Projek
memberi duit dari kerajaan Barisan Nasional telah dan sedang berjalan
lancar. Ketika sekolah baru dibuka awal tahun ini ibu, ayah dan anak
telah diberi 200 ringgit untuk membeli buku. Ini diikuti dengan
pemberian 500 ringgit untuk keluarga yang berpendapatan dibawah 3000
ringgit sebulan. Ini 'sedekah jariah' yang tidak berulang.
Orang
ramai sedia maklum bahawa tahun ini ialah tahun pilihan raya. Justeru,
duit ini juga adalah duit untuk membeli sokongan mereka. Kesampaian
duit-duit ini menjadikan orang ramai dan para pengundi sedar tentang
hikmah PRU12 yang lalu.
Akibat
dari melesetnya sokongan orang ramai terhadap Barisan Nasional dan
United Malays National Organisation, maka duit ringgit ini mula menyusur
masuk. Para pengundi tahu bahawa dengan tindakan mereka menafikan
Barisan Nasional kuasa dua pertiga dalam Parlimen, maka ' duit sogok'
ini mula mencurah datang.
Dalam
bahasa rakyat — dalam bahasa yang senang difahami ramai, duit-duit yang
masuk ke saku mereka kerana mereka memangkah Pakatan Rakyat. Para
pengundi telah mendapat pengajaran politik - jika memangkah Pakatan
Rakyat maka mereka akan mendapat pujuk rayu. Jika pujuk rayu tidak
dilayan maka duit ringgit akan mencurah masuk.
Perkara
ini amat jelas sekali dilihat dikalangan masyarakat India. Kita lihat
hari ini bagaimana masyarakat India telah ditatang dan dibodek. Pada
November 2007 komuniti India yang dipimpin oleh Hindraf telah bangun
berdemo menentang Barisan Nasional.
Kemudian
pengundi India telah berbondong-bondong meninggalkan Barisan Nasional.
Hasilnya - sesudah 8 March 2008 - pekan Brickfields - kini Little India -
bukan sahaja tersergam dengan Dataran Gajah, malah wilayah Brickfields
kini memiliki lebih banyak lampu jalan dari jumlah penduduk.
Ini
agak berbeza dengan pengundi Cina. Masyarakat Cina yang memiliki punca
ekonomi telah membolehkan mereka membebaskan diri dari pujuk rayu dan
bodekan dari pemimpin Malaysian Chinese Association.
Malah, masyarakat Cina langsung tidak 'ambil pot'
terhadap para pemimpin United Malays National Organisation. Kemarahan
masyarakat Cina terhadap kerenah United Malays National Organisation ini
telah sampai ke tahap 'no return'.
Justeru,
pengundi Cina telah sepakat untuk meninggalkan MCA. Mereka juga telah
sepakat meninggalkan Parti Gerakan. Pada PRU13 yang akan datang ini,
hanya dengan munculnya seekor Naga dalam Sungai Klang dan meminta
masyarakat Cina mengundi Barisan Nasional - mungkin masyarakat Cina akan
befikir sekali lagi.
Masyarakat
Cina di Kepong atau di Jinjang tidak mungkin dapat dibodek dengan
Dataran Naga atau dengan lampu jalan. Ini bukan tuntutan fundamental
mereka. Apa yang mereka mahu ialah sebuah kerajaan yang adil dan tidak
menindas rakyat. Lampu jalan dan Dataran Naga bukan agenda orang Cina.
Justeru,
projek pemberian duit ringgit ini wajib menjadi kuliah politik yang
terbaik untuk para pengundi. Di mata para pengundi apabila kerajaan
Barisan Nasional menjadi lemah, maka projek 'duit ringgit' mula melimpah
sampai. Jika kerajaan Barisan Nasional kuat maka mereka akan menjadi
sombong dan angkuh. Inilah kuliah politik yang dibawa oleh PRU12 yang
lalu.
