Salurkan Sumbangan Dana Pilihanraya Anda ke Parti Islam Se-Malaysia Kawasan Kota Tinggi

Salurkan Sumbangan Dana Pilihanraya Anda ke Parti Islam Se-Malaysia  Kawasan  Kota Tinggi
No Akaun : 01-069-01-003759-0

Pilihan Anda di PRU 13?


Ruang Aduan

E-mail Address: *
Nama Pengadu *
Nombor Telefon *
E-mail Address
Alamat Pengadu *
Aduan *
Adakah anda bersetuju untuk mendedahkan identiti anda sekiranya diperlukan? *YA
TIDAK

* RequiredBuild Contact Forms

September 11, 2012

MEDIA PROPAGANDA BN SEMAKIN HODOH


Setiap hari rakyat menatap dada akhbar, skrin televisyen dan suara radio yang dikumandangkan ia sarat dengan propaganda politik UMNO/BN sedang berkempen. Kempen politik di negara 1Malaysia ini sangatlah hodoh kerana ia hanya propaganda sebelah pihak tetapi kejelikan itulah yang berlangsung sejak 55 tahun mencapai kemerdekaan hingga ke saat ini.

Permainan propaganda politik menjadi lebih hodoh di zaman langit terbuka ini kerana sewaktu mereka cuba memperbodohkan rakyat seluruhnya, bahan serangan balas tersebar dengan lumayannya di alam maya.


Apabila media BN mencanangkan ‘kebiadapan’ segelintir peserta himpunan Janji Bersih menghina foto Perdana Menteri lalu diambil tindakan, pihak lawan mereka punya menyiarkan foto bagaimana gambar Menteri Besar, Ketua Menteri serta pemimpin-pemimpin utama Pakatan dipijak, dikencing dan dibakar tetapi tidak diambil apa-apa tindakan oleh polis.

Selepas media BN mendedahkan penunjuk punggung terhadap gambar Perdana Menteri akan diambil tindakan, pihak lawan mereka pula mendedahkan kelucahan Pemuda UMNO beraksi ala liwat, Puteri UMNO menonggeng punggung, senaman punggung di hadapan rumah Datuk Ambiga dan aksi simbol lucah oleh seorang Menteri Besar BN; semuanya tidak diambil apa-apa tindakan oleh pihak polis.

Sebaik media BN mengecam kerajaan Selangor kerana tidak mengundang Sultan di majlis sambutan ambang merdeka, pihak lawannya juga mendedahkan kebiadapan kerajaan BN Pusat yang tidak mengundang Yang DiPertuan Agong di sambutan ambang merdeka yang diadakan di Stadium Bukit Jalil.

Apabila media BN menceritakan bahawa kumpulan anti Anwar diserang di hadapan ibu pejabat KeADILan, pihak lawannya mendedahkan dengan bukti audio video bahawa kumpulan tersebut yang mula mencetuskan provokasi dan membuat kacau secara agresif.

Selepas media BN mengecam Anwar kerana berucap dalam masjid (kononnya memperalatkan masjid untuk politik) maka media maya menyiarkan foto semua pemimpin-pemimpin BN yang berucap dalam masjid, termasuk juga Rosmah bersama sebahagian Puteri UMNO yang tidak menutup aurat mengadakan program politik dan berucap dalam masjid.

Semua pantun bersambut, semua soalan berjawab. Langit terbuka menjadi masalah besar BN melakukan propaganda sehingga media-media utama yang mereka kuasai kelihatan betul-betul bodoh kerana hanya bergantung nyawa dengan khalayak yang berfikir tidak menggunakan akal serta tiada maklumat kedua lalu menelan bulat-bulat setiap propaganda yang ditaburkan. Lagi masalah besar bagi BN ialah golongan yang jahil isu semasa ini makin mengecil dalam masyarakat.

Cabaran kedua yang dihadapi BN ialah ketidakupayaan menyembunyikan sesuatu yang merugikan mereka. Apabila Perkasa dan UMNO menyerang masjid, mengganggu tazkirah dan didakwa membaling selipar ke dalam masjid, tiada satu pun siaran media utama negara berani menyiarkan insiden tersebut. Tetapi video keganasan kumpulan itu tersebar seantero dunia melalui You Tube. Semua golongan rasional yang menyaksikan video itu dipasak kebencian yang meluap-luap menyaksikan kebiadapan kumpulan itu menyerang masjid.

