PAS mengecam tindakan melampau yang diambil oleh pihak polis dalam menangani isu perhimpunan aman Bersih 2.0, dan sudah terbukti aman 9 Julai 2011 yang lalu.
Tindakan ganas dan melampau polis langsung tidak mencerminkan slogan mereka Mesra, Cekap dan Betul – jauhlah lagi terpesong dengan piagam pelanggan mereka, Tegas, Adil dan Berhemah. Polis sepatutnya menjaga keselamatan rakyat dan bukannya menyebabkan mereka cedera secara sengaja.
Kebiadaban anggota polis dan FRU dapat dilihat dengan jelas dari beberapa rakaman video rakyat yang dirakamkan oleh pelbagai sumber samada peserta Bersih 2.0 ataupun media antarabangsa telah membuktikan kegagalan mereka dalam menjamin keselamatan rakyat.
Dalam perhimpunan aman Bersih 2.0, langsung tiada kejadian ganas oleh para peserta sebagaimana yang cuba digembar-gemburkan media arus perdana sebelum ini.
Oleh itu, kezaliman dan keganasan polis yang menggunakan gas pemedih mata atau tembakan air asid sepatutnya tidak berlaku, kerana tiada langsung sebab untuk mereka menggunakannya.
Dengan pelbagai gambar dan video yang terpapar, kenyataan songsang Ketua dan Timbalan Ketua Polis yang kononnya polis diserang and diprovokasi menyebabkan mereka terpaksa bertindak, hanya dapat berfungsi untuk mendedahkan pembohongan beliau sendiri.
PAS mengecam keras tindakan biadab polis ini sehingga menyebabkan kematian seorang peserta saudara Baharuddin Ahmad dan puluhan lagi yang cedera semata-mata tindakan ganas mereka. Ratusan yang tercedera kerana dipukul, disepak dan diheret ke dalam trak adalah pandangan jijik anggota keselamatan, yang tidak sepatutnya berlaku.
PAS mendesak agar Ketua dan Timbalan Ketua Polis meletakkan jawatan dan dihadapkan ke tribunal di atas jenayah yang dilakukan.
PAS juga mengucapkan syabas kepada setiap peserta Bersih 2.0 kerana kini kuasa sekarang di tangan anda.
Andaikan 50,000 dan setiap seorang menyebarkan pengalaman Bersih 2.0 mereka kepada 10 seorang – maka 500,000 rakyat akan terasa – dengan 500,000 setiap seorang berkongsi lagi dengan 5 orang – maka hasilnya 2.5 juta rakyat yang tidak dapat bersama dapat merasai bagaimana kita semua bersatu sebagai rakyat Malaysia pada 9 Julai yang lepas.
Dengan perkongsian sedemikian, kita akan sedar bahawa permainan politik yang cuba gempar-gemburkan bahawa rakyat Malaysia berpecah hanyalah taktik licik Umno Barisan Nasional untuk mengekalkan kuasa mereka.
PAS juga ingin mengulangi peringatannya kepada Pakatan Rakyat bahawa sokongan rakyat terhadap Bersih 2.0 dan kecaman mereka terhadap keganasan yang digunakan kerajaan Umno Barisan Nasional terhadap penyokong Bersih 2.0 bukanlah petanda sokongan rakyat kepada kita.
Rakyat menyokong Bersih 2.0 hanya semata-mata untuk memastikan undi-undi mereka tidak di’offset’kan secara tidak sah oleh pengundi hantu, pengundi pos yang tidak sah dan juga memastikan mereka mendapat maklumat yang tepat sebelum mengambil keputusan untuk mengundi siapa-siapa.
8 tuntutan Bersih 2.0 adalah untuk memastikan wakil yang dipilih menang nanti di pilihanraya akan datang betul-betul adalah pilihan rakyat dan bukannya pilihan parti pemerintah yang memanipulasi sistem pilihanraya negara untuk kekal berkuasa.
Pakatan Rakyat juga tidak harus terlalu yakin bahawa dengan pilihanraya yang lebih bersih, kita bakal dapat menewaskan Umno Barisan Nasional. Rakyat yang menyokong Bersih 2.0 tetap tidak akan mengundi kita sekiranya prestasi kita lemah dan tidak dapat memberikan keyakinan kepada mereka untuk menerajui negara.
PAS juga merakam takziah kepada keluarga Saudara Baharuddin Ahmad, di atas kemalangan yang menimpa beliau.
Semoga tragedi ini akan menyemarakkan kebangkitan rakyat bagi menukarkan kerajaan yang zalim ini.