Jika merujuk kepada mereka yang hidup pada zaman kemasukan Anwar kepada UMNO, terutama dari PAS, rata-ratanya menyatakan bahawa Anwar masuk dalam tong tahi, dan mahu membersihkan tahi dari dalam tong tahi itu.
Ternyata, kenyataan mereka itu tepat sehinggakan kita dapat melihat Anwar Ibrahim telah terpalit dengan tahi UMNO, walaupun beliau telah berdiri sendiri, tanpa melibatkan diri dengan UMNO.
Padaku, aku melihat keadaan ini dari sudut yang positif, walaupun aku berfikir dari sudut negatif sebelum ini. Dan padaku, tidak ada salahnya melihat isu ini dari sudut negatif dan positif, sebab semuanya masih dibawah lingkungan perbincangan ijtihadiyyah, yang diberi dua pahala bagi mereka yang benar, dan satu pahala bagi mereka yang salah.
Sabda Nabi SAW;
إِذَا حَكَمَ الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ
Maksudnya;
“Apabila seorang hakim itu berijtihad, kemudian betul ijtihadnya, maka baginya dua pahala. Dan apabila dia berijtihad kemudian salah ijtihadnya, maka baginya satu pahala sahaja[1]”
Mungkin ijtihad Anwar Ibrahim ketika itu adalah salah, tetapi dari sudut yang lain ada benarnya. Masakan tidak, jika beliau tidak masuk UMNO ketika itu, mungkin beliau tidak berjaya melahirkan satu suasana politik yang hebat seperti hari ini.
Aku tidak menyatakan, kemenangan pilihanraya ke 12 baru-baru ini semata-mata Aura Anwar Ibrahim, tetapi kemenangan itu adalah gabungan antara aura beliau dan kecerdikan pimpinan-pimpinan Parti-parti pembangkang.
Bermula dari penubuhan GERAK yang dipengerusikan oleh Allahyarham Ustaz Fadhil Noor di awal penangkapan Anwar Ibrahim pada tahun 1998 dahulu dan kebijaksanaan Tuan Guru Haji Abdul Hadi dalam mengeluarkan kenyataan dikala UMNO dengan prejudis Bangsanya, sehingga menyebabkan hindu berpaling arah politik dari MIC kepada Pakatan Rakyat. Juga kepada kejernihan pemerintahan Islam di kelantan dibawah kepimpinan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.
Pun begitu, jika diandaikan Anwar tidak terlibat dengan UMNO ketika itu, mungkin prejudis bangsa melayu yang ditanam oleh UMNO kepada rakyat
Dalam keadaan itulah, memungkinkan tsunami politik yang berlaku pada 8 mac 2008 baru-baru ini tidak akan terjadi seperti yang kita lihat pada hari ini.
APA ALASANNYA??
Mungkin orang akan bertanya, mengapa aku berfikir sedemikian rupa? Dan mengapa aku melihatnya sebagai suatu yang positif?
Jawapan yang ingin aku berikan adalah, berdasarkan kepada kisah yang dinukilkan oleh Imam Ibnu Hajar dalam kitab Fathul Bari berkenaan seorang lelaki dari Bani Israel yang bernama Juraij.
Juraij seorang lelaki yang kuat melakukan ibadat kepada Allah sehinggakan beliau membina sebuah rumah ibadat. Sedang dia melakukan ibadat, ibunya datang memanggilnya, sedangkan ketika itu dia sedang menunaikan solat.
Semasa ibunya memanggilnya, hatinya berkata, “apakah aku harus menyahut panggilan ibuku atau aku terus dengan solat”. Juraij terus dengan solat sehingga ibunya menyebut;
اللَّهُمَّ لَا تُمِتْهُ حَتَّى تُرِيَهُ وُجُوه الْمُومِسَات
Maksudnya;
“Ya Allah, jangan kamu matikannya (Juriaj) hinggalah dia melihat wajah-wajah pelacur”
Hasil dari doa si ibu, menyebabkan juraij telah diuji oleh Allah dengan soerang perempuan yang telah berzina dengan seorang pengembala kambing sehingga melahirkan anak.
Perempuan itu menuduh, bahawa anak itu adalah anak juraij. Mendengar tuduhan itu, tanpa usul pereksa, orang-orang kampung telah bertindak meruntuhkan rumah ibadatnya, juga memukulnya sehingga luka.
Bukan sekadar itu, orang kampung telah bertindak menghinanya dengan mengikat tengkok dan tangannya dan mengarak-araknya keseluruh kampung. Keadaan itu sehinggakan raja Bani Israel ketika itu berkata;
وَيْحك يَا جُرَيْج ، كُنَّا نَرَاك خَيْر النَّاس فَأَحْبَلْت هَذِهِ ، اِذْهَبُوا بِهِ فَاصْلُبُوهُ
Maksudnya;
“Celaka kamu wahai Juraij, kami menyangka kamu adalah sebaik-baik manusia. Ikat, dan salibkan Juraij”
Ketika orang kampung sedang menarak-arak Juraij, kelihatan perempuan yang menuduh dengan bayi yang didakwa anaknya itu. Menyebabkan Juraij minta untuk menunaikan solat.
