
Soalannya mengapa MCA boleh membuat kenyataan terbuka begitu rupa ?.
Dalam
hal ini, MCA bukanlah parti yang patut disoal atau diminta penjelasan,
kerana parti ini hanya mewakili kelompok masyarakat Cina bukan Islam.
Manakala hukum hudud pula tidak ada dalam ajaran semua agama bukan Islam
yang dianut oleh ahli MCA. Parti UMNO lah yang secara khususnya patut
dipersoalkan oleh bangsa melayu yang beragama Islam bukannya MCA, kerana
banyaknya urusan Islam di dalam tubuh parti UMNO serta kedudukannya
yang memimpin kerajaan pusat dan negeri.
PAS tidak merasa hairan apa yang berlaku, kerana UMNO adalah Parti
Kebangsaan Melayu, di mana “Islam” hanya menjadi agama yang dianut
secara peribadi kalangan ahli UMNO sahaja. Perlembagaan UMNO juga tidak
meletakkan Islam menjadi dasar, matlamat dan hukum tertinggi. Sifat
individualistik yang menjadi konsep kepada ahli UMNO menyebabkannya
tidak boleh bertindak terhadap ahlinya yang melakukan maksiat yang
besar, apatah lagi yang terlalu kecil, kerana agama adalah urusan
individu. Ahli UMNO pula boleh menjadi orang yang soleh, paling kuat
beribadat, banyak sembahyang, banyak mendirikan masjid, kerap umrah dan
lebih banyak peluang haji, berkebajikan dalam masyarakat dengan
sebanyak-banyaknya dan sebagainya. Tetapi ahli UMNOi tidak mampu
bercakap atas nama partinya untuk menegur atau menyanggah kenyataan
Presiden MCA, kerana ini akan bercanggah dengan semangat dan konsep
kebersamaan dalam BN yang didukung sama oleh undang-undang tubuh UMNO
yang diselaraskan dengan semua rakan-rakannya dalam Barisan Nasional.
UMNO lebih mengutamakan konsep pragmatik sekular yang didukung bersama
MCA, MIC, GERAKAN dan lain-lain, dalam gabungan parti-parti komponen
Barisan Nasional. Maka Islam tidak berkuasa dan berdaulat, hanyalah
sekadar menjadi cabang yang berteduh di bawah semangat Barisan Nasional.
Maka UMNO tidak ada kelayakan untuk menegur Presiden MCA sehingga dia
boleh bercakap apa sahaja termasuk dalam perkara Islam yang dia terlalu
jahil kerana bukan agamanya.
HUDUD
Undang-undang Hudud adalah salah satu daripada hukum
jenayah dalam syariat Islam, bersama dengan hukuman Qisas dan Takzir.
Perkataan “Hudud” bererti batas-batas sempadan Allah yang tidak boleh
dipertikaikan oleh seseorang yang beriman, di mana hukumannya telah di
naskan oleh Allah secara nyata dalam Al Quran dan Hadith Rasulullah SAW
seperti juga nas wajib sembahyang lima waktu, puasa, zakat , haji dan
pengharaman arak, judi, riba dan lain-lain. Hudud tidak boleh dinamakan
“Hudud PAS” seperti juga tidak boleh dinamakan “sembahyang PAS”. Hanya
yang jahil murakkab sahaja boleh bercakap begitu. Allah berfirman :
الأحزاب .
Maksudnya : “Dan tidaklah harus bagi seseorang yang
beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan
keputusan mengenai sesuatu perkara – mereka tidaklah mempunyai hak
memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak
taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat
dengan kesesatan yang jelas nyata.” (al-Ahzab – 36)
Perkara yang dinyatakan secara nas saperti Hudud dan Qisas tidak
mungkin dicapai oleh akal manusia, maka Allah menyatakan petunjuknya
secara jelas. Rasulullah SAW sendiri, para pemimpin dan ulama selepasnya
wajib menerima dan pihak yang berkuasa pula wajib melaksanakannya di
mana mereka tidak boleh bertelingkah atau khilaf dari segi wajibnya.
Perbincangan dan berbeza pendapat hanya dalam perkara cabang dari segi
mencari bukti dan proses kehakiman yang adil, bukan meninggalkannya.
Keseluruhan undang-undang jenayah Islam lebih bersifat dan
berkonsepkan mendidik masyarakat, maka dikenakan syarat yang ketat
sehingga sukar menjatuhkan hukuman, tetapi undang-undang dan hukumannya
menakutkan sehingga Presiden MCA juga takut. Penjenayah lebih digalakkan
bertaubat sebelum dibawa ke mahkamah. Hukum Hudud tidak boleh diampun
setelah diputuskan oleh mahkamah, kerana Hudud menjadi hak Allah bagi
memelihara rukun kehidupan bermasyarakat. Lucunya, terdapat pula
kalangan yang jahil pula cuba berhujah, bahawa penjenayah akan
berkeliaran atau bertambah kerana hukuman sangat sukar untuk dijatuhkan.