Sewaktu bas Jelajah Merdeka Rakyat dibaling batu dan dicurah cat oleh kumpulan samseng anti Pakatan, tidak ada juga media utama yang menjadi perkakas BN berani menyiarkan insiden itu. Peristiwa itu cuba disembunyikan namun di alam maya ia tersebar sepantas kilat seluas-luasnya. Tiba-tiba insiden tersebut menjadi pemangkin melonjakkan kehadiran orang ramai ke setiap ceramah Anwar yang sedang menjelajah ke seluruh negara.

Tidak ada sebuah pun media utama dalam negara yang menyiarkan walaupun satu sudut yang terpencil Himpunan Hijau anti Lynas yang diadakan di Raub, Pahang namun media maya menyiarkan himpunan yang dihadiri puluhan ribu manusia itu. Begitu juga dengan semua himpunan besar anjuran kerajaan negeri Pakatan dan parti-parti komponen Pakatan sama ada jamuan Aidil Fitri atau ceramah umum.

Kejatuhan saham FGVH, kenaikan harga minyak Petrol Ron 97, pertambahan indeks jenayah, pergolakan di Sabah dan Sarawak, pertelingkahan dalaman UMNO serta seribu satu keburukan yang membabitkan BN dan kerajaannya yang disembunyikan semuanya terdedah di media maya.

Kebijakan dalam membuat propaganda ialah sehingga orang ramai terkesan tetapintidak tahu itu propaganda. Malangnya BN, semua propaganda mereka yang dimainkan oleh media terserlah sangat bahawa ianya fitnah, pembohongan, putarbelit, penggelapan dan manipulasi. Maka ia adalah propaganda yang gagal.

Rakyat nampak BN mengada-ngada apabila ada yang dipaksa untuk berterima kasih, isu kecil dibesarkan, laporan polis terhadap spekulasi dibuat, eksploitasi racisme dalam menonjolan isu bahkan pemberian bahkan sumbangan untuk rakyat jelata juga sangat mudah difahami bahawa ‘ianya rasuah politik!’ justeru hilang rasa terima kasih.

Setiap hari apabila Buletin Utama TV3 atau RTM menyiarkan laporan versi sebelah pihak dalam beritanya, hakikatnya ia sedang membakar perasaan jutaan rakyat negara ini yang sedang menyaksikan propaganda bodoh yang sungguh menyakitkan hati itu. Mereka berjaya menyemarakkan kebencian di kalangan pengikut tegar mereka di samping menyemarakkan kebencian sebahagian besar rakyat terhadap mereka sendiri iaitu BN dan media propagandanya.

September 05, 2012

Warga Kota Tinggi Di jemput Hadir.


August 30, 2012

August 15, 2012

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS- HUDUD : DAP MENENTANG, UMNO MENOLAKNYA

Pendahuluan : Sumber memahami ajaran Islam

Sesiapa sahaja yang ingin mengetahui Islam secara ikhlas, maka wajiblah mereka membaca dan mengkaji daripada sumber asasi Islam iaitu kitab suci Al Quran dan cara pelaksanaanya melalui hadith-hadith yang soheh. Begitu juga penjelasan daripada para ulama muktabar, sama ada menerusi kitab-kitab tafsir, hadith dan ilmu feqah serta sejarah pelaksanaan oleh kerajaan-kerajaan Islam yang adil, bukannya kerajaan Islam yang zalim.

Tentulah akan berlaku kesilapan dan boleh menyesatkan jika sekadar membaca dari sumber yang tidak benar dan mengelirukan seperti penulisan para orientalis yang tidak beriman atau media yang tidak juga beriman dan budiman. Apatah lagi cuba mendalami Islam menerusi media yang mencampur adukkan hak dan batil, mencampur adukkan terjemahan Al Quran, tulisan-tulisan serta gambar lucah dan keputusan judi nombor ekor untuk mendapat keuntungan wang tanpa mengira halal dan haram.  Begitu juga dari kalangan para ulama contoh daripada ahli kitab yang disumpah menjadi kera, binatang yang bergayut di pokok yang banyak buah yang boleh dimakan. Kalau diberi bunga yang cantik dan harum nescaya diciumnya. Kemudian dikoyak rabak merosakkannya. Begitulah ajaran Islam yang murni juga dikoyak rabaknya, kerana kedudukan dan periuk nasi kononnya.

