Salurkan Sumbangan Dana Pilihanraya Anda ke Parti Islam Se-Malaysia Kawasan Kota Tinggi

Salurkan Sumbangan Dana Pilihanraya Anda ke Parti Islam Se-Malaysia  Kawasan  Kota Tinggi
No Akaun : 01-069-01-003759-0

Pilihan Anda di PRU 13?


Ruang Aduan

E-mail Address: *
Nama Pengadu *
Nombor Telefon *
E-mail Address
Alamat Pengadu *
Aduan *
Adakah anda bersetuju untuk mendedahkan identiti anda sekiranya diperlukan? *YA
TIDAK

* RequiredBuild Contact Forms

May 29, 2012

Kenyataan Media Presiden PAS : Mengapa PAS bersama Bersih 1, 2 dan 3

Memilih pemimpin negara adalah amanah besar dalam Islam, yang disebut Ulil Amri. Al-Quran mengesahkan semua rasul menentang sekeras-kerasnya ajaran yang memartabatkan pemimpin kerajaan sehingga dianggap Maha Suci daripada segala kesalahan. Di zaman keemasan umat Islam menjadi kuasa besar dunia, setiap Uli al-Amri yang dinamakan Khalifah diharamkan bersikap Maha Suci seperti Tuhan Yang Maha Esa (Allah S.W.T)

Rasulullah S.A.W bersabda : “Ketaatan terhadap pemimpin hanya dalam perkara yang baik “. Ucapan ini adalah menafsirkan perintah Allah yang dihayati di masa baginda sendiri menjadi ketua negara dan wajib diikuti oleh umatnya.

Ucapan  Abu Bakar R.A apabila dipilih menjadi ketua negara selepas wafatnya Rasulullah S.A.W : “Wahai tuan-tuan ! saya telah dipilih menjadi pemimpin kamu, padahal saya bukannya orang yang terbaik di kalangan kamu. Sekiranya saya dalam keadaan yang baik tolonglah saya, sekiranya saya dalam keadaan yang buruk perbetulkan saya. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat ......”. Beginilah juga ucapan setiap pemimpin yang dilantik selepasnya.

Amalan sistem pemerintahan Islam yang dibukukan dan dicatit oleh para ulama Islam daripada semua mazhab menjadi kajian para orentalis. Kitab-kitab seperti Muqaddimah Ibn Khaldun, Ahkam Sultaniyyah, Adab al-Wazir dan lain-lain  diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa Eropah mempengaruhi perkembangan Demokrasi Moden yang diamalkan oleh negara Barat. Walaupun mereka menerima dengan fahaman sekularisme yang dianut, memisahkan politik daripada agama, namun pengaruh inilah yang mewujudkan sistem pilihanraya yang adil dengan memberi hak kepada rakyat menjadi hakim terhadap kerajaan dan para pemimpin kerajaan yang boleh dijatuhkan sekiranya berlaku kesilapan atau kelemahan dalam mentadbir negara, rakyat pula diberi hak dalam urusan pemerintahan secara beradab. Sistem yang adil ini menggantikan revolusi rakyat secara berdarah yang banyak berlaku seperti di England, Perancis dan lain-lain. Akhirnya terciptalah demokrasi moden dengan mewujudkan pilihanraya yang adil.

Bagi mewujudkan penghakiman yang adil oleh rakyat melalui pilihan raya, maka rakyat diberi kefahaman yang benar berkenaan pilihanraya. Mereka benar-benar  memahami hak  mereka dengan larangan tegas secara undang-undang terhadap ugutan, sogokan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Pihak media diletakkan sebagai saksi yang melaporkan semua pihak kepada rakyat yang menjadi hakim, samada pihak kerajaan yang dituduh atau pihak pembangkang yang menuduh. Pihak Suruhanjaya Pilihanraya adalah badan yang bebas bagi mengendalikan urusan pilihanraya mengikut sistem pemisahan kuasa di antara badan kehakiman, perundangan dan pentadbiran yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W ketika menegakkan negara contoh di Madinah.

