Pendahuluan : Sumber memahami ajaran Islam
Sesiapa sahaja yang
ingin mengetahui Islam secara ikhlas, maka wajiblah mereka membaca dan
mengkaji daripada sumber asasi Islam iaitu kitab suci Al Quran dan cara
pelaksanaanya melalui hadith-hadith yang soheh. Begitu juga penjelasan
daripada para ulama muktabar, sama ada menerusi kitab-kitab tafsir,
hadith dan ilmu feqah serta sejarah pelaksanaan oleh kerajaan-kerajaan
Islam yang adil, bukannya kerajaan Islam yang zalim.
Tentulah akan berlaku kesilapan dan boleh menyesatkan jika sekadar
membaca dari sumber yang tidak benar dan mengelirukan seperti penulisan
para orientalis yang tidak beriman atau media yang tidak juga beriman
dan budiman. Apatah lagi cuba mendalami Islam menerusi media yang
mencampur adukkan hak dan batil, mencampur adukkan terjemahan Al Quran,
tulisan-tulisan serta gambar lucah dan keputusan judi nombor ekor untuk
mendapat keuntungan wang tanpa mengira halal dan haram. Begitu juga
dari kalangan para ulama contoh daripada ahli kitab yang disumpah
menjadi kera, binatang yang bergayut di pokok yang banyak buah yang
boleh dimakan. Kalau diberi bunga yang cantik dan harum nescaya
diciumnya. Kemudian dikoyak rabak merosakkannya. Begitulah ajaran Islam
yang murni juga dikoyak rabaknya, kerana kedudukan dan periuk nasi
kononnya.
Keseluruhan surah Madaniyyah (yang diturunkan di Madinah) dan ayat –
ayatnya yang menyatakan hukum jenayah Islam di antaranya hukum Hudud.
Ketika Islam memerintah negara masyarakat majmuk pelbagai bangsa,
penganut berbagai agama dan aqidah menjadi rakyat. Berlakunya perbezaan
agama dan aqidah dan mecetuskan perbahasan dengan kalangan bukan Islam
secara terbuka.
Allah berfirman dalam al-Quran, Surah al-Baqarah ayat 120 :
Maksudnya
: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau
suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut agama mereka.
Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam
itulah petunjuk Yang benar". dan Demi Sesungguhnya jika Engkau menurut
kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu Yang memberi)
pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah Engkau akan
peroleh dari Allah (sesuatupun) Yang dapat mengawal dan memberi
pertolongan kepada mu”.
Banyak lagi ayat-ayat yang tegas daripada surah yang lain yang
bersifat Madaniyyah, di antaranya jawapan kepada soalan dan tuduhan kaum
bukan Islam yang hidup bersama masyarakat Islam, daripada kalangan
Yahudi, Nasrani dan kabilah musyrikin yang belum Islam serta kumpulan
munafik yang berpura-pura Islam. Mereka adalah kalangan yang tidak ada
kuasa pemerintahan dan bebas bercakap tanpa larangan. Ada pun ayat-ayat
peperangan adalah bagi menghadapi musuh yang datang menyerang atau
membuat persediaan untuk berperang.
Dalam konsep hubungan berbagai kaum, Islam mendahulukan perdamaian
dan mengharamkan paksaan dalam berdakwah. Ini kerana paksaan tidak
memberi makna Islam yang sebenar, tetapi hanya melahirkan golongan
munafik. Allah berfirman dalam Al Quran (al-Hujurat :14) mendedahkan
sikap sebenar kaum badawi :
Maksudnya : Orang-orang A'rab(badawi) berkata: " Kami telah
beriman". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kamu belum beriman, (janganlah
berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke
dalam hati kamu berkatalah sahaja: “Kami telah Islam”. dan (ingatlah),
jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan
mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana Sesungguhnya
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".
Tiada paksaan menerima hudud untuk bukan Islam
Apabila kaum
Yahudi yang berpegang kepada kitab suci Taurah, walaupun di dalamnya ada
hukum hudud yang sama dalam Al Quran, namun Allah memerintah Rasulullah
S.A.W. tidak memaksanya. Firman Allah (al-maidah : 42) :
Maksudnya : Dan jika mereka datang kepadaMu, maka hukumlah di antara
mereka (dengan apa Yang telah diterangkan oleh Allah), atau
berpalinglah dari mereka (biarkan); dan kalau Engkau berpaling dari
mereka maka mereka tidak akan dapat memudaratkanmu sedikitpun; dan jika
Engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana
Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.