Keseluruhan surah Madaniyyah (yang diturunkan di Madinah) dan ayat – ayatnya yang menyatakan hukum jenayah Islam di antaranya hukum Hudud. Ketika Islam memerintah negara masyarakat majmuk pelbagai bangsa, penganut berbagai agama dan aqidah menjadi rakyat. Berlakunya perbezaan agama dan aqidah dan mecetuskan perbahasan dengan kalangan bukan Islam secara terbuka.

Allah berfirman dalam al-Quran, Surah al-Baqarah ayat 120  :

Maksudnya : “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut agama mereka. Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk Yang benar". dan Demi Sesungguhnya jika Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu Yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah Engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) Yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu”.

Banyak lagi ayat-ayat yang tegas daripada surah yang lain yang bersifat Madaniyyah, di antaranya jawapan kepada soalan dan tuduhan kaum bukan Islam yang hidup bersama masyarakat Islam, daripada kalangan Yahudi, Nasrani dan kabilah musyrikin yang belum Islam serta kumpulan munafik yang berpura-pura Islam. Mereka adalah kalangan yang tidak ada kuasa pemerintahan dan bebas bercakap tanpa larangan. Ada pun ayat-ayat peperangan adalah bagi menghadapi musuh yang datang menyerang atau membuat persediaan untuk berperang.

Dalam konsep hubungan berbagai kaum, Islam mendahulukan perdamaian dan mengharamkan paksaan dalam berdakwah. Ini kerana paksaan tidak memberi makna Islam yang sebenar, tetapi hanya melahirkan golongan munafik. Allah berfirman dalam Al Quran (al-Hujurat :14) mendedahkan sikap sebenar kaum badawi :

Maksudnya : Orang-orang  A'rab(badawi) berkata: " Kami telah beriman". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja:  “Kami telah Islam”. dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

Tiada paksaan menerima hudud untuk bukan Islam

Apabila kaum Yahudi yang berpegang kepada kitab suci Taurah, walaupun di dalamnya ada hukum hudud yang sama dalam Al Quran, namun Allah memerintah Rasulullah S.A.W. tidak memaksanya. Firman Allah (al-maidah : 42) :

Maksudnya : Dan jika mereka datang kepadaMu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa Yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka (biarkan); dan kalau Engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat memudaratkanmu sedikitpun; dan jika Engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.

Ayat ini antaranya menjadi dalil kepada pada pendapat yang menyatakan  bahawa tiada paksaan hukuman hudud terhadap orang bukan Islam sebagaimana pendapat dari mazhab Maliki yang diamalkan dalam masyarakat majmuk di utara Afrika dan Andalusia dan mazhab Hanafi yang berkembang dalam masyarakat majmuk di Iraq, India dan China. Berbeza dengan Mazhab Syafei yang tersebar di tanah Hijaz dan semenanjung arab yang terdiri daripada penganut Islam, ahli kitab dan Majusi.

Saya memuji betapa bijaksana para pendakwah kalangan ulama yang membawa Islam di alam Nusantara termasuk Tanah Melayu. Kerajaan Islam Melaka berabad lalu menyediakan dua undang-undang jenayah sama ada undang jenayah Islam termasuk undang-undang Hudud atau undang-undang adat bagi kaum bukan Islam Hindu dan Budha. Di Kedah masih ada rumah ibadat Hindu Melayu di Merbok yang tidak dimusnahkan oleh kerajaannya. Di Terengganu tempat penemuan batu bersurat yang mencatatkan undang-undang Hudud, masih digunakan rumah ibadat agama Budha dikampung Jeram Terengganu.

Al Quran mewajibkan pelaksanaan yang adil dalam perkara kemanusiaan yang sama dalam konsep Negara berkebajikan yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa yang adil dalam menangani hak beragama, berbudaya, bekerja, menangani kemiskinan dan sebagainya.

PAS dan dasarnya

PAS menyatakan dasarnya secara terbuka dan DAP juga menyatakan perjuangannya secara terbuka dan berdailog secara terbuka. Maka PAS dapat bekerjasama dalam perkara yang ada persamaan tanpa melarang dan memaksa dalam perkara yang berbeza. Ada perkara boleh bertolak ansur dan ada perkara yang tidak boleh berganjak. Sabda Rasulullah S.A.W. : “Orang Islam itu wajib bertanggungjawab di atas syarat yang ditetapkan, melainkan syarat yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal”.