Sistem ini diterima oleh semua parti Islam di seluruh dunia termasuk PAS, yang ditubuhkan  daripada gerakan tajdid dan islah kerana demokrasi moden menjadi medan  politik paling sesuai dengan Islam yang mengutamakan secara damai.  Keseluruhan negara Barat dan termasuk negara komunis sekarang telah berubah, menerima sistem demokrasi pilihanraya yang adil, sehingga tidak ada parti dan pemimpin kerajaan boleh mendabik dada bahawa mereka Maha Suci daripada segala sifat kekurangan dan tidak ada kesilapan langsung.

Sistem demokrasi moden ini menjadikan parti kerajaan dan pemimpinnya sentiasa berwaspada dan sedia ditolak dan dihukum oleh rakyat, maka berlakulah perlumbaan yang sihat bagi melakukan yang baik dan menolak yang munkar, menjadikan riadah yang menjadikan hak rakyat dan kerajaan sentiasa sihat, kerana silih berganti apabila berlaku setiap kelemahan dan para pemimpin sangat berhati-hati menunaikan amanah.

Di Amerika pernah dibatalkan kemenangan seorang presiden dalam peristiwa yang terkenal dengan nama skandal Water Gate. Di England  pula menjatuhkan kerajaan kerana skandal salah seorang menteri kabinetnya dengan pelacur yang berkait dengan perisikan negara asing. Di India membatalkan kemenangan seorang perdana menteri kerana menyalahgunakan jentera kerajaan dan banyak lagi. Di zaman kini banyak negara yang dibelenggu dengah sistem dictatorship terpaksa berubah kepada sistem demokrasi pilihanraya yang adil.

Negara kita Malaysia yang tercinta ini mengalami sistem demokrasi menuju ke arah yang lebih buruk dan memalukan. Surahanjaya Pilihanraya yang tidak bermaya untuk melakukan reformasi demokrasi yang sebenar kerana tidak diberi kuasa yang sebenar mengikut takrif demokrasi dan tidak berlaku pemisahan kuasa yang sebenar. Kedudukannya berada di bawah siapa parti yang memerintah mengikut arahan secara nyata dan sulit bagi mengekalkan sistem satu parti seperti negara komunis, secara agenda yang diatur begitu rupa. Media arus perdana sebelah pihak yang menutup minda rakyat mengetahui segala kelemahan kerajaan, seolah-olah  menjadikan kerajaan itu Maha Suci sepanjang hayat seolah-olah tidak ada ajal dan tidak ada hari kiamat. Daftar pengundi yang tidak masuk akal, seperti jumlah isi rumah laksana sebuah kampung dan  penduduk kampung yang ramai laksana satu daerah kerana terlalu gelojoh mangambil pengundi bagi menjamin kemenangan parti yang sedang memerintah walaupun sudah banyak senarai penyelewengan sehingga dilupai yang telah berlaku sebelumnya tanpa tindakan yag adil. Politik wang yang membarah ke dalam parti kerajaan dan masuk pula ke dalam rakyat, ke lapangan pilihanraya umum.

Semua yang berlaku adalah kemunkaran yang mencalarkan imej Islam yang menjadi agama negara mengikut perlembagaan dan banyak kemunkaran yang wajib dicegah dan kezaliman yang wajib disanggah.

PAS wajib menyampaikan risalah Islam kepada seluruh manusia dengan memberi kefahaman yang betul kepada penganut Islam dan memperkenalkan Islam kepada bukan Islam, bagi mengajak kepada makruf dan mencegah kemunkaran kerana Rasulullah S.A.W mewajibkan kepada setiap orang Islam menyampaikan mesej sebenar, menyatakan yang benar dan mencegah kemunkaran mengikut kemampuan masing-masing dengan tangan, lidah dan perasaan benci dalam hati. Demonstrasi aman yang menjadi salah satu daripada amalan demokrasi moden adalah salah satu cara menunjukkan kebencian dalam hati.

Rasulullah S.A.W mengizinkan para sahabatnya keluar beramai-ramai daripada persembunyian mereka di Makkah selepas Islamnya Hamzah dan Umar R.A bagi menunjukkan sikap mereka terhadap pamimpin Makkah yang zalim  secara terbuka dan aman tanpa senjata.

Ketika berada di Madinah dan telah wujud negara yang berkuasa, tiba-tiba Rasulullah S.A.W bersabda kepada para sahabatnya, menyebut  peristiwa lama berlaku sebelum dilantik manjadi Rasul: ”Aku pernah dibawa oleh bapa-bapa saudaraku ke rumah Abdullah bin Judaan bagi mengadakan Halaf Fudul  (persefahaman dan kerjasama) bagi membela mereka yang dizalimi dan menentang mereka yang zalim secara bersama. Sekiranya perkara ini dibawa kepadaku sekarang nescaya aku menyertainya “.