Ayat ini antaranya menjadi dalil kepada pada pendapat yang
menyatakan bahawa tiada paksaan hukuman hudud terhadap orang bukan
Islam sebagaimana pendapat dari mazhab Maliki yang diamalkan dalam
masyarakat majmuk di utara Afrika dan Andalusia dan mazhab Hanafi yang
berkembang dalam masyarakat majmuk di Iraq, India dan China. Berbeza
dengan Mazhab Syafei yang tersebar di tanah Hijaz dan semenanjung arab
yang terdiri daripada penganut Islam, ahli kitab dan Majusi.
Saya memuji betapa bijaksana para pendakwah kalangan ulama yang
membawa Islam di alam Nusantara termasuk Tanah Melayu. Kerajaan Islam
Melaka berabad lalu menyediakan dua undang-undang jenayah sama ada
undang jenayah Islam termasuk undang-undang Hudud atau undang-undang
adat bagi kaum bukan Islam Hindu dan Budha. Di Kedah masih ada rumah
ibadat Hindu Melayu di Merbok yang tidak dimusnahkan oleh kerajaannya.
Di Terengganu tempat penemuan batu bersurat yang mencatatkan
undang-undang Hudud, masih digunakan rumah ibadat agama Budha dikampung
Jeram Terengganu.
Al Quran mewajibkan pelaksanaan yang adil dalam perkara kemanusiaan
yang sama dalam konsep Negara berkebajikan yang diamalkan oleh
Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa yang adil dalam menangani hak
beragama, berbudaya, bekerja, menangani kemiskinan dan sebagainya.
PAS dan dasarnya
PAS menyatakan dasarnya secara terbuka dan
DAP juga menyatakan perjuangannya secara terbuka dan berdailog secara
terbuka. Maka PAS dapat bekerjasama dalam perkara yang ada persamaan
tanpa melarang dan memaksa dalam perkara yang berbeza. Ada perkara boleh
bertolak ansur dan ada perkara yang tidak boleh berganjak. Sabda
Rasulullah S.A.W. : “Orang Islam itu wajib bertanggungjawab di atas
syarat yang ditetapkan, melainkan syarat yang menghalalkan yang haram
dan mengharamkan yang halal”.
Sepertimana juga DAP tidak boleh memaksa ahli PAS meminum arak dan
memakan daging khinzir, maka PAS juga tidak boleh melarang ahli DAP dari
minum arak dan makan daging khinzir. Perlembagaan PAS mewajibkan
memecat sesiapa kalangan ahli PAS yang meminum arak dan memakan daging
khinzir. Perlembagaan Umno tidak boleh memecat ahli UMNO yang minum arak
bersama MCA , MIC dan Gerakan.
Begitulah nyatanya PAS tidak boleh menghalang DAP menentang Hudud
dan DAP tidak berkuasa menghalang PAS menyatakan haknya. Pandangan
pimpinan tertentu DAP pula tentulah tidak sama dengan pandangan pimpinan
UMNO yang berkuasa selama puluhan tahun di Malaysia ini. Berbeza dengan
UMNO yang sudah berkuasa bersama parti-parti rakannya sejak kemerdekaan
negara mencecah lebih setengah abad. PAS adalah kalangan Melayu yang
tidak lupa dan tidak mudah lupa seperti Melayu UMNO yang mudah lupa.