Sepertimana juga DAP tidak boleh memaksa ahli PAS meminum arak dan memakan daging khinzir, maka PAS juga tidak boleh melarang ahli DAP dari minum arak dan makan daging khinzir. Perlembagaan PAS mewajibkan memecat sesiapa kalangan ahli PAS yang meminum arak dan memakan daging khinzir. Perlembagaan Umno tidak boleh memecat ahli UMNO yang minum arak bersama MCA , MIC dan Gerakan.

Begitulah nyatanya PAS tidak boleh menghalang DAP menentang Hudud dan DAP tidak berkuasa menghalang PAS menyatakan haknya. Pandangan pimpinan tertentu DAP pula tentulah tidak sama dengan pandangan pimpinan UMNO yang berkuasa selama puluhan tahun di Malaysia ini. Berbeza dengan UMNO yang sudah berkuasa bersama parti-parti rakannya sejak kemerdekaan negara mencecah lebih setengah abad. PAS adalah kalangan Melayu yang tidak lupa dan tidak mudah lupa seperti Melayu UMNO yang mudah lupa.

Sejak awal kemerdekaan PAS memperjuangkan Syariat Allah wajib ditegakkan, termasuklah hukum Hudud. Sejak awal kemerdekaan juga para pemimpin Umno menentang hukum Islam seperti hukum Hudud. Hanya berhukum sekadar yang diizinkan oleh kerajaan penjajah Inggeris. Maka pada masa itu  hukum hudud menjadi sasaran dihina, bahkan menganggap politik tidak ada hubungan dengan agama. PAS tetap beranggapan sikap UMNO itu kerana kejahilan dan terus bersabar mengemukakan hujah  dan melarang ahli-ahlinya yang melampau dalam menghukum. Hinggalah yang melampau itu melompat ke dalam UMNO. Berkat kesabaran itu maka tidak ada lagi kenyataan menentang secara terbuka di waktu ini. Kenyataannya bertukar kepada menentang secara bersilat gayung seperti kenyataan “Hudud PAS” atau “belum tiba masanya” walau pun berlalu masa setengah abad.

PAS mengemukan undang-undang jenayah Syariat termasuk hukum Hudud diperingkat negeri Kelantan dan Terenganu melalui proses demokrasi. Undang-undang tersebut digubal oleh jawatankuasa khas bersama daripada PAS dan kerajaan negeri melibatkan beberapa ahli Majlis Syura Ulama dan pakar undang–undang seperti Tun Saleh Abas, mantan Ketua Hakim Negara, al-Marhum Prof Dr Ahmad Ibrahim (tokoh akademik dan ahli PAS Singapura) Almarhum Prof Dr Saedun Awang (tokoh akademik dan Mantan Mufti Brunei Darussalam). Apa yang berlaku ialah, pihak UIA di bawah kerajaan UMNO lah yang mengarahkan kedua tokoh akademik meletakkan jawatan sebagai panel ini, namun urusannya dapat diselesaikan.

Rang undang-undangnya terlebih dahulu dibentangkan kepada umum. Dengan jasa baik YBM Tengku Razaleigh Hamzah, maka dijemput semua parti-parti politik termasuk komponen BN yang dipimpin UMNO dan NGO berbagai agama. Keseluruhannya hadir kecuali BN. Semua pandangan dan kritikan didengar dan dijawab. Selepasnya diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri kedua-dua negeri yang PAS mendapat sokongan majoriti. Akhirnya diperkenankan oleh DYMM Sultan dikedua-kedua negeri. Ada pun pelaksanaannya bergantung mengikut proses perlembagaan di bawah kerajaan Pusat yang dipimpin oleh Umno. Kalau UMNO boleh meminda perlembagaan mengambil kesempatan kesilapan seorang sultan dengan mengambil kuasa bagi kepentingannya, mengapa tidak boleh menyelesaikan perlembagaan bagi melaksanakan undang Islam?

