Pagi semalam, sekitar jam 9.30, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk
Seri Anwar Ibrahim telah datang menemui saya. Tujuannya adalah untuk
menjelaskan maksud kenyataannya berhubung ‘keselamatan Israel’ yang
disiarkan oleh Wall Street Journal pada Januari lalu.
Mungkin juga beliau datang setelah mengetahui keputusan Majlis Syura Ulama’ PAS minggu lepas yang menggesa beliau menarik balik kenyataan dalam Wall Street Journal itu yang difahami sebagai menyokong Israel.
Majlis Syura Ulama’ juga menggesa, sekiranya kenyataan itu
dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka beliau
dinasihatkan agar mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall
Street Journal bagi membersihkan nama.
Pada pertemuan itu saya ditemani oleh Ketua Penerangan PAS Pusat,
Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man. Ia berlangsung dalam suasana harmoni. Datuk
Seri Anwar telah menjelaskan kesemua isu yang telah berbangkit.
Memahami penjelasan Datuk Seri Anwar, di sini saya mengulangi
pendirian PAS sebagaimana diputuskan oleh Majlis Syura Ulama’ , iaitu
PAS sekali-kali tidak mengiktiraf negara haram Israel. Maka PAS tetap
istiqamah menyokong perjuangan rakyat Palestin yang dihina di bumi
sendiri. Terserahlah kepada Datuk Seri Anwar untuk menerima pendirian
PAS ini.
Bagi saya, pendirian PAS adalah wajar kerana kewujudan negara
haram Israel merupakan suatu kezaliman, tanpa peri kemanusiaan dan
menafikan hak umat Islam, malah merampas hak seluruh rakyat Palestin.
Tambahan pula, tindakan penguasa Israel yang tidak habis-habis menzalimi
dan membunuh rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, wanita dan orang
tua. Justeru, adalah haram menerima kewujudan negara Israel yang haram.
Pada saya, Datuk Seri Anwar memahami pendirian PAS yang tidak
mengiktiraf negara Israel dan menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat
Palestine. Oleh kerana itu tidak berbangkit PAS telah menggadai prinsip
perjuangan tatkala bersama Pakatan Rakyat. Apa pun saya yakin, pihak
Pakatan Rakyat tetap sepakat dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin
untuk membebaskan tanah airnya daripada cengkaman Israel yang zalim itu.
Justeru pada saya, adalah haram bersekongkol dengan pihak Israel dalam apa bentuk hubungan sekalipun.
Nik Abdul Aziz Nik Mat.
PNB Darby Park, Kuala Lumpur.
29 Rabi'ul Awal 1433 H | 22 Februari 2012.