Hakikatnya ini tidak akan berlaku kerana sebelum sesuatu kes itu dibawa
ke mahkamah, pihak yang mendakwa atau pendakwa akan menentukan samada
cukup kesaksian atau tidak untuk kes hudud. Sekiranya bukti tidak cukup
untuk kes hudud bukan bermakna terus dilepaskan. Bukti-bukti jenayah ini
mungkin cukup untuk di bawa kes ke perbicaraan takzir – di mana hukuman
takzir adalah lebih ringan dari hukuman hudud. Dalam bahasa mudah
difahami waktu ini, hukuman takzir boleh wujud dalam bentuk kanun
keseksaan (penal code) yang hukuman dan beban pembuktiannya jauh lebih
ringan dari hukuman hudud.
Setiap penganut Islam sebelum wujudnya PAS dan UMNO wajib beriman
dengan hukum hudud. Maka penganut Islam dalam UMNO wajib bertegas dan
istiqamah dengan Islamnya, seterusnya bertindak sama ada memecat MCA
daripada Barisan Nasional atau UMNO di pecat atau keluar daripada
Barisan Nasional atau ahli-ahli UMNO yang beragama Islam keluar UMNO
beramai-ramai.
PAS DAN DAP PAS berlainan dengan UMNO dan sangat berbeza, kerana PAS
tegas mengikut undang-undang tubuhnya, menjadikan Islam (Quran, Hadith,
Ijmak dan Qiyas) hukum tertinggi, dasar dan matlamat perjuangannya
Islam yang sempurna, maka termasuk urusan politik negara. Sekiranya
dikaji Surah Al Maidah yang diturunkan di Madinah, terdapat di dalamnya
undang-undang jenayah, diantaranya Hudud. Kebanyakan sebab nuzulnya
(turun ayat) adalah berkait dengan sikap penganut bukan Islam yang
dijawab secara wahyu. Perkara ini dapat dirujuk dalam kitab tafsir dan
sejarah Islam.
PAS berijtihad memilih Demokrasi bagi mencapai kuasa pemerintahan dan
melaksanakan Islam termasuk hukum hudud, kerana pendekatan demokrasi
secara damai adalah bersesuaian bagi menyelamat manusia bersama Islam
tanpa paksaan, walaupun memakan masa yang panjang sehingga beberapa
generasi serta pemimpin pergi dan datang. Maka proses pelaksanaan undang
– undang termasuk Hudud di bawa ke dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan
dan Terengganu setelah mendapat mandat kemenangan besar dalam
pilihanraya lalu. Undang – undang jenayah Islam termasuk Hudud
dipamerkan lebih dahulu kepada masyarakat umum berbagai agama, di
bentang dan dibuka kepada proses soal-jawab terlebih dahulu sebagai satu
proses pendidikannya. Ingin saya pertegaskan sekali lagi bahawa
pelaksanaan enakmen Islam adalah hanya untuk orang Islam sahaja, sama
sekali tidak untuk bukan Islam. PAS tidak membawa perkara ini di Kedah,
Perak, Selangor dan Pulau Pinang kerana tidak mencukupi syarat secara
demokrasi. DAP pula bukan parti kerajaan pusat yang berkuasa sepenuhnya
seperti MCA. Ahli DAP banyak terdiri daripada masyarakat bukan Islam
yang tertindas oleh kekayaan MCA, MIC dan semangat kebangsaan UMNO yang
terlalu tinggi. Maka PAS lebih mudah berkira dengan DAP. Perkara hudud
boleh dibincang secara ilmu dengan adil dan bebas.
Hubungan PAS dengan DAP dan PKR bukan Islam dalam Pakatan Rakyat adalah
secara muafakat. Maka isu pelaksanaan Islam oleh PAS dalam negeri
Pakatan Rakyat adalah berpandukan kepada hukum Tahaluf Siyasi dalam
Feqah Siyasah. Ini perkara yang perlu difahami oleh penyokong PAS dan
rakyat seluruhnya.
PAS tetap tegas dengan perjuangan Islamnya dan DAP pula tegas dengan
perjuangannya. Dalam hal ini kerjasama berlaku dalam titik persamaan dan
hak berbeza pendapat tetap dihormati dan hak penganut bukan Islam wajib
diberi dengan adil.
Titik persamaan secara umum sudah disepakati, apabila DAP menerima
konsep yang sudah ada dalam perlembagaan negara, termasuk kedudukan
agama Islam. Bagi PAS sudah cukup menarik untuk memberi ruang
perbincangan sekiranya memerintah negara. Cara ini tidak boleh dilakukan
oleh UMNO dengan rakan-rakan karibnya dalam Barisan Nasional. Malangnya
perbincangan yang masih awal diganggu oleh media arus perdana khususnya
berbahasa melayu mengaku Islam, yang sengaja berniat jahat untuk
menghalang cita-cita Islam yang diperjuangkan oleh PAS.
Sekiranya rakyat memberi kuasa dalam Pilihanraya Umum ke-13 kepada
Pakatan Rakyat, maka PAS yakin dapat membawa mesejnya dengan sempurna
tanpa gangguan syaitan yang dikenali dan tidak dikenali.
Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
PRESIDEN PAS