Allah tidak menjadikan sesuatu dengan sia-sia meskipun dalam kejadian nyamuk, lalat atau kelkatu. Ia mengandungi hikmah dan pengajaran kepada manusia yang mahu memikirkannya. Jika mengikut logik manusia, kenapalah Allah menjadikan nyamuk sedangkan ia bahaya kepada kesihatan. Sebenarnya dalam kejadian nyamuk banyak rahsia yang manusia sendiri tidak mengetahuinya. Allah MAHA BIJAKSANA dan MAHA MENGETAHUI.
Pada suatu malam yang sunyi lagi gelap, keluarlah satu kumpulan kelkatu entah dari mana menuju ke satu tempat yang terang dan bercahaya. Berpusu-pusu berterbangan ke arah beberapa buah pelita yang dipasang di halaman rumah. Aku lihat kesemua kelkatu itu menerkam ke tempat itu. Setiap kali terkam setiap kali kelkatu itu jatuh dan binasa satu persatu. Binasa disebabkan oleh api yang panas itu. Ada seekor yang tak mati sekaligus dan mampu terbang lagi. Tetapi ia tidak serik kerana kepanasan, malah ia sendiri lihat dengan mata kepalanya ramai kawannya yang tersungkur ke bumi. Namun itu tidak memberi pengajaran kepada kelkatu itu, mungkin kerana kedegilan dan keseronokan melulu.Tanpa berfikir panjang, kelkatu itu menerkam sekali lagi. Kali ini ia tidak bernasib baik dan menemui maut.
Termenung aku sejenak. Apa hikmah Allah jadikan kelkatu? Di hati kecilku berkata sebodoh-bodoh kelkatu pun masih bernasib baik kerana selepas kematiannya ia tidak dibangkitkan lagi di akhirat. Sebaliknya aku terfikir ramai manusia ketika ini berotakkan kelkatu. Mereka tahu dadah itu bahaya, namun masih mengambilnya. mereka tahu tidak bersembahyang boleh menjerumuskan diri ke dalam neraka, namun masih tak hendak bersolat. Mereka tahu merokok membahayakan kesihatan, namun tetap merokok. Mereka tahu berjudi itu haram, namun tetap berdegil tikam ekor. Mereka tahu berzina itu dosa, namun tetap melakukannya. Mereka tahu syurga penuh kenikmatan tapi menjauhinya. Mereka tahu neraka penuh dengan azab tapi ramai yang hendak ke sana. Mereka tahu syaitan itu musuh utama tapi mengambil mereka sebagai kawan. Banyak lagi aksi manusia sekarang yang bertubuhkan manusia namun hakikatnya berotakkan kelkatu.
MORAL & IKTIBAR
- Allah memberikan otak kepada manusia untuk berfikir. Jika tidak digunakan atau disalahgunakan manusia akan rugi malah nasibnya lebih dahsyat daripada kelkatu .
- Kebanyakan manusia tertipu dengan kemanisan dunia tanpa memikirkan kemanisan akhirat .
- Berbondong-bondong manusia mengejar kebahagiaan, hiburan dan kelazatan dunia sahaja pada hakikatnya mereka mengejar api neraka.
~ melukut.com ~
Tahu diri hamba belum memadai; hati merasa hamba itulah yang dicari