Sejak awal kemerdekaan PAS memperjuangkan Syariat Allah wajib
ditegakkan, termasuklah hukum Hudud. Sejak awal kemerdekaan juga para
pemimpin Umno menentang hukum Islam seperti hukum Hudud. Hanya berhukum
sekadar yang diizinkan oleh kerajaan penjajah Inggeris. Maka pada masa
itu hukum hudud menjadi sasaran dihina, bahkan menganggap politik tidak
ada hubungan dengan agama. PAS tetap beranggapan sikap UMNO itu kerana
kejahilan dan terus bersabar mengemukakan hujah dan melarang
ahli-ahlinya yang melampau dalam menghukum. Hinggalah yang melampau itu
melompat ke dalam UMNO. Berkat kesabaran itu maka tidak ada lagi
kenyataan menentang secara terbuka di waktu ini. Kenyataannya bertukar
kepada menentang secara bersilat gayung seperti kenyataan “Hudud PAS”
atau “belum tiba masanya” walau pun berlalu masa setengah abad.
PAS mengemukan undang-undang jenayah Syariat termasuk hukum Hudud
diperingkat negeri Kelantan dan Terenganu melalui proses demokrasi.
Undang-undang tersebut digubal oleh jawatankuasa khas bersama daripada
PAS dan kerajaan negeri melibatkan beberapa ahli Majlis Syura Ulama dan
pakar undang–undang seperti Tun Saleh Abas, mantan Ketua Hakim Negara,
al-Marhum Prof Dr Ahmad Ibrahim (tokoh akademik dan ahli PAS Singapura)
Almarhum Prof Dr Saedun Awang (tokoh akademik dan Mantan Mufti Brunei
Darussalam). Apa yang berlaku ialah, pihak UIA di bawah kerajaan UMNO
lah yang mengarahkan kedua tokoh akademik meletakkan jawatan sebagai
panel ini, namun urusannya dapat diselesaikan.
Rang undang-undangnya terlebih dahulu dibentangkan kepada umum.
Dengan jasa baik YBM Tengku Razaleigh Hamzah, maka dijemput semua
parti-parti politik termasuk komponen BN yang dipimpin UMNO dan NGO
berbagai agama. Keseluruhannya hadir kecuali BN. Semua pandangan dan
kritikan didengar dan dijawab. Selepasnya diluluskan oleh Dewan Undangan
Negeri kedua-dua negeri yang PAS mendapat sokongan majoriti. Akhirnya
diperkenankan oleh DYMM Sultan dikedua-kedua negeri. Ada pun
pelaksanaannya bergantung mengikut proses perlembagaan di bawah kerajaan
Pusat yang dipimpin oleh Umno. Kalau UMNO boleh meminda perlembagaan
mengambil kesempatan kesilapan seorang sultan dengan mengambil kuasa
bagi kepentingannya, mengapa tidak boleh menyelesaikan perlembagaan bagi
melaksanakan undang Islam?
Hudud ditolak oleh UMNO
Kemudian daripada itu, kerajaan
Kelantan mendapat surat amaran daripada Kerajaan Pusat pimpinan UMNO.
Kerajaan Terengganu dan Kelantan didakwa dimahkamah oleh pemimpin UMNO
kerana undang-undang tersebut. Berikutnya berlaku kempen menakutkan
pelabur dan rompakan royalti Petroleum daripada Terengganu melalui usul
perwakilan Umno Terengganu dalam Perhimpunan UMNO tahun 2000 dan
dinafikan hak Kelantan. Tetapi tidak dilakukan kepada Sabah di bawah PBS
dan Singapura ketika dalam Malaysia. Di mana salahnya PAS ?
Inilah dia dua sikap yang berbeza. DAP ditonjolkan sebagai parti yang
menentang hudud oleh media arus perdana kawalan Kerajaan BN, dalam masa
yang sama hakikatnya ialah UMNO yang berkuasa memimpin kerajaan pusat
itu pula juga menolak Hudud dengan rentetan seperti yang saya tulis di
atas. DAP menolak hudud dengan menampilkan hujah mereka, manakala MCA
pula menolak hudud dengan tempikan tuduhan UMNO hilang akal.
Hakikatnya ialah tema “Hudud” ini telah dan kembali lagi menjadi kitaran
isu musim pilihanraya oleh UMNO untuk melaga-lagakan rakyat, tanpa rasa
bertanggungjawab terhadap panduan agama Islam yang murni. Sedangkan
merekalah yang sebenarnya sekian lama menolak hukum hudud ini !
Sekian untuk pusingan pertama, sila tunggu pusingan berikut kalau ada silat gayungnya.
Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
PRESIDEN PAS