai. Sekarang apabila banyak projek sudah tidak ada khususnya di Selangor yang dianggap lubuk emas, maka pemimpin Umno cuba bercakap soal perjuangan bangsa dan perpaduan Melayu untuk menarik kembali sokongan rakyat di negara ini, dan cuba menjadi umpan perpaduan untuk menimbulkan keraguan di kalangan Pakatan Rakyat.
PAS hendak menasihatkan Tan Sri Harussani Zakaria dan rakan-rakan yang sewaktu dengannya, kononnya mendakwa sebagai tenaga pemikir, sebenarnya penyokong Umno tegar, yang mempunyai kepentingan dunia yang tidak berkesudahan. Mereka hanya berani bercakap kepada perkara yang menguntungkan politik Umno, tetapi membisu ketika kemungkaran dan pengkhianatan Umno kepada agama dan bangsa. Kita tidak dengar suara mereka mengkritik dengan lantang ketika khazanah negara habis disapu dan digadai. Membisu ketika kes Pulau Batu Putih, telaga minyak yang bernilai RM320 bilion terlepas kepada Brunai, 217 hektar tanah KTM di faraid dengan Singapura, tanah rezab Melayu yang ditinggal penjajah selepas merdeka seluas 3 juta hektar yang hanya separuh sahaja lagi yang berstatus rezab Melayu dan banyak lagi isu yang mengguris perasaan orang Melayu Islam di negara ini. Apakah semua ini angkara Pakatan Rakyat?
PAS menasihati mereka ini, hentikanlah menjadi ayam sabung Umno, untuk bersama sama dengan PAS dan serulah rakyat untuk bersama dengan PAS bukannya mengajak PAS bersatu dengan parti yang sudah hendak karam. Habiskanlah sisa umur yang semakin senja untuk berbakti kepada perjuangan Islam yang dipimpin oleh PAS, ketika gerakan massa dari kalangan muda mudi yang tidak bertudung dan bersubang sebelah bersama PAS untuk menyelamatkan negara daripada kepimpinan yang rakus.
Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat