Salurkan Sumbangan Dana Pilihanraya Anda ke Parti Islam Se-Malaysia Kawasan Kota Tinggi

Salurkan Sumbangan Dana Pilihanraya Anda ke Parti Islam Se-Malaysia  Kawasan  Kota Tinggi
No Akaun : 01-069-01-003759-0

Pilihan Anda di PRU 13?


Ruang Aduan

E-mail Address: *
Nama Pengadu *
Nombor Telefon *
E-mail Address
Alamat Pengadu *
Aduan *
Adakah anda bersetuju untuk mendedahkan identiti anda sekiranya diperlukan? *YA
TIDAK

* RequiredBuild Contact Forms

April 12, 2010

KENAPA JANGAN SOKONG UMNO


1. Islam Tidak Menjadi Dasar

Sejak awal lagi penubuhan Umno ialah untuk melawan Malayan Union sahaja. Bukan untuk mempertahankan Islam. Islam hanya alat, bukan sebagai satu asas dalam perjuangan. Kalau Islam sudah menjadi asas perjuangan, tentu mereka akan merujuk kepada Islam dalam semua hal.

2. Dasar Umno yang pragmatis (ikut suasana)

Kita pun tidak tahu apa dasar Umno yang pakai sekarang, Islamkah, Melayukah, mempertahan tanah airkah. Cuma seperti yang pernah disebut oleh YB Dr Fuad Zarkashi sewaktu menjadi Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno Johor, perjuangan Umno hanya untuk perut sahaja.

3. Islam hanya kuda tunggangan Umno

Ia bukan menjadikan Islam sebagai pedoman. Peralatkan Islam untuk kepentingan politik. Mereka akan menggunakan program agama sekiranya suatu kawasan kuat agama contohnya di Pantai Timur, Kedah dan Perlis. Sehingga Tan Sri Muhyiddin mengatakan undi BN juga masuk syurga ketika kempen di Manik Urai.

4. Akhlak yang tidak senonoh dengan skandal perempuan seperti yang berlaku kepada bekas ahli parlimen Gombak, ahli Parlimen Ampang Jaya dan Ketua Wanita Umno Kelang. Kebetulan mereka ini tidak bernasib baik kerana media dapat tahu..

5. Matlamat masuk Umno ialah untuk mengumpul kekayaan sebanyak mungkin. Sikap kebendaan yang sudah berakar umbi dalam Umno sukar untuk diubah. Memegang jawatan sebagai tiket untuk kaut keuntungan. Pemimpin makan isi pengikut makan tulang.

6. Umno Tidak Membela Agama. Kita boleh melihat apa yang Umno sudah lakukan untuk membela agama. Orang murtad Umno diam membisu.

7. Orang Agama (ulama’) Umno hanya subang tembaga. Peranan golongan agama hanya untuk menjadi peluru melawan Pas sahaja dan tidak lebih daripada itu. Peranan mereka hanya untuk tukang baca doa, tahlil dan marhaban. Mereka bukan dijadikan rujukan untuk mengemudi negara. Sebaliknya sijahil yang menjadi kepala, manakala si alim menjadi pengikut. Apabila ini terjadi banyak dasar yang bertentangan dengan Islam telah berlaku.

8. Dasar Umno putera bukan bumiputera. Menindas sesama bangsa hanya kerana berlainan ideologi, akhirnya telah menempatkan bangsa merempat di bumi sendiri. Sebab itu DEB gagal mencapai matlamat pemilikan ekuiti bumiputera sebanyak 30%. Kenapa gagal walaupun ¾ jamaah menteri Melayu Islam, Pegawai melayu. Jawabnya kerana dasar Umno putera.

9. Diskriminasi terhadap kerajaan yang sebangsa dan seagama di Kelantan sebagai satu contoh yang ketara. Apakah layak Umno hendak mendakwa mereka sebagai tulang belakang orang Melayu. Apakah slogan kalau kuat Umno maka Melayu akan kuat menjadi realiti?

10. Khianat bahasa sendiri. Umno sudah membunuh bahasa sendiri sebagai bahasa ilmu. Sudah berbilion wang negara hangus untuk projek Methematik dan Sains dalam bahasa Inggeris pada tahun 2003. Berjuta anak Melayu dan rakyat pendalaman menjadi mangsa.

11. Politik khianat bangsa. Yang penting ialah kuasa, samaada mengorbankan kepentingan agama dan bangsa lain bicara. Persempadanan semula dalam pilihanraya 2004, bagaimana Umno telah mengkhianat orang Melayu-Islam semata-mata untuk melawan Pas.

12. Umno mengajar rakyat rasuah dalam berpolitik. Mereka yang dipilih bukan berdasarkan kewibawaan masing-masing dalam mempertahankan bangsa dan agama. Mereka bukan menjadi pemimpin orang Umno tetapi menjadi boneka kepada tauke-tauke yang memberi wang kepada mereka akhirnya inilah yang memusnahkan bangsa dan agama.

12. Tun Musa Hitam mengatakan Umno dilanda penyakit “Ketuaan” ertinya Umno sudah sampai umur nyayuk yang sikit masa lagi sudah tidak kenal antara air milo dengan air longkang.

13. Tun Dr Mahathir mengatakan umno sudah busuk sampai ke usus.

14. Kewujudan PERKASA menunjukkan umno gagal membela melayu.

“DAMAINYA RAKYAT TANPAMU UMNO”

April 10, 2010

Umno Guna BN Perkudakan Komponen Lain

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan ucapan perkauman Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang membangkitkan isu kerakyatan kepada bukan Melayu di negara ini yang didakwa perlu berterima kasih kepada Umno.

PAS tidak melihat isu ini perlu dibangkitkan kerana soal kerakyatan bukan Melayu sudah lama selesai dan generasi Cina, India dan kaum bukan Melayu yang menjadi warganegara ini telah diberikan kerakyatan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan bukan Perlembagaan Umno.

Malah selepas lebih 52 tahun negara ini merdeka, rakyat bukan Melayu telah memberikan banyak sumbangan kepada pembangunan negara ini dan mereka seharusnya tidak dijadikan bahan politik untuk dihina demi untuk menunjukkan Umnolah juara rakyat sebenarnya.

Ucapan Noh ini bukan pertama kali keluar dari mulut pemimpin Umno. Februari lepas Datuk Nasir Safar, Pegawai Khas Perdana Menteri turut membakar kemarahan kaum bukan Melayu dengan menggelarkan kaum Cina dan India dinegara ini sebagai pendatang.

PAS menolak sebarang ucapan, slogan atau kempen perkauman yang diterapkan oleh Umno dan BN kerana jelas ia hanyalah merugikan rakyat. Isu perkauman dan kewarganegaraan tidak seharusnya berbangkit dan PAS berharap kaum Melayu dan bukan Melayu dapat hidup dengan harmoni dinegara ini serta menghormati hak masing-masing.

PAS menyeru Komponen BN menilai kedudukan mereka dalam BN kerana akhir-akhir ini Umno sudah kembali menunjukan dasar perkaumannya. Umno hanya menjual slogan demi slogan bagi menarik sokongan rakyat.

Malah dalam konvensyen itu, hanya lagu BN dan Umno sahaja yang dinyanyikan seolah-olah dalam BN hanya ada parti Umno sahaja. Jawapan Pengerusi Penganjur Konvensyen, yang mendakwa beliau tidak melihat sebarang isu dalam hal ini menjelaskan lagi sikap Umno yang memandang kecil kehadiran komponen lain BN semasa majlis itu. Malah Umno sampai hari ini tidak pernah berhenti menyalahkan MIC dan MCA diatas kekalahan teruk mereka di Selangor.

Oleh itu, PAS melihat komponen BN bukan Melayu kini ibarat anak tiri yang sudah kematian bapa. Sudah kalah, Umno pun tak pandang.

PAS juga yakin, rakyat akan menghukum BN dalam Pilihanraya Kecil Hulu Selangor 25 April ini dengan sikap yang ditunjukan oleh Umno dan Komponen lain yang masih bacul untuk tinggalkan BN kerana menjaga periuk nasi mereka.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

SEBELUM BERJANJI DI HULU SELANGOR: SELESAIKAN MASALAH SEKOLAH BOCOR DI SJKT BUKIT DARAH

Parti Islam Se-Malaysia Pas (PAS) mendesak supaya pihak Kementerian Pelajaran Malaysia yang diterajui oleh Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yasin supaya menyelesaikan masalah sekolah SJKT di Bukit Darah dekat dengan Sungai Buluh. Sekolah yang begitu dhaif dengan bumbung bocor dan struktur bangunan yang merbahaya kepada pelajar.

Menurut laporan Utusan Malaysia online (6/4/10) Guru Besar SJKT Bukit Darah, A. Rajendra Devi berkata dia mula mengenalpasti keadaan itu sejak memulakan tugas di situ pada tahun 2006. Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja dihadapi murid-murid tetapi juga guru-guru kerana setiap kali musim hujan ia begitu membimbangkan.Beliau mengakui agak terkejut dengan maklum balas yang diterima bahawa peruntukan RM150,000 untuk sekolah berkenaan telah habis digunakan.

Apakah pihak kerajaan Umno/BN akan memperbaiki apabila ada pilihanraya kecil sahaja. Pemimpin Umno/BN menjadi buta mata apabila tidak ada pilhanraya kecil, mereka celik hanya apabila ada pilihanraya. Malahan ada bangunan sampai berkali-kali dirasmi sempena kempen pilhanraya.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS), mengharapkan pemimpin Umno/BN jangan menambahkan senarai yang bakal tidak ditunaikan kepada rakyat dalam setiap kali pilihanraya kecil. Walaupun peruntukan sudah diluluskan sebanyak RM150 ribu, namun tidak ada apa-apa perubahan fizikal yang dibuat. Pas meminta supaya satu siasatan mesti dibuat untuk menyiasat perkara ini. Pihak SPRM mesti bertindak untuk menyiasat laporan mengenai peruntukan wang sudah diluluskan tetapi projek tidak berjalan dan wang sudah habis.

PAS ingin menasihati pemimpin Umno/BN usahlah berjanji banyak sangat dalam pilhanraya kecil Hulu Selangor ini. Jangan menambahkan senarai pembohongan dan janji kosong dalam setiap kali pilihanraya. Kalau SJKT yang sudah lama pun tidak terbela bagaimana pula Tan Sri Muhyiddin boleh berjanji untuk mendirikan empat sekolah baru di kawasan Parlimen Hulu Selangor.

PAS mengharapkan semua pengundi di Parlimen Hulu Selangor sekali lagi bangkit menolak calon BN, supaya tercatat lagi satu sejarah keberanian pengundi di Hulu Selangor yang akan menjadi guru politik di negara ini. Bahasa undi sahaja yang pemimpin yang rakus ini boleh faham, mereka tidak faham dengan undang-undang, tidak faham dengan dialog ilmiah, tidak faham dengan teguran di parlimen tetapi akan faham dengan bahasa undi.

Ustaz Idris Haji Ahmad

Ketua Penerangan Pas Pusat

April 07, 2010

Najib Akui Kerajaan Tiada Duit, Kakitangan Kerajaan Di Paksa Sokong GST Kalau Mahu Gaji Naik


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) persoalkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengakui bahawa asas perolehan negara pada masa ini tidak kukuh dan Kerajaan tidak mampu untuk membayar gaji penjawat awam, sedangkan pada akhir tahun lepas kerajaan bangga mengumumkan bahawa ekonomi berkembang dengan baik iaitu 4.5 peratus dan tahun ini dijangka melebihi 5.5 peratus pula.

Najib terdesak membuat pengakuan itu demi untuk menarik perhatian kakitangan awam untuk menyokong pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang kini ditolak oleh majoriti rakyat. Kenyataan Najib itu membuka pekung pemerintahannya yang kini sedang sibuk menabur duit di Hulu Selangor sempena pilihanraya kecil.

Tindakan Najib memaksa kakitangan awam menyokong dasar ini secara membuta tuli adalah tidak wajar dan bertentangan dengan prinsip demokrasi negara ini dimana setiap warganegara berhak untuk membuat pilihan sama ada mahu menyokong atau tidak.

Tidak guna gaji kakitangan Kerajaan dinaikan sedangkan dalam masa yang sama cukai GST diperkenalkan. Jika GST dilaksanakan, keadaan ekonomi kakitangan awam mungkin lebih teruk kerana kenaikan gaji hanya sekitar RM200-RM500 sahaja sedangkan pertambahan kos sara hidup berkemungkinan meningkat lebih dari kadar itu.

Najib juga dilihat zalim kerana menjadikan kakitangan kerajaan sebagai 'hamba' yang kena terima apa sahaja yang kerajaan ingin lakukan. Oleh itu, kakitangan kerajaan harus bijak dan menolak dasar ini. Kerajaan boleh tangguhkan kenaikkan gaji sehingga ekonomi pulih sepenuhnya tanpa perlu perkenalkan cukai baru.

Jika GST dilaksanakan, bukan sahaja 1.2 juta kakitangan awam akan jadi mangsa, lebih 25 juta rakyat Malaysia akan terima kesannya. Pekerja swasta yang tidak mendapat kenaikan gaji akan menerima kesan yang lebih teruk, kerana kos hidup mereka secara purata bertambah 4 peratus.

Oleh itu PAS berharap agar kakitangan Kerajaan tidak menurut sahaja kehendak Najib. Jika dasar ini dilaksanakan bersama Model Ekonomi Baru, maka rakyat negara ini akan lebih sengsara. Ketiadaan syarat ekuiti tempatan akan menyebabkan pasaran negara akan datang dimonopoli oleh pelabur dan perniagaan asing. Dan pastinya mereka tidak peduli kesusahan rakyat dinegara ini dan mereka boleh kuasai harga jual beli pasaran dalam negara dengan mudah. Jika mereka naikan harga, maka nilai 4 peratus cukai GST juga naik.

Kerajaan tidak mampu kawal perkara ini, malah Kerajaan kini cuba juga untuk hapuskan subsidi bagi melepaskan diri dari tanggungjawab membantu rakyat. Jadi bayangkanlah harga gula, beras, minyak tanpa subsidi tapi ditambah dengan cukai GST 4 peratus.

Tidak cukup dengan itu, dengan begitu banyak perjanjian perdagangan bebas (FTA), pelabur dan peniaga tempatan juga akan bungkus kerana tidak dapat bersaing kerana harga barang mereka akan jadi lebih mahal jika dicampur dengan GST, berbanding harga barang China yang lebih murah kos pembuatannya.

Jadi, GST bukan sahaja akan beri kesan kepada Kakitangan kerajaan, ia akan memberikan kesan kepada seluruh sistem ekonomi negara. PAS tetap akan menentang dasar ini untuk kepentingan rakyat.


Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Hulu Selangor : PAS kesal Najib ugut dan perdaya Peneroka di Pentas Felda


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengunakan pentas Felda untuk mengugut para peneroka ketika melancarkan Yayasan Kelana Ehsan (YKE) di Felda Sungai Tengi, Kuala Kubu Sabtu lepas.

Beliau yang juga Pengerusi BN mengingatkan para peneroka di Hulu Selangor bahawa BN hanya akan memberikan bantuan dan memacu kepada perubahan jika mereka memberikan kemenangan besar kepada BN dalam Pilihanraya kecil parlimen disitu. Ya! bantuan hanya diberikan jika BN menang. Beliau lupa bahawa BN telah menang besar di kesemua tiga DUN dalam Parlimen Hulu Selangor pada 2008, tapi hari ini baru nak buat ikrar pembangunan dengan nada mengugut.

Ugutan yang berbentuk janji yang ditabur diseluruh negara, sama seperti Timbalannya Muhyiddin yang turut turun berkempen minggu lepas. Sehingga ke hari ini BN gagal memberikan jawapan berhubung isu 4 orang guru yang terpaksa tinggal didalam bilik kecil dibawah kelas tempat mereka mengajar sejak tiga tahun lalu di Ulu Baram.

BN menang di Parlimen Baram pada 2008, namun nasib guru-guru ini tidak berubah. Janji perubahan dan memacu pembangunan hanya tinggal sebagai slogan Pilihanraya. Inilah juga yang akan berlaku kepada Hulu Selangor jika BN kembali disitu. Pengundi juga harus ingat bahawa, jika BN menang sekalipun, mereka hanya mampu memberikan janji kosong kerana Kerajaan negeri masih dalam tangan Pakatan.

Peneroka Felda sentiasa menjadi sasaran Najib, sedangkan hakikatnya beliau hanya menumpang kejayaan Felda yang diwariskan oleh Ayahnya, Tun Razak.

Najib memberi peringatan serius kepada warga Felda di Hulu Selangor bahawa 25 haribulan (hari pengundian) mereka kena undi BN. Hanya dengan memberikan bantuan dan kepercayaan kepada BN barulah Yayasan Kelana Ehsan akan diarahkan untuk membantu mereka. Ini jelas, gula-gula politik Najib.

PAS mengingatkan peneroka Felda agar tidak terpedaya dengan projek perumahan RM 32 juta yang turut diumumkan Najib. Projek yang terletak di kawasan Felda Soeharto seluas 14 hektar yang melibatkan pembinaan sebanyak 250 unit rumah bakal dijual kepada para peneroka dengan harga RM42,000 bagi rumah kos rendah dan RM75,000 bagi rumah kos sederhana rendah.

PAS harap peneroka memahami hak mereka. Rumah ini akan dijual kepada peneroka, bukan diberikan secara percuma. Ya! bukan percuma, kena beli pakai duit peneroka sendiri. Najib mengakui bahawa mana-mana peneroka yang mahu membelinya boleh memohon pinjaman dari mana-mana institusi kewangan (Bank) atau membuat perjanjian sewa beli dengan Felda. Harus diingat bahawa harga RM 42 ribu dan RM 75 ribu ini adalah harga pokok, belum dicampur dengan kadar faedah. Dengan mengambil kira tempoh pinjaman selama 20-30 tahun, nilainya adalah sekitar RM 100 ribu-RM 120 ribu.

Tanpa mengundi BN, para peneroka masih boleh membeli rumah itu atau rumah lain yang lebih baik, kerana rumah yang bakal dibina itu bukan diberikan percuma, masih ada pilihan.

PAS juga mengingatkan para peneroka agar tidak lupa kes 25000 peneroka, yang ditindas oleh Felda. Sehingga kini Felda masih gagal memulangkan RM 425 juta duit peneroka terbabit yang disimpan dalam Tabung Tanam Semula, walaupun mahkamah telah keluarkan arahan. PAS mahu peneroka bertanya kepada Felda, ke manakah duit itu telah pergi hingga mereka tidak mampu mengembalikannya kepada peneroka yang menuntutnya?

Jika wang tabung pun boleh lesap, inikan pula projek perumahan yang baru dipecah tanah. Peneroka juga jangan lupa bahawa banyak lagi projek perumahan yang masih terbengkalai diseluruh negara, dan perkara yang sama tidak mustahil akan berlaku, walaupun ketika itu peneroka sudah dikehendaki membayar duit pinjaman Bank. Di mana Felda mahu cari duit RM 32 juta untuk selesaikan projek berkenaan sedangkan hutang RM 425 juta belum mereka selesaikan?

PAS yakin, peneroka yang bijak akan menolak BN. Fikir-fikirkanlah sebelum anda menyesal dikemudian hari.

PAS mengingatkan Perdana Menteri agar sedar kedudukannya dan tidak mengunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri untuk turun berkempen di Hulu Selangor. Gaji beliau semasa turun memecah tanah pada sabtu lepas di Felda Soeharto adalah dibayar dari duit rakyat bukan duit BN. Beliau perlu hormati tarikh sebenar dan tidak berkempen mengunakan jentera Kerajaan sebelum hari penamaan calon. Kalau mahu berkempen gunalah jentera BN sepenuhnya, jika tidak rakyat dengan jelas sudah melihat bahawa jentera BN begitu lemah sehingga terdesak meminjam jentera Kerajaan yang digajikan dengan duit rakyat.

PAS menyeru agar seluruh jentera Pakatan terus mengasak BN di Hulu Selangor dan seluruh negara. Pastikan gambar-gambar jentera Kerajaan yang BN gunakan diambil dan disebarkan untuk perhatian rakyat.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

April 05, 2010

Sepintas lalu di Mesyuarat Agung Dewan Muslimat


Kota Tinggi, 4 April 2010. Bertempat di Restoran Cengkih, Taman Hijrah salah satu sayap kepada organisasi Pas Kawasan Kota Tinggi telah berjaya mengadakan mesyuarat agungnya yang ke 3 yang di rasmikan oleh Puan Norhayati Bte Bachok. Walaupun usia masih baru tetapi Dewan Muslimat Pas Kota Tinggi (DMP Kota Tinggi) memperlihatkan kesungguhan dan komitmen mereka sebagai salah satu sayap penting kepada Pas Kota Tinggi.

Sekalung tahniah buat DMP Kota Tinggi yang diterajui oleh ketuanya, Puan Rosnani Bin Jusoh telah memberikan impak yang besar kepada perjuangan Pas di Kota Tinggi khususnya. Melihatkan akan laporan aktiviti seperti yang tercatat di laporan mesyuarat memperlihatkan komitmen dan kesungguhan DMP Kota Tinggi dalam mencatatkan satu lagi sejarah perjuangan Islam seperti yang di perjuangankan oleh para pejuang terdahulu.



Ketua Muslimat dalam ucaptema beliau menyeru kaum Muslimat bangkit membantu Islam agar di bela mengikut kehendak Al-Quran dan Hadis.



Dalam ruang yang sama, YDP Pas Kota Tinggi turut diberi penghormatan untuk berucap di dalam majlis perasmian tersebut. Seperti biasa, YDP mengharapkan DMP Kota Tinggi dapat memberi perkhidmatan yang cemerlang untuk membantu Pas Kawasan dalam usaha berdakwah kepada masyarakat akan siasah menurut acuan Islam.

YDP juga mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada kepimpinan DMP Kota Tinggi dan AJKnya atas sikap didikasi dan semangat jitu yang ditunjukkan oleh mereka di dalam aktiviti-aktiviti Pas Kawasan mahupun keterlibatan di dalam pilihanraya kecil sebelum ini. Ini menjadi tanda aras kepada Pas Kawasan untuk terus meneruskan kerja-kerja dakwah dengan lebih efektif.


Di akhir ucapan pada majlis perasmian tersebut, Ketua Pemuda turut diberikan peluang untuk berucap walaupun dalam keadaan yang cukup tidak bersedia. Namun, di dalam platfom mengenai perjuangan Islam ini terlalu banyak isu yang boleh di sentuh. Alhamdulillah, dapat juga memberikan pandangan yang tidak seberapa hebat pada majlis tersebut.

Sekali lagi, terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sama menjayakan Mesyuarat Agung DMP Kota Tinggi kali ke 3 ini. Semuga usaha semua pihak tersebut mendapat ganjaran daripada Allah SWT.

~matahijauku~

April 04, 2010

Hulu Selangor : PAS bidas projek politik Timbalan Perdana Menteri


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) membidas pengumuman projek politik Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjanjikan empat buah sekolah baru bagi Parlimen Hulu Selangor. Paling menghairankan beliau turut berjanji memperuntukan RM2 juta untuk mengatasi masalah banjir di Kampung Sentosa di batang Kali serta meluluskan permohonan RM 100 ribu pihak Masjid Al-Sajdin di kampung yang sama.

PAS tidak menolak peruntukan itu untuk kebaikan rakyat, tetapi mempersoalkan kredibiliti beliau yang juga Timbalan Presiden Umno yang mengumumkan perkara itu menjelang Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor. Sebagai Timbalan Perdana Menteri yang bukan Menteri Kewangan beliau dengan sewenang-wenangnya mencurahkan peruntukan itu tanpa membuat rujukan kepada Kementerian bertanggungjawab.

Sebagai Menteri Pelajaran beliau memang berhak umumkan peruntukan empat buah sekolah baru yang telah diperuntukan dalam Budget 2010. Tetapi bagi menangani isu banjir, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar kena turun padang. Peruntukan untuk Masjid pula adalah dibawah tanggungjawab Menteri yang jaga JAKIM bukan Timbalan Perdana Menteri. Beliau langsung tidak hormat potfolio Menteri lain dan turut mendahului Perdana Menteri.

Jelas, lawatan beliau adalah lawatan politik dan Muhyiddin pulun habis untuk umumkan semua projek yang sebenarnya diperlukan rakyat sejak zaman BN memerintah lagi.

Malangnya, dalam sibuk pulun semua isu rakyat di Hulu Selangor beliau dimalukan oleh Bernama dengan pendedahan kisah empat orang guru di sebuah sekolah rendah Long Latin Ulu Baram, Sarawak termasuk sepasang guru suami isteri yang terpaksa tidur dalam sebuah bilik sempit seluas 20 x 10 kaki dengan ketinggian hanya tujuh kaki sejak tiga tahun lalu.

Lebih menyedihkan lagi, bilik kediaman guru-guru yang cekal ini adalah dibawah bilik darjah tempat mereka mengajar. Tidak dapat dibayangkan penderitaan yang mereka alami lantaran layanan 'double standard' Menteri Pelajaran yang lebih ghairah mengumumkan projek-projek meganya di Hulu Selangor.

Jika dibandingkan dengan rumah sebahagian guru-guru yang mengajar dan tinggal di Putrajaya, saiz 20x10 kaki itu, bersamaan dengan ruang tempat letak kereta dirumah mereka sahaja. Memang mewah guru di Putrajaya kerana Kerajaan begitu menjaga imej sekolah di Putrajaya berbanding Ulu Baram.

Pendedahan ini amat memalukan kerana guru-guru ini mengajar dikawasan Parlimen BN, yang mana ahli Parlimennya, Datuk Jacob Dungau Sagan adalah Timbalan Menteri di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Apakah Muhyiddin mahu tunggu sampai ahli parlimen Baram ini meninggal dunia baru hendak umumkan peruntukan bagi pembinaan rumah baru bagi guru-guru malang ini. Sewajar sebagai Ahli Parlimen bertaraf Timbalan Menteri, kawasan Jacob mendapat peruntukan yang lebih baik sekarang.

PAS melihat, pendedahan Bernama ini hanyalah sebahagian kecil dari kudis-kudis yang ada dalam pengurusan Menteri Pelajaran dan Kerajaan BN. Diluar bandar sekarang masih banyak kawasan yang belum mendapat peruntukan pembangunan yang sewajarnya. Jika inilah keadaannya, jangan harap guru-guru dari Semenanjung mahu dihantar bertugas disana.

Mereka bukan tidak mahu membantu masyarakat disana. Mereka mahu, tetapi dengan sikap 'double standard' Kerajaan BN mereka khuatir akan diabaikan. PAS mahu BN buktikan keikhlasan mereka dan membantu semua kawasan Parlimen tanpa perlu menunggu ahli Parlimen dikawasan itu meninggal dunia.

PAS yakin rakyat di Hulu Selangor tidak akan tertipu dengan taktik projek politik BN ini. Yakinlah, rakyat di Hulu Selangor akan dapat bantuan yang lebih banyak jika terus mengundi Pakatan. BN akan tabur seberapa banyak yang mereka mahu untuk rampas kembali Hulu Selangor. Inilah peluangnya untuk rakyat Hulu Selangor menuntut hak mereka yang telah diabaikan sejak 50 tahun lalu.

Tetapi jangan sesekali tertipu dan undi BN lagi. Jika tidak, anda akan rugi untuk 50 tahun akan datang pula kerana bantuaan BN hanya datang kali ini sahaja.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

PAS bantah MEB hapuskan kuota bumiputra

Parti Islam-Se-Malaysia (PAS) terkejut dengan pendedahan pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Tan Sri Amirsham A Aziz yang mengakui bahawa Model Ekonomi Baru (MEB)yang dilancarkan oleh Perdana Menteri semalam akan menghapuskan kuota pemilikan termasuk kuota bumiputra.