Permintaan Juraij diberi oleh orang kampung. Setelah berwudu’, solat dan berdoa. Juraij telah datang kepada anak itu lalu bertanya.
مَنْ أَبُوك يَا غُلَام ؟ فَقَالَ : الرَّاعِي
Maksudnya;
”Siapa bapa kamu wahai anak? Berkata bayi itu: pengembala kambing”
Melihat bayi itu berkata demikian, menyebabkan orang kampung merasa bersalah. Lalu mereka membina balik rumah ibadat Juraij yang telah diruntuhkan itu dengan rumah ibaadat yang baru, diperbuat daripada emas. Tetapi ditolak oleh Juraij, tetapi diminta supaya dibina balik rumah ibadat itu dengan tanah sahaja[2].
MORAL CERITA
Dari kisah yang dinukilkan ini, dapat dilihat bahawa Juraij telah melakukan kesilapan terhadap ibunya dikeranakan mendahulukan solat sunat berbanding menyahut panggilan ibunya.
Dosa yang dilakukan itu, menyebabkan beliau telah dikifarat oleh Allah dengan fitnah yang dikenakan terhadap beliau.
Pun begitu, disebalik kifarat yang ditimpakan Allah terhadapnya, terdapat satu keuntungan dunia yang diberikan Allah kepada Juraij, iaitu ditawarkan untuk dibuat sebuah rumah ibadat daripada Emas, walaupun ianya ditolak oleh juraij. Keadaan yang seakan-akan sama juga berlaku kepada Anwar Ibrahim.
Jika dulu, beliau masuk ke dalam UMNO, sehingga sanggup memaki hamun ulama-ulama dalam PAS. Ternyata, tindakannya itu telah dikifaratkan oleh Allah dengan berbagai-bagai fitnah yang telah ditimpa kepada beliau bermula pada tahun 1998.
Pun begitu, selepas beliau keluar dari tahanan, menyebabkan aura beliau telah melahirkan satu anjakan baru dalam politik Malaysia, sehinggakan dapat dilihat kesannya pada hari ini.
DAKWAH NON MUSLIM
PAS dipandang sinis oleh non Muslim. Parti surau, satu istilah yang telah ditampalkan kepada PAS, menyebabkan PAS agak susah mendampingi muda mudi « haru biru », juga susah untuk mendampingi Non Muslim.
Masa aku belajar di Pakistan, aku pernah diajak oleh seorang kawan berbangsa Sudan, iaitu Abdur Rahman As-Sudani untuk berjumpa dengan seorang syaikh dari Syria yang ketika itu berada di « Taman Melewar Jamaat Islami Pakistan », iaitu di Mansurah, lahore.
Aku tidak ingat nama Syaikh itu, tetapi dalam perbualan kami, As-Syaikh ada mengungkapkan beberapa ulasan tentang dakwah, seakan-akan memerli Abdur Rahman As-Sudani dari aliran Tabligh.
As-Syaikh tersebut menyatakan, menyeru muslim kepada Islam, tidaklah dipanggil sebagai Dakwah, bahkan ianya dipanggil sebagai nasihat, iaitu seperti hadis Nabi SAW ;
الدِّينُ النَّصِيحَةُ
Maksudnya ; « Agama adalah Nasihat [3]»
Adapun dakwah adalah menyeru manusia yang tidak Islam kepada Islam. Dengan itu, apabila dilihat PAS sebagai sebuah parti yang hanya fokus usaha memahamkan Islam kepada orang muslim sahaja, berdasarkan kefahaman As-Syaikh tersebut, PAS masih belum berdakwah lagi.
Dengan itu, usaha dakwah perlu diperluaskan oleh PAS. PAS tidak boleh lagi memfokuskan dakwah kepada orang Muslim sahaja, bahkan sudah sampai masanya menyampaikan dakwah islamiyyah di luar dari kawasan orang islam.
Pun begitu, PAS masih lagi ditimpa masalah. Iaitu, PAS dilihat sebagai sebuah parti yang tidak mesra Non Muslim.
Walaupun kejayaan menembusi itu sudah berlaku di beberapa negeri, seperti Kelantan, perak dan Pulau Pinang, tetapi agak masih berjauhan lagi di beberapa negeri, termasuk negeri Selangor dan negeri kedah.
Disamping itu, PAS dengan agenda Islamnya. DAP pula sering menyerang agenda islam PAS. Mendekatkan dua parti yang berbeza idealogi politik amat susah. Keadaan ini, tidak ada cara lain untuk PAS mengadapinya melainkan PAS perlu mencari « jambatan » antara PAS dengan Non Muslim, juga dengan parti DAP.
JAMBATAN
Dalam berdakwah, perlu mempunyai strategi dan uslub dakwah yang berkesan.