Kepada pelajar dan pengkaji politik - apa yang sedang berlaku di Malaysia hari ini ialah contoh terbaik realpolitik
dalam negara Dunia Ketiga. Projek kebajikan untuk rakyat telah
dijadikan agenda membeli undi dalam pilihan raya. Dana dan bajet negara
telah digunakan secara lucah untuk meraih sokongan dan undi. Politik
wang, rasuah dan pengunaan dana negara untuk membeli undi menjadi lumrah
dan tidak dilihat salah.
Orang
ramai telah mula memahami bagaimana masyarakat India yang kompak
tersusun bersepadu di bawah Hindraf pada satu ketika dahulu kini telah
terbarai. Masyarakat India yang minoriti ini semakin menjadi kecil -
pecah dengan pelbagai parti politik.
Suara
minoriti ini tidak lagi menjadi satu ombak yang berupaya untuk membuat
perubahan. Sebahagian besar pengundi India pasti akan mengundi Pakatan
Rakyat. Manakala satu kumpulan kecil mungkin kembali untuk menyokong
Malaysian Indian Congress.
Setelah
memahami semua ini maka muncul soalan cepu emas - Bila pilihanraya akan
diadakan? Jawabnya - tarikh ini masih lagi satu tanda tanya.
Perdana Menteri Najib Razak sendiri pun kelihatan kluk klek.
Najib Razak yang telah dinobatkan sebagai Bapa Pengumuman kini masih
belum berani membuat pengumuman tarikhnya. Khabar angin tentang tarikh
PRU13 dari pelbagai sumber telah beberapa kali terbukti meleset.
Pak
Nujum politik terus memberikan pandangan. Pak Nujum Kampong masih
menelik ayat dalam pinggan untuk mencari tarikh yang sesuai.
Minggu
ini warga Felda telah dilanggar oleh 'durian runtuh'. Kedatangan
'durian runtuh' ini telah berbulan-bulan di heboh hebohkan. Pada mulanya
telah dibocorkan berita dimana setiap peneroka Felda akan mendapat 32
ribu ringgit. Manakala dari kajian Parti Keadilan Rakyat jumlah 'durian
runtuh' yang sepatutnya diterima oleh peneroka ialah 50 ribu ringgit.
Sayang
seribu kali sayang - guruh yang berdentam dentum itu hanya berkeupayaan
membawa 15 ribu ringgit untuk satu keluarga peneroka. Tidak ada 32
ribu ringgit dan mustahil 50 ribu ringgit. Jumlah 'durian runtuh' ini
telah meleset. Tetapi ini tidak memberhentikan media milik United
Malays National Organisation untuk 'berheboh' siang dan malam tentang
'durian runtuh' ini.
Lalu
timbul pertanyaan - apa maknanya berita 'durian runtuh' 15 ribu ringgit
ini? Sekali pandang orang ramai akan membaca bahawa ini juga adalah
'duit sogok' untuk membeli undi peneroka. Pandangan ini tidak salah.
Tetapi disebalik 'durian runtuh' ini ada satu lagi yang tersirat dan
wajib kita semua fahami.
Kita
wajib memahami kenapa cara pemberian 'durian runtuh' ini
berperingkat-peringkat. 15 ribu ringgit akan diberikan pada minggu
pertama bulan hadapan untuk kepala keluarga. Beberapa bulan kemudian
untuk ibu keluarga. Dan pada satu masa yang sesuai baki 5 ribu ringgit
akan diberikan kepada anak peneroka. Ada tiga kali pemberian dan tidak
15 ribu ringgit sekaligus.
Kenapa berperingkat-peringkat 'durian runtuh' ini diberi?
Untuk
memahaminya mari kita buat kaji selidik tentang masyarakat Felda. Pada
ketika ini ada 54 buah kerusi Parlimen dan 92 kerusi DUN bergantung
kepada sokongan undi peneroka Felda. Kesemua negeri ada rancangan Felda
kecuali Pulau Pinang dan Sarawak. Justeru, undi peneroka Felda ini
adalah talian hayat untuk United Malays National Organisation.