Hudud ditolak oleh UMNO

Kemudian daripada itu, kerajaan Kelantan mendapat surat amaran daripada Kerajaan Pusat pimpinan UMNO.  Kerajaan Terengganu dan Kelantan didakwa dimahkamah  oleh pemimpin UMNO kerana undang-undang tersebut. Berikutnya berlaku kempen menakutkan pelabur dan rompakan royalti Petroleum daripada Terengganu melalui usul perwakilan Umno Terengganu dalam Perhimpunan UMNO tahun 2000 dan dinafikan hak Kelantan. Tetapi tidak dilakukan kepada Sabah di bawah PBS dan Singapura ketika dalam Malaysia. Di mana salahnya PAS ?

Inilah dia dua sikap yang berbeza. DAP ditonjolkan sebagai parti yang menentang hudud oleh media arus perdana kawalan Kerajaan BN, dalam masa yang sama hakikatnya ialah UMNO yang berkuasa memimpin kerajaan pusat itu pula juga menolak Hudud dengan rentetan seperti yang saya tulis di atas. DAP menolak hudud dengan menampilkan hujah mereka, manakala MCA pula menolak hudud dengan tempikan tuduhan UMNO hilang akal.

Hakikatnya ialah tema “Hudud” ini telah dan kembali lagi menjadi kitaran isu musim pilihanraya oleh UMNO untuk melaga-lagakan rakyat, tanpa rasa bertanggungjawab terhadap panduan agama Islam yang murni. Sedangkan merekalah yang sebenarnya sekian lama menolak hukum hudud ini !
Sekian untuk pusingan pertama, sila tunggu pusingan berikut kalau ada silat gayungnya.

Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang

PRESIDEN PAS

June 22, 2012

HIMPUNAN HIJAU KE PUTRAJAYA



Dimaklumkan bahawa program Gelombang Hijau Peringkat Negeri Johor hampir sampai ke kemuncaknya. Sebagaimana yang diuar-uarkan sebelum ini, Tuan Guru Mursyidul Am akan turun ke Johor bagi mengisi beberapa aturcara yang telah disediakan.
 
Aturcara tersebut seperti berikut :
Tarikh                         :  29 Jun 2012 (Jumaat)
Tema                          :  Warna Hijau
Aturcara                       :   Jamuan Anak Kelantan Di Perantauan
Masa                            :   04.30 petang – 07.00 malam
Tempat                         :   PPR Taman Kempas Permai
                                        Kempas
Aturcara                       :   Makan Malam Bersama Masyarakat Cina
Masa                            :   07.00 petang – 09.00 malam
Tempat                         :   Restoran Grand Straits Garden Seafood
                                        Danga Bay
                                        Jualan kupon boleh di dapati di Pejabat Pas Kawasan Kota Tinggi.
Aturcara                       :   Tahlil dan Ceramah Perdana
Masa                            :   07.00 malam – 12.00 malam
Tempat                         :   Dataran Dahlia
                                        Taman Dahlia,  Johor Bahru









June 20, 2012

Kenyataan Media Presiden PAS- FGVH: Siri Pengkhianatan Melayu Terbesar

UMNO meneruskan siri-siri mengagalkan bangsa sendiri setelah sekian lama menghapuskan tulisan jawi, bahasa Melayu yang dipinggirkan dalam PPSMI dan kegagalan dalam Dasar Ekonomi Baru.

Terbaru, aset Felda yang berharga milik rakyat Malaysia yang majoritinya orang Melayu menjadi mangsa penggadaian seterusnya. Ladang, tanah dan segala perniagaan milik sepenuhnya warga Felda dan negara, difaraidkan sesama sendiri dan syarikat asing melalui usaha penyenaraian di Bursa Saham.

Apa yang memilukan, peneroka dan kakitangan Felda yang berpuluh tahun membangunkan Felda, diberikan saham terkecil iaitu 2.5 peratus dan 3 peratus sahaja. Tetapi mereka sanggup memberi ruang kepada Syarikat Asing dari luar negara memegang sekitar 20 peratus saham dalam Felda Global Ventures ini. Tidak mustahil dimasa akan datang syarikat asing atau mereka yang tidak kena mengena dengan Felda yang akan menjadi pemilik aset berharga Felda ini setelah saham-sahamnya terjual. Bagi Pas, bukan sekadar masalah pengagihan saham tersebut yang utamanya, tetapi melibatkan tanah-tanah Felda dan aset berharga milik rakyat dan negara ini satu pengkhianatan. Apatah lagi menyerahkan urusan sebesar itu dikendalikan oleh individu yang terpalit dengan rasuah yang diakui partinya sendiri.

Ini adalah satu pengkhianatan kepada bangsa Melayu yang mendiami kawasan Felda dan seluruh negara. Pas menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Felda supaya segera menggantikan UMNO yang lama memerintah dan terus bertindak gagal dengan memberi undi kepada Pas dan rakan-rakan Pakatan Rakyat. Kita tidak punyai masa yang lama lagi untuk menunggu berapa banyak lagi aset negara berpontensi terjual dibawah pemerintahan UMNO BN hari ini.

Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

June 15, 2012

Gelombang Hijau Menuju Putrajaya

Assalamualaikum wrm wbt

Adalah dimaklumkan bahawa Mesyuarat Harian Badan Perhubungan PAS Negeri Johor yqng telah diadakan pada 05 Jun 2012, telah membuat keputusan untuk mengadakan program yang dinamakan GELOMBANG HIJAU MENUJU PUTRAJAYA bermula pada 16 Jun 2012 sebagai lanjutan daripada Himpunan Hijau Menuju Putrajaya yang diadakan di Kedah baru-baru ini.  

Program tersebut terbahagi kepada tiga segmen seperti berikut :
Tarikh                          : 16 Jun 2012 (Sabtu) 
Tema Pakaian           : Warna Hijau 
Program                     : Jamuan Rakyat bersama Pemimpin PR 
Masa                           : 11.00 pagi – 03.00 petang 
Tempat                       : No 79 Jalan Besar
             : Tongkang Pechah
             : Batu Pahat 


Tetamu                       : YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
             :                         YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim
                                     : Lim Kit Siang
Kupon                         : RM10.00

Program                     : Hi-Tea bersama Presiden PAS
Masa                           : 04.30 – 06.30 petang
Tempat                       : No 93 Jalan Panchor
             :                         Bukit Pasir
             :                         Muar
Tetamu                       : YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
             :                         YB Haji Salahuddin Ayub

Program                     : Munajat dan Ceramah Perdana
Masa                           : 07.00 – 12.00 malam
Tempat                       : No P17 Kampung Parit 2
             :                         Sagil
             :                         Ledang
Penceramah             : YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
             :                         YB Haji Salahuddin Ayub
             :                         Dato’ Dr Haji Mahfodz Mohamed

KENYATAAN MEDIA TUAN IBRAHIM: Isu Tangguh Haji - Merumitkan Sesuatu Yang Mudah

Isu tangguh haji masih hangat diperkatakan oleh media-media pro Umno.

Kenyataan saya yang dibuat pada Jun 5 kepada Selangorku yang menyeru “ahli PAS yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya” – dalam kata yang lebih spesifik – “calon atau wakil calon atau agen parti seperti pengarah pilihanraya” telah diputarkan seolah-olah ia ditujukan kepada semua umat Islam di Malaysia 8 hari kemudian oleh Utusan Malaysia.

Namun begitu, ia tidak hairan – selepas  kontroversi PTPTN yang menampar muka sendiri, jawapan-jawapan menteri di parlimen yang memang susah untuk ditonjolkan di muka depan, bertambah pula laporan-laporan antarabangsa mengenai isu Scorpene – mereka perlu mencari sesuatu untuk mengalih pandangan rakyat.

Bajet 2013 yang disebut bajet pilihanraya akan diumum pada September 28. Tarikh Hari Raya Haji adalah 26 Oktober.

Sudah ada bayangan pilihanraya umum 1985 di musim haji bakal berulang.

Isu tangguh haji ini sebenarnya mudah – betulkah PRU-13 akan diadakan di musim haji?

Masalahnya tiada yang tahu.

Apakah mungkin PRU-13 diadakan di musim haji?

Masalahnya ialah mungkin.

Apakah yang perlu dilakukan jika PRU-13 diadakan di musim haji?

Salahkan perdana menteri? Itu hak beliau, walaupun PAS memang membantah jika PRU-13 diadakan di musim haji.

Adakah orang-orang Umno yang terlibat dengan PRU-13 akan pergi menunai haji? Calon, wakil calon dan agen parti seperti pengarah pilihanraya akan terus juga dengan niat menunai haji.

Tiada yang bertanya.

Walhal, soalan yang patut difokuskan ialah wajarkah perdana menteri mengadakan pilihanraya di musim haji?