Firman Allah;
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ
Maksudnya;
”Kamu serulah manusia kepada jalan tuhan kamu dengan hikmat”
(surah An-Nahl : 125)
Hikmat ditafsirkan sebagai kebijaksanaan. Kebijaksanaan dalam menyatakan kebenaran sehingga pihak sasaran dakwah boleh menerima kandungan dakwah.
Dalam usaha hendak memahamkan manusia kepada Islam, selayaknya perlu diketahui dan kenal cara sasaran dakwah berfikir. Dengan sebab mengetahui dan mengenali cara mereka berfikir, menyebabkan kita akan mengetahui dimanakah kelemahan dan kekuatan yang ada mereka.
Apabila kita sudah mengetahui, ketika itu, kita akan dapat melihat dan dapat melakukan tindakan untuk menjadikan kelemahan mereka itu semakin lemah, dan kekuatan mereka pula menjadi lemah.
Yang semuanya perlu dilemahkan dengan Islam. Semua ini perlu dirujuk kepada firman Allah;
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Maksudnya;
“Wahai manusia, sesungguhnya kami ciptakan kamu daripada kalangan lelaki dan perempuan, kami jadikan kamu berbangsa-bangsa, berpuak-puak, agar kamu saling kenal-mengenali. Sesunggunya semulia-mulia kamu disisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa dari kalangan kamu. Sesungguhnya Allah maha mengetahui dan maha mengenal”
(Surah Al-Hujurat : 13)
Dalam ayat ini, jelas Allah mengatakan bahawa sesama manusia, walaupun berbangsa-bangsa, berpuak-puak dan berlainan jantina, semuanya diciptakan Allah dengan tujuan untuk saling kenal satu dengan yang lain.
Kenal itu tidak cukup sekadar mengetahui namanya, keluarganya dan sebagainya, tetapi yang paling penting adalah kenal cara mereka berfikir, yang dengan itu, kita boleh mengambil kesempatan untuk meresapkan kefahaman islam kepada mereka.
Justeru itu, Keterlibatan Anwar dalam UMNO yang membawa beliau menjadi Timbalan perdana Menteri menyebabkan Anwar berjaya melahirkan pengaruh yang bukan sahaja terfokus kepada orang melayu muslim sahaja, bahkan kepada orang bukan Islam. Kini dapat dilihat sendiri, bagaimana non Muslim, khususnya DAP agak lebih mempercayai Anwar berbanding PAS.
Mereka menolak PAS, kerana PAS terang-terang dengan agenda Islam yang DAP tidak faham, tetapi mereka agak boleh menerima Anwar kerana Anwar tidak terang-terangan dengan agenda Islam, bahkan bersifat liberal dengan semua kaum dan penganut agama.
Dilihat dengan kehadiran Anwar yang nampak agak liberal, sepatutnya perlu diambil kesempatan oleh PAS dalam menghampiri non Muslim dan DAP dalam usaha hendak kenal satu dengan yang lain, yang dengan itu dapat menyampaikan mesej Islam kepada mereka.
PENUTUP
Kehadiran Anwar Ibrahim sebagai “penyejuk” terhadap « kepanasan » antara dua Parti yang berbeza idealogi, sepatutnya perlu diambil kesempatan oleh Parti Islam dalam menyampaikan mesej islam kepada non Muslim dan Parti tidak Islam.
Anwar dilihat seperti banyak menggadaikan perinsip agamanya, seperti dalam memperkatakan tentang isu negara Islam, mahkamah syariah dan sebagainya.
Padaku, takkan orang yang seperti Anwar Ibrahim yang pernah memimpin satu gerakan mahasiswa islam, juga antara orang yang terawal memperkenalkan tokoh-tokoh pejuang islam seperti Hasan Al-Banna, Sayed Qutub, Maududi di malaysia, akan melakukan sesuatu tindakan yang boleh melahirkan kerosakan Islam pada umat Islam.
Ini menandakan, tindakan beliau dengan bersikap seakan-akan liberal, mempunyai matlamat jangka masa yang panjang demi untuk melihat Islam terlaksana di Malaysia.
Jika diharapkan kepada PKR, kalau difikirkan secara lebih mendalam, apakah parti ini akan berkekalan lama ? keadaan sekarang pun kita dapat melihat, kekuatan mereka lebih kepada Anwar Ibrahim. Apabila mati Anwar Ibrahim, maka kemanakah lagi perginya PKR ? ntah hidup atau mati….
Oleh itu, semasa Anwar Ibrahim masih hidup, sewajibnya PAS perlu mengambil sikap mendampingi Non Muslim demi memperkatakan islam, yang dengan itu, mereka akan menerima Islam sebagai agama pegangan mereka. Jadikanlah Pakatan Rakyat sebagai medan dakwah, demi mencapai kejayaan memerintah Malaysia dengan islam.
Sekian
Wallahu ‘Alam
Nukilan Al-Bakistani