Rasulullah menerima secara positif segala sifat yang baik secara fitrah yang ada dalam diri manusia termasuk bukan Islam, sehingga menghargai keluarga Hatim al-Toei  seorang pemimpin kabilah yang suka menolong dan meraikan tamu  di zaman jahiliyyah dan banyak lagi contoh yang lain.

Bersih adalah gabungan kerjasama NGO berbagai agama dan parti-parti politik pelbagai ideologi yang menganjurkan demonstrasi aman bagi membantah pilihanraya yang mengotorkan amalan Demokrasi di Malaysia, ramai kalangan mereka tidak terlibat secara langsung dalam pilihanraya, tetapi sifat fitrah manusia yang bencikan zalim, tipu dan lain-lain.

PAS berpendapat bahawa BN telah banyak menyeleweng daripada konsep demokrasi yang adil. UMNO sendiri telah lama merosakkan imej Islam. Ajaran Islam meletakkan politik adalah amanah  besar yang diamalkan para Rasul seluruhnya, tiba-tiba dikotori dengan banyak perkara yang memalukan, seperti menyalahgunakan kuasa secara penipuan dan zalim bukannya bertahan dengan akhlak yang mulia. Amanah politik dijadikan peluang mengumpul harta dan menaikkan pangkat, bukannya amanah yang wajib ditunaikan. Harta dan kuasa dijadikan senjata mengugut rakyat, laksana dajjal yang zahir di akhir zaman, menawarkan kesenangan untuk pengikutnya sahaja, sesiapa yang tidak mengikutnya menerima padah.

Akhirnya PAS wajib mencegah kemungkaran besar yang sedang berlaku ini, hujah lebih kuat lagi apabila membaca amanat Rasulullah S.A.W: “Sama ada kamu menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran atau berdiam diri, nescaya orang-orang yang jahat memerintah kamu, lalu orang-orang yang baik berdoa, tiba-tiba doanya tidak diperkenankan oleh Allah“.  Sabdanya lagi: ” Menyatakan yang benar kepada kerajaan yang zalim adalah jihad paling afdal “.


PAS tidak membenarkan para ulamanya menjadi syaitan bisu yang berdiam diri terhadap kebenaran di hadapan mata yang wajib ditegakkan dan kemunkaran nyata yang wajib ditegah, PAS tidak mengizinkan para ulamanya menjadi burung kakak tua yang bercakap hanya mengikut apa yang diajar oleh tuannya sahaja dan tidak mampu menilai sendiri.

Adapun alasan berlakunya kekacauan selepas itu, adalah disebabkan salah laku kerajaan terhadap perhimpunan aman, seperti melarang berhimpun di padang dataran merdeka yang menjadi tempat berhimpun dan provokasi pihak yang diadakan sendiri atau diizin oleh kerajaan sendiri. Sikap tidak adil melantik kumpulan penyiasat yang ditunjukkan oleh satu pihak kerajaan sahaja adalah cara yang tidak bermoral untuk menegakkan keadilan yang sebenar. Lebih tidak adil lagi apabila adanya tangkapan selepas bersurai dan menyeksa mereka yang ditangkap, dimaki hamun dan sebagainya.  Ini bukan cara yang bijak untuk mempertahankan kerajaan, bahkan cara menggali lubang sendiri untuk jatuh dengan cara memalukan. Bukan sahaja menjadi sunnah alam dan nas al-Quran dan hadith, serta doa mereka yang dizalimi pasti diperkenan Allah walaupun daripada seorang yang bukan Islam.

Akhirnya, kalau bangsa Melayu masih bersama UMNO yang tidak menegakkan Islam yang sebenar, berlakulah amaran Allah:
وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ ( 38
Maksudnya: Sekiranya kamu berpaling (tidak mahu menegakkan agama kamu) nescaya Allah menukarkan kaum lain, kemudian mereka tidaklah seperti kamu. (Surah Muhammad: 38)

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

May 18, 2012

Risalah Buat Peneroka



May 17, 2012

Durian runtuh jadi tempoyak

Projek memberi duit dari kerajaan Barisan Nasional telah dan sedang berjalan lancar. Ketika sekolah baru dibuka awal tahun ini ibu, ayah dan anak telah diberi 200 ringgit untuk membeli buku. Ini diikuti dengan pemberian 500 ringgit untuk keluarga yang berpendapatan dibawah 3000 ringgit sebulan. Ini 'sedekah jariah' yang tidak berulang.

