Sedangkan isu hudud merupakan isu yang menyentuh umat Islam secara langsung, dan ianya adalah tuntutan syarak bagi pemerintah untuk melaksanakannya.
Umno sebagai parti pemerintah selama 54 tahun tidak pernah berusaha, tidak pernah menunjukkan keikhlasan dan kesungguhan mahupun sedikit bayangan bagi melaksanakannya. Sikap sambil lewa dengan memberi pelbagai alasan rekaan untuk tidak melaksanakan perintah Allah ini telah menyebabkan timbulnya pelbagai tanggapan buruk terhadap sistem perundangan Islam dan ajaran Islam secara langsung.
Sehubungan itu, PAS mencadangkan satu muzakarah terbuka secara ilmiah bagi memberi kesedaran kepada seluruh rakyat serta bagi mengatasi kekeliruan yang timbul dalam masyarakat.
Dicadangkan muzakarah ini hendaklah dihadiri oleh para mufti bagi mewakili Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja, Umno mewakili parti pemerintah dan PAS sebagai parti yang mendesak agar undang- undang ini dilaksanakan.
Muzakarah ini diharap dapat diadakan secara terbuka bagi memberi ruang luas kepada seluruh masyarakat mendengar pandangan semua pihak, bukannya tindakan sebelah pihak.
Islam sebagai sebuah agama yang ditegakkan di atas nas dan hujah, PAS melihat muzakarah adalah medan menambahkan ilmu dan maklumat secara sihat yang perlu diterima dan disokong oleh semua pihak.