Tahun lepas Perdana Menteri mengumumkan Dasar Liberalisasi Ekonomi negara dimana Kerajaan menurunkan pegangan ekuiti bumiputera daripada 30 peratus kepada 12.5 peratus dan menurunkan ekuiti bukan bumiputera daripada 25 peratus kepada 12.5 peratus.

Seterusnya, pegangan ekuiti asing telah ditingkatkan daripada 49 peratus kepada 70 peratus, serta pemansuhan FIC dan Penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS). Nilai hartanah yang boleh dibeli oleh warga asing pula ditingkatkan daripada RM250,000 kepada RM500,000.

Dengan pendedahan Pengerusi MPEN itu, bermakna kuota 12.5 peratus bumiputra dan bukan bumiputra akan terhapus sama sekali. Secara ekonominya, saham-saham syarikat di Malaysia sudah boleh dimiliki oleh pelabur asing 100 peratus.

PAS menganggap MEB adalah dasar yang jelas menindas rakyat dan akan menyebabkan rakyat dinegara ini akan menjadi 'hamba' yang berkerja keras untuk kepentingan individu dan pelabur asing dimasa hadapan.Pengkhianatan Umno-Bn yang menghapuskan kuota bumiputra dan bukan bumiputra ini tidak boleh dimaaf.

PAS mencabar ahli Umno dalam Perkasa untuk bangkit menentang dasar ini dan mengembalikan hak bumiputra dan rakyat bukan bumiputra dinegara ini untuk menguasai kuota 30 peratus dan 25 peratus. Pas yakin kalau perkara penghapusan kuota bumiputera ini disuarakan oleh pimpinan Pakatan Rakyat maka akan berlakulah demontrasi jalanan oleh abdi umno dari kalangan NGO dan pembodek umno.

Tetapi apabila yang mengeluarkan idea ini tuan kepada hamba-hamba moden di negara ini, maka suara mufti umno dan Profesor umno macam cicak makan kapur.

PAS yakin bahawa keputusan ini banyak dipengaruhi oleh beberapa pihak lain yang dilantik sebagai perunding atau penasihat Kerajaan Malaysia. Tidak mustahil syarikat-syarikat yang dikuasai Yahudi akan masuk ke negara ini melalui proksi mereka dan mengambil alih aset-aset penting negara seperti POS Malaysia yang sedang dalam proses penjualan sekarang.Jelas dasar yang tidak dibentang di Parlimen ini juga adalah satu dasar yang dipaksakan kepada rakyat dan membelakangi mandat rakyat.

Seharusnya dasar sepenting ini dibentang di Parlimen kerana rakyat mahu tahu kerangka nasional yang ada dalam dasar ini.

Umno-BN dilihat sedang menjual negara dan hilang semangat patriotisme melalui dasar yang menafikan kepentingan rakyat dinegara ini. Malaysia tidak kekurangan pelabur dan pemodal tempatan. Seharusnya kuota itu dikekalkan bagi memberikan peluang kepada mereka agar tidak melabur diluar negara. PAS menolak sebarang usaha untuk menafikan kuota bumiputra dan bukan bumiputra yang jelas menghina kedaulatan negara dan seluruh warganegara ini.


Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

April 01, 2010

PAS Selar Muhyiddin Halang PIBG Bersuara

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyelar keangkuhan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghalang Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) membincangkan soal dasar atau polisi sistem pendidikan negara.

Di Parlimen semalam, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, memperingatkan bahawa tugas PIBG hanyalah berkaitan soal bagaimana untuk menambah baik pelajaran di sekolah yang mereka menjadi ahli sahaja.

PAS kesal dengan dasar dan pemikiran kecil beliau yang juga Timbalan Presiden Umno. PAS berpandangan bahawa PIBG juga adalah medium terbaik untuk para ibubapa dan guru menyampaikan pandangan mereka khususnya yang melibatkan soal-soal pendidikan. Malah mereka berhak untuk membincangkan atau memberikan pandangan terhadap dasar dan polisi pendidikan negara kerana itu semua akan memberikan kesan kepada anak-anak mereka.

Sepatutnya, pihak Kementerian Pelajaran menjadikan mereka rujukan utama sebelum sesuatu dasar itu diperkenalkan kerana mereka berhak dan lebih memahami keperluan pelajar dan anak-anak mereka.

Mesyuarat dan Konvesyen PIBG akan menjadi lebih matang dan dilihat berwibawa jika mereka mampu membincangkan soal-soal dasar dan polisi negara disamping tidak mengabaikan isu-isu dalaman sekolah mereka.

Jika mereka tidak diberikan ruang untuk bersuara, dimanakah mereka ingin membawa pandangan mereka. Tidak semua ahli PIBG terlibat dengan NGO atau parti Politik. Jadi, apa salahnya mereka mengunakan medium yang ada untuk menyampaikan pandangan.

