Salurkan Sumbangan Dana Pilihanraya Anda ke Parti Islam Se-Malaysia Kawasan Kota Tinggi

Salurkan Sumbangan Dana Pilihanraya Anda ke Parti Islam Se-Malaysia  Kawasan  Kota Tinggi
No Akaun : 01-069-01-003759-0

Pilihan Anda di PRU 13?


Ruang Aduan

E-mail Address: *
Nama Pengadu *
Nombor Telefon *
E-mail Address
Alamat Pengadu *
Aduan *
Adakah anda bersetuju untuk mendedahkan identiti anda sekiranya diperlukan? *YA
TIDAK

* RequiredBuild Contact Forms

October 31, 2009

Semua rezeki datang dari langit

Alangkah sukarnya bila seseorang mengharap rezeki terus daripada sumber alam. Para nelayan dan petani adalah golongan yang harus tunduk kepada alam. Mereka tidak boleh panjang angan-angan. Di setiap hari, empat unsur alam iaitu air, api, angin dan tanah menentukan pasang surut pendapatan mereka. Nasib mereka setiap hari ditentukan oleh empat unsur itu secara langsung.

Seorang nelayan yang bangun tidur di waktu subuh untuk turun ke laut, tidak tahu sama ada dia akan memperoleh rezeki pada pagi itu. Diselubungi kedinginan malam dan kegelapan di tengah laut, dia tahu, kalau ada rezeki, adalah ikan yang tersangkut di jalanya. Andai sebaliknya, dia tahu nasibnya tidak menyebelahinya pada hari itu.

Dalam pada itu, dia sedar, pada bila-bila sahaja ribut akan datang. Gelombang laut akan menolak perahunya setinggi gunung dan menghempasnya pula ke dada laut persis sabut kelapa. Entah perahunya karam dan dirinya sama-sama tenggelam ke dasar laut� di setiap saat, si nelayan sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan.

Seorang petani yang menanam padi, sayur-sayuran atau buah-buahan pula tahu, hasilnya pada tahun lalu bukannya pengukur perolehannya pada tahun ini. Mungkin cuaca pada tahun ini tidak akan menyebelahinya. Jika cuaca tidak memihak kepadanya, tanamannya akan mati di panah mentari kemarau. Mungkin juga tanamannya rebah diserbu arus banjir.

Jika cuaca elok dan tanamannya berbuah, belum tentu lagi dia dapat menikmati hasilnya tak lama lagi. Burung, siput, serangga malah penyakit tanaman boleh menyerang pada bila-bila masa lalu melenyapkan angan-angannya untuk memperoleh rezeki dari hasil usahanya.

Namun, di sebalik segala ketidaktentuan, golongan ini amat beruntung. Ketidakpastian itu sebenarnya membuatkan mereka sentiasa sedar yang mereka tiada kuasa untuk menghadapi kekuatan keempat-empat unsur alam iaitu air, api, angin dan tanah itu. Justeru, kepada siapakah mereka mengharap, kepada siapakah mereka memohon dan kepada siapakah mereka pasrah?

Sudah tentulah kepada Allah SWT, tuan punya air, api, angin dan tanah itu. Tatkala melangkah ke dalam selut sawah atau mengharung laut, kepada Ar-Razzaq atau Yang Maha Menganugerah Rezekilah mereka bermohon. Tatkala sampan dilambung ombak atau ketika banjir melanda tanaman, kepada Al-Qahar atau Yang Maha Keras itulah yang dipohon agar cuaca kembali pulih. Dan kepada Al-Basit atau Yang Melapangkan itulah yang dipohon agar rezeki dapat diperoleh kembali.

Beruntungnya golongan ini kerana saban hari dapat memohon dan merintih mengadu nasib demi sesuap nasi. Cara mereka mencari rezeki yang bersumberkan terus daripada alam itulah yang memungkin mereka sentiasa dapat bertaqqarub kepada Allah SWT.

Bagaimana kita? Sebahagian besar daripada kita mencari rezeki dengan cara makan gaji. Dan bidang kerjaya yang kita ceburi tidak berkait secara langsung dengan alam. Saban hari kita tidak dipanah mentari kecuali disinari cahaya lampu. Tidak diserbu badai kecuali hembusan lembut angin penghawa dingin. Tidak tertelan air laut yang masin kecuali mengogok teh tarik. Tidak memijak tanah dan selut kecuali menginjak simen atau marmar.

Pergi dan pulang kerja dalam keadaan wangi. Peluh tak perlu dikesat dan diperah dengan kain basahan. Memadai hanya dengan menekap-nekap kertas tisu kecil di wajah agar terus kelihatan segar. Penat bekerja boleh bersembang di Facebook atau melayari laman web. Cukup bulan, dapat gaji.

Hari demi hari, tahun demi tahun, kita yang makan gaji, yang rezekinya tidak langsung daripada sumber alam, semakin terlupa bahawa segala-galanya datang dari-Nya jua. Kita terlupa kerana hasil kerja kita diberi secara tetap atas nama upah atau gaji. Yang kita perasan adalah, pendapatan yang diperoleh itu datangnya daripada majikan atau bos!

Kerana apa? Kerana saban hari, boslah yang selalu memberi kita kerja, memotivasi atau memarahi serta menabur janji. Cukup masa, dia memberi kita habuan yang tentunya menggembirakan diri dan juga anak bini. Bisnes baik. Pelaburan berhasil. Kompeni untung. Nah! Ini habuan kerana prestasi cemerlang kamu!

Oleh kerana dialah yang saban hari berdepan dengan kita, kehadirannya di depan mata itu menjadikan lupa siapakah yang sebenarnya pemberi rezeki kita. Yang kita perasan hanyalah bos, kerana dia yang menghulur gaji dan menaikkan pangkat kepada kita.

Kita lupa bahawa Allah SWT yang sebenarnya menganugerahkan rezeki melalui bos kita selama ini. DIA telah secara beransur-ansur dilupakan. Tidak teringat pun yang Dia Ar-Rahman, Yang Maha Pemurah, Ar-Rahim, Yang Maha Mengasihani kerana menghulurkan apa sahaja yang dihajatkan kita selama ini. Kita lupa ini. Malah, kejayaan dunia kerjaya seperti kenaikan pangkat dan harta membuatkan kita beransur-ansur jauh dari-Nya!

Kerana itu, bila prestasi syarikat tidak baik, bonus sudah tiada, gaji dipotong, malah ditawarkan berhenti secara sukarela atau dibuang kerja, kita boleh memarahi bos, memarahi syarikat, memarahi ekonomi, malah memarahi dunia kerana mengambil kelazatan yang kita hirup tahun demi tahun itu.

Kalaulah kita saban hari mengharapkan rezeki kita terus daripada sumber alam, maka kita mudah disedarkan, tahu siapakah diri, malah sentiasa akan teringat daripada manakah rezeki itu datang untuk saraan hidup diri dan anggota keluarga.

Bila kita sedar, kita akan hargai nilai sebutir nasi yang jatuh di luar pinggan!

Oleh NORDEN MOHAMED