Orang ramai sedia maklum bahawa tahun ini ialah tahun pilihan raya. Justeru, duit ini juga adalah duit untuk membeli sokongan mereka. Kesampaian duit-duit ini menjadikan orang ramai dan para pengundi sedar tentang hikmah PRU12 yang lalu.

Akibat dari melesetnya sokongan orang ramai terhadap Barisan Nasional dan United Malays National Organisation, maka duit ringgit ini mula menyusur masuk. Para pengundi tahu bahawa dengan tindakan mereka menafikan Barisan Nasional kuasa dua pertiga dalam Parlimen, maka ' duit sogok'  ini mula mencurah datang.

Dalam bahasa rakyat — dalam bahasa yang senang difahami ramai, duit-duit yang masuk ke saku mereka kerana mereka memangkah Pakatan Rakyat. Para pengundi telah mendapat pengajaran politik - jika memangkah Pakatan Rakyat maka mereka akan mendapat pujuk rayu. Jika pujuk rayu tidak dilayan maka duit ringgit akan mencurah masuk.

Perkara ini amat jelas sekali dilihat dikalangan masyarakat India. Kita lihat hari ini bagaimana masyarakat India telah ditatang dan dibodek. Pada November 2007 komuniti India yang dipimpin oleh Hindraf telah bangun berdemo menentang Barisan Nasional.

Kemudian pengundi India telah berbondong-bondong meninggalkan Barisan Nasional. Hasilnya - sesudah 8 March 2008 - pekan Brickfields - kini Little India - bukan sahaja tersergam dengan Dataran Gajah, malah wilayah Brickfields kini memiliki lebih banyak lampu jalan dari jumlah penduduk.

Ini agak berbeza dengan pengundi Cina. Masyarakat Cina yang memiliki punca ekonomi telah membolehkan mereka membebaskan diri dari pujuk rayu dan bodekan dari pemimpin Malaysian Chinese Association.

Malah, masyarakat Cina langsung tidak 'ambil pot' terhadap para pemimpin United Malays National Organisation. Kemarahan masyarakat Cina terhadap kerenah United Malays National Organisation ini telah sampai  ke tahap 'no return'.

Justeru, pengundi Cina telah sepakat untuk meninggalkan MCA. Mereka juga telah sepakat meninggalkan Parti Gerakan. Pada PRU13 yang akan datang ini, hanya dengan munculnya seekor Naga dalam Sungai Klang dan meminta masyarakat Cina mengundi Barisan Nasional - mungkin masyarakat Cina akan befikir sekali lagi.

Masyarakat Cina di Kepong atau di Jinjang tidak mungkin dapat dibodek dengan Dataran Naga atau dengan lampu jalan. Ini bukan tuntutan fundamental mereka. Apa yang mereka mahu ialah sebuah kerajaan yang adil dan tidak menindas rakyat. Lampu jalan dan Dataran Naga bukan agenda orang Cina.

Justeru, projek pemberian duit ringgit ini wajib menjadi kuliah politik yang terbaik untuk para pengundi. Di mata para pengundi apabila kerajaan Barisan Nasional menjadi lemah, maka projek 'duit ringgit' mula melimpah sampai. Jika kerajaan Barisan Nasional kuat maka mereka akan menjadi sombong dan angkuh. Inilah kuliah politik yang dibawa oleh PRU12 yang lalu.

Kepada pelajar dan pengkaji politik - apa yang sedang berlaku di Malaysia hari ini ialah contoh terbaik realpolitik dalam negara Dunia Ketiga. Projek kebajikan untuk rakyat telah dijadikan agenda membeli undi dalam pilihan raya. Dana dan bajet negara telah digunakan secara lucah untuk meraih sokongan dan undi. Politik wang, rasuah dan pengunaan dana negara untuk membeli undi menjadi lumrah dan tidak dilihat salah.