Jawapannya jelas tidak.

Apakah jaminan ia tidak berlaku?

Tiada. Sebab itu PAS mendesak perdana menteri bagi jaminan. Dan tekankan “SEKIRANYA” Umno demi untuk menang, mengadakan PRU di musim haji, ahli PAS yang terlibat terus dengan PRU-13 yakni “calon atau wakil calon atau agen parti seperti pengarah pilihanraya” disarankan tangguh haji.

Golongan ini dalam PAS, ramai yang sudah menunaikan haji – mereka adalah veteran. Dalam Umno tak pasti pula.

Isu ini adalah mudah.

Kalau yang cadang tu ialah timbalan perdana menteri atau menteri Umno tentu keadaan dan komentar akan berubah menyokong habis-habisan. Jadi isunya bukan menangguhkan haji sebenarnya siapa yang buat cadangan itu.

Tapi Umno merumitkannya kerana ia tahu, isu sebenar memberi tekanan kepada perdana menteri untuk menyatakan satu tarikh pilihanraya.

Segalanya akan selesai jika tarikh pilihanraya diketahui lebih awal.

Tiada yang risau ingin menunai haji.

Tiada yang risau masa bercuti mereka sama dengan tarikh pilihanraya.

Bahkan, untuk seluruh warga yang bekerja, samada di pihak swasta mahupun kerajaan boleh merancang sebaiknya dengan tarikh pilihanraya diketahui.

Namun penyelesaian yang mudah ini bukan fokus akhbar-akhbar Umno.

Mereka perlukan talian hayat – mereka menilai isu tangguh haji ini sebagai isu yang boleh mengalih perhatian.

Betulla juga, tapi mereka terlupa, terbuta melihat bahawa perhatian kini beralih balik ke perdana menteri.

So, bila perdana menteri nak buat PRU13? Musim haji ke? Calon Umno pergi haji ke tak tahun ini? Boleh bagi jaminan tak buat PRU13 masa musim haji?


Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

KENYATAAN MEDIA TUAN IBRAHIM: Jaminan PM Diperlukan Untuk Hilang Keresahan Bakal Jamaah Haji

PAS mendesak Perdana Menteri memberi jaminan tidak akan mengadakan pilihanraya pada musim haji tahun ini.

Jaminan tersebut perlu bagi menghilangkan kebimbangan jamaah haji berhubung hak mereka sebagai pengundi.

Perdana Menteri tidak seharusnya membiarkan hampir 30,000 umat Islam berada dalam situasi tidak menentu kerana sebahagian mereka ada dicadangkan sebagai calon, wakil calon dan pengarah pilihanraya.

Selagi tiada jaminan, ia akan menyebabkan mereka serba salah antara meneruskan hasrat atau menangguhkannya dulu.

Kalau mereka sebagai pengundi tidak seberat tekanan sekiranya dipilih sebagai calon, wakil calon dan pengarah pilihanraya. Tambahan pula, seandainya pilihanraya diadakan dalam musim haji ini bermakna kerajaan Umno menafikan hak 30,000 umat Islam untuk menunaikan hak demokrasi mereka untuk mengundi.

Ini sudah tentu akan meninggalkan kesan yang besar kepada keputusan dan peratusan keluar mengundi. Ini melibatkan semua parti politik, dan apa yang penting ialah hak rakyat dalam sistem demokrasi hendaklah dihormati.

Tindakan Perdana Menteri yang bermain teka-teki dalam rahsia tarikh pilihanraya telah menyebabkan banyak spekulasi terhadap apakah tarikh pilihanraya yang besar.

Keadaan ini amat tidak sihat untuk negara kerana sangat mengganggu perancangan pelbagai pihak.

PAS melihat kebimbangan Perdana Menteri untuk mengisytiharkan tarikh pilihanraya membuktikan bahawa prospek Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya sudah menjadi satu kemungkinan yang boleh berubah menjadi realiti di sanubari BN.



Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

June 08, 2012

Artikel Presiden PAS :BILAKAH TARIKH PILIHANRAYA?

Tarikh Pilihanraya Umum ke-13 masih dalam ramalan berbagai pihak.  Beginilah sifatnya demokrasi di Malaysia. BN yang berketuakan Umno mempunyai kuasa penuh untuk mewajibkan kemenanganya dengan segala cara, daripada menggunakan media sebelah pihak, menabur politik wang rasuah, menyalahggunakan duit negara, memaksa jentera kerajaan, menambah pengundi dengan pelbagai cara, sehinggalah menentukan tarikh pilihanraya.