Satu
ketika dahulu diheboh-hebahkan tentang Sabah dan Sarawak sebagai bank
simpanan Barisan Nasional. Anggapan ini telah meleset. Nasionalisme
Dayak dan undi warga kota di Sarawak telah terbukti tidak lagi menyokong
Barisan Nasional. Pilihan raya Sarawak bulan April tahun lepas
membuktikan bank simpanan ini telah bocor.
Manakala
di Sabah, Nasionalisme Kadazan - Sabah Untuk Sabahan - tidak lagi
menjamin hegemoni United Malays National Organisation. Warga di negeri
bawah bayu ini telah lama naik angin dengan kemasukan pendatang haram.
Para pendatang haram ini telah diberi kad pengenalan segera untuk
mematahkan semangat Nasionalisme Kadazan.
Justeru,
slogan Sabah Untuk Sabahan ini cukup ampuh dan sedang merebak. Semangat
nasionalisme Kadazan ini akan meruntuhkan hegemoni kuasa United Malays
National Organisation dan kuncu-kuncunya. Kemarahan penduduk asal Sabah
telah memaksa kerajaan Persekutuan minggu lalu menubuhkan Suruhanjaya
DiRaja untuk menyiasat tentang kemasukan pendatang haram sebagai
pengundi di Sabah.
Lanskap
politik Malaysia telah berubah semenjak 8 Mac 2008. Pengundi China
sudah cabut. Pengundi India sudah lari. Dayak dan Kadazan tidak mahu
lagi kena tindas dibawah hegemoni Semenanjung. Maka yang tinggal secara
tersusun hanyalah peneroka Felda.
Warga
Felda ini adalah kumpulan komuniti Melayu yang tersusun. Ianya bukan
kampong Melayu tradisional. Mereka ini dalam analisa ekonomi moden jatuh
ke dalam katogeri buruh pertanian. Peneroka Felda ini sama seperti
buruh India diladang getah milik British di zaman penjajah dulu.
Kesetiaan
mereka bukan kesetiaan Melayu feudal. Bukan kesetiaan kepada Raja dan
struktur feudal. Sebagai buruh pertanian, watak mereka ditentukan oleh
ekonomi.
Justeru
watak dan kelas peneroka Felda ini adalah bom jangka yang berkeupayaan
untuk meledakkan United Malays National Organisation. Beberapa kumpulan
peneroka telah menyaman Felda kerana mereka telah ditipu dalam soal jual
beli sawit mentah. Beratus-ratus peneroka telah menang di mahkamah dan
akan mendapat ganti rugi yang lumayan.
Ketika
ini peneroka Felda telah mula berani menjemput Pakatan Rakyat untuk
membuat program dalam perkampongan mereka, ini samalah seperti di zaman
British, para buruh Estate Dunlop secara terbuka menjemput Front
Sosialis untuk membuat program dalam ladang.
Amat
jelas, hari ini suasana di ladang Felda tegang dan terpecah. Maka
disinilah Perdana Menteri Najib Razak masuk untuk menghamburkan 'durian
runtuh'.
Tetapi kenapa Najib Razak tidak memberi 'durian runtuh' ini sekaligus - 15 ribu ringgit?
Jawapannya cukup senang. Ini kerana Najib Razak masih kluk klek.
Najib juga tidak pasti bila pilihan raya akan dijalankan. Jika Najib
Razak tahu dan yakin akan tarikhnya pasti dia akan memberi 'durian
runtuh' ini sekaligus. Kerana Najib sendiri masih takut-takut dan kurang
yakin akan sokongan orang ramai, maka 'durian runtuh' ini akan menjadi
tempoyak.
By Hishamuddin Rais