Orang ramai telah mula memahami bagaimana masyarakat India yang kompak tersusun bersepadu di bawah Hindraf pada satu ketika dahulu kini telah terbarai. Masyarakat India yang minoriti ini semakin menjadi kecil - pecah dengan pelbagai parti politik.

Suara minoriti ini tidak lagi menjadi satu ombak yang berupaya untuk membuat perubahan. Sebahagian besar pengundi India pasti akan mengundi Pakatan Rakyat. Manakala satu kumpulan kecil mungkin kembali untuk menyokong Malaysian Indian Congress.

Setelah memahami semua ini maka muncul soalan cepu emas - Bila pilihanraya akan diadakan? Jawabnya - tarikh ini masih lagi satu tanda tanya.

Perdana Menteri Najib Razak sendiri pun kelihatan kluk klek. Najib Razak yang telah dinobatkan sebagai Bapa Pengumuman kini masih belum berani membuat pengumuman tarikhnya. Khabar angin tentang tarikh PRU13  dari pelbagai sumber telah beberapa kali terbukti meleset.

Pak Nujum politik terus memberikan pandangan. Pak Nujum Kampong masih menelik ayat dalam pinggan untuk mencari tarikh yang sesuai.

Minggu ini warga Felda telah dilanggar oleh 'durian runtuh'. Kedatangan 'durian runtuh' ini telah berbulan-bulan di heboh hebohkan. Pada mulanya telah dibocorkan berita dimana setiap peneroka Felda akan mendapat 32 ribu ringgit. Manakala dari kajian Parti Keadilan Rakyat jumlah 'durian runtuh' yang sepatutnya diterima oleh peneroka ialah 50 ribu ringgit.

Sayang seribu kali sayang - guruh yang berdentam dentum itu hanya berkeupayaan membawa 15 ribu ringgit untuk satu keluarga peneroka.  Tidak ada 32 ribu ringgit dan mustahil 50 ribu ringgit. Jumlah 'durian runtuh' ini telah meleset. Tetapi  ini tidak memberhentikan media milik United Malays National Organisation untuk 'berheboh' siang dan malam tentang 'durian runtuh' ini.

Lalu timbul pertanyaan - apa maknanya berita 'durian runtuh' 15 ribu ringgit ini? Sekali pandang orang ramai akan membaca bahawa ini juga adalah 'duit sogok' untuk membeli undi peneroka. Pandangan ini tidak salah. Tetapi disebalik 'durian runtuh' ini ada satu lagi yang tersirat dan wajib kita semua fahami.

Kita wajib memahami kenapa cara pemberian 'durian runtuh' ini  berperingkat-peringkat. 15 ribu ringgit akan diberikan pada minggu pertama bulan hadapan untuk kepala keluarga. Beberapa bulan kemudian untuk ibu keluarga. Dan pada satu masa yang sesuai baki 5 ribu ringgit akan diberikan kepada anak peneroka. Ada tiga kali pemberian dan tidak 15 ribu ringgit sekaligus.

Kenapa berperingkat-peringkat 'durian runtuh' ini diberi?

Untuk memahaminya mari kita buat kaji selidik tentang masyarakat Felda. Pada ketika ini ada 54 buah kerusi Parlimen dan 92 kerusi DUN bergantung kepada sokongan undi peneroka Felda. Kesemua negeri ada rancangan Felda kecuali Pulau Pinang dan Sarawak. Justeru, undi peneroka Felda ini adalah talian hayat untuk United Malays  National Organisation.

Satu ketika dahulu diheboh-hebahkan tentang Sabah dan Sarawak sebagai bank simpanan Barisan Nasional. Anggapan ini telah meleset. Nasionalisme Dayak dan undi warga kota di Sarawak telah terbukti tidak lagi menyokong Barisan Nasional. Pilihan raya Sarawak bulan April tahun lepas membuktikan bank simpanan ini telah bocor.

Manakala di Sabah, Nasionalisme Kadazan - Sabah Untuk Sabahan - tidak lagi menjamin hegemoni United Malays National Organisation. Warga di negeri bawah bayu ini telah lama naik angin dengan kemasukan pendatang haram. Para pendatang haram ini telah diberi kad pengenalan segera untuk mematahkan semangat Nasionalisme Kadazan.