Seluruh dunia yang menghayati sistem demokrasi yang memberi hak kepada rakyat manjadi hakim yang bebas dan adil, hanya badan bebas yang mengandalikan pilihanraya menentukan tarikh pilihanraya. Bukan sahaja dipilih tarikh paling selesa kepada rakyat dan semua parti politik yang berhak, bahkan tempoh yang lama telah diketahui umum. Ada kalangan negara telah menetapkan tarikh pilihanraya berikutnya lebih awal, sebaik sahaja  pilihanraya umum selesai diadakan. Ada juga menetapkan kemudiannya, tetapi tempoh masa yang lama diketahui umum. Hanya negara yang mengamalkan sistem satu parti sahaja memerintah, seperti negara komunis dahulu dan negara sapertinya, kerajaannya menetapkan pilihanraya dalam tempoh terdekat mengikut keselesaannya boleh mencapai kemenangan dan rakyat lebih berpeluang memilih satu parti yang telah memerintah walaupun banyak melakukan kesilapan.

Di negara kita Malaysia, kerajaan BN memilih cara yang wajib menjamin kemenangan BN selama-lamanya. Maka kerajaan BN sahaja berkuasa menentukan tarikh setelah segala persediaan untuk kemenangannya diatur. Setelah selesai mengatur penipuan, menaburkan duit rasuah kepada seluruh pengundi atau isu yang dijadikan perangkap samar kepada parti lawan, juga fitnah disebarkan, maka tarikh pilihanraya barulah diumumkan.

Termasuk juga peluang musim haji yang menjadi ibadat wajib kepada penganut Islam yang merupakan pengundi terbesar. Hanya segelintir umat Islam yang dapat membezakan diantara wajib mudayyak yang tidak boleh ditangguh dan wajib muwassaa yang boleh ditangguh. Umno yang memisahkan politik daripada agama tidak peduli kepada musim haji yang menafikan hak sebahagian besar rakyat, kerana kaedahnya wajib menang dengan apa cara sekali pun.

Beginilah nasib rakyat Malaysia sejak dahulu sehingga kini. Rakyat diulit  dengan berbagai lagu dan irama politik murahan, walaupun merosakkan akhlak ditempat yang sudah rosak dan ditayangkan lagu agama ditempat beragama, kerana sifat pragmatik Umno bersama rakannya dalam BN. Namun kita menyaksikan alam yang bersifat berubah, termasuk alam politik. Sistem kuku besi komunis yang menguasai negara kuasa besar dunia Soviet Union hancur berkecai dan berubah ke arah demokrasi, sehingga negara komunis mengubah pendekatan. Selepas itu Filipina meninggalkan Marcos dalam kenangan, diikuti oleh Suharto di Indonesia dan akhirnya negara-negara Arab yang dikuasai kerajaan tentera yang menetapkan keputusan pilihanraya sebelum pilihanraya lagi. Bahawa parti kerajaan pasti menang mencapai lebih sembilan puluh sembilan peratus. Namun negara tersebut ikut sama melakukan Islah sistem demokrasinya. Begitu juga yang terakhir di Myanmar.

Kita mengharapkan negara Malaysia yang berslogankan sopan santun, naik turun pemimpinnya juga melalui sopan santun, bukannya dengan cara memalukan. Mereka akan dikenang sejarah oleh generasi akan datang kerana sejarah tidak mampu ditipu dengan apa cara sekalipun.

PAS mengajak masyarakat Islam khasnya membetulkan imej Islam yang dirosakkan oleh Umno, atau tegasnya PAS ganti Umno, dan mengajak masyarakat semua kaum amnya bersama Pakatan Rakyat mengganti Barisan Nasional. Sekiranya kemenangan berpihak kepada kami, maka segala kerosakan sistem demokrasi yang berlaku wajib diperbetulkan. Walaupun dimasa depan rakyat menolak PAS dan Pakatan Rakyat dengan jalan yang adil disebabkan kesalahan dan kelemahan pemerintahan, tetapi bukannya dengan cara menipu yang menzalimi diri sendiri.

Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang


PRESIDEN
PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)