Pandangan Muhyiddin ini jelas menunjukan Kerajaan BN tidak terbuka menerima teguran rakyat dan masih mengamalkan dasar pekak telinga. Mereka hanya melayan aduan atau pandangan yang selari dengan kehendak mereka, sedangkan pandangan yang tidak mengikut kehendak mereka diketepikan dan dianggap sebagai pandangan politik. Walhal isu yang disentuh jelas melibatkan isu pendidikan, bukannya politik. Kalau orang politik sekalipun, bila berbicara isu pendidikan, ia tetap isu pendidikan bukan isu politik dan tidak perlu dipolitikan. Ternyata beliaulah yang cuba mempolitikan isu ini, bukan PIBG.

PAS mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin kerana membuktikan kebebalan dan keangkuhan Kerajaan BN pada rakyat.

PAS menawarkan kepada semua PIBG dinegara ini untuk menyampaikan pandangan mereka melalui wakil-wakil rakyat Pakatan jika BN sendiri sudah tidak mahu menerima pandangan mereka. PAS akan memastikan wakil-wakil rakyat Pakatan akan membawa isu mereka ke Parlimen dan sidang-sidang DUN. Pakatan tidak sesekali membiarkan rakyat terus menerus dinafikan hak dalam memberikan pandangan, dan perjuangan kita adalah suara rakyat.

PAS yakin rakyat akan memilih Kerajaan yang lebih baik dan lebih terbuka dalam pilihanraya akan datang dan Pakatan bersedia memberikan yang terbaik buat rakyat.

Ust. Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat.

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS

MODEL EKONOMI BARU

Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menegaskan bahawa Model Ekonomi Baru (MEB) yang dibentangkan oleh kerajaan masih lagi tidak mempunyai roh dan tidak menekankan kepentingan akhlak yang merupakan satu asas terpenting dalam memastikan transparensi dan ketelusan pelaksanaan sesuatu dasar ekonomi.

Sesebuah negara boleh sahaja mempunyai dasar yang melangit halatujunya, tetapi tanpa akhlak yang dihayati oleh pembuat dan pelaksana dasar – maka negara masih akan dibelenggu dengan sistem liberal kapitalis – akhirnya ianya hanya bersifat membuat perubahan terhadap kulit dan bukannya bersifat holistik yang merangkumi perkaitan antara dosa-pahala dan keadilan menyeluruh.

MEB juga menyebut bahawa objektif yang ingin dicapai ialah supaya rakyat dalam negara kita mampu mempunyai kuasa membeli yang tinggi, hidup lebih aman, pengurusan yang baik dan pemuliharaan sumber alam. Objektif ini sangat murni – tetapi penekanan terhadap peranan syarikat swasta dalam memacu ekonomi liberal kapitalis ini secara drastik akan meninggalkan kesan ekonomi terhadap penduduk luar bandar dan memungkinkan jurang antara bandar dan luar bandar terus melebar.

MEB itu juga merupakan imbasan kembali kepada konsep pensyarikatan dan penswastaan Malaysia yang dilaksanakan oleh Tun Dr Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri , di mana pihak kerajaan akan melepaskan kepentingannya sedikit demi sedikit dalam sektor perkhidmatan rakyat kepada pihak swasta. Walaupun pihak kerajaan memberikan jaminannya, akan tetapi rekod menunjukkan bahawa berlakunya pelepasan tangggungjawab kerajaan itu telah melahirkan satu monopoli baru sektor perkhidmatan yang akhirnya menekan ekonomi rakyat.

Apa yang diinginkan oleh rakyat bukannya peningkatan angka atau nilai peratusan pendapatan semata-mata, contohnya sasaran bagi meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia daripada AS$7,000 kepada AS$15,000 dalam tempoh 10 tahun; tetapi yang diinginkan ialah kesan sebenar dari perubahan suasana masyarakat yang lebih kondusif dan selamat dari jenayah, sifar rasuah, akauntabiliti yang nyata serta struktur ekonomi yang lebih adil dan jauh dari tekanan politik sempit.

Selain dari itu juga, penerusan sikap kerajaan persekutuan yang tidak menghormati konsep federalisma dan demokrasi juga akan menjadi bom jangka yang akan menggagalkan kesejahteraan ekonomi rakyat. Apa yang berlaku ialah kerajaan negeri yang mungkin diperintah oleh parti yang berbeza dari parti di peringkat persekutuan akan menerima penindasan ekonomi dan dikekang pelaburan luar dengan semahunya oleh kerajaan persekutuan. Akibatnya objektif kesejahteraan yang ingin dicapai akan hanya menjadi retorik yang sedap didengar sahaja.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
15 Rabiul Akhir 1431 / 31 Mac 2010