Justeru, slogan Sabah Untuk Sabahan ini cukup ampuh dan sedang merebak. Semangat nasionalisme Kadazan ini akan meruntuhkan hegemoni kuasa United Malays National Organisation dan kuncu-kuncunya. Kemarahan penduduk asal Sabah telah memaksa kerajaan Persekutuan minggu lalu menubuhkan Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat tentang kemasukan pendatang haram sebagai pengundi di Sabah.

Lanskap politik Malaysia telah berubah semenjak 8 Mac 2008. Pengundi China sudah cabut. Pengundi India sudah lari. Dayak dan Kadazan tidak mahu lagi kena tindas dibawah hegemoni Semenanjung. Maka yang tinggal secara tersusun hanyalah peneroka Felda.

Warga Felda ini adalah kumpulan komuniti Melayu yang tersusun. Ianya bukan kampong Melayu tradisional. Mereka ini dalam analisa ekonomi moden jatuh ke dalam katogeri buruh pertanian. Peneroka Felda ini sama seperti buruh India diladang getah milik British di zaman penjajah dulu.

Kesetiaan mereka bukan kesetiaan Melayu feudal. Bukan kesetiaan kepada Raja dan struktur feudal. Sebagai buruh pertanian, watak mereka ditentukan oleh ekonomi.

Justeru watak dan kelas peneroka Felda ini adalah bom jangka yang berkeupayaan untuk meledakkan United Malays National Organisation. Beberapa kumpulan peneroka telah menyaman Felda kerana mereka telah ditipu dalam soal jual beli sawit mentah. Beratus-ratus peneroka telah menang di mahkamah dan akan mendapat ganti rugi yang lumayan.

Ketika ini peneroka Felda telah mula berani menjemput Pakatan Rakyat untuk membuat program dalam perkampongan mereka, ini samalah seperti di zaman British, para buruh Estate Dunlop secara terbuka menjemput Front Sosialis untuk membuat program dalam ladang.

Amat jelas, hari ini suasana di ladang Felda tegang dan terpecah. Maka disinilah Perdana Menteri Najib Razak masuk untuk menghamburkan 'durian runtuh'.

Tetapi kenapa Najib Razak tidak memberi 'durian runtuh' ini sekaligus - 15 ribu ringgit?

Jawapannya cukup senang. Ini kerana Najib Razak masih kluk klek. Najib juga tidak pasti bila pilihan raya akan dijalankan. Jika Najib Razak tahu dan yakin akan tarikhnya pasti dia akan memberi 'durian runtuh' ini sekaligus. Kerana Najib sendiri masih takut-takut dan kurang yakin akan sokongan orang ramai, maka 'durian runtuh' ini akan menjadi tempoyak.
 
By Hishamuddin Rais

Program Ceramah Pas Kawasan Kota Tinggi


Program yang terhampir dengan anda. Jemput hadir beramai-ramai bagi mendapatkan maklumat terkini. Kalau dapat sebarkan kepada sahabat handai yang lain. Terima kasih.

May 14, 2012

Ceramah Isu Semasa


Assalamualaikum wrb.

Pas Kawasan Kota Tinggi akan mengadakan ceramah penerangan isu-isu semasa bersama Timbalan Presiden Pas, Tuan Haji Mohd Sabu pada 19 Mei 2012, bermula jam 9.00 malam. Ceramah akan di adakan di Bilik Gerakan P156 Taman Hijrah, Kota Tinggi. Di jemput semua ke majlis tersebut.

May 13, 2012

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS- PASCA BERSIH 3.0 : JAMINAN KESELAMATAN INDIVIDU YANG DIBURU PIHAK KESELAMATAN

Setelah berakhirnya perhimpunan Bersih 3.0, maka terdapat desakan dan ugutan yang bertalu-talu dari pihak berkuasa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) supaya individu tertentu yang telah dikenalpasti bertindak untuk menyerahkan diri bagi melengkapkan siasatan pihak polis dalam isu perhimpunan Bersih 3.0. Malangnya arahan serah diri ini hanya terarah kepada peserta demonstrasi sahaja, sedangkan tindakan segelintir pihak polis tertentu yang telah bertindak di luar batas undang-undang telah dibiarkan begitu sahaja.

Umum mengetahui bahawa kebanyakan mangsa yang menerima layanan buruk dan dicederakan dalam perhimpunan Bersih 3.0 telah berhadapan dengan kekasaran pihak polis ini setelah mereka digari, selain dari dipukul dan disepak secara betubi-tubi oleh pihak keselamatan yang telah mengheret mereka yang sedang dalam proses bersurai. 

Kita akur bahawa penahanan seseorang adalah di bawah bidang kuasa pihak polis, dengan merujuk kepada peruntukan tertentu. Tetapi tindakan memukul mereka yang berhimpun ini, apatah lagi yang sedang bersurai adalah salah dan sangat zalim sifatnya.  Bagaimana mungkin mereka yang dipanggil menyerah diri ini dapat dijamin keselamatan mereka dan tidak berdepan dengan kemungkinan tindakan kekerasan dan dipukul sekali lagi semasa siasatan dijalankan ?.


DATO’ SERI TUAN GURU HJ ABDUL HADI AWANG

PRESIDEN PAS

May 10, 2012

Cadangan PAS Untuk Memelihara Kredibiliti Majlis Fatwa Negara

Kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa haram untuk menyertai perhimpunan yang mencetuskan huru-hara dengan mengaitkannya dengan perhimpunan Bersih 3.0 telah menimbulkan pelbagai komentar dan kritikan. 

Tindakan ini dilihat sangat tidak baik dan sihat kerana kedudukan Majlis Fatwa sangat tinggi di kaca mata umat Islam kini dipertikai. Majlis Fatwa yang merupakan institusi tertinggi dan kredibilitinya dalam mengeluarkan fatwa seharusnya sentiasa dihormati dam dirujuk, namun episod terbaru ini telah menyebabkan ramai yang mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa.

Sebagai seorang Islam, semua pihak boleh menyatakan pandangan dan kritikan. Tapi, fatwa terbaru ini yang turut dipertikaikan oleh golongan ulama perlu diberi perhatian.

Saya melihat kenyataan Majlis Fatwa bukanlah perkara pelik, atau bercanggah dengan nas. Inilah yang dinyatakan oleh Tuan Guru Nik Aziz yang menyokong kenyataan tersebut, iaitu bahawa menyertai perhimpunan yang bertujuan untuk menimbulkan huru hara, merosakkan harta awam dan ketenteraman awam adalah bertentangan dengan Islam.
 
Kenyataan ini tidak perlu dipertikai oleh mana mana pihak, dan PAS tidak pertikai kenyataan tersebut.

Namun apa yang mendukacitakan ialah Majlis Fatwa seolah-olah menghukum ribuan rakyat yang hadir telah melakukan perkara bertentangan syarak dengan menghadirkan diri di Bersih 3.0.

Seseorang yang hadir dalam mana mana demonstrasi aman tidak bercanggah dengan hukum syarak lebih-lebih lagi, jika ianya adalah sebahagian dari  penentangan terhadap kemungkaran sistem politik.
 
Mungkar bukan hanya melibatkan minum arak, berzina atau merompak, malah sebenarnya mungkar yang lebih besar melibatkan sistem yang rosak, rasuah, menyeleweng dan salahguna kuasa.

Pilihanraya yang tidak adil, menipulasi daftar pemilih dan salahguna media awam adalah sebahagian daripada kemungkaran. Melihat kepada kemungkaran ini, sepatutnya para ulamak dan seluruh ahli Majlis Fatwa turun bersama-sama rakyat dalam himpunan Bersih 3.0 bagi  menuntut sistem yang adil kerana ini menepati tuntutan syarak.

Kekecohan adalah perkara mendatang. Ia dicipta oleh pihak tertentu yang menembak gas pemedih mata dan air asid kepada orang awam yang tidak melakukan sebarang rusuhan.

Sebenarnya pencetus kekecohan adalah golongan yang melakukan kemungkaran dalam himpunan tersebut. Apatah lagi tindakan memukul, menyepak dan mendera orang ramai yang tidak melakukan sebarang keganasan yang jelas bertentangan dengan semua nilai sejagat.

Sehubungan itu, PAS tidak bersetuju dengan kenyataan Majlis Fatwa yang dibuat berdasarkan maklumat tidak tepat, rakaman peristiwa yang telah diedit dan sebagai orang yang bukan berada di lapangan.

Fatwa tidak boleh dikeluarkan tanpa memahami realiti keadaan dan tujuan himpunan, apatah lagi apabila fatwa dibuat berdasarkan maklumat yang  diseleweng oleh media perdana dengan menggambarkan orang ramai yang membuat huru hara dan kekecohan.

Fatwa hanya melarang  menyertai perhimpunan untuk menimbulkan huru hara dan keganasan. Siapa yang menimbulkan huru-hara sepatutnya diberi fokus;  iaitu pasukan polis dan FRU yang mencetuskan suasana kecoh dan gawat.

Tindakan ahli dan pengerusi Majlis Fatwa menggunakan media perdana menyebabkan ia terdedah kepada pelbagai penyelewengan dari maksud sebenar,.

PAS melihat Majlis Fatwa perlukan saluran media sendiri, atau melalui satu sidang media melibatkan semua pihak bagi menyalurkan pandangan dan fatwa dengan memberi penjelasan terperinci bagi sebarang fatwa yang dikeluarkan.


Dengan cara ini ianya boleh mengurangkan spin kepada kenyataan yang dikeluarkan sehingga dipertikaikan kewibawaannya.



Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Ketua Penerangan PAS Pusat

PAS Akan Saman Rahim Noor Dan NST

PAS  mengecam keras kenyataan tidak beradab dan melampau yang dikeluarkan oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor terhadap Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tuduhan yang dikeluarkan oleh beliau sangat kurang ajar dan melampau batas. Sehubungan itu, PAS Pusat menggesa agar beliau memohon maaf secara terbuka dan menarik balik tuduhan yang dikeluarkan itu kerana ianya tidak berasas dan fitnah semata-mata.

PAS turut akan mempertimbangkan saman terhadap akhbar NST yang sanggup menyiarkan berita fitnah tersebut tanpa usul-periksa. Melaporkan kenyataan Rahim Noor telah merosakkan lagi imej NST yang baru-baru ini tercalar teruk kerana memutar-belitkan kata-kata senator Australia Nick Xenophon berdasarkan kata-kata ahli parlimen yang tidak berwibawa.

Latar belakang dan kisah silam Rahim Noor sudah diketahui umum dan sepatutnya sebagai suratkhabar yang berwibawa, penyelidikan dan semakan terhadap kata-kata beliau perlu dilakukan sebelum dipaparkan terutamanya yang berbentuk fitnah sebegini.

Jika fitnah terang-terang yang bersifat sampah sedemikian boleh dinilai sebagai berharga untuk digunakan sebagai berita utama, apakah nilai kualiti yang ada pada media milik kerajaan?

PAS mengingatkan bahawa menuduh seseorang individu sebagai kafir merupakan tuduhan paling berat dalam persoalan aqidah. 

Harus difahami bahawa tuduhan terhadap peribadi tidak sama dengan menuduh kumpulan. Tambahan pula kalau dalam kumpulan tersebut, memang terdapat ahlinya yang terdiri dari kalangan orang kafir.

Maka kaedah feqah jelas menyebut : "Sesiapa yang mengkafirkan orang mukmin, maka tuduhan kafir itu kembali kepadanya.”

PAS tidak pernah membuat sebarang tuduhan kepada mana-mana individu sebagai kafir dalam mana-mana ceramah atau ucapan.

Apa yang PAS jelaskan ialah batas-batas iman dan kufur yang menjadi sebahagian daripada silibus pengajian aqidah.

Oleh itu, fitnah Rahim Noor yang bersifat peribadi kepada Tuan Guru Nik Aziz sebagai seorang ulamak dan Mursyidul Am Parti merupakan tuduhan yang melampaui batas.

PAS Pusat melalui Lujnah Guaman akan mengambil tindakan undang undang kepada Rahim Noor dan NST dalam masa terdekat.

Ucapan melampau sedemikian tidak boleh disuburkan sebagai budaya di negara kita. Ahli-ahli PAS diseru fokus pada kerja pilihanraya kerana ini sebahagian mainan media untuk mengalihkan fokus utama kita, di saat menjelang PRU ke 13.

 

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

May 08, 2012

Program Ceramah Terdekat


Anda di jemput hadir beramai-ramai bagi mendengar ceramah yang bakal di sampaikan oleh Ir YB Khalid Samad selaku Ahli Parlimen Shah Alam. Mohon sampai-sampaikan kepada sahabat-sahabat yang lain. Terima kasih.